Sabtu, 3 September 2016

Kejayaan Ekspedisi Kutub Utara amat membanggakan

ARKIB : 24/04/1998
KUALA LUMPUR 23 April - Kejayaan pasukan penerjun negara menjejakkan kaki di Kutub Utara merupakan sesuatu yang amat membanggakan kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada 16 penerjun berkenaan yang menjejakkan kaki di kawasan paling sejuk itu pada pukul 1.48 pagi waktu Malaysia dua hari lepas.

''Kejayaan pasukan terjun bebas di Kutub Utara ini menunjukkan disiplin, daya tahan dan kesediaan untuk bekerja sebagai satu pasukan,'' katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Menteri Negara bagi Kerajaan Pakistan, Ahsan Iqbal di Kementerian Kewangan.

Malaysia merupakan negara Asia yang pertama berjaya tiba di Kutub Utara, yang sebelum ini telah menerima kunjungan ekspedisi oleh warga Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Rusia, Itali dan United Kingdom.

Selain meletakkan Jalur Gemilang, anggota ekspedisi Malaysia itu, yang terjun dari ketinggian 3,000 meter turut menurunkan sebuah Proton Wira 1.5.

Anwar berkata pasukan itu yang turut disertai seorang ibu kepada lima anak telah membuktikan ketabahan mereka dalam menghadapi cabaran.

''Walaupun pemergian mereka itu dalam keadaan yang lebih sederhana memandangkan kedudukan ekonomi kita sekarang tetapi kejayaan mereka itu cukup membanggakan dan saya ucapkan tahniah,'' kata Anwar.

Dalam sidang video menerusi TV3 pagi ini, ketua kumpulan ekspedisi Abdul Rahim Dahalan, bagi pihak penerjun yang kini berada di Moscow, berkata : ''Ini adalah kejayaan semua rakyat Malaysia.''

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telahpun menyampaikan ucapan tahniah kepada pasukan itu sebaik sahaja diberitahu mengenai kejayaan mereka dua hari lepas.

Pasukan itu dijadual pulang Ahad ini. - Bernama.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_07.htm#ixzz4JBtsO28U © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan