PERSEMBAHAN Awang Batil diselitkan dengan lakonan sketsa bagi menarik perhatian penonton ketika mengadakan persembahan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada tahun 2006 yang lalu.
ASALNYA persembahan Awang Batil dikenali Awang Belanga. Pertukaran itu adalah selari dengan penukaran alat muzik utama daripada belanga kepada batil.
Batil, alat muzik seperti mangkuk tembaga dipilih kerana ia menghasilkan bunyi yang lebih sedap, selain mudah digunakan.
Dalam melakukan persembahan, Awang Batil akan mengembara dari sebuah rumah ke sebuah rumah lain, dari sebuah kampung ke kampung lain di negeri-negeri di Kedah, Pulau Pinang dan daerah-daerah di wilayah selatan Thailand.
Lazimnya, Awang Batil akan duduk di tengah-tengah rumah ketua kampung yang dikelilingi penduduk setempat.
Kehebatan Awang Batil terletak kepada keupayaannya menyampaikan cerita rakyat yang penuh dengan pengajaran dan teladan dalam suasana penuh emosi.
REJAB ISMAIL
Lebih mengagumkan, penceritaan itu dilakukan secara terus, tiada skrip mahu pun bantuan dialog lain.
Sebaliknya, idea dan ilham ceritanya muncul selepas pukulan batil yang menghasilkan rentak berirama. Sekiranya pukulan batil itu terhenti, maka kisahnya juga akan berhenti.
Menurut Tokoh Budaya Penulis, Rejab Ismail, selain batil, persembahan Awang Batil diiringi alunan muzik lain seperti serunai, gendang serta gesekan biola.
“Alatan lain yang turut digunakan Awang Batil ialah topeng hulubalang dan topeng Wak Nujum yang diperbuat daripada kayu tui dan dihiasi dengan cat berwarna merah.
“Pernah pada masa dahulu, Awang Batil dijadikan tempat rujukan masyarakat untuk menghiburkan diri di samping mempelajari sesuatu berdasarkan cerita yang dipersembahkan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kangar, Perlis, baru-baru ini.
Rejab berkata, peranan yang dimainkan Awang Batil dalam mengisi kekosongan yang ada pada masyarakat ketika itu menyebabkan dia disamakan seperti sebuah buku cerita, radio, televisyen serta wayang gambar yang membawa hiburan.
“Topik cerita membolehkan kita berfikir dan belajar sesuatu yang baharu dan sememangnya akan di alami dalam kehidupan.
“Sebab itu juga Awang Batil dianggap seperti ibu bapa dan guru pada ketika itu," tambahnya lagi.
Rejab berkata, kebiasaannya Awang Batil akan bercerita sehingga tengah malam dan sekiranya tidak selesai, cerita itu akan disambung malam esok.
Bukan sesuatu yang asing jika Awang Batil mengambil antara tiga hingga tujuh malam untuk menghabiskan cerita yang penuh maksud tersirat walaupun sekadar kisah dongeng.
“Sebagai contoh, cerita Awang Ada Duit Semua Jadi berkisar tentang seorang anak muda miskin yang berani menerima cabaran seorang raja.
“Baginda memberikan 1,000 keping wang emas dan berkahwin dengan puterinya, akan tetapi pemuda tersebut tidak dibenarkan tinggal bersama isterinya, sedangkan baginda berkehendakkan seorang cucu.
“Berkat usaha dan kebijaksanaan pemuda tersebut, akhirnya puteri raja tersebut berjaya melahirkan seorang putera sekali gus pemuda itu diangkat sebagai raja.
“Pemuda tersebut menggunakan wang emas hasil pemberian raja itu untuk mencipta sebuah patung emas berbentuk orang dan dihadiahkan kepada puteri raja. Pemuda tersebut sebenarnya berada di dalam patung tersebut dan berjaya bertemu dan tidur bersama isterinya," ceritanya.
Tambahnya, Awang Batil merupakan seni warisan tradisional yang berasal dari utara Semenanjung dan ia adalah satu-satunya terdapat di Perlis.
“Awang Batil dari semenjak awal lagi hingga kini akan bercerita menggunakan dialek Perlis," katanya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140111/lk_01/Bercerita-sehingga-7-malam#ixzz2q3CLQ2VK © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan