Ahad, 11 September 2016

Dunia pendidikan negara cipta sejarah

ARKIB : 25/06/1998
Dunia pendidikan negara cipta sejarah
KUALA LUMPUR 24 Jun - Sebanyak 12 siswazah cacat penglihatan terpilih untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan tawaran itu merupakan pertama kali seumpamanya dalam sejarah pendidikan di negara ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah yang mula dilaksanakan mulai tahun ini adalah sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang kurang upaya.

''Adalah wajar golongan yang cacat penglihatan dan pendengaran tetapi cemerlang dalam pendidikan tidak disisihkan dari arus perdana perkembangan pendidikan di tanah air kita,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementeriannya di sini, hari ini.

Menurut Najib, daripada 12 yang terpilih, tujuh orang mengambil pengkhususan Bahasa Melayu di Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM), tiga orang dalam pengkhususan Sejarah dan masing-masing seorang dalam pengkhususan Ekonomi Asas dan Bahasa Inggeris di maktab perguruan yang lain.

Katanya, sebanyak dua orang lagi terpilih mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Diploma dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab manakala seorang dalam bidang pengajian Matematik.

Bagi kursus Diploma Perguruan Malaysia yang akan memulakan sesi pengajian awal bulan depan, Najib berkata, seramai 32 orang calon cacat penglihatan dan pendengaran telah ditawar mengikuti kursus tersebut.

Jelas beliau, 16 daripadanya akan mengikuti kursus Pendidikan Khas Masalah Penglihatan di Maktab Ilmu Khas, dua orang bagi kursus Pendidikan Khas Masalah Pendengaran manakala 10 orang lagi mengambil pengkhususan Pengajian Melayu dan Kajian Tempatan di IBMM.

Selebihnya, menurut beliau akan mengikuti pengkhususan Matematik, Bahasa Inggeris dan Kajian Tempatan.

''Saya percaya peluang yang diberi bukan saja akan mendorong mereka untuk lebih gigih malah akan dapat membuktikan kepada masyarakat umum bahawa mereka ini mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik.

''Malah selama ini telah terbukti ada yang berjaya dalam kerjaya ini walaupun bilangannya tidak ramai,'' ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Sekolah Bestari, Najib berkata, segala persiapan adalah seperti yang dijadualkan untuk membolehkan sekolah tersebut memulakan sesinya awal tahun depan.

Katanya, buat masa ini kerja-kerja fizikal seperti pengubahsuaian bangunan sekolah, pendawaian dan pelaksanaan program latihan guru-guru serta kakitangan sekolah yang berkenaan sedang dijalankan.

Menurut Najib, pelaksanaan empat buah sekolah yang menjadi model Sekolah Bestari dan dibuat di bawah dasar penswastaan sehingga kini mengikut jadual dan dijangka siap untuk pengambilan sesi Januari akan datang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4K05NEhb8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan