Ahad, 4 September 2016

480 pelajar pertama Politkenik Johor daftar Julai

ARKIB : 05/05/1998
480 pelajar pertama Politkenik Johor daftar Julai
JOHOR BAHRU 4 April - Johor akan mempunyai politeknik pertamanya yang serba moden berharga RM155 juta di Masai dekat sini apabila ia memulakan pengambilan pertama 480 pelajar Julai ini.

Ketika mengumumkannya, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, politeknik berkenaan yang dinamakan Politeknik Johor Bahru merupakan politeknik termoden selepas Shah Alam, Selangor.

Katanya, Politeknik Johor Bahru itu dibina di atas kawasan seluas 40 hektar dengan keluasan ruang lantai 72,540 meter persegi.

''Sebanyak 480 orang pelajar akan diambil bagi pengambilan pertama Julai ini yang akan mengikuti pelbagai kursus peringkat sijil dan diploma,'' jelasnya.

Katanya, politeknik itu juga dijangka dapat menampung di antara 5,000 hingga 6,000 pelajar menjelang tahun 2001.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kerja-kerja pembinaan Politeknik Johor Bahru, di Masai dekat sini, hari ini.

Turut hadir di dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ahmad Tokimin.

Najib berkata, setakat ini kerja-kerja pembinaan oleh kontraktor utama, Ekovest Bhd. telah 81 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya awal Julai.

Menurut beliau, pembinaan politeknik itu mengalami kelewatan selama setahun atas beberapa sebab.

''Politeknik Johor Bahru akan mengandungi enam zon iaitu zon pentadbiran, zon kuliah, zon serbaguna, pusat Islam, zon asrama dan zon perumahan kakitangan,'' katanya.

''Buat permulaan, Politeknik Johor Bahru ini akan mempunyai 150 tenaga di mana 80 daripadanya adalah pensyarah,'' tambahnya.

Najib berkata, kumpulan pertama pelajar akan mengikuti kursus kejuruteraan elektronik, kejuruteraan mekanikal, penyimpanan kira-kira, perhotelan dan katering, pelancongan, fesyen dan teknologi maklumat.

Katanya, bidang-bidang lain akan diperluaskan seperti rekabentuk grafik, rekabentuk perindustrian, kejuruteraan mekatronik dan rekabentuk industri.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan mempunyai strategi jangka panjang untuk membina lebih banyak politeknik bagi menepati sasaran awal sebanyak 14 buah dan seterusnya meningkatkannya kepada 18 buah.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_08.htm#ixzz4JH5ux7FT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan