Ahad, 11 September 2016

Sentuhan bisa Batistuta -- Argentina menang tipis ke atas Jepun


 

ARKIB : 15/06/1998
Sentuhan bisa Batistuta -- Argentina menang tipis ke atas Jepun
JANGAN RAPAT... Penyerang Jepun, Hidetoshi Nakata (kiri) berusaha melepasi pemain Argentina, Matias Almeyda sewaktu perlawanan Kumpulan H Piala Dunia di Toulouse, semalam.

TOULOUSE, Perancis - Penyerang, Gabriel Batistuta menyelamatkan Argentina daripada menerima aib apabila menyumbat gol tunggal untuk menundukkan Jepun 1-0 pada perlawanan Kumpulan H bola sepak Piala Dunia di Stade Municipal, semalam.

Jepun, yang membuat penampilan sulung pada pusingan akhir Piala Dunia mengejutkan skuad pilihan dari Amerika Selatan itu dengan corak permainan pantas.

Kelincahan bintang tengah Jepun, Hidetoshi Nakata menggugat benteng pertahanan Argentina, dan pemain pertahanan mereka Naoki Soma turut mengancam kubu lawan setiap kali turun di posisi serangan.

Argentina pula menyerang balas menerusi penyerang Fiorentina, Batistuta yang bergandingan dengan Claudio Lopez.

Batistuta meletakkan bekas juara dunia itu di depan pada minit ke-28, selepas hantaran pemain tengah Ariel Ortega, melantun di depannya kerana terkena pertahanan Jepun Hiroshi Nanami.

Batistuta berlari mendapatkan bola, sebelum melepaskan rembatan menumpaskan penjaga gol lawan Yoshikatsu Kawaguchi, untuk gol ke-43nya daripada 62 perlawanan antarabangsa.

Dia nyaris melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-37 apabila menanduk bola dari dalam kawasan penalti, tetapi percubaannya berjaya ditangkap kemas Kawaguchi.

Tuan rumah bersama Piala Dunia 2002, Jepun turut memiliki beberapa peluang menyamakan kedudukan pada minit ke-53 menerusi Naoki, 26. Tetapi tandukan pemain itu tersasar dari palang gol.

Seperti mana Jepun lebih menguasai permainan, Stade Municipal juga lebih dikuasai peminat negara Matahari Terbit itu berbanding penyokong Argentina.

Melihat kepada pekikan dan kibaran bendera, penyokong Jepun nampaknya lebih bersemangat mendapat tiket perlawanan yang dilaporkan berharga AS$2,500 sekeping.

ARGENTINA: Carlos Roa, Nelson Vivas, Roberto Sensini (Jose Chamot), Roberto Ayala, Javier Zanetti, Matias Almeyda, Diego Simeone, Juan Veron, Ariel Ortega, Claudio Lopez (Abel Balbo), Gabriel Batistuta.

JEPUN: Yoshikatsu Kawaguchi, Akira Narahashi, Yutaka Akita, Masami Ihara, Eisuke Nakanishi, Naoki Soma (Takashi Hirano), Motohiro Yamaguchi, Hidetoshi Nakata, Hiroshi Nanami, Masashi Nakayama Wagner Lopes), Shoji Jo.

PENGADIL: Mario van der Ende (Belanda).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JvsBKSl9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan