Jumaat, 8 Julai 2016

Ramzi dilantik Pengerusi baru Kesedar

ARKIB : 01/01/2004
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Ramzi Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar berkuat kuasa esok.

Menterinya, Datuk Azmi Khalid ketika mengesahkan perkara itu berkata, pelantikan Ramzi adalah bagi mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Kesedar sejak setahun lalu.

``Dalam tempoh kekosongan itu, tugas Pengerusi Kesedar dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azman Abdul Rashid,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, Pengerusi Kesedar sebelum ini ialah Datuk Wan Zaid Wan Abdullah yang tamat tempoh jawatan itu tahun 2002.

Azmi percaya pelantikan Ramzi sebagai Pengerusi Kesedar yang baru akan dapat memberi nafas baru kepada pembangunan agensi itu.

Katanya, sebagai tokoh muda pemimpin pelapis dari Kelantan, Ramzi diyakini dapat memberikan banyak idea baru ke arah meningkatkan lagi kemajuan Kesedar.

``Pengerusi baru itu diharap akan dapat mentadbir Kesedar dengan meletakkannya di landasan yang baik sebagai agensi kemajuan wilayah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

``Dalam masa yang sama beliau (Ramzi) akan berhadapan dengan urusan pembangunan tanahnya pula di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Kelantan yang dikuasai oleh Pas,'' katanya.

Menurut Azmi, kedudukan Ramzi sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Kuala Krai turut membolehkannya sentiasa bergaul rapat dengan rakyat bagi memudahkan urusan berkaitan pembangunan setempat.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm#ixzz4Ds9pnwYy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan