Ahad, 11 September 2016

Penarikan Pusat jual beli abad ke-17

ARKIB : 17/06/1998
Penarikan Pusat jual beli abad ke-17
SAYA amat tertarik apabila membaca rencana yang ditulis oleh Godinho de Eredia mengenai perjalanan beliau melalui Sungai Muar, bermula dari Kuala Sungai Muar hingga ke Pekan Pahang.

Perjalanan yang dilalui oleh Godinho mengikut jalan darat merentas dari Laut Selat Melaka ke Laut China Selatan yang dibuat pada tahun 1613 itu, membuka mata para pedagang luar menggunakan laluan tersebut untuk membeli segala macam barang dagangan yang dikeluarkan dari penduduk tempatan. Contohnya cula badak, gading gajah, kayu laka, kayu gaharu, damar, bijih timah, emas dan sebagainya lagi.

Godinho memberitahu, perjalanan dari Kuala Sungai Muar ke Pekan melalui Sungai Muar dan Sungai Pahang itu iaitu pergi dan balik hanya memakan masa sekitar enam hari sahaja.

Di Kuala Sungai Muar, Gondinho de Eredia singgah bermalam beberapa hari di Kota Portugis yang didirikan di kuala sungai tersebut pada tahun 1604. Kota yang berbentuk tiga penjuru itu menghadap ke pantai laut dan juga arah Kuala Muar yang amat luas itu.

Di luar kota arah ke tebing kanan mudik Sungai Muar didirikan sebuah gereja. Inilah gereja pertama terdiri di negeri Johor.

Walaupun orang Melayu tidak senang dengan terdirinya gereja tersebut, mereka tidak berbuat apa-apa kerana mereka tidak mempunyai kekuatan untuk melawan penjajah Portugis yang menjadikan Kuala Sungai Muar sebagai pusat membeli barang-barang dagangan yang dikeluarkan dari sungai tersebut.

Kota di Kuala Sungai Muar itu merupakan pusat pertahanan bagi perjalanan, mengawal lalu lintas yang menggunakan jalan darat bagi menghubungkan Laut China Selatan dan Selat Melaka. Melaka telah menjadi bandar perdagangan bagi Portugis sejak tahun 1511.

Godinho juga mengambil kesempatan singgah di beberapa buah kampung Melayu yang terdapat di sepanjang Sungai Muar.

Dia singgah di Penarikan yang terletak di pertemuan hulu Sungai Muar dengan Sungai Jempol dan Sungai Serting. Di situ, Godinho dapat melihat orang-orang Melayu yang menjual berbagai-bagai jenis barangan tempatan seperti barang-barang yang disebut tadi.

Barang-barang dagangan yang diperdagangkan di Penarikan itu adalah dengan cara bertukar barangan. Barang-barang luar yang dibawa masuk ialah kain sutera, pinggan mangkuk dan lain-lain barangan. Cara jual beli ini telah berlaku begitu lama. Ini dibuktikan dengan catatan yang dibuat oleh Wan Ta Yuan pada tahun 1349.

Barang-barang yang diperdagangkan di Semenanjung Tanah Melayu pada waktu itu ialah kayu wangi, kapur barus, timah dan lain-lain hasil hutan.

Di Penarikan orang-orang yang berperahu dari arah Sungai Muar terpaksa masuk ke Sungai Jempol yang kualanya masuk ke Sungai Muar.

Di suatu tempat yang disebut Penarikan perahu-perahu terpaksa dinaikkan ke darat dengan cara ditarik oleh penduduk-penduduk tempatan yang mengambil upah.

Pada jarak kira-kira 100 meter perahu-perahu tersebut diturunkan pula ke Sungai Serting dan dari situ mengalir ke Sungai Pahang hingga ke Pahang.

Tempat menarik perahu sejarak 100 meter dari Sungai Jempol ke Sungai Serting itulah akhirnya dikenali sebagai Penarikan, mengambil sempena perahu-perahu yang ditarik bagi meneruskan perjalanan, sama ada dari Selat Melaka ke Laut China menerusi jalan darat dengan melalui aliran Sungai Muar dan Sungai Pahang.

Tempat yang bernama Penarikan tu terkenal kepada para pedagang luar, sama ada Portugis, Belanda, pedagang-pedagang dari Nusantara ataupun Cina dan India.

Pada bulan Ogos tahun lepas, saya cuba mengesan di mana letaknya Penarikan dengan bantuan seorang pemandu yang saya temui di Pekan Jempol, Mahmud.

Saya telah dibawa ke Sungai Jempol dan juga ke Sungai Serting. Rupa-rupanya daratan yang menghubungkan Sungai Jempol dengan Sungai Serting yang dikenali sebagai Penarikan itu betul-betul terletak di Kampung Bukit Laka. Di situ juga terletak Istana Hinggap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Di Bukit Laka, saya diperkenalkan oleh Mahmud dengan seorang penduduk di situ, Haji Omar Ahmad. Saya singgah di rumahnya. Dapat juga saya merasai lemang Bukit Laka yang memang terkenal enaknya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4JwrcGLxm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan