Isnin, 12 September 2016

KLIA: Kebanggaan negara

ARKIB : 27/06/1998
HARI ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibuka dengan rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang sekali gus menjadikan lapangan terbang Malaysia ini antara yang terkemuka di dunia.

Kita patut bersyukur kerana pembinaan lapangan terbang ini tidak menghadapi banyak masalah dan halangan sungguhpun cabaran yang kita hadapi ialah dari segi tohmahan yang datang dari luar negara yang menyatakan ia merupakan projek gergasi Malaysia.

Sebenarnya kita memerlukan sebuah lapangan terbang untuk keperluan masa depannya, kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di Subang yang digunakan kini sudah tidak dapat menampung kadar penumpang yang semakin bertambah.

Pakar-pakar lapangan terbang berpendapat, Malaysia mencatatkan pertumbuhan penumpang antara 10 hingga 15 peratus setahun dan ia memungkinkan Subang tidak mampu lagi memikul tanggungjawab itu dan lapangan terbang ini tidak boleh dibesarkan lagi berikutan pembangunan yang pesat di kawasan pesekitarannya.

Walau apa pun orang lain kata, kita telah pun mempunyai lapangan terbang sendiri yang setanding dengan lapangan terbang antarabangsa yang terkemuka di dunia dan kalaupun kita tidak boleh bertanding dengan lapangan terbang seperti Heathrow di London atau Kansai di Jepun, tetapi jika kita bandingkan dengan Changi di Singapura dan di Bangkok kita boleh 'duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi' dengan mereka.

Kita juga patut bersyukur kerana ia dapat disiapkan sebelum kegawatan ekonomi menimpa negara kita dan jika pembinaannya belum lagi dapat disiapkan sehingga kini, kemungkinan kos pembinaannya akan meningkat sekali ganda kerana ada bahan-bahan pembinaan serta perunding yang kita terpaksa import dari luar negara.

Kesyukuran ini ditambah lagi kerana segala perbelanjaan membina lapangan terbang ini adalah daripada dana dalam negeri tanpa perlu kita meminjam daripada pihak asing.

Jika sekiranya kita meminjam daripada pihak asing ia sudah tentu membebankan negara terutama sekali pada masa kini semasa negara menghadapi krisis penurunan nilai mata wangnya berbanding dolar Amerika.

Kita juga patut berbangga kerana KLIA dapat disiapkan sebelum negara kita menjadi tuan rumah bagi Sukan Komanwel ke-16, sukan kedua terbesar di dunia yang akan diadakan di negara ini pada bulan September nanti.

Satu lagi yang patut kita sama-sama menerima hakikat ialah hampir kesemua perancang pembinaan serta arkitek lapangan terbang ini adalah terdiri daripada kalangan rakyat tempatan dan sesungguhnya ia memberikan satu pemindahan teknologi kepada rakyat tempatan untuk melaksanakan projek yang lebih besar lagi.

Sesungguhnya, KLIA adalah projek infrastruktur yang paling tinggi pelaburannya setakat ini dan kita sebagai rakyat Malaysia patut bermegah atau berbangga dengan corak pembinaan serta kelengkapan yang disediakan di lapangan terbang itu untuk membawa kita ke alaf baru dalam industri penerbangan.

Pembinaannya membabitkan 300 kontraktor melibatkan 25,000 pekerja dan sebahagian besar daripada bahan binaannya menggunakan kemudahan tempatan.

Pembukaan KLIA yang menjadi pintu masuk pengangkutan udara Asia mempunyai banyak manfaatnya kepada pendapatan negara kita kerana setiap pesawat yang mendarat dan berlepas adalah satu lagi punca pendapatan kepada kita.

KLIA mampu menempatkan lebih 80 kapal terbang pada sesuatu masa dan ruang meletak kapal terbang ini boleh ditingkatkan lagi melalui program pembesaran yang akan dijalankan pada masa akan datang.

Di samping itu, KLIA juga mampu mengendalikan kira-kira 8,000 penumpang pada sesuatu masa dan kalau dikira secara tahunan ia mampu mengendalikan kira-kira 25 juta penumpang dan ia boleh ditingkatkan sehingga 60 juta orang jika beroperasi sepenuhnya.

Sesungguhnya, lapangan terbang ini boleh dijadikan satu lagi sumber pendapatan baru bagi negara kerana setiap operasinya boleh mendatangkan sumber kewangan negara ini dan lebih-lebih lagi pada masa kini di mana negara sedang menghadapi masalah kegawatan ekonomi dan masalah nilai mata wang.

Dalam pada itu juga apa yang boleh dibanggakan dengan KLIA ialah kita mampu meningkatkan kedatangan pelancong asing ke negara ini kerana kita tidak perlu bimbang lagi dengan masalah penerbangan tidak cukup atau lain-lain sebab yang membantutkan kedatangan pelancong ke negara ini.

Dengan kemudahan lapangan terbang yang canggih dan pusat pendaratan yang mampu menampung kapal terbang yang besar, Malaysia kini menjadi pusat penerbangan terkemuka di rantau ini kerana kita tidak bimbang untuk menerima kedatangan kapal terbang yang lebih besar ke negara ini kerana kita mempunyai kemudahan yang diperlukan.

Satu lagi yang perlu diperkatakan tentang kemunculan KLIA ini, kita perlu memandang ke hadapan dalam arah dan tujuan industri penerbangan kita dalam menghadapi alaf akan datang.

Ini kerana industri penerbangan mencapai tahap cabaran yang getir antara satu sama lain kerana masing-masing ingin menonjolkan peranan tersendiri di samping menyediakan kemudahan yang bertaraf antarabangsa.

Industri penerbangan bukan sekadar pendaratan kapal terbang dan berlepasnya sebuah kapal terbang tetapi apa yang perlu kita lihat ialah industri penyelenggaraannya, kejuruteraan, baik pulih, pembuatan kapal terbang, kemudahan pengangkutan dan sampingan dan tenaga manusia yang terbabit.

Sesungguhnya ia memberikan satu nafas baru bagi negara dalam menyuburkan industri berkaitan dengannya dan tidak lupa juga ia merupakan cabaran kepada kaum bumiputera bahawa mereka perlu merebut peluang dalam bidang ini supaya mereka setanding dengan yang telah menceburi bidang ini sudah begitu lama.

Bagi kaum bumiputera kita tidak seharusnya leka dengan kecanggihan KLIA yang serba canggih dan terkemuka ini tetapi apa yang perlu dilihat ialah usaha kita untuk merebut peluang yang ada sebagai sumber baru untuk mempertingkatkan ekonomi.

KLIA memerlukan sokongan untuk berkembang dengan lebih pesat lagi pada masa akan datang.

Sepang tidak harus berbangga dengan KLIA sahaja tetapi mereka perlu merebut peluang yang boleh diceburi di sekitarnya seperti perniagaan makanan, perhotelan, pengangkutan, perumahan, kompleks membeli-belah dan seribu macam perniagaan lagi yang boleh dicetuskan.

Kita tidak harus cemburu apabila orang lain mengecapi nikmat pembukaan KLIA ini kerana mereka sudah tahu apa yang KLIA inginkan dan inilah masa untuk menyediakan segala keperluan ini.

Ini kerana KLIA adalah satu lagi destinasi baru yang akan pesat berkembang dan perkembangan ini adalah sejajar dengan pesatnya kedatangan para penumpang pesawat yang datang dari satu masa ke satu masa yang lain.

Sepang akan menjadi sebutan dunia kerana ia merupakan pusat pertukaran bangsa dari merata dunia dan sesiapa yang tiba di Sepang sudah pastilah mahukan sesuatu yang dapat memberikan layanan yang baik untuk menjadi kenangan mereka pada masa akan datang.

Sesungguhnya ia bukanlah satu kerja yang mudah dan ia bukanlah sukar sangat untuk kita mencapainya kerana apa yang penting ialah kita berfikir mengikut keperluan dan perancangan yang teliti kerana kesemuanya bergantung kepada kita semua.

Oleh: ABDUL RAZAK DIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4K1avjfsn © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan