ARKIB : 05/01/2007
Kisah Al-Quran - Siri 23
HAI Zakaria, sesungguhnya Kami
memberi khabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya,
yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia.
(Maryam: 7).
NABI Yahya merupakan putera
kepada Nabi Zakaria. Setelah berpuluh-puluh tahun mendirikan rumah tangga,
namun Nabi Zakaria dan isterinya masih belum dikurniakan anak.
Sejak dahulu hinggalah usia
baginda menjangkau lebih 90 tahun, keinginan untuk mendapatkan anak tidak
pernah pudar di hati baginda dan isterinya. Walaupun begitu, baginda tetap
bersabar dengan dugaan Allah s.w.t. kepada mereka.
Apa yang membimbangkan Nabi
Zakaria ialah tidak ada waris yang akan menggantikannya untuk menyampaikan
ajaran Allah s.w.t. apabila baginda wafat kelak.
Baginda juga bimbang tidak ada
orang yang akan mewarisi ilmu-ilmunya dan khuatir jika umatnya nanti akan
menjadi sesat. Sebab itulah Nabi Zakaria tidak putus-putus berdoa kepada Allah
supaya mengurniakan zuriat (anak) kepadanya.
Doa Nabi Zakaria yang penuh
keikhlasan itu dimakbulkan jua oleh Allah s.w.t. Allah telah mengutuskan
malaikat untuk menyampaikan khabar gembira itu kepada baginda. Akhirnya isteri
baginda didapati mengandung. Nabi Zakaria dan isterinya sangat gembira dengan
kurniaan Allah itu.
Apabila tiba masanya, lahirlah
anak tersebut dan namanya diberikan oleh Allah iaitu Yahya. Nama Yahya itu
khusus untuk anak Nabi Zakaria sahaja dan tidak pernah lagi diberikan kepada
orang lain sebelum itu. Anak yang dilahirkan itu bakal menjadi seorang pemimpin
yang besar suatu masa kelak.
Kebimbangan Nabi Zakaria
berakhir apabila Yahya dilahirkan. Sejak dari kecil, Nabi Yahya diberikan
sepenuh perhatian dan kasih sayang oleh kedua-dua ibu bapanya. Nabi Zakaria
sangat menyayangi Nabi Yahya kerana itulah satu-satunya anak yang baginda ada.
Nabi Yahya dididik dengan
pendidikan agama yang sebaik-baiknya. Allah telah kurniakan kepada Nabi Yahya
keistimewaan iaitu bijak dan cepat memahami sesuatu perkara, lemah-lembut,
diberi keselamatan serta dihindarkan daripada bahaya dan sebarang penyakit.
Sebagaimana yang digambarkan
oleh Allah, Nabi Yahya mempunyai keperibadian yang baik, bertakwa, bersih
daripada kejahatan dan hidup dalam kesederhanaan. Allah juga telah menjauhkan
Nabi Yahya daripada kemaksiatan. Allah memerintahkan baginda supaya membaca dan
mempelajari kitab Taurat serta mengamalkan ajaran-Nya dengan bersungguh-sungguh.
Nabi Yahya dilantik menjadi
nabi pada tahun 27 Masihi. Baginda membantu ayahnya berdakwah kepada Nabi
Israel. Baginda sangat berani dalam menegakkan kebenaran dan menjalankan hukum
agama dengan tegas. Nabi Yahya selalu menyeru kaumnya yang berdosa agar segera
bertaubat. Taubat itu dilakukan di Sungai Jordan dengan cara memandikan atau
dibaptis. Sehingga sekarang, upacara pembaptisan dilakukan oleh orang Kristian.
Nabi Yahya seorang yang kuat
beribadat dan menghabiskan seluruh kehidupannya untuk beribadat pada jalan
Allah. Akhirnya Allah mengutuskan Yahya sebagai nabi dan rasul selepas ayahnya,
nabi Zakaria.
Mengikut apa yang diceritakan
oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Nabi Yahya diberi tugas untuk menyampaikan lima
kalimah yang diperintahkan Allah, iaitu:
* Menyembah Allah s.w.t. dan
dilarang
* menyekutu-Nya
* Mendirikan solat
* Berpuasa
* Bersedekah
* Berzikir mengingati Allah
*Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@ streamyx.com.
PENGAJARAN
*Doa yang diminta dengan penuh
keikhlasan dan bersungguh-sungguh, pastinya akan dimakbulkan oleh Allah.
* Orang yang beribadat dengan
bersungguh-sungguh dan penuh ketakwaan kepada Allah s.w.t. akan mendapat
ganjaran pahala yang cukup besar dan mendapat kedudukan yang mulia di akhirat
kelak.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sMt3iqyU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan