Selasa, 6 September 2016

Dompok KM baru Sabah


 

ARKIB : 22/05/1998
Dompok KM baru Sabah
ANWAR Ibrahim pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil bank bagi membincangkan peruntukan tambahan Dana Kemudahan Kredit Eksport (ECF) di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 21 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan Presiden Parti Demokratik Sabah (PDS), Tan Sri Bernard Dompok sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru menggantikan Datuk Yong Teck Lee.

Beliau berkata, pelantikan itu akan berkuat kuasa pada 28 Mei ini iaitu genap dua tahun Yong menjawat jawatan tersebut.

''Saya telah diminta oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad) untuk mengumumkan nama Ketua Menteri Sabah yang baru menggantikan Datuk Yong Teck Lee iaitu Tan Sri Bernard Dompok,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil bank bagi membincangkan peruntukan tambahan Dana Kemudahan Kredit Eksport (ECF) di sini hari ini.

Beliau berkata, calon Ketua Menteri yang baru itu akan berunding dengan Dr. Mahathir secepat mungkin sebelum mengangkat sumpah dan menyusun kabinet negeri.

Dengan pengumuman ini, Bernard akan menjadi Ketua Menteri Sabah yang ketiga dalam sistem giliran Ketua Menteri di negeri seperti mana yang dijanjikan oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri 1994.

Sistem penggiliran antara tiga masyarakat utama di Sabah, iaitu Melayu, Cina dan Kadazan telah dijanjikan oleh Dr. Mahathir dalam pilihan raya negeri empat tahun lalu.

Pelantikan Bernard yang mewakili kaum Kadazan itu juga turut melengkapkan pusingan dalam penggiliran itu yang menyaksikan wakil daripada ketiga-tiga kaum telah menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri seperti yang dijanjikan oleh BN.

Sebelum ini Datuk Salleh Tun Said telah mewakili masyarakat Melayu dan Yong Teck Lee mewakili masyarakat Cina.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4JTG694ro © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan