Isnin, 5 September 2016

Tokoh Guru 1998 Sumbangan bakti mendapat pengiktirafan

ARKIB : 18/05/1998
Tokoh Guru 1998 Sumbangan bakti mendapat pengiktirafan
EMPAT lagi tokoh pendidik yang memberikan sumbangan besar kepada dunia pendidikan negara dinobatkan sebagai Tokoh Guru 1998 sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur 16 Mei lalu.

Mereka ialah bekas pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPN) Perak, Datuk Abdul Rahim Abdul Majid; Naib Presiden Persatuan Kolej-Kolej Swasta Malaysia (MAPCO), Datuk Dr. Yahaya Ibrahim; bekas guru dari Melaka yang aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, Mohd. Tahir Ahmad dan Mohamed Ali, bekas guru dari Kelantan yang lebih dikenali sebagai 'Master Mohamad Ali'.

Anugerah bermakna itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tema sambutan tahun ini ialah Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama.

Abdul Rahim Abdul Majid yang merupakan Tokoh Guru Negeri Perak tahun lalu merupakan antara tokoh penting yang memberikan sinar baru kepada perkembangan pendidikan di negeri Perak.

Dengan slogan Perak Nombor Satu, beliau berjaya menyuntik semangat perjuangan yang tinggi kepada warga pendidik khususnya demi memajukan pendidikan di negeri kelahirannya itu.

Idea dan program yang dilaksanakan di bawah konsep Perak Nombor Satu semasa beliau menjadi Pengarah Pendidikan Perak dari 1 Januari 1993 hingga 17 Januari 1997 turut mendapat pengiktirafan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Tenaga Manusia (MAMPU).

Beliau yang dilahirkan pada 18 Januari 1942 itu juga pernah menghasilkan buku panduan meningkatkan prestasi kokurikulum, kurikulum dan kepimpinan sahsiah.

Pada peringkat awalnya, Abdul Rahim bertugas sebagai guru terlatih di Sekolah Shing Chung High School Sungai Siput, Perak pada tahun 1953.

Atas kewibawaannya, beliau telah dilantik memegang beberapa jawatan penting seperti Guru Besar, Pensyarah, Pengetua, Timbalan Pengarah II Lembaga Peperiksaan, Timbalan ketua Nazir, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang dan akhirnya Pengarah Pendidikan Perak (gred utama C) sehingga persaraannya.

Dr. Yahaya Ibrahim yang dilahirkan pada 18 Februari 1929 di Pulau Pinang merupakan tokoh pendidik yang memainkan peranan penting dalam mempelopori penubuhan institusi pendidikan swasta di negara ini.

Beliau yang bertanggungjawab memperkenalkan program berkembar pada 1984 juga turut dikenali sebagai Bapa Pendidikan Swasta. Pada 1994 pula, beliau dianugerahkan gelaran Bapa Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI).

Sepanjang perkhidmatannya, Dr. Yahaya telah melibatkan dirinya dengan beberapa aktiviti penting di Jabatan Pendidikan Melaka dan di Kementerian Pendidikan seperti penggubalan kaedah baru pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains, kursus sains dan matematik, penubuhan pusat kegiatan guru, pertubuhan Pengakap dan Kadet, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan konsep integrasi asrama menengah berbilang kaum.

Mohd. Tahir Ahmad, Tokoh Guru 1998 yang berasal dari Melaka ini merupakan tokoh pendidik yang begitu aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan sehingga dilantik sebagai Pengerusi Tetap UMNO cawangan.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Serkam, Melaka pada 30 September 1940 merupakan pengasas Majlis Guru Besar Melaka, Persatuan Sekolah-Sekolah Malaysia.

Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan bakti yang dicurahkan dalam dunia pendidikan dan kemasyarakatan, beliau telah diberikan beberapa anugerah. Antaranya ialah Sijil Kepujian daripada Kementerian Pendidikan pada 1992 dan Anugerah Pengarah Pendidikan Melaka (1993).

Mohamed Ali atau lebih dikenali sebagai 'Master Mohamed Ali' di kalangan warga pendidik di negeri Kelantan kerana kemahirannya dalam bidang bahasa Inggeris.

Belau bertanggungjawab mengendalikan kursus bahasa Inggeris dan Matematik, Kursus Peningkatan Keilmuan Profesionalisme dan Kursus Penerangan Perubahan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) kepada Guru Besar dan Penolong Kanan.

Beliau juga adalah salah seorang panel penilai penerbitan bahan bacaan bahasa Inggeris KBSR.

Mohamed yang dilahirkan pada 221 Januari 1932, di Palekbang, Tumpat, Kelantan memulakan kerjaya sebagai seorang guru penolong di Sekolah Inggeris Islah, Kota Bharu. Jawatan terakhirnya sebelum bersara ialah sebagai Ketua Penolong Pengarah Unit Perhubungan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan Kelantan pada 1987.

Walaupun dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas rasmi, beliau berkesempatan menyumbangkan khidmat baktinya kepada masyarakat secara aktif dalam bidang sukan, persatuan dan politik.

Anugerah Tokoh Guru merupakan penghargaan dan pengiktirafan Kementerian Pendidikan terhadap kewibawaan seseorang guru berdasar empat kriteria utama.

Empat kriteria itu ialah perkhidmatan cemerlang di bilik darjah, sumbangan cemerlang kepada profesion perguruan dan pendidikan, penglibatan aktif dalam kegiatan luar bilik darjah dan khidmat masyarakat serta kecemerlangan dalam bidang-bidang lain.

Sementara itu, sambutan Hari Guru tahun ini juga memberikan Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas 1998 kepada Rosnah Alimuda.

Kepakarannya dalam pendidikan khas banyak membantu Kementerian Pendidikan dalam menghasilkan peta timbul atlas Malaysia dan buku-buku teks Braille.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_04.htm#ixzz4JO936V4n © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan