Sabtu, 3 September 2016

Pemilihan sekolah sukan

ARKIB : 28/04/1998
Pemilihan sekolah sukan
PESTA Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang akan berlangsung di Alor Setar dari 2 hingga 9 Mei ini, akan menjadi sasaran jawatankuasa pemilihan untuk memilih pemain-pemain yang berpotensi belajar di dua buah sekolah sukan di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Bola Sepak MSSM, Ahmad Shafie berkata di Alor Setar semalam, tumpuan jawatankuasa berkenaan adalah khusus bagi pertandingan di bawah umur 12 tahun yang melibatkan 13 pasukan.

Menurutnya, pemain-pemain yang berjaya akan menjalani satu ujian khas sebelum mereka ditawarkan ke tingkatan satu di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Sukan Bukit Penawar Johor Baharu, Johor, awal tahun depan.

Selain itu, pesta berkenaan juga menjadi perhatian persatuan negeri untuk pemilihan pemain-pemain yang berbakat untuk diserapkan ke Akademi Bola Sepak tajaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diwujudkan di tiap-tiap negeri.

''Inilah masanya kepada pemain-pemain berbakat dan berminat serta bercita-cinta melanjutkan pelajaran ke sekolah sukan, memperlihatkan keupayaan masing-masing,'' katanya.

Sementara itu, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Kedah (MSSK) yang menjadi tuan rumah dan pengelola pesta tersebut menerima penyertaan terakhir dari Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWP) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi bawah umur 12 tahun.

Dengan penyertaan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, jumlah penyertaannya kini bertambah kepada 13 pasukan sementara bagi di bawah umur 18 tahun, melibatkan 14 pasukan.

Wilayah Persekutuan, sebelum ini hanya mengemukakan satu pasukan sahaja iaitu bertanding di bawah umur 18 tahun, tetapi mengubah fikiran selepas itu.

''Walau pun pengesahan Wilayah Persekutuan bagi di bawah umur 12 tahun, tiga hari lewat selepas pengundian dijalankan, tetapi demi untuk kebaikan semua pihak, pengelola telah membuat keputusan untuk menerima juga permohonan itu, ''kata seorang jurucakap urusetia pengelolaan pesta hari ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JCgMWHB8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan