Isnin, 12 September 2016

PANGGUNG NEGARA SEBAGAI INSTITUSI BUDAYA

ARKIB : 27/06/1998
PANGGUNG Negara, bangunan yang berkonsep sirih junjung di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur akan mula digunakan seawalnya Julai ini. Gagasan, gerakan dan perdebatan tentang pentingnya sebuah panggung bertaraf nasional telah dimulakan lebih 15 tahun lalu.

Sejak lebih 15 tahun lalu, kalangan penggiat budaya, karyawan dan seniman mengemukakan hujah tentang peri pentingnya sebuah prasarana yang menjadi landasan tamadun ilmu dan seni.

Panggung Negara akhirnya menjadi kenyataan sekalipun kos pembinaannya terus meningkat dari semasa ke semasa. Keprihatinan kerajaan untuk mengimbangi antara tuntutan kemajuan fizikal dengan hal-hal yang bersifat spirituil memang wajar diberi pujian. Kos terakhir Panggung Negara ialah RM206 juta berbanding sebelum ini hanya RM160 juta.

Sebenarnya Panggung Negara yang memiliki seni bina yang unik menggabungkan elemen tradisi dan kontemporari ini mencatatkan banyak fakta menarik lagi menakjubkan. Antaranya bangunan ini dengan kelengkapan teknologi terkini adalah antara sepuluh panggung terbaik di dunia.

Dari segi kapasiti, Panggung Negara adalah yang terbesar di dunia apabila boleh menampung 1,500 penonton pada satu-satu masa. Ini yang pertama di dunia.

Dengan fakta-fakta ini Malaysia telah memiliki sebuah prasarana yang lengkap dan moden bagi mendorong kegiatan bercorak kesenian.

Bagaimanapun satu perkara yang perlu diingat ialah Panggung Negara tidak dapat berdiri sendiri segagah fakta yang bertaraf dunia dari segi fizikalnya sahaja.

Panggung Negara yang menelan belanja sebesar itu perlu disokong oleh tradisi seni, ilmu dan pemikiran untuk meletakkan ia benar-benar bertaraf dunia.

Panggung Negara memerlukan produk seni yang relevan dengan fungsi bangunan ini sebagai sebuah institusi seni dan budaya serta boleh mencerminkan identiti negara ini.

Ia memerlukan pengisian sekurang-kurang 200 hari persembahan dalam setahun. Ini yang membuatkan banyak pihak yang berasa sedikit khuatir apakah organisasi seni dan budaya tempatan telah bersedia memenuhi keperluan sebesar itu. Inilah pentingnya gagasan awal lebih 15 tahun. Gagasan itu sebagai satu isyarat awal supaya Panggung Negara tidak tercari-cari produk seni.

Dalam jangka masa itu Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan (dulu Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan) perlu menggerakkan secara proaktif untuk membina landasan tamadun seni kalangan masyarakat dan penggiat seni.

Sewajarnya masyarakat telah bersedia dan tidak perlu lagi kerja-kerja mencipta penonton seperti pendekatan yang dilakukan sekarang.

Di mana ukuran tradisi seni dan budaya yang menunjangi Panggung Negara kalau persembahan terutama teater masih di peringkat amatur, mengumpan dengan celebrity dan mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada kerajaan?

Tetapi ini bukanlah matlamat asal yang diperdebatkan lebih 15 tahun lalu mengenai Panggung Negara. Institusi ini bukanlah sumber pelancongan yang melulu sekalipun sememangnya menarik pelancong. Yang penting Panggung Negara bukan sahaja digeruni kerana kecanggihan teknologi tetapi juga produk yang berjiwa Malaysia.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4K1c6T5Sk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan