Ahad, 11 September 2016

Sekolah bestari prasarana mula dipasang November


 

ARKIB : 23/06/1998
Sekolah bestari prasarana mula dipasang November
PARA pelajar SMSKS sedang mengikuti pelajaran menggunakan telesidang yang turut ditunjukkan sempena Minggu Media '98 sekolah tersebut di Kuala Selangor, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Siti Hawa Ahmad berkata, kerja-kerja yang melibatkan penyediaan makmal-makmal komputer dan multimedia serta pemasangan kabel-kabel akan dijalankan secara berperingkat mengikut kesesuaian.

''Kelengkapan atau kemudahan fizikal untuk sekolah-sekolah bestari di seluruh negara akan mula dihantar dan dipasang secara berperingkat-peringkat bermula November ini.

''Walaupun sedikit perubahan dan penyesuaian dibuat berikutan peruntukan yang dikurangkan, sekolah bestari akan tetap beroperasi pada tarikh yang telah ditetapkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Media Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS) di Kuala Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Dr. Siti Hawa, untuk permulaan, kemudahan-kemudahan fizikal yang disediakan bagi sekolah-sekolah berkenaan mungkin tidak selengkap dan secanggih yang diharapkan.

''Mungkin buat permulaan kita tidak dapat menyediakan kemudahan 100 peratus sempurna sebagai sekolah bestari kerana ia memerlukan peruntukan yang besar dalam keadaan ekonomi sekarang.

''Bagaimanapun, kita tidak perlu menunggu sehingga semua kemudahan sempurna untuk melaksanakan sekolah bestari kerana ia boleh beroperasi secara berperingkat dan sedikit demi sedikit,'' katanya lagi.

Sementara itu, beliau memuji inisiatif SMSKS mengadakan Minggu Media '98 kerana program tersebut mampu memberi gambaran dan persediaan awal kepada tenaga pengajar, pelajar dan pihak sekolah tentang konsep sekolah bestari.

''Pendedahan seperti ini amat digalakkan oleh kementerian di dalam menuju era sekolah bestari kerana bukan sahaja warga sekolah, malah ibu bapa serta masyarakat sekeliling turut dikenalkan dengan konsep sekolah berkenaan.

''Di samping itu, ia dapat mendekatkan diri guru dan para pelajar dengan penggunaan multimedia sebagai satu alternatif di dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah,'' kata Dr. Siti Hawa lagi.

Tambahnya, program tersebut sesuai juga diadakan sebagai acara tahunan kerana ia merupakan satu usaha yang dapat menggalakkan pelajar membangunkan daya kepimpinan masing-masing.

''Dengan mengatur dan mengendalikan program sendiri, para pelajar dapat meraih pengalaman dan pengetahuan yang tidak boleh dipelajari di dalam kelas di bidang kepimpinan,'' katanya.

Oleh: NOOR AZMAH IBRAHIM

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4JzzEPshw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan