Ahad, 11 September 2016

SELAYANG PANDANG

ARKIB : 21/06/1998
SELAYANG PANDANG
Pada waktu yang sama, akan beredarlah surat layang, buku menghentam pemimpin selain khabar angin terbaru tentang pelbagai personaliti dalam UMNO. Kilang gosip bekerja lebih masa pada saat-saat seperti ini. Di perkarangan PWTC, selain kain batik, ayat-ayat suci al-Quran dan cencaluk, buku mengenai pelbagai andaian krisis kepimpinan UMNO kini dan akan datang laris macam goreng pisang panas.

Lagipun perhatian kali ini ialah mengenai isu nepotisme yang dibangkitkan oleh Datuk Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari sebelum perhimpunan agung itu.

Malah nepotisme tiba-tiba menjadi isu besar - siap dengan teori konspirasinya - serta telahan mengenai siapa di belakang Zahid atau siapa yang menjadi sasaran Zahid. Perwakilan UMNO dan sekian banyak pecacai dan penganalisis tidak bertauliah itu datang kali ini dengan pelbagai tafsiran apakah sebenarnya motif Zahid. Malah Zahid dituduh tidak wajar, berbahaya, ada udang di sebalik batu, bermotif tertentu, didalangi dan berkemungkinan akan memecah-belah UMNO.

Malah siapa pun yang bersedia melihat isu itu secara objektif akan dicurigai slant, pendirian malah kesetiaan mereka. Di tengah hirok-pikok itulah muncul suara kebijaksanaan dari orang muda sendiri - Datuk Hishammuddin Tun Hussein - orang kanan Zahid sendiri dalam wawancaranya dengan akhbar New Straits Times. Kata Hishammuddin, kenapa tidak lihat apa yang dibangkitkan itu secara ''sincere'' dan dengan ''good faith?'' (Perkataan asal dikekalkan supaya mengelakkan salah tafsiran atau tuduhan sengaja mengadakan istilah). Katanya lagi, isu itu menjadi begitu sensitif hingga mana-mana pihak yang secara jujur mahu membahaskannya menjadi takut.

Malah lebih penting lagi Hishammuddin berkata, Pergerakan Pemuda UMNO diwakili oleh orang-orang muda. Maka adalah menjadi tanggungjawab "ayah-ayah'' dalam parti untuk memberi tunjuk ajar sekiranya mereka membuat kesilapan.

Memang isu itu seperti yang diduga dibangkitkan dalam Perhimpunan Pemuda. Tetapi sesuai dengan budaya UMNO, ia nampaknya ditangani dengan waras dan penuh beradap. Tidak berlaku ''pertumpahan darah'' seperti yang mahu dilihat oleh banyak pecacai politik di luar. Zahid sendiri bercakap tentang tuntutan reformasi yang sebenarnya mengambil semangat dari mauduk amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tahun lalu.

Zahid juga menyentuh perlunya sebarang kelemahan dalam parti, sekiranya ada, diperbetulkan sendiri dari dalam. Mengambil ungkapan Inggeris, masalah, sekiranya ada, tidak patut disapu di bawah tikar. Malah tentulah lebih menyakitkan kalau kelemahan itu ditonjolkan oleh orang lain yang tidak bertanggungjawab atau tidak ada kena-mengena dengan UMNO.

Malah perbahasan mengenai ucapan Zahid itu berjalan dengan penuh tertib. Agaknya mesej Presiden parti bahawa pembahas atau pembicara harus bertanggungjawab ke atas sebarang ke-nyataan mereka terdengar jelas. Mereka banyak membahaskan isu, memberi cadangan dan secara terbuka berhasrat melakukan penilaian diri.

Banyak cadangan dari Pergerakan Pemuda yang munasabah dan patut diberi perhatian. Sepanjang perdebatan, sebagai anak mereka sedar bahawa suara mereka harus juga didengar. Mungkin terserlah juga kebijaksanaan dari sekian banyak pandangan yang dikemukakan. Sesuai dengan tradisi UMNO, yang muda memberi pandangan, yang tua mendengar, yang tua menasihat, yang muda mencari iktibar.

Tidak ada salahnya Pemuda menyatakan pandangan dari bawah kerana Pemuda harus menjadi suara dan hati nurani rakyat. Hanya dengan itu Pemuda akan dianggap relevan. Lagipun Pemuda yang dihinggap sindrom bisu tidak ada gunanya pada UMNO.

Pemuda di tangan Zahid memang mula mengaum tetapi meminjam Lidah Pengarang Utusan Malaysia dua hari lalu, apakah ngauman itu ada manfaatnya pada parti, tentu pimpinan dan ahli parti sahaja yang boleh menilainya.


ISU PRESIDEN DAN TIMBALANNYA
KADANGKALA ahli-ahli UMNO sendiri tidak berlaku adil pada pemimpin mereka. Sekian banyak pecacai dan penganalisis tidak bertauliah di luar sana sebenarnya tidak akan mendapat tempat sekiranya ahli-ahli UMNO mengetepikan mereka.

Tetapi surat layang nampaknya mempunyai martabat, buku yang tidak bertanggungjawab mendapat perhatian dan gosip tentang perpecahan pemimpin diberi legitimasi. Kali ini, masalah di antara Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya menenggelamkan isu yang lebih besar - soal kegawatan dan cara menanganinya. Juga amanat penting dari Presiden UMNO sendiri.

Pada hari Jumaat lalu, Presiden dan Timbalannya sekali lagi harus berdepan dengan rakyat dan ahli UMNO untuk menyatakan pendirian masing-masing tentang satu sama lain. Kata Dr. Mahathir, kalau Anwar dicabar, dia akan menyokong Anwar. Anwar pula menangkis cakap-cakap bahawa dia akan menentang Dr. Mahathir. Malang sekali orang UMNO lebih suka melihat 12 bulan ke hadapan kerana pertandingan yang dijangka hebat. Medan tempurnya nampaknya sudah bermula dalam perhimpunan kali ini. Banyak yang tidak mahu mengingat amanat Presiden bahawa sudah masuk 12 bulan Malaysia dilanda kegawatan ekonomi.

Dua belas bulan yang lalu memberikan keadaan yang sama sekali di luar jangkaan banyak orang. Tiada siapa yang menyangka bahawa pasaran saham kita menjunam dan ringgit kita hilang upayanya. Memang 12 bulan yang lalu penuh peristiwa, suspens dan kerisauannya.

Senario yang dibayangkan oleh Dr. Mahathir mengenai penguasaan mutlak Barat dan penjajahan baru memang perlu diambil serius. Dr. Mahathir menjadi tidak popular di luar kerana keberaniannya menyatakan kebenaran. Kebenaran memang menyakitkan. Beliau memerlukan bantuan. Sendirian, beliau tidak akan boleh berbuat banyak. Maka itu orang UMNO harus ''kembali ke asal.'' Persoalan di hadapan orang UMNO cukup hebat dan menakutkan. Menanganinya memerlukan kekuatan. Kekuatan hanya datang dari perpaduan. Bersatu UMNO kukuh bercerai UMNO roboh.

Orang UMNO sebenarnya boleh memilih untuk melayan surat layang dan tohmahan, juga sekian banyak teori konspirasi mengenai kedua-dua pemimpin mereka. Atau membantu Presiden dan Timbalannya meneruskan perjuangan yang belum selesai.


ARTIS JUAL IKAN MASIN
JANGAN ambil mudah kegawatan ekonomi. Lihat sahaja apa yang berlaku di Indonesia. Artis jelita Marrisa Haque dan suaminya Ikang Fawzy kini menjual ikan masin di sekitar kawasan perumahan mereka.

Tanpa segan silu celebrity terkenal dunia hiburan Indonesia itu bertanya, ''Mahu usaha apa lagi?'' Terus terang beliau berkata, ini bukan masanya membuat drama. Kosnya tinggi. Lagi pula tiada stesen TV yang bersedia membelinya.

''Saya terpaksa melakukan apa saja kerja asalkan halal,'' katanya.

Bukan usaha pembikinan filem sahaja yang terjejas tetapi syarikat pembinaan suaminya juga turut bermasalah besar. Buat sementara ini bintang paling glamour di negara jiran itu membuat kerja yang tidak pernah mereka mimpikan.

Zaman susah buatlah cara susah. Bukankah itu cara terbaik?

- Oleh: JOHAN JAAFFAR E-mail johan@utusan.com.my




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4Jzk4SABx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan