Isnin, 5 September 2016

Anugerah Sekolah Harapan Negara hargai pendidik

ARKIB : 18/05/1998
Anugerah Sekolah Harapan Negara hargai pendidik
SELAIN penganugerah Tokoh Guru yang menjadi acara kemuncak Hari Guru, sambutan tahun ini juga memberikan pengiktirafan kepada warga pendidik melalui penganugerah secara kolektif Anugerah Sekolah Harapan Negara.

Penganugerahan ini mengiktiraf model sekolah contoh dalam konteks semasa yang dapat dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah lain.

Pada tahun ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah dan SK Masjid Baru, Asahan, Melaka masing-masing menjadi johan bagi anugerah Sekolah Harapan Negara masing-masing bagi kategori sekolah rendah bandar dan luar bandar.

Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, Kampung Dato' Ahmad, Ipoh, Perak memenangi kategori sekolah menengah bandar dan SMK Pangkal Meleret, Machang, Kelantan pula bagi kategori sekolah menengah luar bandar.

Untuk hadiah naib johan pertama pula, SK Taman Bukit Maluri, Kepong, Kuala Lumpur memenanginya bagi kategori sekolah bandar manakala SK Jitra, Jitra, Kedah memenanginya bagi kategori luar bandar.

Kategori sekolah menengah bandar pula dimenangi oleh SMK Dato' Penggawa Barat, Parit Masjid, Pontian, Johor, manakala SMK Tengku Lela Segara pula memenanginya bagi kategori sekolah menengah luar bandar.

SK Jerantut, Jerantut Pahang pula menjadi naib johan kedua bagi kategori sekolah rendah bandar dan bagi kategori luar bandar pula SK Sg. Dua, Butterworth, Pulau Pinang telah terpilih.

Selain itu, SMK Subang Utama, Subang Jaya, Selangor memenangi anugerah Sekolah Harapan Negara bagi kategori sekolah menengah bandar dan SMK Meradong, Bitangor, Sarawak pula memenanginya bagi kategori luar bandar.

Secara umumnya, anugerah ini diwujudkan sebagai pengiktirafan kepada peranan guru masa kini yang telah dan sedang berusaha untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.

Di samping itu, ia juga bertujuan memupuk, mengembang serta menyuburkan perasaan perpaduan di kalangan guru bagi mencapai tahap profesion perguruan yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam konteks semasa.

Sementara itu, johan keseluruhan anugerah Guru Inovatif 1998 pula diberikan kepada Khiu Kah Huan dari SMK Siburan, Kuching Sarawak dengan projek inovatifnya mengenai bengkel Kemahiran Hidup Bersepadu.

Sempena sambutan Hari Guru tahun ini, lima anugerah disampaikan iaitu Peraduan Menulis Esei, Guru Cemerlang Pendidikan Khas, Guru Inovatif, Sekolah Harapan Negara dan Tokoh Guru Kebangsaan.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4JOADy94n © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan