Ahad, 11 September 2016

England selesa


 

ARKIB : 16/06/1998
England selesa
MERUSUH...Sekumpulan penyokong England bergaduh dengan para remaja tempatan di sebatang jalan raya berhampiran pelabuhan lama Marseille awal pagi semalam selepas England mencatat kemenangan 2-0 ke atas Tunisia pada perlawanan kumpulan G Piala Dunia. - Gambar Reuters.

MARSEILLE, Perancis - Dua jaringan pada penghujung separuh masa pertama dan kedua memberi kemenangan selesa England 2-0 ke atas Tunisia pada perlawanan kumpulan G bola sepak Piala Dunia, semalam.

Ketua pasukan, Alan Shearer menyumbat gol pembukaan pada minit ke-42 separuh masa pertama untuk meletakkan England 1-0 di hadapan.

Graeme Le Saux menguis bola melepasi dua pemain pertahanan Tunisia dan penyerang Newcastle itu menanduk masuk untuk golnya yang ke-19 dalam perlawanan antarabangsa.

Paul Scholes pula menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-89 menerusi tendangan dari jarak 16 meter untuk meletakkan England dalam keadaan yang lebih selesa.

Bagaimanapun, jelas persembahan skuad yang dibimbing oleh Glenn Hoddle itu masih jauh untuk meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan pada kejohanan ini.

Penjaga gol Tunisia, Chorki El Ouaer boleh dianggap wira pasukannya dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya juara Piala Dunia 1966 itu.

Scholes seharusnya meletakkan England di hadapan pada minit ke-25 apabila melepaskan rembatan kencang dari jarak enam meter, tetapi bola percubaannya tepat dalam dakapan El Ouaer.

Enam minit kemudian, El Ouaer bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Teddy Sheringham yang melakukan tendangan dari luar kotak penalti.

Peluang keemasan datang lagi apabila Sheringham melakukan hantaran sempurna kepada Scholes, tetapi tendangan bintang Manchester United itu ditangkap kemas penjaga gol.

Tunisia turut mempunyai peluang hanya empat minit selepas permainan bermula, apabila Adel Sellimi menghantar bola kepada Skander Souayah.

Souayah yang tidak diawasi pertahanan England melepaskan rembatan kaki kanan pada jarak 18 ela dari kotak penalti, tetapi tendangannya terkena Sol Campbell.

Sementara itu, kerancakan tidak sekadar di padang bola, tetapi turut membabitkan penyokong kedua-dua pasukan dalam insiden keganasan di luar stadium.

Sebelum perlawanan bermula, samseng bola sepak England melempar botol dan batu ke arah penyokong Tunisia.

Beribu-ribu peminat bola sepak cemas apabila sekumpulan penyokong England berhimpun di kafeteria berhampiran dan melempar botol ke arah orang ramai.

Penyokong kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, meninggalkan jalan raya bertaburan dengan tin, botol dan batu. Lapan orang ditahan polis dalam insiden berkenaan.

Lebih banyak kekecohan berlaku berhampiran stadium ketika perlawanan berlangsung dan penyokong Tunisia berhimpun beramai-ramai.

Polis menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan kekecohan sejurus Shearer menyumbat gol sulung. - AFP.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4Jvyoa0C2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan