Selasa, 14 Januari 2014

Mengingati ayahanda saya, Tun Razak

NAZIR RAZAK

14 Januari 2014
Tun Abdul Razak
Tun Abdul Razak Tun Abdul Razak
HARI ini, 38 tahun yang lalu, pada tanggal 14 Januari 1976, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia di London disebabkan komplikasi daripada leukemia.

Malaysia kehilangan seorang Perdana Menteri. Saya kehilangan seorang ayah. Malaysia ketika itu berusia 19 tahun. Saya, sembilan tahun.

Hari-hari berikutnya kami berada dalam kesedihan, seakan-akan diselimuti kabur sementara seluruh Malaysia ‘meratap’ atas pemergiannya.

Saya perlu akui, pada usia saya yang terlalu muda ketika itu, saya kadang kala merasakan bahawa beliau terlalu mengutamakan urusan negara dan meninggalkan sedikit sahaja kenangan untuk kami sekeluarga.

Bagaimanapun, saya tidak pernah sekali pun berasa ragu akan sikap dedikasi beliau dan tidak mementingkan diri dalam memikul tanggungjawab dan perhatian terhadap negara kita yang sedang baru membangun. Ia tetap tersemat di hati ini.

Saya tidak berkesempatan untuk ‘mengenal’ beliau. Tetapi, kesan mendalam yang terpahat dalam diri ini adalah nilai-nilai yang beliau sampaikan dan integriti diri yang beliau tekankan yang mengatasi segala-galanya.

Ya, ini juga termasuklah ke atas keluarganya. Saya teringat kepada satu peristiwa di mana kami adik-beradik telah meminta beliau membina sebuah kolam renang di kawasan rumah kami, di Seri Taman, iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri.

Oleh kerana beliau adalah seorang peguam yang terlatih, beliau telah mengarahkan kami supaya membentangkan kes bagi permintaan ini dan bersedia dengan hujah-hujah yang lojik dan rasional.

Kami benar-benar fikirkan bahawa kami telah mengutarakan cadangan yang bernas dengan hujah-hujah yang mantap, sehinggalah kami terlihat air mukanya yang semakin berubah dan diiringi dengan tenungan yang tajam.

Ayahanda saya memberitahu dengan jelas bahawa walaupun Seri Taman adalah kediaman rasmi kami, ia sebenarnya hak negara; bermakna, hak rakyat.

Apa sahaja yang dibelanjakan untuk rumah itu adalah daripada tabung negara dan beliau tidak akan membenarkan negara menampung perbelanjaan bagi sesuatu yang tidak penting seperti kolam renang. “Apa akan rakyat fikir nanti?” tengking beliau.

Ketika usia saya semakin meningkat, saya berusaha untuk mencari maklumat daripada mereka yang mengenali beliau, termasuk mereka yang pernah bekerja dengannya di dalam kerajaan, ahli politik, mereka yang memperjuangkan kemerdekaan dan lain-lain, termasuklah daripada kalangan teman-teman beliau.

Ini adalah satu-satunya cara untuk saya mengenalinya. Dalam hampir kesemua perbualan saya, saya dapati, perkara yang paling ketara dan terkesan sekali ialah nilai-nilai yang dipegang teguh oleh beliau.

Sebagai pemegang amanah kepada tabung negara, sikap berhemat beliau dalam berbelanja adalah legenda. “Kamu mesti bertanggungjawab terhadap setiap sen yang dibelanjakan, jika tidak beliau akan meminta penjelasan yang terperinci,” kata seorang bekas menteri kepada saya.

Sebenarnya saya memang sudah sedia maklum akan perkara ini. Bukan kerana episod kolam renang itu sahaja, malah daripada peristiwa-peristiwa lain. Abang-abang  saya sering bercakap tentang pengalaman mengiringi beliau ke Switzerland dalam satu lawatan rasmi - iaitu peluang yang jarang-jarang sekali mereka perolehi.

Saya diberitahu bahawa beliau memastikan segala kos penginapan ditanggungnya sendiri dan oleh kerana beliau seorang yang amat prihatin tentang pembiayaan yang dikeluarkan oleh negara, beliau menempatkan rombongannya di penginapan yang lebih murah daripada yang telah dirancang dan selama abang-abang saya berada di sana mereka hanya makan di restoran yang paling murah yang berdekatan dengan hotel.

Dan kemudian, pada Oktober 1975, iaitu ketika perjalanan terakhir beliau ke Eropah untuk rawatan perubatan, mungkin beliau telah merasakan bahawa perjalanan itu adalah yang terakhir, tetapi oleh kerana beliau ingin berjimat cermat, beliau tidak membenarkan ibu saya mengiringinya, mungkin juga kerana beliau mahukan supaya ibu mempunyai simpanan yang cukup dan  berada di dalam kemampuan bagi meneruskan kehidupan apabila ketiadaan beliau kelak.

Ibu, bagaimanapun, dapat bersama beliau beberapa minggu, kemudiannya atas desakan Kabinet, yang mengeluarkan kebenaran untuk menggunakan wang negara bagi keperluan perjalanan ke sana.

Satu lagi sifat istimewa yang dikaitkan dengan perwatakannya ialah  integriti beliau. Beliau sentiasa berpandukan kepada prinsip yang sekarang mungkin dilihat sebagai kolot atau gaya lama dalam melaksanakan tanggungjawab, iaitu penjawat awam adalah terlebih dahulu merupakan ‘hamba’ kepada rakyat yang mana kepercayaan tersebut tidak seharusnya dikhianati.

Juga beliau sentiasa dikaitkan dengan stamina yang kuat. Ramai yang terperanjat apabila mengetahui yang beliau menghidap penyakit leukemia. Ini kerana semasa memegang jawatan, beliau sentiasa aktif; memberi perhatian terhadap urusan rasmi, meneliti semua dasar terperinci dan tentu sekali lawatan mengejut yang sering beliau lakukan ke kawasan-kawasan di seluruh negara.

Lawatan-lawatan ini mengeratkan lagi perhubungan beliau dengan rakyat dan membantu beliau secara peribadi untuk memahami apa yang berlaku di bawah.

Tentu sekali orang terlupa akan dedikasi yang ditunjukkan beliau ke atas pembangunan kawasan luar bandar. Dari mula lagi Tun Razak sentiasa berpegang kepada prinsip “Rakyat Diutamakan”, satu pegangan yang beliau pertahankan, dari dulu lagi sebelum konsep ini menjadi sebutan ramai.

Tetapi, yang paling dipersetujui oleh mereka yang mengenalinya ialah komitmen Tun Razak kepada keharmonian dan penyatuan negara – ke arah membina sebuah negara yang memberi peluang dan tempat kepada setiap rakyat di bumi Malaysia ini.
Visi ini diserapkan di dalam dua inisiatif yang beliau terajui semasa tragedi 13 Mei – penggubalan Rukun Negara pada 1970 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971.

Rukun Ngara berperanan untuk menyatukan rakyat dengan pelbagai latar belakang dan budaya menerusi sebuah negara yang sekular.

DEB pula adalah dasar yang menegakkan perpaduan negara melalui percubaan secara besar-besaran di dalam pembangunan sosio-ekonomi dengan serampang dua mata iaitu menghapuskan kemiskinan tanpa mengira bangsa dan membangunkan semula ekonomi dengan tujuan untuk menghapuskan sebarang kaitan ekonomi dengan sesuatu kaum.

Perdebatan mengenai DEB masih berterusan. Saya sendiri secara terbuka telah menyatakan bahawa terdapat kesilapan di dalam pelaksanaannya. Pelaksanaan sistem kuota yang ditetapkan yang membuka laluan mudah yang menguntungkan segelintir pihak sahaja telah melahirkan jurang kelas dan status yang besar di kalangan kaum itu sendiri dan mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat di luar kaum itu sendiri. Tentu sekali ini mengakibatkan ketegangan di antara kaum.

Kedua-dua keadaan ini hanya melemahkan, malah menidakkan matlamat rangkuman DEB yang dicetuskan oleh Tun Razak, iaitu sebenarnya untuk mengukuhkan perpaduan negara.

Di manakah silapnya? Ada yang berpendapat bahawa kesilapan itu adalah hasil daripada langkah-langkah afirmatif itu sendiri. Bagi saya ia disebabkan perlaksanaan yang terlalu tertumpu kepada pendekatan taktikal sedangkan sepatutnya tumpuan dan komitmen harus diarahkan kepada matlamat yang strategik.

DEB tentu sekali telah membantu membanteras kemiskinan dan mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi apabila terbentuknya kelas pertengahan untuk kaum Melayu. Bagaimanapun, boleh dikatakan pada keseluruhannya DEB terbukti berjaya mengurangkan konflik antara kaum selepas tragedi 13 Mei.

Bertuah juga kerana nasib Malaysia tidak seperti Sri Lanka, di mana pergolakan dan perbalahan berterusan berdekad lamanya di antara pendatang Tamil dan kaum asal Sinhalese.

Pencapaian DEB bukanlah kecil tetapi matlamat DEB masih belum lagi tercapai kerana DEB sebenarnya adalah untuk mengukuhkan perpaduan negara. Hakikatnya, ada tanda-tanda sekarang ini yang menunjukkan ketegangan di antara kaum semakin menjurus ke arah titik yang membimbangkan.

Apa yang boleh dilakukan? Ada pepatah Melayu yang berbunyi: “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan,” yang bermaksud “apabila kita tersesat, pulanglah ke tempat asal”.

Dan pada hemat saya, perkataan ‘asal’ di sini bererti ‘nilai-nilai’, ‘kesungguhan’, ‘visi’ dan ‘pendekatan inklusif’; yakni sifat-sifat yang terkandung di dalam diri Tun Razak.

Saya telah pun menyebut tadi tentang komen-komen mengenai integriti diri beliau, komitmennya terhadap perkhidmatan awam dan visinya ke arah sebuah masyarakat Malaysia yang progresif, makmur dan bersatu padu. Izinkan saya mengakhiri dengan menekankan dua lagi kemuncak legasi beliau.

Pertama, Tun Razak adalah seorang demokrat yang sejati. Selepas dua tahun mengepalai Majlis Gerakan Negara (Mageran), ekoran insiden 13 Mei 1969, beliau telah membubarkan jawatankuasanya dan mengembalikan peraturan demokratik.

Walaupun beliau memegang kuasa sebagai Ketua Mageran, pandangan dan nilai-nilai yang diterapkan adalah berasaskan peraturan demokratik dan bukan pemerintahan diktator atau ‘kuku besi’.

Cara beliau membuat keputusan membuktikannya: beliau akan mendengar pendapat dari semua yang terlibat dan berunding secara berhemat sebelum mengambil keputusan muktamad.

Beliau tidak pernah mengetepikan pandangan daripada mereka yang mungkin bercanggah pendapat dengannya, malah beliau mengalu-alukan kepelbagaian pendapat supaya peluang membuat pilihan yang paling tepat terlaksana.

Yang kedua, sementara beliau berlaku komited untuk membantu kehidupan Bumiputera agar menjadi lebih baik dan tidak berulangnya lagi tragedi 13 Mei, beliau beranggapan bahawa ini adalah tanggungjawab negara dan bukan  dilakukan kerana sesebuah bangsa.

Ini, bagi saya, menunjukkan kesungguhan beliau kerana beliau melibatkan tokoh-tokoh yang terbaik dan pintar dalam mengusahakan perkara ini, tidak mengira bangsa atau keturunan. Buatlah semakan dengan mereka yang bertugas sewaktu pentadbiran beliau.

Kesemua mereka adalah rakyat Malaysia, bersatu padu di dalam keazaman untuk membina semula sebuah negara, membersihkan ‘debu-debu’ selepas tragedi 13 Mei.

Itulah legasi Tun Razak untuk Malaysia. Sewajarnya kita memberi penghormatan kepada legasi ini dengan kembali ke “pangkal jalan”.
Penulis adalah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB.

Bernama.SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE 14.1.14

Isnin, 13 Januari 2014

Pekerja lombong gempar temui artifak sejarah


  • WARTAWAN SINAR HARIAN 13 SEPTEMBER 2013
  • Pekerja lombong gempar temui artifak sejarahHisham menunjukkan rim kereta api yang ditemui di tapak lombong Wahaba Wangin.
BUKIT BESI – Sekumpulan pekerja yang sedang menjalankan kerja melombong bijih, dekat sini, gempar berikutan penemuan beberapa objek pelik.

Objek tersebut dipercayai sebahagian peralatan yang pernah digunakan untuk aktiviti melombong pada tahun 40-an hingga awal 70-an dahulu.

Penyelia tapak lombong, Hisham Abdullah berkata, batang besi berbentuk leper dan bulat itu ditemui ketika kerja mengorek tanah dilakukan di kawasan tapak lombong bijih besi milik Wahaba Wangin Sdn Bhd.

Menurutnya, pada awalnya, pekerjanya beranggapan ia adalah serpihan besi biasa, namun apabila dilihat dengan lebih dekat ia menyerupai rel dan rim tayar kereta api.

“Saya syak ia merupakan sebahagian peninggalan bekas lombong dahulu. Jadi besi ini kita simpan di tapak lombong dan mungkin akan diserahkan kepada pihak muzium sebagai bahan sejarah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Sejarah Terengganu Cawangan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata, rel kereta api dan takungan besi yang dipanggil opal itu merupakan peralatan yang digunakan syarikat Eastern Mining and Metal Company (EMCO) iaitu sebuah syarikat lombong milik British untuk kerja-kerja melombong bijih besi.

Menurutnya, ketika itu, syarikat EMCO yang beroperasi dari 1948-1971 menggunakan kereta api wagon untuk mengangkut hasil bijih dari kawasan lombong ke pelabuhan Sura Jetty.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan banyak lagi peninggalan sejarah yang tertimbus di kawasan berkenaan.

“Walaupun ia sekadar rel kereta api, namun penting sebagai bahan bersejarah.

“Penemuan rel berkenaan membuktikan kewujudan jalinan jalan kereta api di lokasi tersebut yang telah meletakkan Bukit Besi dalam peta perlombongan dunia pada ketika itu," katanya.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE

TOKOH PATRIOTIK

TUNKU OSMAN JEWA




Allahyarham Jen (B) Tunku Osman bin Tunku Mohd Jewa dilahirkan pada 24 November 1919 di Alor Star, Kedah. Selepas menuntut di England, beliau menyertai Rejimen Goister Ke-10 pada 16 AprIl 1942, malangnya rejimen yang disertai beliau itu kemudiannya telah dibubarkan dan beliau seterusnya ditukarkan ke Skuadron Ke 77 Peninjau Bebas yang berpangkalan di Newton Abot. Tidak lama kernudian skuadron berkenaan telah bergabung pula dengan tiga skuadron lain sehingga tertubuhnya Rejimen Ke 80 Peninjau British. Ketika dalam rejimen iniiah beliau telah dpiIih untuk lantikan pegawai bertauliah pada Januaari 1943. Tidak lama setepas itu beliau bersama Allahyarham Mejar Tengku Mahiyuddin yang ketika itu sedang mencari anak-anak muda untuk berkhidmat dengan pasukan Force 136. Setelah tamat menjalani latihan pegawai pada 1945, beliau telah dihantar ke India untuk menjalani latihan payung terjun seterusnya di hantar pula ke Sri Lanka untuk menjalani latihan perang secara gerila. 
Bersama seorang rakannya beliau telah digugurkan di Kampung Kuala Janing dekat Kuala Nerang, Kedah untuk menyertai Pasukan Force 136 AMS (Anak Melayu Setia) pada Jun 1945. Malangnya misi beliau ini terlalu singkat apabila berita pengeboman Horishima dan Nagasaki, tentera Jepun telah menyerah-kalah tanpa syarat pada 15 Ogos 1945. 
Tunku Osman kemudiannya telah mendaftar diri semula sebagai Pegawai Kadet Askar Melayu pada 1 Februari 1947. Pengalaman Iatihan perang hutan secara gerila banyak memberi pengajaran kepadanya terutama ketika beroperasi menentang pengganas komunis di Malaya. Dalam masa kurang 12 tahun beliau berjaya menyandang pangkat Leftenan Kolonel, dua tahun kemudian beliau dinaikkan pangkat BrigedierJeneral dan dilantik sebagai pemerintah Bnged Ke-2 lnfantri Persekutuan. Beberapa tahun kemudian beliau dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral dan dilantik sebagai Ketua Turus Tentera Darat (1962), dan Leftenan Jeneral (1964) dilantik sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera menggantikan Lt. Jen Tan Sri (Sir) Rodney Moore. Beliau kemudiannya dinaikkan ke pangkat Jeneral pada 1 Julai 1966, seterusnya bersara dan perkhidmatan ATM pada 24 November 1969, genap usia 50 tahun.

 RUJUKAN:http://pbtm.my

Perjalanan negara selama lima dekad

"MERDEKA MALAYSIA! Alhamdulillah, setelah lama kita menunggu, maka akhirnya tibalah saat yang bersejarah ini - hari lahirnya Malaysia.

"Hari ini, sepuluh juta manusia daripada pelbagai kaum dan keturunan di seluruh Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah dengan perasaan penuh kegembiraan dan harapan mengikat tali persaudaraan untuk bersatu padu mengecap kemerdekaan."
Itu antara dua petikan awal di sebalik amanat Hari Malaysia yang disampaikan Perdana Menteri pertama yang juga Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman lima dekad lalu.
Amanat itu disampaikan ketika seluruh rakyat bergembira selepas Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura bersetuju membentuk sebuah negara berdaulat bernama Malaysia. Hari ini, pada 16 September 2013, rakyat sekali lagi mengecapi kegembiraan itu. Melalui tempoh panjang selama lima dekad, ia meletakkan Malaysia pada usia yang matang. Menjadi sebuah negara harmoni dan berjaya dari segala aspek.
Menyusuri sejarah lampau, 31 Ogos 1957 menjadi saksi kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang ketika itu bermulanya era pentadbiran dan sosioekonomi di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman.
Beberapa tahun kemudian, rancangan disusun oleh pemimpin pada masa itu dalam mewujudkan sebuah persekutuan.
Bermula dengan perundingan diikuti penubuhan jawatankuasa dan proses turun padang bertemu rakyat, maka lahirlah sebuah negara bernama Malaysia.
Detik bersejarah itu dirakamkan pada 16 September 1963 yang menyaksikan penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura bagaimanapun keluar dari Malaysia pada tahun 1965.
Berkongsi pandangan mengenai sejarah itu, Pensyarah Kanan, Program Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Dr. Zaini Othman menyifatkan pembentukan sebuah negara bernama Malaysia ini merupakan nikmat besar bagi seluruh rakyat.

MENTERI Pertanian dan Koperasi yang mewakili kerajaan Persekutuan, Tan Sri Mohd. Khir Johari membacakan pemasyhuran Malaysia di Padang Central, Kuching, Sarawak pada 16 September 1963.


Katanya, selepas lima dekad pembentukan Persekutuan Malaysia, bukan sahaja Sabah, malah kesemua entiti politik yang wujud dalam Persekutuan Malaysia telah menikmati semangat kerjasama seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Malaysia.
"Keselamatan, pendidikan dan sumber manusia, umpamanya merupakan tanggungjawab bersama dalam kalangan entiti politik Persekutuan Malaysia.
"Jaminan itu adalah manfaat berharga yang dinikmati oleh setiap entiti politik dalam Persekutuan Malaysia, termasuk Sabah," katanya.
Bersyukur
Menurut beliau, tahun ini merupakan tahun ke-50 Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) membentuk negara Persekutuan Malaysia.
"Hakikat sejarah yang tidak boleh kita nafikan Sabah tidak menyertai Malaysia, tetapi lebih tepat, Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura (kemudiannya keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965) telah membentuk Persekutuan Malaysia," jelasnya.
Bagi mantan Pengarah Arkib Negeri Sabah, Datuk Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin, penubuhan sebuah gagasan bernama Malaysia yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura sehingga 1965 merupakan satu nikmat besar yang perlu disyukuri.
Selepas Tanah Melayu bebas daripada penjajahan pada tahun 1957, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan mengenai penubuhan sebuah gagasan baharu menerusi gabungan bersama Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak pada 27 Mei 1961 di Singapura.
"Apa yang dilakukan oleh Tunku ketika itu adalah untuk mewujudkan satu kerjasama politik dan ekonomi yang lebih erat dalam kalangan wilayah-wilayah serumpun.
"Malah, penggabungan ini turut mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah kalangan pemimpin dan rakyat setiap wilayah.
"Ketika itu, sikap tolak ansur dalam kalangan pemimpin begitu terserlah semata-mata untuk melihat rakyat bersatu di bawah satu payung negara," katanya.

PEMANDANGAN dari udara bandar Kota Kinabalu, Sabah yang pesat membangun.


Beliau menjelaskan, di sebalik kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini, rakyat seharusnya bersyukur kerana dapat menjalin perpaduan erat selama lima dekad.
"Tidak banyak negara di luar yang mampu berdiri dan duduk bersama di bawah satu pemerintahan seperti yang dirasai oleh rakyat negara ini.
"Sekalipun banyak rintangan pada awal penubuhan gagasan ini termasuk campur tangan negara jiran dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun berbekalkan semangat persahabatan serantau, jalan penyelesaian berjaya dicapai," ujarnya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Penyelaras Unit Pengajian Kerajaan Tempatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Kinabalu, Prof. Datuk Dr. Chua Kim Hing menyifatkan penyertaan Sabah khususnya dalam pembentukan Malaysia telah memberi manfaat pembangunan yang ketara.
"Jika melihat kepada perubahan pembangunan, memang tidak dinafikan Sabah lebih baik berbanding sebelum ini. Pembangunan asas fizikal boleh dilihat di mana-mana dengan adanya hospital, sekolah-sekolah dan jalan raya.
"Semua ini adalah hasil perkongsian kemerdekaan yang Sabah kecapi sejak 50 tahun lalu. Begitu juga dengan aspek insaniah diberi penekanan," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui agihan pembangunan di sesetengah tempat terutamanya di kawasan pendalaman dan luar bandar masih belum berada pada tahap yang dibanggakan.
"Kita boleh lihat pembangunan pesat di kawasan luar bandar di sesetengah negeri, tetapi Sabah masih terkebelakang. Mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk bentuk muka bumi.
"Namun, usaha berterusan perlu dilakukan oleh pihak pentadbir bagi memastikan erti kemerdekaan yang dilaungkan selama ini dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat di negara ini," ujarnya.
Di sebalik semua itu, Kim Hing merasakan satu perkara yang perlu dibanggakan oleh rakyat negara ini khususnya di Sabah ialah perpaduan sesama kaum.
Tegasnya, Sabah meskipun dikongsi oleh lebih 20 kaum dan etnik berbeza, namun masalah hubungan kaum tidak pernah berlaku.
"Krisis perkauman akan tercetus jika wujudnya pihak yang tidak bertanggungjawab. Maka dengan itu, semangat toleransi dan saling hormat menghormati sangat penting.
"Kita perlu hidup dengan acuan kita sendiri tanpa mencampuradukkan mekanisma luar yang boleh mengganggu keharmonian. Itu lebih penting jika kita mahu terus hidup sebagai sebuah bangsa merdeka," katanya lagi.

GENERASI muda seharusnya meneruskan keamanan dan keharmonian yang berlangsung sepanjang lima dekad.


Hidup bebas
Sementara itu, pesara kerajaan, Juin Sawayan, 60, melahirkan rasa syukur kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang dilimpahi keamanan dan pembangunan.
"Saya lahir sebelum negara Malaysia terbentuk dan saya telah lihat pelbagai peristiwa yang membawa perubahan kepada negara. Sehingga hari ini, saya dapat hidup bebas dengan melihat perubahan besar pada generasi muda," katanya.
Seorang peniaga, Julinah@Amyati Ku Yu Pang, 52, pula berkongsi pandangan mengenai nikmat pembangunan yang dirasai oleh setiap inci masyarakat di negara ini.
Katanya, hidup dalam suasana aman dan harmoni membuka banyak ruang kepada masyarakat untuk mencari rezeki dalam pelbagai bidang.
"Orang yang berniaga dapat berniaga dengan senang dan sesiapa sahaja boleh mencari rezeki dengan cara tersendiri," ujarnya.
Bagi seorang pelajar, Noraidah Rizan, 24, dia mengakui pengorbanan generasi terdahulu yang telah berkorban demi kedaulatan negara perlu sentiasa dikenang.
Ujarnya, keamanan yang dikecapi hari ini selepas 50 tahun pembentukan Malaysia bukanlah perkara yang mudah dicapai dan seharusnya dipertahankan oleh generasi muda.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo.Kosmo online 16.9.2013

Sabtu, 11 Januari 2014

13 pesawat Cessna terhempas sejak 1973

11 Januari 2014

 Pesawat Cessna
Pesawat Cessna Pesawat
KUALA LUMPUR - Sebuah pesawat Cessna 172 terhempas di Empangan Batu, Ulu Yam di sini semalam dan tiga individu dalam pesawat itu ditemui selamat.

Kejadian pada pukul 5.15 petang semalam itu menjadikan 13 kes pesawat jenis itu terhempas sejak 1973.

Berikut adalah kronologi pesawat Cessna terhempas di negara ini;

* 10 November 1973 - Sebuah pesawat Penang Flying Club, jenis enjin tunggal Cessna terhempas dan meletup berhampiran kawasan penerbangan Pulau Langkawi menyebabkan juruterbangnya terbunuh.

* 10 Januari 1982 - Pesawat Cessna 26 dengan Menteri Luar Negeri Tan Sri Ghazali Shafie dan dua yang lain, terhempas di gunung di Kampong Som Som Hilir berhampiran Kampong Janda Baik, 37.5km dari Kuala Lumpur.

* Hanya seorang juruterbangnya terselamat iaitu Tan Sri Ghazali dan pesawat itu adalah milik Kelab Penerbangan Diraja Malaysia.

* 23 Mac 1987 - Sebuah Cessna 177, dalam penerbangan ke Ipoh dari Pulau Pinang terhempas di Kampung Paya, Pengkalan Pegoh, 6.5km dari Lapangan Terbang Ipoh, Perak dan tiga penumpangnya terselamat.

* 10 September 1992 - Sebuah Cessna 172 terhempas di dalam paya bakau berhampiran Pulai Kelumpang, Bagan Serai, setelah berlepas dari landasan terbang Taiping mengakibatkan juruterbang dan tiga penumpangnya terbunuh.

* 28 Februari 1996 - Pelatih Juruterbang dari Mofaz Flying Academy, Ahmad Izwani Md Zainal, 23, terselamat apabila Cessna 152 terbalik dalam nahas semasa mendarat di sawah padi kira-kira dua kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Mat Sirat.

* 2 Mac 1997 - Sebuah pesawat Mofaz Air Cessna 172 terhempas dalam sebuah paya di Kampung Bakau, Kelibang, kira-kira 5km dari bandar Kuah, Pulau Langkawi.

* Juruterbang, Nik Alfian Nik Abdul Ghani, 26, dan dua jurukamera Abdul Razak Mohd Noor, 43, dan Ishak Latif, 32, dari Filem Negara maut dalam nahas itu.

* 7 Februari 2000 - Pesawat Cessna 172 berkedudukan empat yang dipajak kepada Kelab Penerbangan Diraja Selangor terhempas di Kampung Merting, dekat Taman Negara, Pahang selepas melanggar kabel keluli 20m tinggi merentasi 150m-luas Sungai Tembeling.

Impak nahas ke dalam sungai itu menyebabkan kapal terbang patah kepada lima kepingan dan tiga terbunuh.

* 18 Jun 2000 - Sebuah pesawat ringan Cessna 172 milik sekolah penerbangan Flyright Air Sport Sdn Bhd, yang membawa empat orang, terhempas di Laut China Selatan 100 meter dari perairan Kampung Sri Pantai, Mersing, Johor.

Dua maut manakala dua lagi terselamat kerana menggunakan payung terjun.

* 16 Ogos 2001 - Sebuah pesawat Cessna 402B enjin-berkembar bersama lima orang terhempas semasa mendarat kira-kira 3km dari Batu Arang kem askar di Rawang pada 3.50 petang, berikutan kegagalan enjin menyebabkan lima cedera.

* 11 Oktokber 2001 - Sebuah kapal terbang Cessna 172 terhempas di landasan di pangkalan Tendera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi semasa membuat pendaratan. Juruterbang dan dua pekerja Jerman selamat.

* 26 Januari 2009 - Seorang juruterbang warga Singapura terselamat setelah pesawat Cessna 152 terjatuh dan tersangkut di atas sebatang pokok dengan muncungnya menghala ke bawah pada lereng sebuah bukit di dalam hutan simpan di Gunung Pulai, Johor.


* 29 Julai 2012 - Seorang juruterbang warga Singapura terbunuh selepas pesawat ringan jenis Cessna yang dipandunya terhempas di sebuah kebun sawit di Kampung Parit Puasa, Ayer Baloi, Pontian, Johor. - Bernama

Jumaat, 10 Januari 2014

Sebelum tidur, ayah akan bercerita

 

RAMLI yang mewarisi bakat menjadi Awang Batil daripada Allahyarham bapanya, Mahmud Wahid.
IMPIANNYA untuk mempopularkan seni persembahan Awang Batil tidak pernah pudar meskipun pernah berhenti seketika akibat sikap sinis masyarakat seolah-oleh merendah-rendahkan seni warisan tersebut.

Selaku waris tunggal yang mewarisi seni persembahan tradisi negeri Perlis itu, Ramli Mahmud, nekad meneruskan legasi keluarga yang dipopularkan oleh ayahnya, Mahmud Wahid.

"Saya pernah terluka dalam memperjuangkan persembahan tradisi Awang Batil. Saya juga pernah berputus asa dan pernah terdetik di hati untuk tidak mempedulikan nasib persembahan itu kerana luka lama masih lagi terkesan dek ejekan dan sindiran orang terhadap seni itu.

"Namun atas rasa tanggungjawab dan sokongan rakan, saya kembali memukul batil dan meneruskan warisan keluarga ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pokok Sena, Chuping, baru-baru ini.

Secara jujur katanya, dia tidak diajar secara khusus untuk menjadi Awang Batil. Semuanya secara kebetulan.

Anak bongsu daripada lima adik beradik itu berkata, ketika berusia enam tahun, dia sering mengikuti ayahnya ke merata tempat mengadakan persembahan Awang Batil.

Selain itu, ujarnya, setiap malam sebelum tidur, ayahnya akan bercerita mengenai kisah Awang Batil sehingga dia terlena.

"Saya juga tidak diwasiatkan untuk menjadi waris kepada Awang Batil, sebaliknya saya yang mengambil tanggungjawab tersebut," ujarnya.

Perjuangan warisan perlu diteruskan biarpun terpaksa mengikut rentak dan peredaran zaman.

Pengalaman mengadakan persembahan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada tahun 2004, yang memperlihatkan penonton tertanya-tanya tentang persembahan itu memberi isyarat kepada mereka supaya membuat perubahan.

Lantaran itu persembahan Awang Batil diubah dan diolah mengikut cita rasa penonton semasa.

Meskipun sukar untuk melakukannya, namun ia harus dipertahankan agar warisan tersebut tidak lenyap ditelan arus modenisasi.

"Antara pembaharuan adalah kami sketsa dalam persembahan Awang Batil," katanya.

Perubahan itu berjaya memikat hati penonton selain tambahan lawak jenaka tanpa mengubah bentuk asal persembahannya.

"Sekiranya dibandingkan bentuk persembahan dahulu, hanya seorang sahaja yang bercerita dan memainkan kesemua watak dalam penceritaannya itu," jelasnya.

Selain itu, penggunaan bahasa yang mudah difahami turut diperkenalkan untuk kebaikan penonton.

"Kalau dahulu bahasa yang digunakan adalah dialek Perlis yang lebih mendalam menyukarkan penonton untuk memahami terutamanya penonton yang bukan berasal dari utara tanah air. Jadi, kami mengimbangi cara penggunaan bahasa mengikut keutamaan penonton.

"Sekiranya persembahan itu dibuat di Perlis, Kedah atau Pulau Pinang, saya masih lagi menggunakan bahasa dan loghat Perlis yang mudah difahami tetapi ada juga menggunakan bahasa Melayu biasa," jelasnya.

Kini, kisah penglipurlara itu mula mendapat perhatian dan permintaan terhadap seni persembahan itu juga tidak pernah putus.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140111/lk_05/Sebelum-tidur-ayah-akan-bercerita#ixzz2q3GB8QKL © Utusan Melayu (M) Bhd

Bercerita sehingga 7 malam

 

PERSEMBAHAN Awang Batil diselitkan dengan lakonan sketsa bagi menarik perhatian penonton ketika mengadakan persembahan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada tahun 2006 yang lalu.
ASALNYA persembahan Awang Batil dikenali Awang Belanga. Pertukaran itu adalah selari dengan penukaran alat muzik utama daripada belanga kepada batil.

Batil, alat muzik seperti mangkuk tembaga dipilih kerana ia menghasilkan bunyi yang lebih sedap, selain mudah digunakan.

Dalam melakukan persembahan, Awang Batil akan mengembara dari sebuah rumah ke sebuah rumah lain, dari sebuah kampung ke kampung lain di negeri-negeri di Kedah, Pulau Pinang dan daerah-daerah di wilayah selatan Thailand.

Lazimnya, Awang Batil akan duduk di tengah-tengah rumah ketua kampung yang dikelilingi penduduk setempat.

Kehebatan Awang Batil terletak kepada keupayaannya menyampaikan cerita rakyat yang penuh dengan pengajaran dan teladan dalam suasana penuh emosi.
 
REJAB ISMAIL
Lebih mengagumkan, penceritaan itu dilakukan secara terus, tiada skrip mahu pun bantuan dialog lain.

Sebaliknya, idea dan ilham ceritanya muncul selepas pukulan batil yang menghasilkan rentak berirama. Sekiranya pukulan batil itu terhenti, maka kisahnya juga akan berhenti.

Menurut Tokoh Budaya Penulis, Rejab Ismail, selain batil, persembahan Awang Batil diiringi alunan muzik lain seperti serunai, gendang serta gesekan biola.

“Alatan lain yang turut digunakan Awang Batil ialah topeng hulubalang dan topeng Wak Nujum yang diperbuat daripada kayu tui dan dihiasi dengan cat berwarna merah.

“Pernah pada masa dahulu, Awang Batil dijadikan tempat rujukan masyarakat untuk menghiburkan diri di samping mempelajari sesuatu berdasarkan cerita yang dipersembahkan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kangar, Perlis, baru-baru ini.

Rejab berkata, peranan yang dimainkan Awang Batil dalam mengisi kekosongan yang ada pada masyarakat ketika itu menyebabkan dia disamakan seperti sebuah buku cerita, radio, televisyen serta wayang gambar yang membawa hiburan.

“Topik cerita membolehkan kita berfikir dan belajar sesuatu yang baharu dan sememangnya akan di alami dalam kehidupan.

“Sebab itu juga Awang Batil dianggap seperti ibu bapa dan guru pada ketika itu," tambahnya lagi.

Rejab berkata, kebiasaannya Awang Batil akan bercerita sehingga tengah malam dan sekiranya tidak selesai, cerita itu akan disambung malam esok.

Bukan sesuatu yang asing jika Awang Batil mengambil antara tiga hingga tujuh malam untuk menghabiskan cerita yang penuh maksud tersirat walaupun sekadar kisah dongeng.

“Sebagai contoh, cerita Awang Ada Duit Semua Jadi berkisar tentang seorang anak muda miskin yang berani menerima cabaran seorang raja.

“Baginda memberikan 1,000 keping wang emas dan berkahwin dengan puterinya, akan tetapi pemuda tersebut tidak dibenarkan tinggal bersama isterinya, sedangkan baginda berkehendakkan seorang cucu.

“Berkat usaha dan kebijaksanaan pemuda tersebut, akhirnya puteri raja tersebut berjaya melahirkan seorang putera sekali gus pemuda itu diangkat sebagai raja.

“Pemuda tersebut menggunakan wang emas hasil pemberian raja itu untuk mencipta sebuah patung emas berbentuk orang dan dihadiahkan kepada puteri raja. Pemuda tersebut sebenarnya berada di dalam patung tersebut dan berjaya bertemu dan tidur bersama isterinya," ceritanya.

Tambahnya, Awang Batil merupakan seni warisan tradisional yang berasal dari utara Semenanjung dan ia adalah satu-satunya terdapat di Perlis.

“Awang Batil dari semenjak awal lagi hingga kini akan bercerita menggunakan dialek Perlis," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140111/lk_01/Bercerita-sehingga-7-malam#ixzz2q3CLQ2VK © Utusan Melayu (M) Bhd