Selasa, 7 Januari 2014

Kuala Terengganu dulu, kini

MANIRAH OTHMAN

 zaman remaja Foo Chin Wan, 65, sungai Terengganu yang terletak di belakang rumahnya di Kampung Cina, Kuala Terengganu umpama ‘taman permainan’ buat dirinya dan rakan seusia.

Air sungai yang mengalir jernih begitu mengujakan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia bagaikan skrin kaca besar yang membolehkan sesiapa melihat ikan berenang-renang di tepi sungai itu.

Selain deretan rumah dan kedai kayu, juga aktiviti bot menangkap ikan, tidak banyak pembangunan di sekitar kawasan sepanjang muara sungai Terengganu itu.

“Pada waktu itu juga, Pulau Duyong (kini menjadi lokasi perlumbaan perahu layar Piala Monsun) tidak ada apa-apa.

“Berdekatan kawasan sungai itulah saya selalu melepak dengan rakan-rakan dan berenang serta cuba-cuba menangkap ikan,” katanya kepada KOSMO! ketika ditemui baru-baru ini.

Mengimbau nostalgia bandar Kuala Terengganu, ketika itu aktiviti tertumpu di kawasan pesisir pantai dengan kebanyakan penduduk menjalankan kegiatan menangkap ikan atau perniagaan secara kecil-kecilan untuk menyara hidup.

Juga ketika itu, industri batik, tembaga, songket, pembuatan keris dan pelbagai jenis kraf sudah mula tumbuh, cuma ia dilakukan secara kecil-kecilan.

Ketika ibu bapa sibuk menjalankan aktiviti masing-masing, anak-anak yang sedang membesar menjadikan sungai dan laut yang jernih sebagai tempat bermain sambil mengasah bakat menangkap ikan seawal usia lagi.

Hidup aman, biarpun ketika itu pendapatan yang diperoleh oleh peniaga ataupun nelayan tidaklah lumayan.

Jika sekarang, sepuluh ekor ikan sungai bersaiz sederhana boleh dibeli pada harga RM15, lima dekad lalu, duit sebanyak itu boleh menampung keperluan tersebut selama sebulan.

Ini kerana kuantiti yang sama pada masa itu boleh diperoleh dengan RM1 dan jika kurang berduit, laut terbentang luas boleh membekalkan keperluan yang sama.

Bagi Chin Wan, ketika usianya mula menginjak dewasa, bermain air tidak lagi sesuai dengannya, sebaliknya hobi masa lapangnya mula berubah seiring usia.

Paling popular di bandar Kuala Terengganu ketika itu katanya, ialah pesta joget yang diadakan pada waktu malam di kampung Tiong yang hanya mengenakan bayaran 30 sen sebagai caj masuk.

“Sekali masuk, kita boleh turut sama berjoget,” katanya sambil tersenyum penuh makna.

Pengalaman membesar di Kuala Terengganu ‘lama’ turut dikongsi oleh Razali @ Mohamad Muda, 65 yang lahir di Kampung Tanjung Pantai Teluk dan merupakan anak seorang peraih ikan.

Biarpun tapak rumahnya kini sudah menjadi Medan Selera Tanjung dan pasar ikan tempat ayahnya berniaga sudah menjadi pusat beli-belah Astaka, namun kenangannya masih segar.

“Kebanyakan orang kampung di sini termasuk pak cik-pak cik saya keluar ke laut (nelayan).

“Sementara kaum ibu pula sibuk menjemur ikan untuk dijadikan ikan masin,” katanya.

Baginya, kawasan tempat tinggalnya tidak istimewa, mungkin kerana terbiasa menjadi anak laut, keindahan di kawasan yang banyak ditumbuhi pokok kelapa itu tidak disedari.

“Biasalah perkampungan nelayan, bau hanyir ikan dan bau laut adalah bau kami. Kami sudah biasa,” katanya.

Tetapi pada kebiasaannya, jarang ada orang akan datang ke kampung mereka melainkan apabila selesai musim menuai padi setiap tahun.

“Orang darat (bukan orang yang tinggal tepi laut) akan datang berpesta di sini untuk memulihkan semangat padi,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, perkampungan nelayan termasuk pasar ikan di situ musnah selepas berlakunya banjir besar pada tahun 1962 dan 1986.

“Rumah saya sendiri roboh selepas bencana itu, menyebabkan saya berpindah ke kawasan lain (Pulau Rusa, Manir),” katanya.

Akhirnya, kebanyakan penduduk di kawasan itu juga turut sama berpindah apabila kawasan itu dimajukan dan kurang 10 peratus penduduk asal di kawasan itu masih menetap di sana pada masa ini.

Bagi Omar Awang, yang berasal dan menetap di kampung Losong Haji Su tempat pembuatan keropok lekor yang popular di negeri ini, Kuala Terengganu dulu pernah ada panggung wayang.

“Seingat saya, empat buah kesemuanya (Capitol, Sultana, Rex dan Cathay) dan ia merupakan satu-satunya cara kami berhibur sebab tidak ramai yang ada televisyen ketika itu,” katanya.

Menurutnya, dengan caj antara 15 sen dan 20 sen yang kemudiannya dinaikkan harga kepada 40 sen hingga RM1, mereka sudah boleh menonton wayang.

“Dulu memang seronok, walaupun pendapatan kami tidak lumayan tetapi harga barang semua murah. 30 sen pun dah boleh beli macam-macam,” katanya.

Sementara itu bagi penarik beca, Abdullah Mohamad, 52, perjalanan paling jauh di sekitar bandar Kuala Terengganu hanya mengenakan caj paling mahal sekitar 40 sen hingga 50 sen sahaja sekitar tahun 80-an.

“Sekarang, untuk mendapatkan perkhidmatan yang sama anda perlu sediakan antara RM5 hingga RM10,” katanya.

Namun, itu kisah-kisah dulu. Kini bandar Kuala Terengganu bukan seperti itu lagi apabila sudah berstatus bandar raya mulai hari ini iaitu 1 Januari 2008 – sekali gus setaraf dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Selaras dengan usaha tersebut, Kuala Terengganu kini dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Bagi anak-anak kelahiran Kuala Terengganu, sejak empat tahun lalu, banyak perubahan yang berlaku di bandar ini yang menyaksikan pertumbuhan pusat-pusat pengajian, ekonomi dan banyak lagi.

Biarpun sungainya tidak sejernih dulu, ikan juga tidak lagi nampak di permukaan air, namun bandar Kuala Terengganu dulu dan kini banyak bezanya.

Jika dulu, hendak membeli-belah, hanya boleh didapati di kedai-kedai runcit ataupun satu-satunya pasar raya yang dibina pada tahun 80-an, emporium yang tutup sekitar pukul 10 malam.

Kalau dulu, hobi untuk mengisi masa lapang anak-anak hanyalah dengan memancing atau bermain air dan tidak banyak yang boleh dilakukan oleh orang dewasa apabila selesai bekerja.

Juga dulu, kalau hendak ke daerah berhampiran perlu menggunakan perkhidmatan feri kerana kemudahan jalan jalan raya terlalu terhad dan penyelenggaraan tidak sempurna.

Ini kerana, jika hendak ke Kemaman, ia memerlukan anda untuk menaiki antara empat hingga lima buah feri untuk ke sana.

“Dari Kuala Terengganu kena tukar feri di Marang, kemudiannya tukar di Dungun, kemudian di Paka barulah sampai di Kemaman,” kata Chin Wan.

Namun kini, semuanya sudah berubah kerana di bandar ini sudah ada beberapa buah pasar raya besar dan sudah ada pusat pengajian industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk anak-anak membina masa depan.

Juga ada kemudahan rangkaian jalan raya yang baik selain kemudahan-kemudahan awam yang lain. Di sini juga terdapat Taman Tamadun Islam.

Ia menempatkan sebuah Masjid Kristal selain 21 monumen masjid dari seluruh dunia di Pulau Wan Man yang bakal menjadi tarikan utama pelancong ke bandar raya ini.

Malah, jika pelaksanaan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang sedang dilaksanakan selesai, bandar ini bakal menjadi bandar tercantik di negara ini setaraf dengan Venice di Itali.

“Dulu, bila waktu malam sahaja, semua aktiviti berakhir kerana tidak banyak benda boleh dilakukan pada waktu malam tetapi kini, bandar Kuala Terengganu masih cerah,” kata Razali.

SUMBER: KOSMO ONLINE 1.1.2008

Patriotisme 50 tahun

 

DEMI rasa cinta kepada negara, rakyat negara ini melahirkan kecintaan tersebut dalam pelbagai cara sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-50. Tujuh rakyat negara ini menyahut cabaran mendaki Gunung Everest pada bulan Mei lalu dalam satu ekspedisi Merdeka de’ Everest 2007. Bagaimanapun, hanya enam daripada mereka yang mengibarkan Jalur Gemilang di bumbung dunia itu pada ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut.

Datuk Khalid Yunus, 64, selaku Presiden Persatuan Kembara Negara, merupakan pendaki tertua dalam ekspedisi tersebut bagaimanapun gagal menyempurnakan misi itu.

Setelah berenang selama kira-kira 14 jam, perenang dua beradik, Zahra Masoumah Abdul Halim, 15, dan adiknya Salman Ali Shariati, 10, berjaya menamatkan renangan merentasi Selat Melaka dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dengan catatan tiga rekod. Zahra Masoumah mencatat rekod sebagai perenang perempuan yag pertama berjaya merentasi selat sejauh 46 kilometer itu manakala Salman Ali Shariati mencatat rekod sebagai perenang paling muda.

Sebanyak 2,007 pokok bunga raya ditanam dalam masa 50 saat, sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai satu rekod terpantas.

Pokok bunga itu, ditanam oleh 2,100 warga kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di kampus mereka di Bangi sempena menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan.

Kejohanan Futsal Mahasiswa Merdeka 50 Jam Tanpa Henti 2007 berakhir dengan penuh bermakna apabila cabaran itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai kejohanan futsal paling lama secara berterusan.

Cuma dua kotak biskut seorang, itulah habuan setelah berpenat-penat selama empat hari tanpa henti untuk satu tujuan iaitu mencatat rekod memancing paling lama dalam Malaysia Book of Records (MBR). Ia juga hakikat yang terpaksa diterima oleh 12 pemancing kumpulan Durafishers yang mencatat rekod memancing 99 jam tanpa henti di Kolam Pancing Bai-World, Tasik Puteri, Rawang. Pertandingan yang dianjurkan sempena sambutan 50 tahun merdeka menampilkan semangat patriotik para peserta.

Ahli Putera UMNO, Mohd. Norazmin Abdul Aziz, 23, berjaya melakukan renangan dari Pulau Rupat, Sumatera, Indonesia ke Teluk Kemang sejauh 65 kilometer dalam masa 24 jam 33 minit. Catatan itu sekali gus memecah rekod dunia yang dicatatkan oleh seorang perenang Jepun pada tahun 1972 yang mencatat masa 25 jam.

Jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin, 40, berjaya menamatkan pendakian terakhirnya bagi melengkapkan Misi Pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu yang dicapainya selepas ekspedisi selama 64 hari. Beliau yang kini popular dengan gelaran ‘Mr. Solo’ melangkah ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu untuk mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pendaki pertama yang berjaya mendaki puncak gunung itu sebanyak 50 kali.

SUMBER:KOSMO ONLINE 5.1.2008

Ahad, 5 Januari 2014

Bebola misteri petanda gempa

Bebola misteri petanda gempa

Bebola misteri petanda gempa
Bebola misteri yang menjadi petanda gempa bumi.
Quebec: Ia dikaitkan dengan UFO (Objek Terbang Tidak Dikenali) dan halusinasi serta dianggap sebagai petanda dunia akan kiamat.

Saintis kini mendakwa berjaya mendedahkan tanda tanya kewujudan bebola terbang misteri dikenali sebagai ‘cahaya gempa bumi.’


Cahaya itu muncul dalam pelbagai bentuk sebelum atau ketika gempa bumi, mungkin petanda amaran awal.

Sebagai contoh, beberapa ketika sebelum gempa bumi L’Aquila, Itali pada 2009, ada penduduk melihat kerlipan cahaya 10 sentimeter di atas batu berturap Francesco Crispi Avenue di pusat bandar bersejarah di situ.

Pada 2012, satu bebola biru yang jatuh dari langit mengejutkan penduduk Riacho dos Pocos, negeri Maranhao di Brazil tetapi ia tidak disusuli gempa bumi.

Pada 1988, bebola cahaya terang ungu merah jambu bergerak menerusi udara di sepanjang Sungai St Lawrence berhampiran bandar ini, 11 hari sebelum satu gempa bumi kuat berlaku.

Pada 1906, kira-kira 100 kilometer di barat laut San Francisco, sepasang suami isteri melihat aliran cahaya bergerak di sepanjang bumi dua malam sebelum gempa bumi kuat yang memusnahkan kebanyakan bandar itu.
Cahaya gempa bumi jarang dilihat kemungkinan muncul pada atau berhampiran perselisihan kerak bumi yang bersempadan oleh gelinciran biasa berbanding gelinciran lain.

Pembawa caj elektrik bergerak diaktifkan tekanan, digelar lubang positif, terbang pantas di sepanjang kecerunan tekanan.

Ketika sampai di permukaan, ia mengionkan molekul udara dan menjana cahaya yang dilihat.

SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE 5.1.14

Sabtu, 4 Januari 2014

Nostalgia konfrontasi Malaysia-Indonesia

 

PATAL Arifin Sandong menunjukkan lokasi di mana dia dan rakan-rakannya diserang.
PAGI 29 Disember 1963, seperti biasa anak muda berusia 16 tahun, Patal Arifin Sandong bersama tiga lagi rakannya yang juga anak jati Pulau Sebatik segak mengenakan seragam tentera membantu menghantar tentera dan bekalan makanan kepada tentera yang bertugas di sempadan pada zaman konfrontasi.

Sebetulnya, Patal tidak pernah pun mendaftar menjadi tentera. Dia bersama rakan-rakannya itu cuma anak kapal pengangkut kayu milik saudagar Cina.

Namun apabila konfrontasi meletus, kapal itu disewa tentera untuk menjalankan kerja-kerja logistik. Maka, keempat-empat anak muda itu tanpa ditemuduga turut dikerah bekerja sebagai tentera, diberikan pakaian seragam dan dilatih menggunakan senjata.

Kira-kira pukul 8 pagi, kapal itu tiba-tiba ditahan tentera di sekitar Pulau Sebatik. Diberitahu, kapal tersebut mahu digunakan untuk menghantar tentera ke Kalabakan pada malam itu dan mereka tidak dibenarkan pulang.

Atas semangat cintakan negara katanya, beliau bersama seorang lagi rakan tidak menolak. Namun dua lagi memohon untuk tidak mengikuti misi itu kerana takut mati ditembak.

Menjelang petang, enam tentera Melayu diketuai sarjan berasal dari Pulau Pinang masuk ke kapal kecil tersebut. Begitu juga empat lagi anak muda termasuk Patal Arifin yang ditugaskan untuk mengemudi kapal ke Kalabakan.

"Setibanya di pertengahan Sungai Kalabakan, ketika waktu Maghrib, tiba-tiba kami terdengar bunyi tembakan disusuli percikan api di udara. Kami juga tidak dibenarkan masuk ke Kalabakan dan masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga di situ.

"Sehingga kira-kira pukul 5 pagi, barulah kami menerima isyarat masuk ke Kalabakan. Apabila sampai saja ke sana, kami lihat lapan anggota tentera kita termasuk seorang pegawai telah terkorban akibat serangan hendap ketika mereka bersiap untuk solat Maghrib.

"Sementara di pihak Indonesia, kira-kira 20 anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) terkorban. Lalu kami ditugaskan untuk membawa jenazah dan mayat-mayat berkenaan kembali ke Tawau," katanya.

Hanya setengah jam di Tawau, Patal Arifin bersama rakan-rakannya diarahkan kembali ke Kalabakan untuk menghantar tentera Gurkha ke sana pula.

"Apabila tiba di satu selekoh (kini lokasi Kilang Sawit Felda berhampiran Sungai Kalabakan), kami diserang bertubi-tubi. Saya dan rakan-rakan hanya berlindung dalam perut kapal sementara askar Gurkha membalas tembakan.

"Mereka memang berani, sedikit pun tidak mahu undur. Apabila keadaan reda, kami mengangkut mayat seorang anggota PKI dan meneruskan perjalanan ke Kalabakan. Keadaan kapal penuh dengan kesan peluru sehingga bumbungnya hancur," ujarnya.

Selesai tugas itu, mereka kembali ke Tawau dan diarahkan pergi ke Serudong. Seakan tidak mempunyai masa rehat, arahan itu bagaimanapun tetap dipatuhi.

"Kira-kira pukul 8 malam, pegawai di situ memberi arahan agar kami mengosongkan kem dan bergerak ke kawasan berhampiran. Tetapi saya bersama rakan berasa hairan kerana lampu di situ tidak dipadam.

"Dalam pukul 11 malam, tiba-tiba kedengaran kem itu diserang bertubi-tubi. Sedikit pun askar Melayu tidak membalas. Keadaan di sebelah tentera Malaysia senyap sunyi," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, keadaan berubah apabila kira-kira 30 tentera Indonesia memasuki kem sementara itu untuk membuat pemeriksaan.

"Pada ketika itulah askar kita mula bertindak dengan menembak bertalu-talu. Kesemua 30 anggota PKI itu rebah seorang demi seorang tanpa dapat melakukan apa-apa," ujarnya yang amat menyanjungi kebijaksanaan taktikal anggota tentera kita yang berkhidmat pada malam itu.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140104/lk_04/Nostalgia-konfrontasi-Malaysia-Indonesia#ixzz2pRBJ3Cmo © Utusan Melayu (M) Bhd

SEMPADAN DIBAHAGI GARISAN LURUS

KAMPUNG Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Sabah.
TIDAK hanya terbahagi kepada dua negara malah keunikan yang ada pada Pulau Sebatik terletak pada persempadanannya yang seolah-olah digaris menggunakan pembaris tanpa ada sebarang lekukan di dalam peta.
Jika ditanya bagaimana semua itu terjadi? Sejarahnya cukup panjang. Menurut Ketua Program Sejarah, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Mosli Tarsat, Pulau Sebatik dipercayai mula dihuni pada awal abad ke-20 setelah masyarakat di sekitarnya terlebih dahulu memohon perkenan Sultan Bulungan pada 1900 untuk membuka wilayah tersebut.
Bagi memperkenan permohonan berkenaan, baginda mengenakan dua syarat untuk dipenuhi masyarakat di situ. Pertamanya perlu ada dalam kalangan mereka yang mampu memandikan jenazah dan kedua mesti ada dalam kalangan mereka yang boleh menjadi bidan kelahiran.
"Semua itu tercatat di dalam catatan sejarah versi Indonesia. Menurut catatan itu lagi, kampung pertama di Sebatik bergelar Setabu dan wujud pada 1913 dengan ketua kampungnya yang pertama bernama Sulaeman dari kaum Tidung, Sehingga kini, kampung itu masih wujud" katanya.
Dipendekkan cerita, pembahagian kepada dua negara bermula apabila Belanda menguasai Indonesia di mana mereka percaya sempadan jajahan Kesultanan Bulungan ke atas wilayah Borneo Utara menganjur sehingga ke Tawau.
Sementara itu, British North Borneo Chartered Company (BNBCC) yang mengadakan perjanjian dengan Sultan Brunei dan Sultan Sulu pula mendakwa kawasan itu milik Kesultanan Sulu sekali gus menyebabkan mereka mempunyai hak ke atasnya.
Untuk menenangkan keadaan, British dan Belanda bersetuju menubuhkan satu suruhanjaya yang menjadi asas kepada Konvensyen Sempadan Inggeris Belanda. Pembentukan konvensyen itu ditandatangani pada 1891 bagi menggariskan sempadan antara wilayah naungan kedua-dua kuasa besar tersebut.
Konvensyen itu menggariskan sempadan antara wilayah Belanda dengan wilayah milik negeri naungan British di kepulauan Borneo hendaklah bermula dari garis lintang 4 darjah 10' utara di Pantai Borneo serta memanjang ke timur melalui Pulau Sebatik. Keputusan itu menyebabkan sempadan kawasan dimiliki dua negara dibahagikan menerusi satu garisan lurus.
Setelah persetujuan dicapai, pesuruhjaya sempadan British dan Belanda menandatangani laporan disediakan juru ukur kedua-dua negara terlibat di Tawau pada 17 Februari 1912 sebelum persetujuan dicapai menerusi perjanjian yang ditandatangani wakil kedua-dua kerajaan di London pada 28 September 1915 bertujuan mengesahkan laporan berkenaan.
Sehinggalah Belanda dikalahkan Jepun pada 1942, Pulau Sebatik bahagian selatan yang sebelum ini milik Belanda diwariskan kepada Indonesia sementara bahagian utara yang menjadi milik British diperturunkan kepada Malaysia.
Secara keseluruhan, kawasan dimiliki Indonesia yang berada di wilayah tadbir Kalimantan Timur berkeluasan 247.7 kilometer persegi. Kawasan dikenali sebagai 'Kecamatan Sebatik' itu dianggarkan didiami sehingga 85,000 warga Indonesia ketika ini.
Manakala, di sebelah Sebatik Malaysia, keluasan kawasan yang berada di dalam daerah Tawau hanyalah 204.7 kilometer persegi dengan jumlah penduduknya dianggarkan tidak sampai satu per tiga daripada jumlah penduduk di kawasan Sebatik Indonesia.


sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140104/lk_01/Sempadan-dibahagi-garisan-lurus#ixzz2pR5WzeS3 © Utusan Melayu (M) Bhd 

Gunung Sinabung meletus 30 kali, 20,000 penduduk pindah

KARO, Sumatera 4 Jan. - Kerajaan Indonesia terpaksa memindahkan lebih 20,000 penduduk di sekitar Gunung Sinabung dekat sini selepas gunung berapi yang aktif sejak beberapa bulan lalu itu mula meletuskan abu gunung berapi sebanyak 30 kali hari ini.

Gunung yang terletak di bahagian selatan pulau ini itu telah menghasilkan aliran lava di zon pemindahan dan juga menyebabkan berlaku awan volkano setinggi 4,000 meter, kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

"Lava yang panas keluar dari gunung berapi itu sebanyak 60 kali setakat ini, mencecah sehingga lima kilometer di bahagian tenggara kawah. Limpahan lava hari ini merupakan yang terbesar berlaku," katanya.

Pihak berkuasa telah memberitahu penduduk di dalam lingkungan lima kilometer kawasan gunung itu agar berpindah segera dan berkemungkinan akan meluaskan lagi zon kawasan pemindahan. - AFP
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140104/lu_11/Gunung-Sinabung-meletus-30-kali-20000-penduduk-pindah#ixzz2pQqSipNK © Utusan Melayu (M) Bhd





Rabu, 1 Januari 2014

Penyu sesat di Bachok

WARTAWAN SINAR HARIAN

1 Januari 2014
Penyu sesat di Bachok
Penyu sesat di Bachok
BACHOK - Buat pertama kalinya dalam sejarah tempatan, seekor penyu seberat kira- kira 15 kilogram mengemparkan penduduk Kampung Padang Nibong, Tawang dekat sini, semalam.

Penyu itu ditemui terdampar dalam keadaan lemah dengan sebelah kakinya kudung.

Ia ditemui seorang remaja, Mohd Farid Ismail, 17, yang sedang menunggang kuda bersama rakan- rakannya.

"Beberapa kali kami bawa ia ke dalam air tetapi ia berenang semula ke pantai. Bimbang dengan keselamatannya, saya bawa ia pulang.

“Bila dah bawa balik, ramai pula orang yang datang tengok sebab kami di sini memang tak pernah tengok penyu mendarat di Bachok," katanya.

SUMBER:SINAR HARAIN  ONLINE 1.1.2014