Isnin, 5 September 2016

Dr. M mulakan lawatan rasmi ke Sudan

ARKIB : 14/05/1998
Dr. M mulakan lawatan rasmi ke Sudan
KHARTOUM 13 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali tiba di sini petang ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Sudan.

Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama melawat negara yang terbesar di benua Afrika ini.

Beliau tiba di ibu negara Sudan ini dari Kaherah selepas menghadiri Persidangan G-15 dengan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman dan Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Datuk Hishamuddin Tun Hussein.

Selepas ketibaannya, Dr. Mahathir memulakan acara lawatan dengan mengunjungi Presiden Omar Hassan Ahmed Eh-Bashir di istana ketua negara republik itu.

Kemudian beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Khartoum dan menghadiri jamuan makan malam di istana Presiden.

Esok beliau akan menghadiri mesyuarat dua hala dengan perwakilan Sudan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Ali Osman Mohamed Taha yang juga Timbalan Presiden Pertama Sudan.

Dr. Mahathir juga akan menemui para pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Khartoum.

Kemudian beliau akan berdialog dengan para cendekiawan dan ahli-ahli Parlimen Sudan sebelum menghadiri jamuan makan malam anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sudan.

Pada hari terakhir lawatannya Jumaat ini, beliau akan merasmikan pejabat Petronas di sini.

Petronas terlibat dalam usaha sama cari gali dan pengeluaran minyak secara usaha sama dengan Perbadanan Minyak Sudan, Perbadanan Minyak China dan sebuah syarikat Kanada. - Utusan.

Daripada: HAMZAH SIDEK

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_04.htm#ixzz4JO2Tngkt © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan