PATAL Arifin Sandong menunjukkan lokasi di mana dia dan rakan-rakannya diserang.
PAGI 29 Disember 1963, seperti biasa anak muda berusia 16 tahun, Patal Arifin Sandong bersama tiga lagi rakannya yang juga anak jati Pulau Sebatik segak mengenakan seragam tentera membantu menghantar tentera dan bekalan makanan kepada tentera yang bertugas di sempadan pada zaman konfrontasi.
Sebetulnya, Patal tidak pernah pun mendaftar menjadi tentera. Dia bersama rakan-rakannya itu cuma anak kapal pengangkut kayu milik saudagar Cina.
Namun apabila konfrontasi meletus, kapal itu disewa tentera untuk menjalankan kerja-kerja logistik. Maka, keempat-empat anak muda itu tanpa ditemuduga turut dikerah bekerja sebagai tentera, diberikan pakaian seragam dan dilatih menggunakan senjata.
Kira-kira pukul 8 pagi, kapal itu tiba-tiba ditahan tentera di sekitar Pulau Sebatik. Diberitahu, kapal tersebut mahu digunakan untuk menghantar tentera ke Kalabakan pada malam itu dan mereka tidak dibenarkan pulang.
Atas semangat cintakan negara katanya, beliau bersama seorang lagi rakan tidak menolak. Namun dua lagi memohon untuk tidak mengikuti misi itu kerana takut mati ditembak.
Menjelang petang, enam tentera Melayu diketuai sarjan berasal dari Pulau Pinang masuk ke kapal kecil tersebut. Begitu juga empat lagi anak muda termasuk Patal Arifin yang ditugaskan untuk mengemudi kapal ke Kalabakan.
"Setibanya di pertengahan Sungai Kalabakan, ketika waktu Maghrib, tiba-tiba kami terdengar bunyi tembakan disusuli percikan api di udara. Kami juga tidak dibenarkan masuk ke Kalabakan dan masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga di situ.
"Sehingga kira-kira pukul 5 pagi, barulah kami menerima isyarat masuk ke Kalabakan. Apabila sampai saja ke sana, kami lihat lapan anggota tentera kita termasuk seorang pegawai telah terkorban akibat serangan hendap ketika mereka bersiap untuk solat Maghrib.
"Sementara di pihak Indonesia, kira-kira 20 anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) terkorban. Lalu kami ditugaskan untuk membawa jenazah dan mayat-mayat berkenaan kembali ke Tawau," katanya.
Hanya setengah jam di Tawau, Patal Arifin bersama rakan-rakannya diarahkan kembali ke Kalabakan untuk menghantar tentera Gurkha ke sana pula.
"Apabila tiba di satu selekoh (kini lokasi Kilang Sawit Felda berhampiran Sungai Kalabakan), kami diserang bertubi-tubi. Saya dan rakan-rakan hanya berlindung dalam perut kapal sementara askar Gurkha membalas tembakan.
"Mereka memang berani, sedikit pun tidak mahu undur. Apabila keadaan reda, kami mengangkut mayat seorang anggota PKI dan meneruskan perjalanan ke Kalabakan. Keadaan kapal penuh dengan kesan peluru sehingga bumbungnya hancur," ujarnya.
Selesai tugas itu, mereka kembali ke Tawau dan diarahkan pergi ke Serudong. Seakan tidak mempunyai masa rehat, arahan itu bagaimanapun tetap dipatuhi.
"Kira-kira pukul 8 malam, pegawai di situ memberi arahan agar kami mengosongkan kem dan bergerak ke kawasan berhampiran. Tetapi saya bersama rakan berasa hairan kerana lampu di situ tidak dipadam.
"Dalam pukul 11 malam, tiba-tiba kedengaran kem itu diserang bertubi-tubi. Sedikit pun askar Melayu tidak membalas. Keadaan di sebelah tentera Malaysia senyap sunyi," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, keadaan berubah apabila kira-kira 30 tentera Indonesia memasuki kem sementara itu untuk membuat pemeriksaan.
"Pada ketika itulah askar kita mula bertindak dengan menembak bertalu-talu. Kesemua 30 anggota PKI itu rebah seorang demi seorang tanpa dapat melakukan apa-apa," ujarnya yang amat menyanjungi kebijaksanaan taktikal anggota tentera kita yang berkhidmat pada malam itu.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140104/lk_04/Nostalgia-konfrontasi-Malaysia-Indonesia#ixzz2pRBJ3Cmo © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan