Jumaat, 9 September 2016

Tinggalan kubu Jepun belakang rumah

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
 Tinggalan kubu Jepun belakang rumah
Tinggalan kubu Jepun belakang rumah Saribanun menunjukkan tinggalan lokasi dapur kubu milik tentera Jepun yang kini tertimbus di belakang rumah pusaka di Kampung Ladang.
Tinggalan kubu Jepun belakang rumah
GEMAS – Bukan hanya binaan rumah limas berusia kira-kira 60 tahun yang menarik perhatian pelancong untuk merakamkan kenangan di Kampung Ladang, di sini, bahkan, sebuah lagi tinggalan sejarah turut tersimpan rapi di belakang rumah pusaka berkenaan.

Saribanun Yusof, 56, berkata, sejak kecil lagi, arwah ayahnya, Yusof Md Amin, banyak bercerita kepada mereka 13 beradik, terdapat binaan tungku dapur menggunakan batu-batu sungai yang disusun cantik berdekatan perigi dipercayai milik tentera Jepun.

Menurutnya, semasa rumah berkenaan didirikan, kubu tersebut masih lagi teguh dan dia juga berpeluang melihat sendiri peninggalan sejarah Perang Dunia Kedua berkenaan memandangkan terdapat dua perigi berhampiran kubu berkenaan.

“Kini hanya tinggal kesan sahaja memandangkan pada 2011, saya melakukan kerja tolak tanah untuk bina rumah baru dan binaan dapur kubu milik tentera Jepun berkenaan dibersihkan sekali. Binaan berkenaan tertimbus ke dalam perigi.

“Dulu perigi inilah yang menjadi lokasi keluarga kami mandi serta mendapatkan sumber air dan kawasan kubu berkenaan menjadi tempat bermain kami adik-beradik,” katanya kepada Sinar Harian, di Kampung Ladang, di sini, semalam.

Saribanun berkata, selain tinggalan sejarah itu, kediaman pusaka dibina arwah ayahnya selepas berkahwin dengan arwah emaknya, Timah Ismail, juga mempunyai nilai nostalgia serta sentimental yang tinggi buat mereka adik-beradik.

Menurutnya, lebih mengujakan lagi, gambar rumah berkenaan turut dipamerkan di Muzium Adat Jelebu dan mereka sekeluarga mengetahuinya apabila anaknya ada mengunjungi muzium tersebut bagi lawatan pusat pengajian.

“Tak sangka gambar rumah ini dikongsi kepada masyarakat dan pelancong serata pelosok dunia. Kampung ini salah satu homestay di Negeri Sembilan dan pengunjung yang datang dari Singapura, Thailand dan lain-lain lagi telah merakamkan kenangan di rumah ini.

“Sebab itu, saya sangat bangga dan berbesar hati sekiranya rumah ini dapat dibaik pulih dan seterusnya menjadi daya penarik pengunjung ke sini," katanya.  

Sebelum ini, Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah menjalankan kajian ke atas kediaman berkenaan bagi tujuan inventori kediaman Yusof sebagai rumah warisan bersejarah di negeri ini.

Kajian berkenaan telah dijalankan oleh Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Mohd Nazim Abd. Gaman; Penolong Kurator Unit Adat Perpatih Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Asrul Effendi Kamaruzzaman, dan pemandu Mohd Juharizan Azizan.

Asrul berkata, pemilik kediaman berkenaan berketurunan Minangkabau berasal dari Sumatera Barat, Indonesia dan merantau serta berkahwin dengan orang Rembau.

Menurutnya, tiang rumah berkenaan berjumlah 10 batang dan diperbuat daripada kayu serta dilapik dengan konkrit.

“Selain binaan rumah itu, terdapat tinggalan kubu Jepun di belakang rumah serta barang lama seperti seterika, almari antik, pinggan mangkuk, lesung menumbuk padi, basikal, serta tempayan yang digunakan untuk menyimpan air minuman," katanya.

Sumber-SINAR HARIAN  8 SEPTEMBER 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan