Ahad, 11 September 2016

Kejatuhan yen beri kesan berangkai

ARKIB : 23/06/1998
Kejatuhan yen beri kesan berangkai
KEJATUHAN mendadak nilai Yen Jepun dikhuatiri akan meranapkan usaha China mengekalkan pertumbuhan bagi memastikan kestabilan sosial.

Unjuran terhadap pertumbuhan lapan peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini adalah sesuatu yang sukar dicapai ketika kerajaan China berusaha mengekalkan nilai Yuan, nilai mata wang itu menjadi kurang kompetitif berbanding nilai mata wang negara-negara Asia Tenggara yang kini semakin lemah.

Beberapa pegawai, termasuk Gabenor Bank Pusat, Dai Xianglong, telah menyatakan kebimbangannya bahawa nilai Yen yang semakin lemah akan mempengaruhi pengguna negara itu dan menyulitkan persaingan barangan keluaran China ke seberang laut.

Chen Piaoru, Profesor ekonomi di East China Normal University berkata, kejatuhan nilai Yen akan menambah lagi tekanan terhadap usaha mengekalkan nilai Yuan.

''Kesan langsung yang akan dirasai membabitkan barangan eksport. Lemahnya nilai Yen akan menyulitkan lagi persaingan barangan berteknologi tinggi buatan China,'' katanya.

Seorang pegawai di sebuah firma tekstil di Shanghai yang enggan dikenali berkata, ahli perniagaan Jepun berkemungkinan akan mengurangkan atau menarik pelaburan mereka dari China.

''Saya percaya dengan kejatuhan nilai Yen Jepun, akibatnya terhadap eksport tekstil agak besar, ia berkemungkinan memberi kesan lebih buruk berbanding krisis di Asia Tenggara,'' tambah beliau.

China dan negara-negara Asia Tenggara terutamanya, bersaing untuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat tetapi sistem kuota eksport membantu China daripada terus menghadapi tekanan akibat kejatuhan nilai mata wang negara-negara Asia Tenggara.

Pada masa yang sama, akan wujud pula persaingan untuk pasaran Jepun.

Pegawai itu berkata, walaupun susutan nilai mata wang negara-negara Asia Tenggara agak ketara, China berupaya menanganinya dengan menambah rebat cukai keatas barangan eksport yang ditambah nilai.

''Rebat itu telah berupaya menampung kesan yang dirasai akibat kejatuhan nilai mata wang (negara-negara Asia Tenggara),'' katanya sambil menambah sehingga ini, tiada usaha berkesan dilaksanakan untuk menangani masalah kejatuhan nilai Yen.

Krisis Kewangan Asia turut mengheret eksport China dalam bulan Mei apabila nilainya berkurangan untuk kali pertama dalam jangkamasa 22 bulan sebanyak 1.5 peratus walaupun dalam jangka masa yang sama, eksport meningkat sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh yang sama 1997.

Kejatuhan nilai Yen akan memberi kesan keatas eksport China kerana Jepun ialah rakan dagang terbesar negara-negara Asia Tenggara.

Jepun menyumbang 18.7 peratus daripada keseluruhan dagangan China pada 1997.

Agensi berita Xinhua memetik Cheng Xiusheng, seorang ahli ekonomi yang berkhidmat dengan pusat penyelidikan pembangunan China sebagai menyatakan kebimbangannya akibat kejatuhan nilai Yen Jepun.

''Kesan negatif yang diakibatkan oleh krisis kewangan di Asia Tenggara telah mula mengugat ekonomi China dan kemelesetan ekonomi yang tidak dijangkakan di Jepun berkemungkinan akan mencetuskan satu krisis baru di Asia.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Hong Kong, Tung Chee Hwa mengesa Jepun mengambil langkah mengukuhkan nilai Yen dengan berkata, kejatuhan yang dramatik boleh mencetuskan semula krisis kewangan di Asia dan merosakkan ekonomi seluruh dunia.

Berucap dalam satu majlis, beliau memberitahu ahli perniagaan dan tokoh-tokoh akademik bahawa Jepun harus melakukan 'lebih banyak lagi' untuk menstabilkan krisis ekonomi di rantau itu.

''Tiada siapa harus mempersoalkan pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh Hong Kong dan tanah besar China untuk memastikan masalah kejatuhan nilai mata wang daripada berterusan.

''Saya tahu, kami di Hong Kong dan pemimpin di Beijing telah diminta oleh ramai dari seluruh dunia untuk mengekalkan kestabilan nilai mata wang kami.

''Bagaimanapun, usaha yang sama perlu dilakukan (oleh Jepun) untuk menstabilkan Yen,'' tegas Tung.

Selain pakej meransangkan ekonomi, kerajaan di negara yang kedua terbesar di dunia itu perlu membangunkan satu dasar yang mantap dalam menyusun dan meliberalkan sektor perbankan di Jepun.

Tung berkata, kestabilan Yuan dan dolar Hong Kong harus dikekalkan kerana kedua-duanya mampu menstabilkan mata wang di Asia.

Menurutnya, ini boleh dilakukan dengan menguatkuasakan reformasi dan menangani perkara-perkara yang mengakibatkan masalah.

''Kami kini sedang dalam proses penyusunan semula ekonomi dan hasilnya kelak mungkin berpanjangan dan menyakitkan.

''Kami mencatatkan pertumbuhan negatif dalam tempoh suku pertama tahun ini dan malangnya, ekonomi akan terus berada dalam keadaan sukar untuk jangkamasa akan datang.

''Dalam jangkamasa panjang, Hong Kong akan bermula daripada asas yang lebih rendah apabila pemulihan bermula. Ini akan membantu daya persaingan kami,'' jelas Tung.

Beliau turut menekankan bahawa Hong Kong akan terus mempertahankan hubungan dolar Hong Kong - Amerika Syarikat.

Nilai Yen jatuh ke paras paling rendah dalam jangkamasa lapan tahun minggu lalu. - Agensi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_06.htm#ixzz4K01QhSUu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan