ARKIB : 10/08/2007
Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT
KINI, kita berada di penghujung
bulan Rejab. Setiap kali kita dikunjungi bulan Rejab, kita pasti merasakan
kelainan dan keistimewaan. Keistimewaan bulan ini kerana berlakunya satu
peristiwa yang begitu besar dan agung dalam sejarah Islam.
Peristiwa yang dialami oleh
Rasulullah s.a.w. menunjukkan kekayaan dan kekuasaan Allah s.w.t. Itulah
peristiwa Al-Israk dan Al-Mikraj.
Secara ringkasnya, Israk dan
Mikraj merupakan satu perjalanan kilat Rasulullah s.a.w. pada sebahagian malam
atas kekuasaan dan kehendak Allah dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa, kemudian
naik ke langit sampai ke Sidratulmuntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah
Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapisan langit, lalu kembali semula ke Mekah
pada malam yang sama.
Peristiwa Israk dan Mikraj
berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan
Baginda dan berlaku setahun sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w. ke kota
Madinah.
Peristiwa ini bersabit dengan
firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Isra ayat yang pertama maksudnya:
Maha suci Allah yang telah
menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah)
ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk
memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Pada paginya, Rasulullah s.a.w.
termenung, memikirkan bagaimanakah baginda dapat memberitahu umat manusia
tentang peristiwa tersebut, kerana ia adalah sesuatu yang di luar kemampuan manusia.
Sedangkan perjalanan ke Baitulmaqdis sahaja mengambil masa hampir sebulan,
inikan pula dalam satu malam.
Begitu pun Rasulullah s.a.w.
menyahut cabaran Abu Jalal agar dikumpulkan manusia untuk memberitahu mereka
tentang peristiwa perjalanan Rasulullah s.a.w. ke Masjidil Aqsa. Apabila
manusia telah berkumpul, dan Rasulullah s.a.w. menceritakan mereka tentang
perjalanan baginda ke Masjidil Aqsa dalam satu malam, ramai daripada mereka
yang tidak percaya.
Malah, mereka yang lemah
imannya juga mendustakan Rasulullah s.a.w. Namun, dalam masa yang sama, mereka
yang sudah kuat imannya, bertambah kukuh lagi keimanan, seperti Sayidina Abu
Bakar As-Siddiq r.a.
Keberanian Rasulullah s.a.w.
memaklumkan kepada umat manusia tentang perjalanan Baginda tersebut, memberikan
iktibar kepada umat Islam masa kini supaya perlu bersabar dan terus menunjukkan
akhlak yang baik, walaupun ditentang oleh mereka yang tidak beriman dan tidak
memahami Islam.
Sudah menjadi lumrah, mereka
yang tidak memahami Islam akan mempunyai pandangan serong dan silap faham
terhadap Islam. Tetapi, contohi Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda diperli,
dikeji dan didustai kerana menyampaikan berita Israk, Rasulullah s.a.w. tetap
bersabar dan menunjukkan akhlak yang baik.
Maka, sebagai orang Islam yang
tinggal di negara majmuk seperti Malaysia ini, ada kalanya kita menghadapi
silap faham daripada mereka yang bukan Islam. Kita perlu tunjukkan akhlak yang
baik serta bersabar dan terangkan kepada mereka tentang ajaran Islam yang
sebenar, yang menggalakkan keharmonian dan juga kemakmuran.
Kesejahteraan
Kita juga perlu tunjukkan
bahawa kewujudan kita di negara ini, di tempat kerja, di sekolah dan di rumah,
membawa kesejahteraan bagi orang di sekeliling kita. Sesungguhnya, orang Islam
yang baik adalah juga rakyat, pekerja, majikan, pelajar dan ahli keluarga yang
baik.
Di dalam perjalanan yang begitu
istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan
begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh.
Antara pelajaran yang harus
kita renungkan bersama adalah manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya
dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan
tersebut.
Hubungan dengan Allah s.w.t.
ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat
kesenangan dan kemudahan. Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan
mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan
kesusahan kepada diri kita.
Menyingkap kembali peristiwa
Israk dan Mikraj ini, Nabi telah ditimpa beberapa kesulitan sebelum terjadi
Israk dan Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk dan
Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah s.w.t.
Ini memberi pengajaran kepada
kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai
permasalahan dalam kehidupan.
Caranya ialah kita sentiasa
beristiqamah, terus-menerus melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua
larangan-Nya dan bukan menjadi orang taat hanya pada waktu susah dan melupakan
Allah pada waktu senang.
Kehidupan kita yang ingin
berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak
akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih
dahulu.
Namun, semua yang berlaku itu
demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati. Adakah kita sanggup
menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam
golongan yang mudah berputus harapan? Firman Allah s.w.t. di dalam surah
Al-Insyirah ayat 5 dan 6.
Ertinya: Oleh itu, maka
(tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada
disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): sesungguhnya tiap-tiap kesukaran
ada disertai kemudahan.
Seperti yang ditunjukkan Allah
s.w.t. kepada Nabi-Nya yang tercinta, bahawa Allah tidak akan membiarkan
hamba-Nya yang ikhlas dan benar berjuang keseorangan. Ia akan dibantu Allah
s.w.t. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah s.w.t. Bahkan Allah s.w.t. akan
mengangkat darjat dan kedudukannya.
Menjauhi perkara mungkar dan
maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah s.a.w. telah
ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.
Baginda melihat pelbagai bentuk
penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum akibat daripada
segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan.
Misalnya Nabi diperlihatkan
kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar,
setelah pecah ia kembali seperti sedia kala.
Nabi, juga melihat seksaan bagi
pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini
semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini, agar tidak melakukan
segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun
kerana seksaan yang disediakan Allah s.w.t. amatlah dahsyat.
Perintah solat merupakan suatu
bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba Allah
s.w.t. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain
seperti puasa, zakat dan haji. Ini kerana kewajipan solat diterima langsung
oleh Nabi s.a.w. daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa
perantaraan malaikat Jibrail.
Ini menunjukkan keistimewaan
dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang
paling awal dihisab di akhirat kelak.
Keagungan
Mengakui dan tunduk kepada
kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya
benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah
memperlihatkan kepada Nabi keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya seperti
Sidratulmuntaha, syurga dan lain-lain lagi.
Anjuran memberi salam. Di
sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi s.a.w. tidak pernah lupa mengucapkan salam
kepada rasul-rasul lain yang Baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada
keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara
sesama Islam untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kita.
Mengingatkan usia dunia yang
sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek
tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir
kepada penghujungnya.
Hakikat ini memperingatkan
setiap orang Islam bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah
bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal soleh menjadi bekalan untuk ke
akhirat.
Berwaspada dengan rayuan dan
tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin afrit
telah mengejar Baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan
berusaha memperdayakan Baginda. Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa
syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat
manusia dengan pelbagai cara.
Peristiwa Al-Israk dan
Al-Mikraj merupakan mukjizat teragung yang dianugerahkan khas oleh Allah s.w.t.
kepada Baginda Rasulullah s.a.w.
Justeru, pelbagai pengajaran di
dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ia dapat membantu memberikan
nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi
ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam
menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.
Peristiwa agung itu juga
sebenarnya menunjukkan potensi dan kemampuan sebenar umat Baginda Rasulullah
s.a.w. Ia merupakan petanda bahawa kita seharusnya berusaha sedaya upaya untuk
mencapai yang terbaik dalam apa sahaja perkara yang kita usahakan.
Kita disuruh meneroka dan
mencari ruang-ruang baru dan cara yang inovatif serta kreatif untuk menangani
sesuatu cabaran.
Sebagai seorang pendidik dan
guru, apakah cara baru di dalam menanam nilai-nilai murni serta membangunkan
kemampuan pelajar? Sebagai seorang usahawan, apakah ruang penerokaan dan
perniagaan baru serta cara kreatif menghasilkan produk atau khidmat yang
berkualiti tinggi? Sebagai seorang pelajar, bagaimana dapat kita meningkatkan
prestasi dan apakah jenis pengajian baru yang boleh diambil? Sebagai jemaah
masjid, bagaimanakah dapat kita menjadikan masjid kita ini tempat yang lebih
menarik bagi semua golongan?
Penerokaan angkasa dan langit
yang telah dilalui Baginda Rasulullah s.a.w. di malam Al-Israk dan Al-Mikraj
itu mendekatkan Baginda s.a.w. kepada Allah s.w.t. serta menunjukkan kedudukan
dan martabat tinggi Baginda sendiri di sisi Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. mendapat
kemuliaan tersebut dengan kesabaran, keimanan dan keyakinan Baginda.
Maka sebagai umat Baginda
s.a.w. jika berazam untuk mempertingkatkan diri dan mencari ruang-ruang
penerokaan yang baru, tentu sekali kita laksanakan dengan penuh iltizam bagi
menunjukkan roh Islam yang sebenar.
Usaha ini akan mendekatkan diri
kita kepada Allah s.w.t. sekali gus menunjukkan prestasi dan potensi sebenar
umat Nabi s.a.w.
* A. MOHD. RAHIMIN SIHAT ialah
Penolong Pengurus Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
sumberArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4vNhYOb80
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan