Jumaat, 13 Oktober 2017

Keajaiban Israk Mikraj perlu dirungkai

ARKIB : 10/08/2007
Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT 
KINI, kita berada di penghujung bulan Rejab. Setiap kali kita dikunjungi bulan Rejab, kita pasti merasakan kelainan dan keistimewaan. Keistimewaan bulan ini kerana berlakunya satu peristiwa yang begitu besar dan agung dalam sejarah Islam.

Peristiwa yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. menunjukkan kekayaan dan kekuasaan Allah s.w.t. Itulah peristiwa Al-Israk dan Al-Mikraj.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan kilat Rasulullah s.a.w. pada sebahagian malam atas kekuasaan dan kehendak Allah dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratulmuntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapisan langit, lalu kembali semula ke Mekah pada malam yang sama.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan Baginda dan berlaku setahun sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w. ke kota Madinah.

Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Isra’ ayat yang pertama maksudnya:

Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Pada paginya, Rasulullah s.a.w. termenung, memikirkan bagaimanakah baginda dapat memberitahu umat manusia tentang peristiwa tersebut, kerana ia adalah sesuatu yang di luar kemampuan manusia. Sedangkan perjalanan ke Baitulmaqdis sahaja mengambil masa hampir sebulan, inikan pula dalam satu malam.

Begitu pun Rasulullah s.a.w. menyahut cabaran Abu Jalal agar dikumpulkan manusia untuk memberitahu mereka tentang peristiwa perjalanan Rasulullah s.a.w. ke Masjidil Aqsa. Apabila manusia telah berkumpul, dan Rasulullah s.a.w. menceritakan mereka tentang perjalanan baginda ke Masjidil Aqsa dalam satu malam, ramai daripada mereka yang tidak percaya.

Malah, mereka yang lemah imannya juga mendustakan Rasulullah s.a.w. Namun, dalam masa yang sama, mereka yang sudah kuat imannya, bertambah kukuh lagi keimanan, seperti Sayidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Keberanian Rasulullah s.a.w. memaklumkan kepada umat manusia tentang perjalanan Baginda tersebut, memberikan iktibar kepada umat Islam masa kini supaya perlu bersabar dan terus menunjukkan akhlak yang baik, walaupun ditentang oleh mereka yang tidak beriman dan tidak memahami Islam.

Sudah menjadi lumrah, mereka yang tidak memahami Islam akan mempunyai pandangan serong dan silap faham terhadap Islam. Tetapi, contohi Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda diperli, dikeji dan didustai kerana menyampaikan berita Israk, Rasulullah s.a.w. tetap bersabar dan menunjukkan akhlak yang baik.

Maka, sebagai orang Islam yang tinggal di negara majmuk seperti Malaysia ini, ada kalanya kita menghadapi silap faham daripada mereka yang bukan Islam. Kita perlu tunjukkan akhlak yang baik serta bersabar dan terangkan kepada mereka tentang ajaran Islam yang sebenar, yang menggalakkan keharmonian dan juga kemakmuran.

Kesejahteraan

Kita juga perlu tunjukkan bahawa kewujudan kita di negara ini, di tempat kerja, di sekolah dan di rumah, membawa kesejahteraan bagi orang di sekeliling kita. Sesungguhnya, orang Islam yang baik adalah juga rakyat, pekerja, majikan, pelajar dan ahli keluarga yang baik.

Di dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh.

Antara pelajaran yang harus kita renungkan bersama adalah manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut.

Hubungan dengan Allah s.w.t. ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan. Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan kepada diri kita.

Menyingkap kembali peristiwa Israk dan Mikraj ini, Nabi telah ditimpa beberapa kesulitan sebelum terjadi Israk dan Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk dan Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah s.w.t.

Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan.

Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus-menerus melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya dan bukan menjadi orang taat hanya pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.

Kehidupan kita yang ingin berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.

Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati. Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan? Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6.

Ertinya: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan.

Seperti yang ditunjukkan Allah s.w.t. kepada Nabi-Nya yang tercinta, bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang ikhlas dan benar berjuang keseorangan. Ia akan dibantu Allah s.w.t. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah s.w.t. Bahkan Allah s.w.t. akan mengangkat darjat dan kedudukannya.

Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah s.a.w. telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.

Baginda melihat pelbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan.

Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali seperti sedia kala.

Nabi, juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini, agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah s.w.t. amatlah dahsyat.

Perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba Allah s.w.t. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi s.a.w. daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail.

Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.

Keagungan

Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya seperti Sidratulmuntaha, syurga dan lain-lain lagi.

Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi s.a.w. tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul-rasul lain yang Baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kita.

Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir kepada penghujungnya.

Hakikat ini memperingatkan setiap orang Islam bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal soleh menjadi bekalan untuk ke akhirat.

Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin afrit telah mengejar Baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan Baginda. Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.

Peristiwa Al-Israk dan Al-Mikraj merupakan mukjizat teragung yang dianugerahkan khas oleh Allah s.w.t. kepada Baginda Rasulullah s.a.w.

Justeru, pelbagai pengajaran di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ia dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.

Peristiwa agung itu juga sebenarnya menunjukkan potensi dan kemampuan sebenar umat Baginda Rasulullah s.a.w. Ia merupakan petanda bahawa kita seharusnya berusaha sedaya upaya untuk mencapai yang terbaik dalam apa sahaja perkara yang kita usahakan.

Kita disuruh meneroka dan mencari ruang-ruang baru dan cara yang inovatif serta kreatif untuk menangani sesuatu cabaran.

Sebagai seorang pendidik dan guru, apakah cara baru di dalam menanam nilai-nilai murni serta membangunkan kemampuan pelajar? Sebagai seorang usahawan, apakah ruang penerokaan dan perniagaan baru serta cara kreatif menghasilkan produk atau khidmat yang berkualiti tinggi? Sebagai seorang pelajar, bagaimana dapat kita meningkatkan prestasi dan apakah jenis pengajian baru yang boleh diambil? Sebagai jemaah masjid, bagaimanakah dapat kita menjadikan masjid kita ini tempat yang lebih menarik bagi semua golongan?

Penerokaan angkasa dan langit yang telah dilalui Baginda Rasulullah s.a.w. di malam Al-Israk dan Al-Mikraj itu mendekatkan Baginda s.a.w. kepada Allah s.w.t. serta menunjukkan kedudukan dan martabat tinggi Baginda sendiri di sisi Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. mendapat kemuliaan tersebut dengan kesabaran, keimanan dan keyakinan Baginda.

Maka sebagai umat Baginda s.a.w. jika berazam untuk mempertingkatkan diri dan mencari ruang-ruang penerokaan yang baru, tentu sekali kita laksanakan dengan penuh iltizam bagi menunjukkan roh Islam yang sebenar.

Usaha ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. sekali gus menunjukkan prestasi dan potensi sebenar umat Nabi s.a.w.

* A. MOHD. RAHIMIN SIHAT ialah Penolong Pengurus Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4vNhYOb80
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan