Ahad, 4 September 2016

Sharon Wee cipta sejarah

ARKIB : 05/05/1998
Sharon Wee cipta sejarah
PEMAIN skuasy negara, Sharon Wee mencipta sejarah apabila dia muncul juara Kejohanan Skuasy Terbuka Wanita Nigeria di Lagos kelmarin.

Sharon kini merupakan pemain Malaysia yang pertama menjuarai satu kejohanan di benua Afrika.

Dia yang pernah membantu skuad negara mencatat kejayaan meraih pingat emas wanita berpasukan pada Sukan SEA di Jakarta, Oktober tahun lalu, mengalahkan pemain Zambia, Victoria Chrishimba pada perlawanan akhir kejohanan itu.

Kejohanan yang bermula 30 April lalu itu menyaksikan Sharon yang menggunakan wang sendiri ke kejohanan tersebut, memulakan siri kemenangan dengan menumpaskan pemain tuan rumah, Bili Mogaji dengan straight set 9-3, 9-0, 9-2 pada pusingan pertama.

Dia terus beraksi cemerlang dengan menewaskan seorang lagi pemain Nigeria, S. Moneka pada pusingan kedua dengan kemenangan 9-3, 9-9, 9-2 sebelum melangkah ke separuh akhir.

Begitupun, dia diberikan saingan hebat oleh E. Jyamu, juga dari Nigeria pada separuh akhir apabila tumpas set pertama 6-9 dan meneruskan usaha untuk menang tiga set berikutnya dengan 6-9, 9-6, 9-1, 10-8.

Pada pertemuan akhir kelmarin, Sharon sekali lagi terpaksa bekerja untuk mengesahkan kemenangan ke atas Victoria dalam permainan yang berlanjutan sehingga set kelima.

Dia menang dua set awal dengan 9-5, 9-5, tetapi tumpas pada dua set berikutnya dengan 5-9, 7-9. Bagaimanapun, semangat juang yang tinggi menyaksikan Sharon ditabalkan juara dengan kemenangan 9-4 pada set penentuan ke atas pemain nombor 105 dunia itu.

Ini merupakan gelaran pertama yang diraih oleh Sharon di peringkat antarabangsa, yang sekali gus menyaksikan dia mencipta sejarah baru arena skuasy negara.

Kejayaan ini juga mempamerkan komitmen yang tinggi dalam diri pemain itu apabila membiayai sendiri semua perbelanjaan untuk menyertai kejohanan di Negeria itu.

Persatuan Reket Skuasy Malaysia (SRAM) turut melahirkan rasa bangga terhadap komitmen itu dan menyifatkan ia wajar dicontohi oleh semua atlet negara tanpa terlalu mengharapkan bantuan mana-mana pihak.

Semnentara itu, lima pemain Malaysia yang diketuai oleh pemain nombor satu negara, Kuan Choy Lin menampakkan peningkatan dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persatuan Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) kelmarin.

Choy Lin, pemenang pingat perak individu pada Sukan SEA mengumpul purata 121 mata daripada sembilan pertandingan untuk memperbaiki kedudukan di tangga ke-35.

Juara Sukan SEA, Leong Siu Lynn memperbaiki kedudukan dari tangga ke-45 dengan menduduki tempat ke-42.

Pemain terbaik ketiga Malaysia dalam ranking yang menyaksikan juara dunia, Sarah Fitz-Gerald dari Australia mengekalkan kedudukan teratas ialah Sharon Wee yang menduduki tempat ke-55 berbanding 65 ranking pada Mac lalu.

Chow Chooi Yeen turut berganjak satu anak tangga dari tangga ke-64 sementara bekas pemain nombor satu negara di tangga ke-89.

Seorang lagi pemain Malaysia yang berada dalam senarai itu ialah Carrie Yeo yang gagal memperbaiki kedudukannya dalam ranking terbaru.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JH7VdCtc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan