Ahad, 11 September 2016

Habibah arkib Negara bukan tempat barang lama

ARKIB : 23/06/1998
Habibah arkib Negara bukan tempat barang lama
Walaupun sesetengah orang kurang menyedari kepentingan bahan-bahan tersebut disimpan, bagi Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Habibah Zon, pemeliharaan bahan bukti tamadun atau kejadian itu perlu dilakukan supaya ia terus utuh melewati garis waktu.

''Negara atau bangsa yang tidak mempunyai sejarah adalah satu bangsa yang tidak bertamadun dan tidak akan kekal lama kerana untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang kita perlu belajar daripada sejarah lalu.

''Tanpa sejarah, mereka tidak dapat membuktikan adanya kesinambungan kemajuan tamadun yang telah dicapai sejak berabad-abad lamanya hinggalah sekarang,'' tegasnya.

Ini sekali gus menolak anggapan ramai bahawa Arkib Negara hanyalah sebagai tempat untuk menyimpan 'barang lama'.

Sebaliknya ia mengandungi khazanah tinggalan tamadun terdahulu yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Tidak hanya terhad menyimpan bahan-bahan seperti naskhah lama, Arkib Negara turut menyimpan segala dokumen, fail, peta, laporan, gambar dan penerbitan agensi kerajaan, swasta dan orang perseorangan.

''Sesetengah orang hanya menganggap Arkib sebagai tempat menyimpan barang lama yang hanya digunakan untuk tujuan penyelidikan. Tetapi mereka lupa bahawa tujuan penyelidikan dibuat untuk mengetengahkan perkara baru yang berfaedah untuk kegunaan masa depan,'' katanya kesal.

Beliau memberi contoh di negara Barat di mana bahan-bahan dan dokumen bersejarah milik negara disimpan rapi untuk rujukan akan datang.

Dalam memperkatakan tentang pentingnya bahan-bahan ini dipelihara dan disimpan, kerisauan jelas terbayang di wajah Habibah ketika memperkatakan kesan 'pelanggaran' teknologi moden ke atas usaha-usaha penyimpanan dokumen penting milik negara pada masa kini untuk rujukan akan datang.

''Kita sekarang mengalami perkembangan teknologi moden, tidak terkecuali Arkib Negara. Walaupun itu satu perkembangan yang baik namun ia merisaukan saya kerana adakah bahan yang diwujudkan melalui teknologi ini akan kekal?

''Adakah ia masih boleh digunakan dan dirujuk kembali pada masa akan datang sedangkan perisian dan peralatan komputer setiap saat semakin berkembang dengan penciptaan terbaru?'' soalnya.

Katanya, jika dahulu semua surat arahan daripada pemimpin penting kerajaan dibuat dalam bentuk naskhah dan disimpan tetapi sekarang semuanya melalui e-mel yang lebih pantas dan cepat.

Semua arahan dalam bentuk naskhah boleh disimpan dan dikekalkan tetapi jika arahan dalam bentuk e-mel, ia boleh dimusnahkan dengan begitu cepat sehingga tidak ada bukti yang boleh ditinggalkan untuk tatapan generasi akan datang,'' kata Habibah.

Satu lagi masalah dengan teknologi baru ini ialah, disket atau CD Rom yang digunakan mempunyai jangka hayat yang pendek.

Jika pun disket yang menyimpan segala maklumat boleh disimpan dalam masa 10 tahun, adakah jaminan bahawa semua maklumat tersebut boleh dibuka memandangkan tiada peralatan yang sesuai digunakan kerana teknologi komputer sentiasa berkembang dengan pesat.

''Sanggupkah orang perseorangan atau setiap jabatan mengalih setiap satu bahan ini kepada bentuk yang lain kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi,'' katanya.

Sehubungan itu, Habibah menyeru agensi kerajaan dan swasta memastikan semua maklumat melibatkan dasar serta yang dikira penting dibuat satu salinan dalam bentuk naskhah bertulis untuk simpanan.

''Pada saya, walaupun maklumat tersebut disimpan dalam bentuk terkini tetapi mesti ada satu salinan dalam bentuk naskhah untuk memastikan ia tidak musnah.

''Telah terbukti dan diakui oleh setiap arkib di seluruh dunia bahawa tidak ada satu teknologi pun yang dapat menandingi rekod penyimpanan maklumat dalam bentuk naskhah tulisan dan mikrofilem kerana ia akan kekal dan dijamin tidak berubah,'' kata Habibah.

''Contohnya, rekod-rekod dalam bentuk naskhah bertulis di atas kertas, daun dan kulit mengenai tamadun terdahulu masih utuh dan dapat dibaca sehingga kini setelah melalui proses pengawetan supaya ia tidak musnah.

''Teknologi komputer perlu diikuti dan dipelajari untuk mengurus dan mendapatkan maklumat, tetapi untuk penyimpanan maklumat lebih sesuai dalam bentuk naskhah dan mikrofilem,'' tegas anak kelahiran Perak ini.

Dengan adanya rekod bertulis, bahan-bahan tersebut dapat dirujuk jika kejadian yang sama berulang kembali untuk mengetahui tindakan yang diambil bagi menangani perkara tersebut. Contohnya kejadian 13 Mei 1969 atau kegawatan ekonomi pada tahun 80an lalu.

''Jika terjadi kembali perkara tersebut seperti kegawatan ekonomi sekarang, kita ada bahan rujukan terdahulu sebagai panduan menanganinya,'' katanya.

Menyandang jawatan Ketua Pengarah sejak 1995, Habibah kini sedang gigih berusaha untuk merealisasikan wawasannya untuk menjadikan Arkib Negara sebagai institusi paling canggih yang dapat menyimpan dan memelihara bahan bersejarah negara pada abad akan datang.

Ini termasuk perancangan untuk membina sebuah pusat pemeliharaan rekod serta pusat latihan untuk arkivis supaya negara mempunyai pakar-pakar dalam pemeliharaan dokumen bersejarah ini.

Menurut Habibah, Arkib kini menyimpan banyak dokumen-dokumen penting dahulu dan sekarang. Jika disusun kesemuanya, panjangnya menjangkau 20 kilometer.

''Arkib sedang mengesan banyak lagi naskhah-naskhah seperti surat dan catatan harian yang menceritakan tentang kerajaan Melayu lama, terutama Melaka, yang tersimpan di seluruh dunia.

''Untuk tujuan tersebut, Arkib menghantar pegawai-pegawai ke luar negara seperti China, Belanda, Portugal dan United Kingdom untuk membawa balik naskhah-naskhah tersebut untuk disimpan di Arkib,'' katanya.

Menurut Habibah, usaha tersebut perlu dilakukan kerana ketamadunan dunia Melayu tidak mempunyai banyak bukti bertulis kerana ia banyak berkembang melalui penceritaan lisan.

Menyentuh tentang keluarganya, walaupun sibuk dengan kerja-kerja di pejabat, Habibah tidak pernah lupa tanggungjawab kepada suami dan anak-anak.

Waktu lapangnya digunakan untuk bermesra dan melakukan hobi bersama iaitu menyanyi serta memasak makanan sekeluarga.

Ibu kepada empat cahaya mata ini lebih senang menguruskan sendiri keperluan keluarganya kerana dengan cara tersebut hubungan yang terjalin akan lebih mesra lagi.

Oleh: NOR AZIAH JAAFAR

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4K00ZtCJv © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan