Ahad, 11 September 2016

Belanda dikekang -- Patrick Kluivert terima kad merah kerana menyiku

ARKIB : 15/06/1998
Belanda dikekang -- Patrick Kluivert terima kad merah kerana menyiku
SAINT-DENIS, Perancis - Belanda dan Belgium bertarung tanpa jaringan pada perlawanan Kumpulan E Bola Sepak Piala Dunia yang turut menyaksikan kad merah ketiga kejohanan dilayangkan.

Belanda begitu hampa sekalipun berusaha keras memecah kebuntuan jaringan tetapi penyerangnya, Patrick Kluivert sengaja menempah kad merah dengan menyiku dada pemain Belgium, Lorenzo Staelens, 10 minit sebelum tamat permainan.

Kehampaan Belanda berterusan hingga memaksa jurulatih Guus Hiddink membawa masuk Dennis Bergkamp dalam separuh masa kedua untuk memberi nafas baru kepada jentera serangan Belanda.

Penyerang Arsenal itu tidak bermain selama lima minggu kerana kecederaan paha.

Bergkamp ternyata kurang cergas sekalipun beroleh peluang keemasan untuk menjaringkan gol apabila rembatannya jauh tersasar dari jarak 15 meter.

Untuk 10 minit pertama, Belanda cuba mengembalikan corak permainan silam mereka yang cemerlang tetapi Belgium memperlahankan rentak dan mengheret lawan kehampaan.

Marc Overmars membuktikan bagaimana dia membantu Arsenal untuk merangkul gelaran berganda England menerusi serangan sebelah kiri yang memaksa pertahanan Belgium gelabah dan sentiasa tertekan.

Dua kali dia melepasi benteng Belgium tetapi masih gagal dalam penyudahan.

Ketua pasukan, Frank Van Der Elst tidak henti-henti berteriak untuk memastikan rakan sepasukan lain menghadapi cabaran itu.

Pengadil Itali, Pierluigi Collina tidak membantu meningkatkan mutu perlawanan malah dia membiarkan Belgium berleluasa dengan rempuhan yang keterlaluan.

Cuma dua pemain dihukum dengan kad kuning _ Lorenzo Staelens dan Eric Deflandre yang baru masuk enam minit ke padang untuk menggantikan Bertrand Crasson.

Penjaga gol Belanda, Edwin Van Der Sar seperti tidak diuji langsung dalam 45 minit pertama setelah penyerang Belgium seakan kurang berminat untuk mengasaknya.

Penantiannya cuma berakhir selepas 50 minit permainan apabila rembatan kilat Luc Nilis hampir memerangkapnya.

Belanda yang bermain dengan 10 orang selepas kehilangan Kluivert, tetap menambah asakan ke atas lawan tetapi hujan yang turun terus mengiringi kehampaan mereka untuk berpuas hati berkongsi satu mata dengan Belgium. _ AFP.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JvtVXzgY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan