Sabtu, 10 September 2016

Najib kesal soal francais jadi isu

ARKIB : 02/06/1998
Najib kesal soal francais jadi isu
KAJANG 1 Jun - Tindakan Kementerian Pendidikan membenarkan lima institusi pengajian tinggi (IPT) awam memfrancaiskan program matrikulasi kepada IPT swasta bukan bertujuan mengkomersialkan sistem pendidikan di negara ini.

Sambil menyatakan rasa kesal dengan beberapa laporan yang mendakwa kementerian itu cuba mengaut keuntungan dengan bertindak demikian, Menterinya Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tidak ada niat program itu dikomersialkan untuk mendapat pendapatan yang lebih.

''Sebaliknya ia semata-mata ke arah menyediakan tempat serta kemudahan yang lebih kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutama mereka yang mendapat keputusan cemerlang,'' katanya kepada pemberita selepas melawat Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini, hari ini.

Najib yang memperbetulkan laporan mengenai tindakan Universiti Malaya (UM) menempatkan sejumlah 1,900 pelajar asasi sainsnya di IPT swasta menerusi program francais berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian agregat pelajar berkenaan.

Katanya, hanya pelajar yang mendapat 12 agregat dan ke bawah dipilih membuat program matrikulasi di dalam universiti manakala selebihnya ditempatkan di IPT swasta.

Menurut beliau, pusat asasi sains UM hanya boleh menampung sejumlah 2,000 pelajar bagi tempoh dua tahun pengajian dan bukannya untuk tempoh setahun seperti yang dilaporkan.

''Telah timbul salah tanggapan iaitu kapasiti pusat asasi sains UM ialah 2,000 pelajar tiap-tiap tahun, jadi kalau sekarang mereka telah mempunyai 900 pelajar bererti UM dijangka mengambil 900 lagi iaitu cukup muatan dan kapasiti.

''Oleh itu dakwaan bahawa UM menolak program ini untuk dikendalikan oleh IPT swasta adalah tidak benar,'' katanya.

Menurut Najib, tujuan sebenar UM mengadakan program matrikulasi secara francais dengan IPT swasta ialah untuk menyahut kehendak kerajaan supaya tempat bagi kursus itu ditambah secara mendadak.

Ini kerana, katanya, walaupun peruntukan kepada kementerian telah dikurangkan termasuk belanja pembangunan dan pengurusan tetapi tempat untuk matrikulasi bagi lepasan SPM dan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) tetap bertambah sebanyak 24 peratus.

''Ini tidak boleh diadakan melainkan kita dapat mengadakan program francais dengan IPT swasta kerana kegawatan ekonomi yang melanda negara ini mengakibatkan pemotongan peruntukan dan kemudahan yang diperlukan tidak dapat dibina serta-merta,'' ujarnya.

Jelasnya, UM yang hanya mampu menawarkan tempat untuk program asasinya kepada maksimum 1,000 pelajar sebelum ini telah berjaya berbuat demikian kepada sejumlah 2,600 pelajar dengan adanya program francais.

Selain itu, Najib berkata, beliau sendiri akan meninjau keadaan semua IPT swasta yang terpilih menjalani program matrikulasi secara francais dalam masa yang terdekat untuk memastikan program yang dijalankan berkualiti dan memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan.

Najib turut merasmikan seminar Ke arah Kerjasama Bestari Antara Universiti Tempatan dengan Kolej Swasta.

Seminar tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan dan Persatuan Institusi-institusi Pendidikan Swasta dan Bebas (NAPIE).

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4Js4BRvP9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan