Ahad, 11 September 2016

Kerajaan ambil alih matrikulasi di IPTA

ARKIB : 16/06/1998
Kerajaan ambil alih matrikulasi di IPTA
KUALA LUMPUR 15 Jun - Kementerian Pendidikan akan mengambil alih semua program pengajian matrikulasi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) secara berperingkat apabila persediaan ke arah proses itu selesai dilakukan.

Keputusan itu dibuat apabila kementerian mendapati bilangan pelajar yang memohon mengikuti kursus berkenaan semakin bertambah dari setahun ke setahun.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa kini kementerian sedang melakukan pelbagai persediaan untuk mengendalikan program matrikulasi di sekolah menengah terkemuka dan kolej swasta.

Menurutnya, dengan keputusan itu, IPTA tidak perlu lagi mengendalikan program matrikulasi dan boleh memberi tumpuan penuh kepada pengendalian kursus ijazah pertama dan lanjutan.

''Pada prinsipnya, IPTA tidak seharusnya mengendalikan program matrikulasi kerana program itu sama dengan program tingkatan enam.

''Program tingkatan enam pula pada asasnya bukan di bawah tanggungjawab IPTA. Jika kita memperluaskan pusat matrikulasi dalam kampus IPTA, langkah itu akan mengenepikan tanggungjawab dan kemampuan universiti mengendalikan kursus ijazah pertama dan lanjutan.

''Sedangkan itu adalah tanggungjawab utama universiti. Saya harap orang ramai faham mengapa kementerian tidak menggalakkan perkembangan pusat asasi sains atau matrikulasi dalam kampus IPTA,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'New Technologies dan English Language Teaching 1998' di sini hari ini.

Seminar dua hari anjuran Jabatan Bahasa Universiti Malaya (UM) itu dihadiri kira-kira 50 peserta dari 10 negara. Turut hadir Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Abdullah Sanusi Ahmad dan Dekan Fakulti Pendidikan UM, Datin Dr. Rahimah Ahmad.

Mengulas tempoh masa persediaan ke arah mengambil alih program itu, Najib berkata: ''Kita tidak boleh mengambil alih program itu serta-merta. Masa peralihan perlu terutama dalam menyediakan guru terlatih termasuk melengkapkan infrastruktur mencukupi di sekolah terlibat.''

Selain itu, beliau turut menjelaskan, pensyarah di IPTA tidak berminat mengajar kursus matrikulasi kerana tugas itu mengurangkan masa mereka membuat penyelidikan dalam bidang masing-masing.

''Masa pensyarah menjalankan kajian termasuk menulis jurnal terhad sedangkan tahap intelektual dan penilaian prestasi mereka oleh pihak universiti berdasarkan hasil kerja itu,'' katanya.

Pada sidang akhbar itu juga, Najib berkata, kementerian akan membuat pengumuman penting berkaitan reformasi pendidikan di negara ini apabila sudah bersedia.

Menurutnya, reformasi itu akan dilakukan secara menyeluruh dan berperingkat sehingga tahun 2002.

''Ia akan dilakukan secara teratur, terancang dan tidak dilaksanakan tergesa-gesa. Agenda kepada reformasi itu pula melibatkan aspek penilaian, kurikulum, penggunaan teknologi serta beberapa perubahan pada sistem peperiksaan,'' katanya.

Beliau turut membayangkan akan melakukan perubahan pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan beberapa perubahan lain yang akan diumumkan apabila kementerian sudah bersedia.

''Saya akan membuat beberapa pengumuman dari semasa ke semasa mengenai usaha kita menjurus ke arah reformasi pendidikan yang menyeluruh melibatkan proses pembelajaran dan pengajaran,'' katanya.

Oleh: ROHANA MAN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4JvxxoC8E © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan