Selasa, 6 September 2016

Suharto senasib Sukarno


 

ARKIB : 22/05/1998
Suharto senasib Sukarno
RIBUAN pelajar Indonesia bergembira selepas mendengar pengumuman Suharto meletak jawatan sebagai Presiden, semalam.

PRESIDEN Indonesia, Suharto memperolehi kuasa melalui satu pergolakan dan nampaknya terpaksa pergi dalam suasana pergolakan yang hampir sama. Semalam, beliau mengumumkan peletakan jawatannya.

Beliau adalah antara pemimpin negara yang paling lama berkhidmat di dunia.

Pada mulanya, Suharto, 76, bertindak balas terhadap gesaan agar beliau meletak jawatan dengan mengumumkan satu pilihan raya baru yang tidak akan ditandinginya. Bagaimanapun beliau masih tidak memberi tarikh sebenar pilihan raya hanya berkata, ''secepat mungkin.''

Tetapi akhirnya semalam, beliau mengalah dan mengumumkan peletakan jawatannya.

Presiden itu membina pemerintahan dengan mengembalikan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi, selepas mengambil alih kuasa ketika negara dilanda keganasan dan hampir muflis pada pertengahan 1965.

Bagaimanapun 32 tahun selepas menggantikan Presiden pengasas Indonesia Sukarno, Suharto, yang satu ketika dikenali sebagai ''bapa pembangunan'', nampaknya terpaksa mengambil langkah berundur, selepas penyokong kuatnya, Speaker Parlimen Harmoko, kelmarin meminta beliau melepaskan jawatan.

Ketua Angkatan Bersenjata Indonesia, Jeneral Wiranto, kemudian berkata, kenyataan itu tidak berasaskan kepada undang-undang dan memberi amaran kepada pelajar dan elemen antikerajaan lain agar membatalkan tunjuk perasaan ''kuasa rakyat'', sempena ulang tahun ke-90 pertubuhan nasionalis Indonesia pertama yang diasaskan oleh pelajar bagi menentang pemerintahan penjajah Belanda.

Meskipun tunjuk perasaan ''kuasa rakyat'' itu tidak diadakan, tetapi ia berjaya memaksa Suharto berundur.

Rusuhan selama tiga hari, yang tercetus ekoran daripada bantahan pelajar selama tiga bulan dan krisis ekonomi yang semakin buruk sejak setahun lalu, dianggap sebagai kemuncak kepada kemarahan rakyat.

Lebih 500 orang terbunuh apabila rusuhan paling buruk dalam tempoh tiga dekad melanda ibu negara pada minggu lalu.

Ironiknya, bantahan pelajar pada pertengahan 1960-an jugalah yang membantu Suharto menggulingkan Sukarno.

Krisis kewangan Indonesia ternyata memberi pukulan hebat, apabila harga barang naik mendadak, nilai rupiah jatuh merudum, berjuta-juta penduduk hilang pekerja dan menjejaskan hampir setiap rakyat Indonesia.

Suharto akhirnya terpaksa menelan penawar pahit yang ditawarkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) melalui pakej pinjaman berjumlah AS$40 bilion (RM148 bilion), yang disifatkan oleh penganalisis politik sebagai langkah untuk melindungi ekonomi negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu.

Beliau telah mengemudikan gugusan kepulauan, yang terbentang sepanjang 5,000 kilometer itu, menempuh era-era pergolakan, kestabilan dan kerancakan ekonomi, sehinggalah krisis melanda pada Julai lalu.

Bekas jeneral tentera yang tajam pemikiran dan kadang kala terlalu bertegas - digelar sebagai ''jeneral yang sentiasa tersenyum'' oleh seorang penulis biografi - telah memerintah dengan penuh yakin, sambil dibantu oleh politik tentera.

Suharto diundi bagi mengekalkan kerusi Presiden ditentang bagi penggal enam tahun ketujuh pada Mac lalu oleh 1,000 ahli Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), badan perlembagaan tertinggi Indonesia, yang sebahagian besarnya dipilih sendiri oleh beliau.

Dilahirkan dalam keluarga petani pada 8 Jun 1921, Suharto mengalami tamparan hebat pada April 1996, dengan kematian Ibu Tien, isteri yang setia di sisinya selama 40 tahun. Bagaimanapun, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk pulih daripada kejutan itu dan kembali meneruskan tugas hariannya yang sentiasa sibuk.

Bagaimanapun, krisis ekonomi yang mendorong kepada tercetusnya bantahan pelajar, telah menjadikan pembabitan anggota keluarga dan rakan rapat Suharto dalam perniagaan negara, sasaran kritikan dan kecaman kerana dikatakan memperguna kepentingan politiknya.

Beliau mempunyai tiga anak lelaki dan tiga perempuan. Anak perempuan sulong, Siti Hardyanti Rukmana - lebih dikenali sebagai ''Tutut'' - dianggap sebagai yang paling bijak. Malah, beliau (Tutut) dilantik sebagai Menteri Kebajikan apabila Suharto mengumumkan Kabinet barunya pada April lalu.

Penentang politik Suharto diketuai oleh tokoh pembangkang utama, Megawati Sukarnoputeri dan pemimpin Islam, Amien Rais.

Megawati, anak perempuan kepada allahyarham Presiden Sukarno, terus menjadi penentang yang mendapat tumpuan, tetapi beliau menggunakan pendekatan undang-undang dan kurang menonjol.

Parti Demokratik Indonesia (PDI) dari nasionalis Kristian dan Parti Persatuan Pembangunan berorentasi Islam (PPP) dan parti memerintah, Golkar, adalah satu-satunya kumpulan yang sah untuk bertanding dalam pilihan raya lima tahun sekali itu.

Manakala Amien, yang mengetuai kumpulan Islam dengan 28 juta ahli, semakin lantang bersuara menuntut Suharto meletak jawatan, dan mengancam untuk memujuk berjuta-juta penunjuk perasaan berarak di jalan raya di seluruh negara.

Dalam pilihan raya terakhir pada Mei 1997, Golkar mencapai kemenangan besar dengan mendapat undi daripada PDI, yang mengalami perpecahan teruk akibat penyingkiran Megawati oleh kumpulan yang disokong kerajaan.

Semalam selepas 32 tahun, Suharto menyerahkan kuasa kepada naibnya, Bacharuddin Jusuf Habibie.

Suharto mula meraih kuasa apabila beliau berjaya mengagalkan apa yang kemudian disifatkan oleh kerajaan sebagai cubaan rampasan kuasa Komunis ke atas Sukarno pada 1965, di mana enam jeneral tentera terbunuh.

Berikutan pembunuhan dan bantahan merebak ke seluruh negara, peranan dan kuasa Suharto dilihat semakin penting, sekali gus meminggirkan Sukarno.

Pada 1967, Suharto secara rasmi menggantikan Sukarno, iaitu ketua negara kedua sejak Indonesia mengisytihar kemerdekaan pada 1947.

Kerajaan beliau juga kerap dituduh mencabuli hak asasi manusia kerana tindakan yang dikenakan ke atas penentang politik tempatan dan di Timor Timur, wilayah bekas jajahan Portugis yang diduduki oleh Jakarta pada 1976, tujuh bulan selepas ia menakluki wilayah itu.

Suharto adalah anak kedua daripada 11 beradik. Bapanya seorang pegawai pangkat rendah di kampung di Kemusu di Jawa Tengah. Ibu bapanya kemudian bercerai dan beliau dibesarkan oleh saudar-mara bersilih ganti.

Selepas menjawat jawatan kerani bank, Suharto menyertai angkatan tentera penjajah Belanda pada usia 19 tahun sebagai kopral.

Ketika pendudukan Jepun pada 1942-45, beliau menyertai ''tentera Indonesia'' yang dilatih Jepun dengan pangkat pegawai. Selepas perang, beliau berjuang bersama pejuang kemerdekaan Indonesia menentang Belanda. - Reuters.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4JTE8WYia © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan