Ahad, 11 September 2016

Daim dilantik menteri -- Bertanggungjawab ke atas pembangunan ekonomi

ARKIB : 25/06/1998
KUALA LUMPUR 24 Jun - Tun Daim Zainuddin hari ini kembali menganggotai kabinet apabila beliau dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri yang ''dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas berhubung perkara-perkara pembangunan ekonomi''.

Satu kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang mengumumkan pelantikan itu petang ini menyatakan Daim, 60, bekas Menteri Kewangan dari tahun 1984 hingga 1991, akan mengangkat sumpah jawatan pada pukul 9.30 pagi Jumaat ini di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Kenyataan enam perenggan itu, yang dikeluarkan hanya beberapa jam selepas Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, juga mengumumkan pelantikan Tan Sri Kasitah Gaddam dari Sabah sebagai Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Osu Sukam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memberitahu para pemberita kemudiannya bahawa tugas Daim sebagai menteri ialah khusus untuk menangani kegawatan ekonomi secara menyeluruh.

Dr. Mahathir berkata, pelantikan Daim itu adalah antara lain supaya beliau dapat menjelaskan kepada kabinet mengenai segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) .

''Banyak keputusan dan penyelidikan MTEN yang dibentangkan dalam kabinet perlu penjelasan dan beliau sebagai menteri boleh memberikan penjelasan. Sebab itu dia dilantik,'' kata Dr. Mahathir ketika bercakap kepada para pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.

Menurut beliau, Daim selaku Pengarah Eksekutif MTEN juga mendapati susah untuk menjalankan tugas kerana ''kalau kita hantar dia ke luar negara, dia tak dapat berjumpa dengan menteri''.

''Dia cuma boleh berjumpa dengan pegawai sahaja kerana dia tidak bertaraf menteri,'' tambah beliau.

Dr. Mahathir bagaimanapun menafikan pelantikan Daim bertindih dengan peranan Kementerian Kewangan.

''Tidak. Kalau nak kira bertindih, menteri industri, menteri domestik, apa semua yang ada kaitan dengan ekonomi termasuk saya juga akan dianggap bertindih, tetapi tumpuan ialah kepada kegawatan ekonomi,'' ujarnya.

Beliau berkata, ini bermakna Daim akan mempunyai kementerian sendiri di JPM lengkap dengan kakitangan yang diperlukan.

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat perubahan dalam Bank Negara termasuk kemungkinan pelantikan Gabenor yang baru, Perdana Menteri berkata: ''Saya tak dengar pun. Mungkin anda tahu.''

Daim melepaskan jawatan Menteri Kewangan dalam kabinet Dr. Mahathir tujuh tahun lalu. Beliau digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan.

Daim, yang merupakan Ahli Parlimen kawasan Merbok dan Bendahari UMNO, sekarang ialah Pengarah Eksekutif MTEN iaitu badan perundingan yang ditubuhkan untuk membantu kerajaan menangani krisis ekonomi.

Jawatan Menteri Tugas-Tugas Khas pernah diwujudkan dalam kabinet Malaysia pada tahun 60-an dan awal 70-an. Antara mereka yang pernah menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas ialah Lee Siok Yew pada tahun 1969 dan Ghazali Shafie (kini Tan Sri) dalam rombakan kabinet pada tahun 1972.

Daim yang merupakan seorang peguam dan ahli perniagaan terkenal pernah menjadi senator dari tahun 1980 hingga 1982, sebelum memenangi kerusi Parlimen Kuala Muda pada pilihan raya umum 1982.

Beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1984 menggantikan Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu rombakan kabinet tahun tersebut.

Selepas meninggalkan kabinet pada tahun 1991, Daim meneruskan tugasnya sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan.

Sementara itu, Kasitah, 51, sebelum meninggalkan kabinet pada tahun 1994 ialah Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

Kasitah yang kali terakhir berada dalam kabinet Dr. Mahathir dari tahun 1990 hingga 1994 - mengisi kekosongan berikutan peletakan jawatan Osu Sukam yang dilantik memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah pada bulan Mei lalu.

Menurut kenyataan JPM, Kasitah akan terlebih dahulu mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara esok.

Jawatan beliau dalam politik sekarang hanyalah Ketua UMNO Bahagian Kinabalu.

Kasitah ialah bekas pegawai kerajaan sebelum menyertai parti USNO pada tahun 1976. Selain jawatan terakhirnya dalam kabinet pada tahun 1994, beliau juga pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Oleh: BAHAROM MAHUSIN dan SAMSOR JUNET

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4K17OEedh © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan