ARKIB : 01/01/2004
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Kerajaan
hari ini mengumumkan struktur baru duti import dan eksais kenderaan bermotor
yang menyenaraikan pengurangan harga bagi kereta-kereta dipasang di Malaysia
(CKD) dan dipasang di luar (CBU) yang dibawa masuk dari negara-negara ASEAN.
Bagi kereta berharga RM197,000
misalnya (termasuk duti import dan eksais sekarang), harga barunya ialah
RM185,000.
Mengumumkan kadar-kadar baru
cukai import dan eksais ke atas kenderaan bermotor, Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi berkata, duti import kereta penumpang dari ASEAN dalam
keadaan siap dipasang (CBU) pula diturunkan kepada di antara 70 hingga 190
peratus mengikut kapasiti enjin.
Bagaimanapun, semua jenis
kereta CBU ini dikenakan cukai eksais berbanding tanpa cukai tersebut sebelum
ini.
Ini hanya menurunkan sedikit
harganya. Misalnya kereta berharga RM240,000 akan turun kepada RM230,000.
Menurut beliau yang juga
Menteri Kewangan, duti import kereta penumpang CKD dari negara bukan ASEAN
diturunkan kepada 35 peratus untuk semua kapasiti enjin sementara bagi kereta
CBU bukan ASEAN diturunkan di antara 80 hingga 200 peratus mengikut kapasiti
enjin.
Bagaimanapun, cukai eksais akan
dikenakan ke atas kereta-kereta bukan ASEAN itu.
``Duti eksais yang dikenakan ke
atas kedua-dua CKD dan CBU adalah mengikut kapasiti enjin,'' kata Abdullah
dalam satu kenyataan di sini.
Untuk kenderaan pelbagai guna
(MPV) atau van pula katanya, duti import untuk unit CKD dari ASEAN diturunkan
kepada kadar di antara 0 hingga 10 peratus sementara unit CBU adalah antara 40
dan 120 peratus mengikut kapasiti enjin.
Menurut Abdullah, duti eksais
yang dikenakan ke atas kedua-dua, CKD dan CBU yang import dari ASEAN dan bukan
ASEAN ialah pada kadar di antara 30 hingga 90 peratus mengikut kapasiti enjin.
Katanya, bagi kenderaan bukan
ASEAN dan mengikut kapasiti enjin, duti import unit CKD bagi MPV atau van
diturunkan kepada kadar di antara lima hingga 20 peratus dan bagi CBU ialah
dari 60 peratus hingga 130 peratus.
Untuk kenderaan pacuan empat
roda (4WD) katanya, duti import bagi unit CKD ASEAN dikurangkan kepada 10
peratus untuk semua kapasiti enjin dan CBU pula diturun kepada kepada di antara
40 hingga 110 peratus mengikut kapasiti enjin.
Menurut beliau, duti import
bagi 4WD bukan ASEAN bagi unit CKD diturunkan kepada 20 peratus untuk semua
kapasiti enjin dan CBU diturunkan kepada kadar di antara 60 hingga 130 peratus
mengikut kapasiti enjin.
``Duti eksais ke atas 4WD bagi
kedua-dua, CKD dan CBU yang diimport dari ASEAN dan bukan ASEAN ialah pada
kadar di antara 50 hingga 90 peratus mengikut kapasiti enjin daripada 45
peratus pada masa ini untuk semua kapasiti,'' katanya.
Untuk motosikal pula katanya,
tiada perubahan dalam duti import bagi unit CKD ASEAN tetapi CBU telah
diturunkan kepada 40 peratus untuk semua kapasiti enjin.
Menurutnya, untuk duti import
motosikal dari bukan ASEAN, tiada perubahan kepada duti import untuk unit CKD
sementara CBU pula diturunkan kepada 50 peratus untuk semua kapasiti enjin.
``Duti eksais semasa motosikal
di antara 10 hingga 50 peratus dikekalkan ke atas CKD yang diimport dari ASEAN
dan bukan ASEAN.
Untuk motosikal CBU katanya,
kadar duti eksais yang sama dengan CKD sekarang dikenakan mengikut kapasiti
enjin bagi import dari ASEAN dan bukan ASEAN.
``Cukai jualan pada kadar 10
peratus untuk semua kenderaan dikekalkan,'' kata Abdullah.
Perdana Menteri juga berkata,
hasrat untuk mengkaji semula struktur duti import dan eksais ke atas kenderaan
bermotor telah diumumkan semasa pembentangan Bajet 2004.
Bagi menampung kehilangan hasil
daripada penurunan duti import beliau berkata, duti eksais dikenakan ke atas
semua kategori kenderaan yang diimport bagi kedua-dua bentuk, CKD dan CBU.
Pada masa ini katanya, hanya
kenderaan yang dipasang secara tempatan sahaja yang dikenakan duti eksais.
Mengikut Skim Keseragaman
Keutamaan Tarif Berkesan (CEPT) di bawah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA)
katanya, Malaysia mempunyai komitmen untuk mengurangkan duti import ke atas
kenderaan bermotor ke paras 20 peratus, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2005 dan
seterusnya ke paras sifar hingga lima peratus mulai 1 Januari 2008.
Bagaimanapun, katanya, bagi
meningkatkan daya saing industri automotif tempatan dalam menghadapi cabaran
pembukaan pasaran apabila sektor automotif dimasukkan ke dalam skim CEPT,
kerajaan telah mengambil tindakan pre-emptive mengkaji semula struktur duti
import ke atas automotif.
Abdullah berkata, Malaysia
tidak mempunyai apa-apa komitmen bagi menurun duti import bagi
kenderaan-kenderaan yang diimport dari negara-negara bukan ASEAN.
Walaupun begitu katanya, untuk
memberikan kesaksamaan, kerajaan telah mengkaji semula struktur duti import ke
atas kenderaan yang diimport dari negara-negara bukan ASEAN.
Artikel Penuh: SUMBER-http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm#ixzz4DsB94h8e
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan