Sabtu, 1 Februari 2014

Jerat dan perdaya Komunis

Jerat dan perdaya Komunis

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID
 
Kesan kemusnahan yang dilakukan oleh pengganas komunis di sebuah estet di Sungai Siput Perak, pada 16 Jun 1948.

KOMUNIS adalah fahaman yang memiliki beberapa prinsip atau ciri asas utama. Dari sudut perjuangan, ia bersifat revolusioner di mana kaedah kekerasan (revolusi) menjadi pendekatan utamanya. Dari sudut politik, ia bersifat kuku besi (autokratik) dan anti demokrasi.

Dari sudut ekonomi pula, komunis anti pemilikan individu dan menganggap semua kekayaan adalah milik negara sepenuhnya. Manakala, dari sudut akidah, komunis adalah fahaman yang bersifat atheism atau tidak mempercayai Tuhan.

Fahaman yang diasaskan oleh Karl Marx (1818- 1883) ini menganggap realiti kehidupan dan budaya sebagai wujud dialektika. Ia bermaksud sejarah masyarakat adalah manifestasi perjuangan atau pertarungan kelas (class struggle). Asas perjuangan kelas yang tonjolkan dalam teori Marx ini adalah disebabkan beliau mempercayai bahawa kehidupan ditentukan sepenuhnya oleh material (benda).

Bertolak dari premis inilah Marx menyatakan interaksi manusia adalah berasaskan kepada aktiviti ekonomi (benda) semata-mata. Bagi Marx serta pendukungnya menganggap ‘kesamaan ekonomi’ (economy equality) adalah tujuan utama yang mesti dicapai dalam masyarakat. Ia hanya boleh dicapai sekiranya ditegakkan kerajaan komunis.

Jelaslah bahawa akidah komunisme adalah akidah kebendaan, iaitu sesuatu yang bercanggah dengan akidah Islam yang menekankan aspek tauhid adalah asas kepada hakikat kehidupan sebenar. Doktrin Marx tentang moral dan agama menyebut bahawa nasib manusia sepenuhnya di tangannya sendiri, bukan di tangan Tuhan. Justeru, dalam ajaran komunisme tidak ada konsep ‘eskatologi’ atau kepercayaan kepada hari kemudian (hari akhirat).

Komunis menganggap mereka yang percaya kepada Tuhan adalah berada dalam khayalan dan ia tidak lebih sebagai satu pelarian dan impian untuk lari daripada penderitaan hidup. Komunis menganggap agama adalah candu bagi rakyat.

Seperti yang disebut awal rencana ini bahawa Marx menggunakan teori ‘pertentangan kelas’ (dialektika) di mana dalam masyarakat wujud dua kelas utama iaitu ‘bourjois’ (kaum kapitalis yang berkuasa) dan ‘proletar’ (golongan buruh) yang tertindas. Untuk mengubahnya maka Marx menyeru kepada revolusi.

Di antara revolusi penting yang mengangkat komunisme sebagai ideologi politik antarabangsa ialah Revolusi Bolsheviks pimpinan Lenin pada 17 Oktober 1917.

Revolusi ini berjaya menumbangkan kekaisaran Russia dan membunuh semua musuhnya termasuk kaum beragama. Pada permulaan kebangkitan Bolshevik mereka mengajak kaum Muslimin di Russia untuk bersama-sama menentang ‘Tzar’ (raja) yang zalim. Mereka membuat janji manis untuk membela nasib kaum Muslimin.

Untuk menawan hati umat Islam di Russia ketika itu maka mereka turut menggunakan ayat-ayat al-Quran tentang tanggungjawab menegakkan keadilan dan kesamarataan. Namun, setelah kaum sosialis itu berjaya dan menubuhkan negara komunis di Russia maka mereka mula merancang menindas dan menghapuskan umat Islam. Mereka mendesak kaum Muslimin untuk memilih sama ada menjadi komunis atau dibunuh.

Pada Februari 1918, mereka memusnahkan pemerintah Turkistan yang beragama Islam. Tindakan jahat mereka itu mengorbankan 800,000 umat Islam. Apabila bangkit pemberontakan Bamachi di kalangan orang Islam, maka komunis terus memerangi umat Islam selama 13 tahun (1921-1934). Pada 1931 mereka berjaya menangkap dan membunuh pahlawan Islam bernama Ibrahim Beg.

Hakikatnya, mereka ialah satu kaum yang amat suka berdusta dan mengkhianati janji. Mereka juga berdusta dalam soal pengagihan kekayaan.

Perjuangan mereka untuk menegakkan keadilan ekonomi dengan meruntuhkan kapitalisme dan kerajaan bukan komunis adalah pembohongan semata-mata. Benarkah mereka menentang kapitalisme untuk menegakkan keadilan ekonomi?

Jawapannya tidak. Buktinya mereka tidak pernah menentang secara serius konsep dan amalan ‘riba’ yang ditentang Islam. Malah, dalam realiti sejarahnya pemodal-pemodal dan penguasa bank-bank antarabangsa yang kaya raya telah banyak membantu pergerakan sosialisme yang menjadi asas kepada pembentukan kerajaan komunisme. Perlu difahami bahawa masyarakat sosialis adalah tahap pertama sebelum masyarakat komunis sebenar dibentuk.

Dalam Revolusi Bolshevik, orang-orang kaya telah membiayai gerakan sosialisme yang kononnya untuk merampas harta kekayaan pemodal-pemodal yang menindas tetapi apa yang berlaku ialah mereka akhirnya menjadi orang yang menguasai kekayaan di bawah sistem komunis. Di mana-mana negara komunis, golongan yang hidup mewah dan penuh kesenangan ialah golongan pemimpinnya.

Di tanah air kita, Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada 1930 atas arahan Komunis Antarabangsa (Comintern) telah melakukan revolusi bersenjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (1948). Perjuangan bersenjata mereka itu menyebabkan negara diisytiharkan darurat (1948-1960).

Bentuk penentangan yang dilakukan komunis melalui serangan hendap serta menggunakan kaedah perangkap samar telah mengorbankan banyak nyawa dan kecederaan serta kecacatan kekal di kalangan anggota keselamatan dan orang awam. Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan di estet seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa, harta benda dan tanaman mereka dimusnahkan.

Tidak sedikit penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma yang dialami rakyat akibat kekejaman komunis itu. Seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Di kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473 terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian pihak gerila komunis adalah 6,710 dan yang ditawan seramai 3,989 orang (Manja Mohd. Ludin, 1990).

Sebenarnya terlalu banyak kekejaman dan kejahatan yang dilakukan komunis di tanah air kita yang membabitkan anggota keselamatan dan orang awam yang tidak berdosa. Di antaranya ialah:

* Pada 13 Disember 1948 pengganas komunis membakar bangunan anak-anak yatim di Serendah, Selangor membunuh seorang pengawas di rumah kebajikan itu.

* Pada 5 Julai 1949 pengganas komunis melemparkan sebutir bom ke arah orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan sarkas di Kampar, Perak. Empat orang terbunuh dan 46 orang cedera termasuk kanak-kanak dan wanita sedang mengandung.

* Pada 12 Ogos 1949 pengganas memasuki rumah para buruh di Ladang Jany, Selangor dan merompak wang tunai dan barang-barang kemas. Sebenarnya terlalu banyak tindakan komunis menceroboh, merompak dan membakar rumah pekerja.

* Pada 21 Sept 1949 pengganas komunis di daerah Plentong, Johor Bahru melemparkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun ke dalam api yang sedang marak menyala. Komunis turut membunuh kaum keluarga kanak-kanak malang itu.

* Pada 4 Februari 1950 pengganas komunis membakar kampung di Simpang Tiga, Perak mengakibatkan 1,000 orang kehilangan rumah.

* Pada 23 Februari 1950 Komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong, di Hulu Sungai Muar secara serangan hendap menyebabkan 25 jiwa terkorban (19 orang anggota polis, 2 orang isteri dan 2 anak anggota polis serta orang awam).

* Pada 27 Februari 1951 serangan bom tangan di panggung wayang Wah Lok, Sungai Siput mengakibatkan tiga orang mati dan 13 cedera.

* Pada 7 Oktober 1951 Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney mati ditembak dalam serangan hendap oleh pengganas komunis di Batu 56 œ, Jalan Kuala Kubu Bharu (Bukit Fraser).

* Pada 21 Februari 1952, sebuah kenderaan polis diserang hendap di kawasan Taiping, Perak. Lima anggota polis cedera parah.

* Pada 18 Oktober 1954, Balai Polis Chua Seng di Pontian, Johor musnah dibakar komunis. Empat anggota polis terkorban dan tujuh lagi cedera parah.

* Pada 9 Mac 1955, empat orang asli dibunuh oleh pengganas komunis di Sungai Landor, Ipoh.

* Pada 7 Jun 1974 komunis menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Kuala Lumpur.

* Pada 26 Ogos 1975 Tugu Negara dibom komunis. Kejadian pada jam 5 pagi itu telah memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung.

* Pada 13 November 1975, Komunis menembak mati Ketua Polis Negeri Perak Tan Sri Khoo Chong Kong di Ipoh.

Daripada kronologi peristiwa kedurjanaan komunis itu menunjukkan bahawa walaupun negara telah diberi kemerdekaan oleh British, tetapi mereka tetap melakukan onar di sekitar 1960an dan 1970an. Jika benar mereka berjuang untuk kemerdekaan, sepatutnya mereka memberhentikan segala kejahatan dan membubarkan perjuangan mereka.

Namun, oleh kerana mereka bercita-cita untuk menubuhkan kerajaan komunis di negara ini maka mereka tetap meneruskan keganasan mereka.

Apa pun kita bersyukur kerana segala rancangan jahat mereka berjaya disekat oleh kerajaan dengan menggunakan Akta Darurat 1948. Komunis meletakkan senjata selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989. Namun, Chin Peng (Ong Boon Hwa) dalam bukunya My Side Story tetap menyatakan kebanggaannya terhadap ideologi tersebut.

Yang menyedihkan kita ialah hari ini terdapat di kalangan pemimpin Pas sendiri mula menimbulkan keraguan di kalangan rakyat dengan mengangkat tokoh-tokoh yang berpakat atau menggabungkan perjuangannya dengan komunis sebagai hero. Sepatutnya analisis sejarah kita harus melihat perkara pokok yang lebih besar, iaitu impak perjuangan komunis terhadap tanah air sekiranya PKM berjaya dalam perjuangan bersenjata mereka.

Cuba kita bayang dan fikirkan seandainya perjuangan komunis di Tanah Melayu itu berjaya, maka kita sebenarnya akan dikuasai dan dijajah oleh ideologi komunis yang anti agama dan anti demokrasi. Saya yakin, keadaan yang serupa akan berlaku seperti mana yang berlaku di Russia selepas Revolusi Bolshevik. Aktivis -aktivis kiri Melayu yang mendukung atau berpakat dengan komunis itu pasti akan diperdayakan seperti mana komunis memperdayakan umat Islam di Russia.

Kesimpulan, perjuangan PKM bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana tujuan mereka adalah menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu. Orang Melayu dan bukan Melayu yang waras harus sedar bahawa ia pada hakikatnya merupakan satu bentuk penjajahan baru yang tidak dapat diterima sama sekali.

PENULIS ialah ketua Unit Penerbitan

di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

SUMBER:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0913&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz2s5YvbU15 © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 30 Januari 2014

Bom mortar zaman perang dunia kedua ditemui di Kampung Tunjong

30/01/2014 8:40pm

KOTA BHARU - Sebutir bom mortar dipercayai peninggalan ketika perang Dunia Kedua ditemui dalam sebuah longkang di tepi jalan Kampung Tunjong, Nilam Puri di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, bom sepanjang 0.33 meter dengan ukur lilit 81 milimeter itu ditemui dua pekerja Syarikat Roadcare (M) Sdn Bhd ketika melakukan kerja pembersihan jalan pada pukul 12 tengah hari.

"Unit Pemusnah Bom kemudiannya melakukan pemusnahan secara menyeluruh ke atas bom mortar tersebut pada pukul 2 petang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nuriman Othman, 26, yang menjumpai bom tersebut berkata, beliau ternampak objek berkenaan semasa memotong rumput di kawasan itu bersama rakannya.

"Saya sempat mengangkat objek itu untuk ditunjukkan kepada rakan sekerja kerana tidak menyangka objek tersebut adalah bom lama.

"Kemudian saya letakkan semula selepas rakan saya memaklumkan bahawa objek tersebut adalah bom dan rakan saya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Nilam Puri di sini,” katanya. - Bernama

KOSMO ONLINE 30.1.14

Rabu, 29 Januari 2014

Perjuangan Utusan terus menyala

Oleh Zainudin Maidin

BAGAIMANAPUN, setelah enam bulan di Jakarta, A. Samad meletakkan jawatan pada November 1958 dan menyertai Straits Times di Kuala Lumpur untuk membantu penerbitan sebuah akhbar harian Melayu yang pertama dalam tulisan rumi, Berita Harian. Rakan-rakan di Utusan membantah A. Samad bekerja dengan Straits Times kerana menganggapnya sebagai suara kolonialisme.

Ketika itu semua rakan penting A. Samad di Utusan Melayu yang sefahaman dengannya telah pun berada di Kuala Lumpur. Antaranya Said Zahari, Usman Awang, Tajuddin Kahar, Salim Kajai dan Awam-il Sarkam.

Menurut A. Samad, pemogokan pekerja Utusan Melayu pada tahun 1961 adalah ekoran daripada perancangan mogok yang tertunda pada 1957 untuk membantah pertukarannya ke Jakarta. Tetapi A. Samad sendiri menghalang permogokan itu dan meminta mereka jangan menentang penyingkirannya walaupun beliau sendiri tidak menyenanginya.

A. Samad tidak percaya bahawa pertukarannya itu kerana beliau tidak dikehendaki oleh Tunku Abdul Rahman seperti yang didakwa oleh Yusof. Tetapi menurut Rahim Ishak iaitu adik Yusof, beliau sendiri telah melihat surat Tunku Abdul Rahman kepada abangnya, Aziz, yang memberitahu Yusof bahawa beliau tidak mahu A. Samad sebagai Timbalan Pengarang kerana mendapat tahu A Samad pro-komunis.

Rahim menyatakan beliau masih ingat dengan jelas nota Tunku Abdul Rahman yang berwarna biru itu.

Namun demikian, pemergian A. Samad daripada Utusan Melayu tidaklah bererti beliau telah putus hubungannya dengan Utusan Melayu. A. Samad meninggalkan ramai rakan dan anak didiknya yang meneruskan perjuangannya.

Antara mereka ialah Usman Awang dan Said Zahari yang kemudian menjadi ketua pemogokan Utusan Melayu pada tahun 1961. Said kemudian menjadi tahanan politik yang paling lama di Singapura.

Setelah menghantar A. Samad ke Jakarta pada tahun 1957, Yusof telah meminta Othman Wok untuk mengambil alih jawatan sebagai Timbalan Pengarang. Tetapi bila Othman enggan beliau mengancam akan menyingkirkan Othman. Sebelumnya, Said telah meminta Othman supaya jangan menerima tawaran itu.

Walaupun menjadi Timbalan Pengarang tetapi Othman bertugas di Singapura manakala Zainal Abidin Alias (Zabha) mengetuai Jabatan Pengarang di Kuala Lumpur. Sebenarnya, Said yang ketika itu Pengarang Berita dan juga Penulis Rencana Pengarang yang mencorakkan dasar dan perjalanan Utusan Melayu setiap hari dengan dibantu oleh Usman Awang yang popular dan berpengaruh besar. Mereka bertukar ganti menulis ruangan pojok Ada-Ada Sahaja di bawah nama “Awang Bongsu" yang sering mengecam dasar-dasar dan projek kerajaan Perikatan.

Yusof dan juga anggota-anggota Lembaga Pengarah asal Utusan Melayu tidak lagi menguasai Utusan Melayu menerusi saham mereka kerana sebahagian besar saham terbitan baharu telah dijual kepada pihak lain untuk menambah modal dan meluaskan pengedaran Utusan Melayu. Sebaliknya akhbar Utusan Melayu meneruskan dasar warisan sejak penubuhannya pada 1938.

Apabila kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman sejak sebelum merdeka menunjukkan dasar pro-Barat dan perdagangan bebas, Utusan Melayu tidak menyokongnya. Kerajaan membuka beribu-ribu ekar tanah untuk rakyat yang tidak bertanah di bawah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), tetapi Utusan Melayu membela peneroka tanah haram dan membesar-besarkan berita mengenai tindakan mereka.

Kerajaan mahukan pelaburan asing, Utusan Melayu menganggapnya sebagai membawa penindasan baharu. Suara Utusan Melayu selari dengan dasar Afro Asia yang pro-Soviet Union dan China Komunis.

Utusan Melayu juga menyokong Menteri Pertanian Aziz Ishak dalam konfrontasi dengan Tunku Abdul Rahman yang tidak bersetuju dengan projek baja ureanya pada bulan Mei 1961.

Semakin hari semakin jelas dasar tidak sehaluan Utusan Melayu dengan UMNO yang amat tidak disenangi oleh Tunku Abdul Rahman. Ekoran itu, Tunku Abdul Rahman sering memanggil Yusof untuk “sarapan" dan cakap-cakap di mana beliau menyampaikan tegurannya. Yusof telah mencurahkan perasaannya kepada Said bahawa beliau berasa terhina dengan arahan menemui Perdana Menteri setiap pagi.

Utusan Melayu lebih dikenang sebagai akhbar yang membangkitkan kesedaran orang Melayu bagi menentang Malayan Union dan mendorong penubuhan UMNO tetapi sebenarnya selepas kejayaan itu Utusan Melayu tidak lagi bersama UMNO. Selepas Malayan Union, UMNO menerima Perlembagaan Persekutuan 1948 sebaliknya Utusan Melayu memperjuangkan Perlembagaan Rakyat yang disokong oleh kumpulan-kumpulan berhaluan kiri.

Semangat perjuangan inilah yang diwarisi oleh Utusan Melayu sehingga dipatahkan oleh UMNO pada tahun 1961. Di sebalik kejayaan dan keagungannya, Utusan Melayu mencatatkan sejarah hitam dua sahabat yang walaupun tidak sama perwatakan dan fahaman tetapi dapat bekerjasama dalam membangunkan Utusan Melayu ke zaman kegemilangannya tetapi akhirnya putus juga pertalian persahabatan kerana kepentingan yang berbeza. Demikianlah yang berlaku antar A. Samad Ismail dan Yusof Ishak.

Utusan Melayu tidak sekadar sebuah akhbar tetapi adalah akhbar yang menjadi medan perjuangan untuk bangsa, agama dan tanah air yang memakan korban dari semasa ke semasa. Ia menepati konklusi yang dibuat oleh penulis sejarah nasionalisme Melayu, William R. Roff bahawa “keperibadian Melayunya yang membantu sehingga bertukarlah ia daripada surat khabar menjadi suatu matlamat perjuangan."

Tsunami Politik 2008 telah membuktikan lagi kebenaran ini, menyerlahkan Utusan Melayu sebagai akhbar yang tidak pernah mungkir janjinya meneruskan perjuangan bagi bangsa, agama dan tanah air.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130923/re_06/Perjuangan-Utusan-terus-menyala#ixzz2rrdKD8gy © Utusan Melayu (M) Bhd


Lelaki bersolat penunggu Kellie's Castle?

 

Kellie's Castle di Batu Gajah, Perak tersergam indah di waktu siang namun menyeramkan ketika malam.
TUJUH tahun berkhidmat sebagai penyelia di Kellie's Castle, pelbagai pengalaman seram dialami dan dilihat sendiri dengan mata kasarnya. Namun, Thalha Mohammad Affendy, 39, atau lebih dikenali dengan nama Yuris tidak canggung berdepan semua itu.

Pengalaman paling terkesan di hatinya adalah tatkala menemani sekumpulan pelajar kolej swasta meninjau sebuah bilik simpanan arak di istana lama berusia lebih 100 tahun itu yang pernah menjadi milik William Kellie Smith.

Kellie Smith adalah seorang rakyat Scotland yang berkahwin dengan Agnes, anak kepada pengusaha sebuah perusahaan kapas terkenal di England ketika itu.

Pelajar berkenaan yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan, pada awalnya, terlalu asyik berbual di gerai berhampiran sehingga tidak sedar jam di tangan sudah menunjukkan pukul 8 malam.

Namun, disebabkan ingin merasai pengalaman berada di Kellie's Castle pada waktu malam, Yuris membenarkan mereka masuk secara percuma.

Lantas, mereka dibawa memasuki bilik bawah tanah yang boleh memuatkan 3,000 botol wain itu dengan menuruni laluan bertangga yang cukup gelap-gelita.

"Saya sengaja berpesan kepada mereka supaya menutup telefon bimbit, jangan bercakap apa-apa serta dan duduk diam di sana selama 10 minit.

"Namun, rancangan untuk berada lebih lama di situ tidak menjadi apabila tak sampai dua minit, telefon saya sendiri yang berdering. Rupa-rupanya, saya terlupa untuk menutupnya. Kebetulan, rakan saya mengajak keluar minum, lalu saya mengambil keputusan untuk terus membawa mereka keluar dari situ.

Namun, ketika semuanya bergerak pantas menaiki semula anak tangga untuk beredar, langkah seorang pelajar wanita terhenti.

"Dalam keadaan yang gelap itu, dia merasakan ada sesuatu yang menghalang kakinya, seolah-olah seluarnya ditarik. Kami panik dan cuba menenangkannya dengan memintanya membacakan surah al-Fatihah.

"Paling menakutkan, apabila dia mendakwa ada seseorang di belakangnya, sedangkan hanya saya sahaja yang berada di situ. Malah, seorang lagi budak lelaki berteriak kerana pipinya terasa seperti diusap dengan tuala lembut," tutur Yuris yang mengakui meremang bulu romanya ketika itu.

Menurut Yuris, bukan semua orang 'bertuah' dapat merasai pengalaman seram seperti itu. Namun katanya, bilik anak perempuan kepada pasangan Kellie Smith dan Agnes yang bernama Helen, juga seringkali menjadi bualan para pengunjung.

Yuris berkata, ada yang melihat kelibat budak perempuan di sana. Malah, dia sendiri menyaksikan sekumpulan rakan yang masuk ke istana itu dalam dua masa berbeza tetapi akhirnya 'bertekak' setelah sebahagian daripadanya mempertahankan dakwaan bahawa bilik tersebut kelihatan cukup indah dihiasi lengkap dengan katil dan almari cermin, sedangkan hakikatnya, kamar tersebut ternyata kosong.

"Saya pernah bertugas di kaunter tiket dan dari jauh di bawah bukit, saya melihat sepasang kekasih sibuk bergambar di bilik bawah. Yang wanita berdiri di bingkai tingkap sementara yang lelaki mengambil gambar.

"Namun, tiba-tiba mereka keluar dari tempat itu. Lelaki tersebut menunjukkan lensa kameranya kepada saya dan teman wanitanya tidak kelihatan di dalam bingkai tingkap tersebut," katanya.

Tambah Yuris, terdapat juga sekumpulan empat orang Cina baru sahaja membeli tiket, namun membatalkan hasrat mereka untuk melawat istana lama itu kerana mendakwa ternampak satu lembaga hitam melintas masuk ke bilik simpanan arak.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang berkhidmat di Kellie's Castle, tidak pernah seorang pun yang dirasuk, malah bayi berusia enam bulan juga boleh masuk dan keluar dari tempat berkenaan tanpa sebarang masalah.

Meneruskan bicara, Yuris berkata, dia juga pernah didatangi oleh seorang lelaki India dalam keadaan agak ketakutan apabila maklumat bertulis yang diperincikan pada setiap kertas bersaiz A4 dan ditampal di dinding setiap bilik, telah hilang dalam bidikan lensa kameranya.

Malah katanya, seorang mahasiswa yang teringin sangat untuk melawat Kellie's Castle pernah menemuinya sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, sebelum kali terakhir meninggalkan Perak untuk pulang ke Johor.

Menurut Yuris, mahasiswa itu merayu kepadanya untuk dibenarkan masuk pada pukul 6.30 petang walaupun waktu operasi telah berakhir setengah jam sebelum itu.

"Saya tak sampai hati lalu membenarkannya masuk. Dia teruja merakam pelbagai gambar di ruang santapan di istana itu sebelum terkejut melihat satu imej bayang-bayang hitam keluar dengan muka, mata dan mulut yang jelas di kameranya," katanya.

Dalam pada itu, Yuris berkata, sepanjang melakukan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan di Kellie's Castle, dia pernah merasai tangga yang digalas di bahu untuk dibawa ke sebuah pondok stor berhampiran, telah ditarik oleh sesuatu ke belakang.

"Banyak kejadian aneh biasanya berlaku pada hari Selasa dan saya pun tidak tahu kenapa. Kami juga pernah didatangi oleh sebuah keluarga yang mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan tahun dan namanya Anisah.

"Apabila sampai di depan Kellie's Castle, Anisah mendakwa dapat melihat banyak 'hantu' di situ. Seorang rakan saya kemudian bertanyakan kepada ibu Anisah sama ada benar anaknya itu mempunyai keistimewaan melihat 'benda-benda halus' dan dia mengakuinya.

"Lantas, rakan saya meminta kebenaran daripada wanita berkenaan untuk membawa Anisah ke dalam istana lama itu bagi 'mengujinya'.

"Dia menemani Anisah menuju ke bilik simpanan arak tetapi Anisah tidak mahu turun ke bawah kerana ternampak seekor monyet garang seolah-olah hendak menerkam. Kemudian, Anisah dibawa melawat ke bilik-bilik lain dan mengatakan ada melihat peti besi dan emas di situ.

"Setibanya di bilik tetamu di tingkat atas sekali, Anisah berhenti dan tidak mahu masuk ke dalam kerana mendakwa tidak mahu mengganggu seorang lelaki tua yang sedang bersolat. Kemudian, kami teringat kata-kata sekumpulan sami yang juga pernah datang ke sini pada 2011 dengan niat untuk mencari siapa 'penjaga' istana lama ini.

"Mereka telah naik sampai ke tingkat atas dan kemudiannya turun semula ke kaunter tiket untuk memohon maaf kepada kami. Salah seorang daripada sami itu berkata, terdapat lelaki yang bersembahyang di bilik atas menegur perbuatan mereka yang tidak 'meminta izin' terlebih dahulu kepada pengurus premis tersebut.

"Kalau diikutkan, memang kami tidak percaya, tetapi, setelah apa yang diperkatakan mereka itu ada keselariannya, mungkin juga ada kebenarannya," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140125/lk_02/Lelaki-bersolat-penunggu-Kellies-Castle#ixzz2rpkqZJwv © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 21 Januari 2014

Sejarah negara rentasi buku teks

Oleh A MURAD MERICAN
SEJARAH bukan hanya terkandung dalam buku teks sekolah. Sejarah adalah satu kemahiran - intelektual, warisan dan kehidupan. Wacana dan kenyataan awam yang hanya mengaitkan sejarah kepada buku teks dan pengajarannya memupuk semangat patriotisme adalah kurang tepat.

Menganggap sejarah sebagai tidak wujud ‘di luar buku teks sekolah’ hanya memesongkan lalu memalsukan kesedaran kita. Perkara ini dicerminkan melalui perbincangan awam akhir-akhir ini.

Ini mengakibatkan hujah-hujah mutakhir ini juga mengandaikan bahawa Semenanjung Tanah Melayu tiada penduduk asal kecuali Orang Asli. Ada penulisan menyatakan sejarah Malaysia hanya bermula dari tahun 1786. Ada juga mahukan sejarah negara diajar sebagai bermula pada 1957.

Malah ada juga yang langsung terus menyatakan bahawa sejarah (khususnya merujuk kepada sejarah Malaysia) tidak perlu diajar langsung, apatah lagi sebagai mata pelajaran wajib lulus kerana pengetahuan sejarah tidak menyumbang apa-apa kepada kemahiran hidup dan kebolehan keusahawanan.

Sidang Kemuncak Sejarah 2013 Disember lalu telah membincangkan pelbagai isu dan tema berkaitan sejarah dan sejarah Malaysia. Antara kertas kerja yang menarik perhatian saya bertajuk “Sejarah Malaysia di Media: Respons Daripada Public Historian (Sejarawan Awam)" oleh Mohd. Arof Ishak.

Beliau membangkitkan trend mempersoalkan setiap isu dan bentuk sejarah Malaysia dengan tujuan mengubah “seluruh isu dan rupanya." Beliau mengenal pasti aliran pemikiran tersebut sebagai pendekatan rejectionist yang menolak masyarakat sedia ada. Ini lumrah dalam media seperti blog dan portal media dalam talian, juga dalam beberapa media tradisional.

Mohd. Arof mengambil pendirian sebagai seorang sejarawan awam, melihat sejarah sebagai satu naratif ‘masyarakat pribumi itu sendiri di habitat/alamnya sendiri.’ Salah satu pendekatan yang sepatutnya disebar luas dan diguna pakai di Malaysia adalah melihat sejarah sebagai pengkisahan tentang peradaban.

Ini bermakna sejarah negara menumpukan kepada pengkisahan akan suatu bumi atau alam yang tertentu dan penghuni aslinya atau pribuminya. Suatu bumi dan penghuninya aslinya membentuk satu alam manusia, budaya dan pandangan alam. Alam manusia setempat membentuk bahasa yang ditutur dan mengembangkannya menjadi institusi dan amalan - nilai masyarakat.

Dalam hal ini, orang Melayu dan lain-lain warga negara ini mesti memahami istilah-istilah dan maksud ‘bangsa pribumi’, ‘tanah ibunda’ dan ‘tanah air’. Ini adalah asas kefahaman dan pembelajaran tentang ilmu sejarah.

Umumnya, negara-negara pasca kolonial di alam Melayu seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina dan di rantau lain di dunia dibentuk akibat aliran sejarah melalui proses undang-undang dan politik moden dengan mewujudkan sempadan-sempadan lalu membentuk unit politik.

Keaslian alam Melayu adalah hakikat yang dicitrakan oleh bangsa dan bahasa Melayu-Polinesia dan mengasaskan kepada kekeluargaan dengan merujuk kepada satu istilah asli, yakni ‘serumpun’. Namun, menurut Mohd. Arof, pembentukan negara-negara bangsa moden telah membawa padah kepada kefahaman mengenai sejarah. Akibat itu, sejarah menjadi satu kajian akademik yang bersifat nationalistic.

Keadaannya adalah negara-negara pasca kolonial seperti Malaysia terperangkap dalam gesaan dan hambatan membentuk satu ‘sejarah baru’ selepas tarikh ‘dilepaskan’ oleh penjajah. Inilah yang ditekankan oleh sejarah akademik/kenegaraan dalam buku-buku teks sekolah di Malaysia. Ia telah menyempitkan kajian sejarah Malaysia yang dihadkan oleh sempadan politik. Sejarah bukan lagi menjadi ilmu peradaban dan kemanusiaan.

Sejarah cara akademik sebegitu, yang disebut sebagai sejarah nasional bersifat sejarah palsu. Keadaan sebegini bukanlah sejarah kerana sejarah tidak boleh dipenggalkan oleh sempadan politik - seperti yang berlaku di kepulauan alam Melayu. Jika sejarah terus diajar mengikut fahaman sempit sejarah nasional, maka akan wujud gesaan dan kemestian satu interpretasi ‘politik yang betul,’ dan ‘kewajaran politik’ (political correctness).

SEIMBANG

Keadaan sedemikian kebelakangan ini, menjurus kepada hujah supaya sejarah Malaysia bersifat seimbang dan inklusif - dengan mengakui kepelbagaian budaya dan kepelbagaian agama seperti yang biasa difahami dalam wacana-wacana akademik dan dasar. Pendekatan ini berdasarkan kepada pendidikan sejarah dan penggubalan semula penulisan buku-buku teks sejarah di Malaysia. Pendirian Mohd. Arof, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Persatuan Sejarah Malaysia, bertentangan dengan tujahan yang sedemikian.

Hujah inclusiveness ini juga dikemukakan dalam sebuah makalah bertajuk History Education: Fostering Patriotik Citizenship and National Unity (Pendidikan Sejarah: Memupuk Kewarganearaan Patriotik dan Kesepaduan Kebangsaan) oleh Helen Ting dalam 2013 Yearbook of the International Society of History Didactics, Jil. 34, h. 103-116.

Helen menggariskan beberapa cadangan antaranya menekankan kreativiti dan apa yang disebutnya sebagai patriotisme kritikal; serta merombak buku teks sekolah bagi memuatkan dan membentangkan sejarah dari perspektif masyarakat majmuk.

Di sini terdapat dua aliran besar terhadap pendidikan dan penceritaan sejarah Malaysia - satu aliran menganggap negara bangsa Malaysia dan sempadan-sempadan politik yang dibentuk tanpa bersifat kritis walaupun mengkritik kaedah dan pendekatan pengajaran sejarah Malaysia di sekolah; dan satu aliran lagi bersifat kritis terhadap pembentukan negara-negara pasca kolonial - khususnya dalam kepulauan dan Alam Melayu, dan konsep ‘sejarah negara’ (Malaysia) sebagai satu kategori.

Mohd. Arof berpendapat sejarah nasional (yang sempit) terus menjadi lebih palsu dengan tekanan dan kehendak kewajaran politik dalam negara. Pada masa sama, ciri inclusive terpampang melalui pelbagai tajuk di kedai-kedai buku di Malaysia.

Dengan meletakkan spesifikasi-spesifikasi sebegini maka ‘sejarah’ telah dijadikan seolah-olah satu hasil keluaran kilang kerana produk kilang semestinya dikehendaki menepati spesifikasi yang ditentukan oleh empunya kilang tersebut. Apakah kita ingin menjadi sejarah sebagai satu faktor produk, dan bukan lagi satu ilmu kemanusiaan yang unggul? (Mohd. Arof Ishak, 2013).

Ilmu dan pendekatan sejarah tidak semestinya mengenali sempadan politik, dan dengan itu, tidak sepatutnya disekat oleh sempadan politik. Pendekatan sejarah alam Melayu hendaklah disebarluaskan kepada masyarakat negara ini. Pendekatan tersebut mesti diambil kira oleh penggubal dasar awam, pendidikan dan kurikulum.

Apakah satu kesalahan jika mendekati Malaysia dalam konteks rumpun Melayu di alam Melayu? Jika masyarakat bukan Melayu tidak faham, kita yang faham perlu menggariskan pendekatan dan strategi supaya ini dapat diketahui semua kaum di Malaysia. Istilah ‘rumpun’, ‘tanah ibunda’ dan ‘tanah air’ perlu disebarluaskan, juga kepada orang Melayu.

Pendekatan mengenali tamadun dan peradaban Melayu mesti menjadi asas kepada sejarah yang termaktub dalam buku-buku teks. Kita tidak dapat memahami kesultanan Melayu Melaka atau Kesultanan Patani, Kesultanan Brunei atau tamadun di Lembah Bujang tanpa memahami tanah ibunda dan tanah air yakni kandungan dan konteks kepulauan dan alam Melayu.

Apakah sejarah Melayu dan alam Melayu berakhir dengan kemunculan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa? Sama juga pendekatan yang mesti diambil oleh Indonesia dan Filipina, misalnya. Dalam Muzium Nasional Indonesia, peta etnik dan bahasa negara kepulauan nusantara itu berakhir dengan berakhirnya sempadan negara baru itu. Permulaan negara-negara jiran baru lain tidak dikira.

Inilah nasionalisme sempit yang diamalkan oleh negara-negara di Asia Tenggara. Ia hanya memesongkan sejarah dan pandangan alam yang lebih besar di tanah ibunda dan tanah air rumpun kita sendiri.

PENULIS ialah Profesor di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar, Perak.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140121/re_02/Sejarah-negara-rentasi-buku-teks#ixzz2r2Ax4hvQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Peristiwa 'buruh paksa' ingatkan betapa pentingnya keamanan

OLEH ZUHAYATI YAZID

pengarang@utusan.com.my
 
Tahanan perang sedang melakukan kerja-kerja mengangkat kayu untuk membina landasan kereta api pada 1942 sambil diperhatikan tentera Jepun. - AGENSI
MUNGKIN ramai generasi muda hari ini tidak mengikuti atau mengetahui tentang filem Bridge On River Kwai keluaran Amerika Syarikat (AS) pada 1957, namun filem yang mengisahkan tentang sekumpulan tahanan perang tentera British yang dijadikan 'hamba' dan 'buruh paksa' merupakan sebuah filem hebat dalam kalangan generasi lama.

Filem itu mengisahkan penderitaan ribuan tahanan yang didera sebagai buruh paksa untuk menyiapkan landasan kereta api yang dikenali sebagai 'landasan maut' dari Thailand ke Burma (kini dikenali Myanmar) yang terletak di Sungai Mae Klong di Thailand.

Pembinaan landasan sepanjang 415 kilometer yang merangkumi 60 stesen bermula dari Nong Pladuk di daerah Kanchanaburi, Thailand ke Thanbyuzayat bermula pada Oktober 1942 itu berlaku semasa zaman pemerintahan Jepun.

Mengikut catatan sejarah, selepas Jepun menakluk Tanah Melayu pada Februari 1942, mereka merencanakan projek pembinaan landasan kereta api sejauh 415 kilometer dari Thailand ke Burma bagi merealisasikan misi penting tentera Jepun untuk menakluki negara India melalui Burma.

Kira-kira 68,000 tahanan perang British, Australia, Amerika, New Zealand dan Belanda, manakala 200,000 orang lagi buruh paksa dari India, China dan orang Melayu dari Tanah Melayu terlibat dalam pembinaan projek landasan maut itu.

Dari Tanah Melayu sahaja dianggarkan 72,000 rakyat Malaya dikerah untuk menyiapkan landasan maut tersebut, dan daripada jumlah itu hanya 30,000 orang sahaja selamat pulang ke tanah air, manakala selebihnya dilaporkan meninggal dunia dan hilang.

Mengikut rekod Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946, hanya 30,000 buruh terbabit berjaya pulang semula ke tanah air mereka terdiri daripada 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain.

Tahanan perang itu dipaksa oleh tentera Jepun menjadi buruh paksa dengan tenaga dan kudrat mereka diperah sepenuhnya siang dan malam untuk menyiapkan projek tersebut.

Sepanjang 'bertugas', mereka dilayan dengan teruk dan hanya diberi makan sekali sehari serta tinggal secara beramai-ramai.

Akibat teruk didera, ramai yang meninggal dunia dan dijangkiti pelbagai penyakit termasuk taun, malaria, cirit birit dan juga keletihan.

Tahanan perang itu dipaksa menebang pokok-pokok besar, membersih kawasan laluan landasan, meneres lereng-lereng bukit, menimbus kawasan rendah, menyusun landasan, mengangkut rel kereta api dan mengangkut batu-batu serta membina jambatan hanya menggunakan kudrat mereka, tanpa bantuan peralatan dan jentera.

Pada sebelah malamnya pula mereka ditempatkan di rumah panjang seperti bangsal beratapkan daun sagu atau nipah dan berlantaikan buluh. Setiap bangsal memuatkan kira-kira 100 orang.

Tentera Jepun akan memantau 'kerja-kerja' yang mereka lakukan dan jika mereka didapati melakukan 'kesalahan', lambat atau letih, mereka akan dipukul dengan buluh, rotan atau ditampar.

Buruh paksa yang meninggal dunia pula, mayat mereka diisi ke dalam guni dan ditanam di merata-rata tempat. Ada juga mayat yang dibakar atau dihanyutkan ke sungai.

Kini, biarpun peristiwa hitam itu telah berlalu selama beberapa dekad, namun tragedi itu akan mengingatkan kita betapa bahayanya jika negara kita diceroboh kuasa asing, dan kita akan lebih menghargai keamanan dan kebebasan.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140120/re_07/Peristiwa-buruh-paksa-ingatkan-betapa-pentingnya-keamanan#ixzz2r1z6N0ZT © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 Januari 2014

Makam ‘firaun hilang’ ditemui

Makam ‘firaun hilang’ ditemui

Makam ‘firaun hilang’ ditemui
Keranda Firaun Sobekhotep l ditemui di Abydos di pinggir Kaherah.
Kaherah: Sekumpulan pakar arkeologi Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat berjaya menemui rangka Raja Senebkay, yang dikenali sebagai ‘firaun hilang’ di Abydos, wilayah Sohag, kira-kira 500 kilometer ke selatan Kaherah baru-baru ini.

Tidak pernah disebut di dalam mana-mana sejarah Mesir kuno, nama Raja Senebkay tercatat di dalam bentuk tulisan hiroglifik yang ditemui bersama barangan yang menggambarkan ia milik keluarga diraja,” kata kementerian dalam satu kenyataan.


Kenyataan berserta gambar penemuan itu juga menunjukkan keranda batu yang rosak teruk di dalam bilik pengebumian tanpa bumbung.

Dinding batunya dihias dengan imej berwarna. Rangka tulang firaun yang disusun diatas kain putih turut ditunjukkan.

“Pada asalnya ia di awet tetapi tubuhnya rosak dan terpisah akibat aktiviti pencuri makam zaman purba,” jelas kenyataan bergambar itu.
SUMBER :BERITA HARIAN ONLINE 19.1.14
Makam ‘firaun hilang’ ditemui
Keranda Firaun Sobekhotep l ditemui di Abydos di pinggir Kaherah.
Kaherah: Sekumpulan pakar arkeologi Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat berjaya menemui rangka Raja Senebkay, yang dikenali sebagai ‘firaun hilang’ di Abydos, wilayah Sohag, kira-kira 500 kilometer ke selatan Kaherah baru-baru ini.

Tidak pernah disebut di dalam mana-mana sejarah Mesir kuno, nama Raja Senebkay tercatat di dalam bentuk tulisan hiroglifik yang ditemui bersama barangan yang menggambarkan ia milik keluarga diraja,” kata kementerian dalam satu kenyataan.


Kenyataan berserta gambar penemuan itu juga menunjukkan keranda batu yang rosak teruk di dalam bilik pengebumian tanpa bumbung.

Dinding batunya dihias dengan imej berwarna. Rangka tulang firaun yang disusun diatas kain putih turut ditunjukkan.

“Pada asalnya ia di awet tetapi tubuhnya rosak dan terpisah akibat aktiviti pencuri makam zaman purba,” jelas kenyataan bergambar itu.

SUMBER :BERITA HARIAN ONLINE 19.1.14