Sabtu, 10 September 2016

Dari sekolah sukan ke menara gading


 

ARKIB : 29/05/1998
Dari sekolah sukan ke menara gading
KHALID YUNUS (kanan) bertanyakan sesuatu kepada pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MOI) di Kuala Lumpur, semalam.

KEMENTERIAN Pendidikan akan memastikan pelajar di sekolah sukan akan diberi peluang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) meskipun mempunyai kelayakan minimum.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus berkata, pelajar di sekolah sukan sememangnya diberi keutamaan berdasarkan kemahiran yang diperolehi oleh mereka.

Katanya, mereka yang belajar di sekolah sukan berkenaan adalah cemerlang dalam sesuatu jenis sukan dan peluang untuk melanjutkan pengajian harus diberi keutamaan.

Jelasnya, kelonggaran akan diberi kepada pelajar berkenaan untuk memasuki IPT terutama dalam bidang sains sukan atau kursus yang bersesuaian dengan mereka.

''Kita mahu masa depan mereka cerah serta menjamin masa depan yang lebih gemilang,'' katanya Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Khalid menambah, pelajar yang mendapat pangkat satu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hampir pasti dijamin mendapat tempat di IPT awam.

''Saya sendiri mengarahkan pelajar yang mendapat pangkat satu diberi tempat di IPTA sejajar dengan kecemerlangan dalam sukan dan akademik,'' tegasnya.

Tambahnya, pelajar yang mendapat pangkat dua juga akan dipertimbangkan mengikut kesesuaian kursus dijalankan.

''Mereka boleh melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Teknologi MARA (ITM) atau Universiti Malaya (UM) dalam pelbagai jenis kursus.

''Kita juga akan terus memastikan bakat mereka dalam pelbagai jenis acara diteruskan meskipun sudah melanjutkan pengajian di IPT,'' tegasnya.

Khalid menambah kelonggaran memasuki IPT adalah satu cara mengiktiraf mereka selepas cemerlang dalam kedua-dua bidang.

''Mereka juga boleh dipertimbang memasuki maktab perguruan untuk memberi peluang melanjutkan pengajian,'' tegasnya.

Terdahulu Khalid menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian (MOI) antara Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan dan Adidas Malaysia di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Dalam perjanjian itu, syarikat berkenaan bersetuju menyumbang alatan sukan bernilai RM70,000.

Oleh: BAKARUDDIN BUSU
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Jrx8SpPP © Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan