Ahad, 11 September 2016

Kabinet arah tamatkan tajaan Carlsberg

ARKIB : 25/06/1998
KUALA LUMPUR 24 Jun - Jemaah Menteri hari ini mengarahkan Sukom Ninety Eight Berhad (Sukom) menamatkan kontrak penajaan Carlsberg Brewery (M) Bhd. bernilai RM5 juta bagi Sukan Komanwel XVI (Kuala Lumpur '98), berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat mingguan kabinet dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat berhubung isu berkenaan yang dibangkitkan pada bulan lalu.

Katanya, adalah wajar kontrak penajaan berkenaan ditamatkan kerana isu tersebut telah dibangkitkan oleh masyarakat umum dengan melibatkan soal kepentingan umum.

Oleh itu, jelasnya soal penajaan Carlsberg dalam Kuala Lumpur '98 kini dianggap selesai dan tidak harus diperbesarkan lagi.

''Kabinet telah membincangkan isu berkenaan dengan panjang lebar dan keputusan yang dibuat adalah demi kepentingan semua pihak,'' katanya selepas pelancaran logo Liga Sukan Untuk Semua di pejabatnya di sini, hari ini.

Tambah Muhyiddin, Pengerusi Eksekutif Sukom, Jen (B) Tan Sri Hashim Mohd. Ali sudah dimaklumkan berhubung keputusan kabinet untuk tindakan selanjutnya.

''Saya juga mengarahkan supaya Sukom memaklumkan kepada Carlsberg mengenai keputusan kabinet,'' tegasnya.

Isu penajaan Carlsberg dalam Kuala Lumpur '98 menjadi kontroversi apabila iklan yang mempromosikan temasya empat tahun sekali itu pada badan bas dan teksi turut memuatkan nama syarikat berkenaan.

Sehingga hari ini, perkataan ''Carlsberg'' dalam iklan berkenaan pada sesetengah bas dan teksi sudah dipadamkan.

Bagaimanapun, sebelum ini Sukom dan syarikat berkenaan menyifatkan tindakan penajaan itu tidak melanggar mana-mana peraturan ataupun mempromosikan minuman keras.

Malah, sebelum ini Hashim ketika diminta mengulas berhubung isu berkenaan turut meminta agar perkara itu tidak perlu diheboh-hebohkan kerana menganggap syarikat berkenaan sama dengan syarikat rokok yang dibenarkan iklan mereka dipamerkan.

Tambah Muhyiddin, Sukom bakal kehilangan RM5 juta dengan pembatalan kontrak penajaan berkenaan tetapi kabinet beranggapan ia tidak akan menjejaskan kemeriahan Kuala Lumpur '98.

Beliau menambah, Sukom kini harus menjalankan proses pembatalan kontrak berkenaan dengan mengikut prosedur undang-undang agar tiada sebarang implikasi kelak.

Muhyiddin menegaskan, beliau telah memberi pandangannya secara terperinci dalam mesyuarat kabinet hari ini dan keputusan berkenaan adalah yang terbaik demi kebaikan bersama.

''Masih ada cara lain untuk menambah wang penajaan dan berharap pengurusan Sukom '98 akan mengatasinya,'' jelas beliau.

Oleh: BAKARUDIN BUSU

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_04.htm#ixzz4K18oBbG0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan