Khamis, 8 September 2016

PERASMIAN BANGUNAN WISMA PAHLAWAN

Pada hari ini 8.9.1974, Bangunan Wisma Pahlawan telah dibuka dengan rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah. Bangunan setinggi 14 tingkat ini, yang berharga lebih 4 juta ringgit, dibina dengan sumber kewangan dari Persatuan tersebut di samping derma daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri serta orang ramai.  Bangunan ini merupakan bangunan Ibu Pejabat Persatuan Bekas Perajurit Malaysia. Dalam upacara perasmian tersebut, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong telah bertitah bahawa bangunan ini merupakan sebagai lambang penghargaan orang ramai kepada jasa-jasa perajurit dengan cara yang konkrit dan amat bermakna.  Bangunan ini juga menurut baginda sebagai "obor" yang menunjukkan jalan untuk menolong bekas-bekas tentera selepas mereka tamat perkhidmatan kelak. Seri Paduka juga selaku Panglima Angkatan Tentera Malaysia telah melahirkan rasa bangga dengan khidmat dan pengorbanan anggota tentera dalam menjaga keselamatan negara dan rakyat Malaysia sepatutunya terhutang budi kepada mereka. Menurut Yang di Pertua Persatuan Bekas Perajurit Malaysia Jeneral Tengku Osman Tengku Mohamad Jewa, persatuan ini mempunyai 17,000 orang ahli dan berharap bilangannya akan bertambah lagi pada masa akan datang.  Dalam ucapannya itu beliau juga melahirkan rasa terhutang budi dan berterima kasih kepada orang ramai yang telah menghulurkan derma bagi pembinaan Wisma Pahlawan ini, terutama sekali kepada Menteri Besar Selangor, Dato' Harun Idris yang telah bermurah hati memberikan tapak tanah bangunan tersebut.  Beliau juga menyatakan terima kasih kepada bekas-bekas tentera British-Commonwealth, Australia, New Zealand dan lain-lain yang turut menghulurkan derma bagi pembinaan Wisma tersebut. Dengan terbinanya bangunan Wisma Pahlawan itu pada hari ini dalam tahun 1974 telah membuktikan kesungguhan Persatuan Bekas Perajurit dalam usaha membela nasib anggota-anggota tentera yang bersara.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan