Sabtu, 10 September 2016

Cheras dipecah dua


 
DULU. Masjid Saidina Othman di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur (Gambar pada 26 Mei 1988).
 
KINI. Bentuk dan kedudukan Masjid Saidina Othman masih dikekalkan.
 
DULU. Maktab Sains MARA di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur (Gambar pada 5 September 1990).

KINI.  nama kepada Kolej Universiti Poly-Tech Mara.
 
DULU. Salah satu blok di Hospital Lady Templer di Cheras, Kuala Lumpur (Gambar pada 5 September 1986).
 
KINI. Tapak Hospital Lady Templer Cheras kini ditukar dengan bangunan Hospital Rehabilitasi.
 
DULU. Sekolah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur (Gambar pada 19 April 1972).
 
KINI. Dijenamakan sebagai Sekolah Menengah Sains Alam Shah.
 
DULU. Bangunan Specialist Teachers Training Institute
 
KINI. Berubah wajah kepada Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Menurut sejarah, mukim Cheras dipercayai dibuka pada sekitar penghujung tahun 1876.

Terdapat beberapa versi berkenaan asal usul nama Cheras antaranya, pada suatu ketika terdapat sekumpulan buruh yang membina jambatan Sungai Langat di Kampung Balakong.

Ketika bekerja, mereka menjumpai sebatang kayu besar yang sukar dipotong kerana terdapat teras pada bahagian dalam kayu itu.

Ekoran daripada peristiwa itu, tempat kayu yang dijumpai itu kemudian dikenali sebagai ‘teras’ dan akhirnya sebutannya ditukar menjadi Cheras.

Ada juga yang mengaitkan nama Cheras dengan sebatang pokok teras yang besar dan terendam di dalam sungai.

Disebabkan pokok teras ini adalah sejenis pokok yang kukuh dan kuat maka penduduk setempat sepakat menamakan kawasan itu sebagai Kampung Cheras dan sebatang sungai pula dinamakan Sungai Cheras.

Pendapat ketiga pula berkait dengan pedagang Cina yang sering menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan.

Dalam bahasa Cina, pergi dan balik disebut sebagai ‘chow lai’ dan lama- kelamaan sebutan itu sudah terbiasa dengan sebutan Cheras.

Selepas 1 Febuari 1974, sebahagian daripada mukim Cheras yang berada dalam lingkungan Kuala Lumpur dipindahkan secara rasmi kepada Kerajaan Persekutuan bagi membentuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur 1974.

Semenjak itu, Cheras dipecahkan menjadi dua bahagian yang berjiran di dalam Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Di Selangor, mukim Cheras terletak dalam daerah Hulu Langat dan berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang.

Sementara jirannya merangkumi mukim Kajang, mukim Hulu Semenyih dan mukim Hulu Langat.

Pusat tumpuan perniagaan untuk mukim Cheras, terletak di Pekan Batu 9 Cheras dan dalam sekitar 1982, Kampung Konggo secara rasminya dikenali sebagai Bandar Tun Razak.

Bandar ini sempena nama Perdana Menteri Malaysia Kedua Tun Abdul Razak yang juga mengilhamkan projek pembangunan bandar berkenaan pada tahun 1974.

Menerusi kewujudan bandar ini, penduduknya dinaik taraf sebagai penduduk bandar raya pertama yang menetap dalam sebuah bandar komprehensif dan lengkap dengan kemudahan asas serta rekreasi di Wilayah Persekutuan.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 12:00 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan