Jumaat, 8 Julai 2016

Cukai baru kenderaan bermotor diumumkan

ARKIB : 01/01/2004
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Kerajaan hari ini mengumumkan struktur baru duti import dan eksais kenderaan bermotor yang menyenaraikan pengurangan harga bagi kereta-kereta dipasang di Malaysia (CKD) dan dipasang di luar (CBU) yang dibawa masuk dari negara-negara ASEAN.

Bagi kereta berharga RM197,000 misalnya (termasuk duti import dan eksais sekarang), harga barunya ialah RM185,000.

Mengumumkan kadar-kadar baru cukai import dan eksais ke atas kenderaan bermotor, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, duti import kereta penumpang dari ASEAN dalam keadaan siap dipasang (CBU) pula diturunkan kepada di antara 70 hingga 190 peratus mengikut kapasiti enjin.

Bagaimanapun, semua jenis kereta CBU ini dikenakan cukai eksais berbanding tanpa cukai tersebut sebelum ini.

Ini hanya menurunkan sedikit harganya. Misalnya kereta berharga RM240,000 akan turun kepada RM230,000.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, duti import kereta penumpang CKD dari negara bukan ASEAN diturunkan kepada 35 peratus untuk semua kapasiti enjin sementara bagi kereta CBU bukan ASEAN diturunkan di antara 80 hingga 200 peratus mengikut kapasiti enjin.

Bagaimanapun, cukai eksais akan dikenakan ke atas kereta-kereta bukan ASEAN itu.

``Duti eksais yang dikenakan ke atas kedua-dua CKD dan CBU adalah mengikut kapasiti enjin,'' kata Abdullah dalam satu kenyataan di sini.

Untuk kenderaan pelbagai guna (MPV) atau van pula katanya, duti import untuk unit CKD dari ASEAN diturunkan kepada kadar di antara 0 hingga 10 peratus sementara unit CBU adalah antara 40 dan 120 peratus mengikut kapasiti enjin.

Menurut Abdullah, duti eksais yang dikenakan ke atas kedua-dua, CKD dan CBU yang import dari ASEAN dan bukan ASEAN ialah pada kadar di antara 30 hingga 90 peratus mengikut kapasiti enjin.

Katanya, bagi kenderaan bukan ASEAN dan mengikut kapasiti enjin, duti import unit CKD bagi MPV atau van diturunkan kepada kadar di antara lima hingga 20 peratus dan bagi CBU ialah dari 60 peratus hingga 130 peratus.

Untuk kenderaan pacuan empat roda (4WD) katanya, duti import bagi unit CKD ASEAN dikurangkan kepada 10 peratus untuk semua kapasiti enjin dan CBU pula diturun kepada kepada di antara 40 hingga 110 peratus mengikut kapasiti enjin.

Menurut beliau, duti import bagi 4WD bukan ASEAN bagi unit CKD diturunkan kepada 20 peratus untuk semua kapasiti enjin dan CBU diturunkan kepada kadar di antara 60 hingga 130 peratus mengikut kapasiti enjin.

``Duti eksais ke atas 4WD bagi kedua-dua, CKD dan CBU yang diimport dari ASEAN dan bukan ASEAN ialah pada kadar di antara 50 hingga 90 peratus mengikut kapasiti enjin daripada 45 peratus pada masa ini untuk semua kapasiti,'' katanya.

Untuk motosikal pula katanya, tiada perubahan dalam duti import bagi unit CKD ASEAN tetapi CBU telah diturunkan kepada 40 peratus untuk semua kapasiti enjin.

Menurutnya, untuk duti import motosikal dari bukan ASEAN, tiada perubahan kepada duti import untuk unit CKD sementara CBU pula diturunkan kepada 50 peratus untuk semua kapasiti enjin.

``Duti eksais semasa motosikal di antara 10 hingga 50 peratus dikekalkan ke atas CKD yang diimport dari ASEAN dan bukan ASEAN.

Untuk motosikal CBU katanya, kadar duti eksais yang sama dengan CKD sekarang dikenakan mengikut kapasiti enjin bagi import dari ASEAN dan bukan ASEAN.

``Cukai jualan pada kadar 10 peratus untuk semua kenderaan dikekalkan,'' kata Abdullah.

Perdana Menteri juga berkata, hasrat untuk mengkaji semula struktur duti import dan eksais ke atas kenderaan bermotor telah diumumkan semasa pembentangan Bajet 2004.

Bagi menampung kehilangan hasil daripada penurunan duti import beliau berkata, duti eksais dikenakan ke atas semua kategori kenderaan yang diimport bagi kedua-dua bentuk, CKD dan CBU.

Pada masa ini katanya, hanya kenderaan yang dipasang secara tempatan sahaja yang dikenakan duti eksais.

Mengikut Skim Keseragaman Keutamaan Tarif Berkesan (CEPT) di bawah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) katanya, Malaysia mempunyai komitmen untuk mengurangkan duti import ke atas kenderaan bermotor ke paras 20 peratus, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2005 dan seterusnya ke paras sifar hingga lima peratus mulai 1 Januari 2008.

Bagaimanapun, katanya, bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan dalam menghadapi cabaran pembukaan pasaran apabila sektor automotif dimasukkan ke dalam skim CEPT, kerajaan telah mengambil tindakan pre-emptive mengkaji semula struktur duti import ke atas automotif.

Abdullah berkata, Malaysia tidak mempunyai apa-apa komitmen bagi menurun duti import bagi kenderaan-kenderaan yang diimport dari negara-negara bukan ASEAN.

Walaupun begitu katanya, untuk memberikan kesaksamaan, kerajaan telah mengkaji semula struktur duti import ke atas kenderaan yang diimport dari negara-negara bukan ASEAN.

Artikel Penuh: SUMBER-http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm#ixzz4DsB94h8e © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan