Ahad, 11 September 2016

Gelombang al-Quran, kini sejarah tercipta

MOHD. SHAH CHE AHMAD  |  11 September 2016 6:33 PM
Datuk Rosyam Nor membawa al-Quran bersama peserta tiba di pekarangan
Datuk Rosyam Nor membawa al-Quran bersama peserta tiba di pekarangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada program larian World#Quran Hour baru-baru ini.
SEDAR atau tidak, seluruh dunia hari ini sedang bergema dengan bacaan al-Quran. Bermula daripada negara matahari terbit iaitu paling timur sehinggalah ke barat, dengan hanya satu jam masa yang diperuntukkan menjadikan mukjizat terbesar umat Islam itu bersahutan tanpa henti selama 24 jam.
Fenomena menerusi penganjuran World#QuranHour ini sekali gus merakam sejarah tersendiri buat umat Islam di seluruh dunia apabila buat kali pertamanya umat Islam saling berkomunikasi menerusi bacaan al-Quran bermula pukul 9 pagi.
Jika di Malaysia, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menjadi lokasi utama penganjuran program itu, lebih 117 buah negara dan ratusan persatuan serta gabungan Muslim daripada pertubuhan bukan kerajaan dan 57 negara anggota Pertu­buhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk jemaah haji di Padang Arafah yang memberi maklum balas positif dipercayai turut sama menjayakan kempen Satu Jam Bersama al-Quran tersebut.
Namun, bukan itu yang hendak dibanggakan, apalah gunanya tin berbunyi tetapi isinya kosong. Sebaliknya falsafah kepada penurunan al-Quran itu sendiri perlu dihayati oleh seluruh umat Islam agar kesedaran untuk melaksanakan perintah Allah dapat dipertingkatkan di samping menjadikan syariat Islam diamalkan secara meluas.
Jika masyarakat seluruh dunia sanggup bergelap selama satu jam untuk menjayakan Earth Hour sebagai tanda prihatin terhadap isu pemanasan global, mengapa tidak menjadi sebahagian daripada yang menjayakan World#QuranHour pula bagi menerangi hati seluruh manusia dengan cahaya al-Quran.
Ini kerana, sejarah membuktikan al-Quran berjaya melembutkan hati insan paling keras dan lantang menentang ajaran Islam, Sayidina Umar al-Khatab R.A kepada antara individu yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah SAW.
Perkara itu antara yang turut ditekankan oleh pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas merangkap pencetus idea World#QuranHour, Datuk Hussamuddin Yaacub bahawa, hampir 90 peratus krisis global berlaku di dunia seperti peperangan, kebuluran dan jenayah adalah kerana sikap manusia bertentangan dengan akhlak al-Quran.
Tidak faham
Walaupun dilahirkan sebagai Islam, katanya, tetapi realitinya ramai yang tidak faham dan mengamalkan Islam dengan sebenar sehingga berlaku salah faham terhadap agama seperti menyalaherti istilah jihad, malah menggunakan agama untuk kepentingan masing-masing.
Buktinya, kebanyakan negara majoriti penduduk beragama Islam dilihat bergolak, sedangkan Allah menyebut di dalam al-Quran bahawa diciptakan manusia daripada pelbagai kaum adalah untuk saling kenal mengenal.
Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (al-Hujuraat: 13)
Jika sedikit falsafah al-Quran ini dapat dihayati, pastinya segala krisis buruk sehingga mengakibatkan kesan negatif termasuk kehilangan nyawa ini dapat dielakkan.
Apa yang lebih penting, penganjuran program tanpa mengira latar belakang itu diharap menjadi titik persefahaman bagi umat Islam untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan umat Islam yang dilihat kian terhakis akibat perselisihan fahaman.
Sebagaimana dalam perniagaan, setiap umat Islam, perlu memainkan peranan sebagai ‘promoter’ yang bijak dalam mempromosikan produk iaitu agama Islam. Lebih bijak kita menonjolkan imej Islam kepada dunia, pastinya lebih ramai yang akan tertarik mengikuti Islam sekali gus menghilangkan persepsi negatif terhadap agama.
Tidak perlu menghadiri majlis formal atau berkumpulan untuk membaca al-Quran, tetapi di mana-mana sahaja umat Islam perlu merebut peluang menghayati kitab panduan yang diwariskan Nabi Muhammad SAW kepada kita itu.
Ditambah dengan kemajuan terkini, semudah dan sepantas satu klik, al-Quran dapat diakses menerusi pelbagai peranti elektronik termasuk telefon pintar, justeru tiada alasan sukar untuk membaca al-Quran walaupun seketika.
Rahsia
Selain dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah bagi setiap huruf yang dibaca, al-Quran hakikatnya mengandungi pelbagai rahsia untuk dikaji oleh manusia.
Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya diberi 10 pahala dan ditambah 10 lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.” - Riwayat Tirmizi
Bukan sahaja memperoleh ganjaran di akhirat, malah mukjizat terbesar bagi umat Islam itu turut memberi kelebihan dunia dengan menyediakan panduan dalam segala aspek kehidupan harian manusia.
Antaranya, al-Quran telah menyatakan proses pembentukan langit dan bumi sebelum diakui menerusi kajian sains yang dilakukan oleh saintis Barat menerusi teori Big Bang.
Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: “Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?” (al-Anbiya: 30)
Bukan bersifat one off, tetapi World#QuranHour merupakan permulaan kepada penganjuran lebih meluas dan menyeluruh pada masa akan datang dalam usaha mengembalikan roh al-Quran ke dalam diri umat Islam.
Justeru, gelombang al-Quran yang terbina menerusi kempen anjuran Yayasan Ummah Ikhlas itu diharap mampu disemarakkan di seluruh dunia sekali gus mengembalikan kegemilangan pernah dikecapi pada pemerintahan khalifah Islam terdahulu.
Marilah sama-sama kita menyertai sebahagian daripada mereka yang mencipta sejarah tersendiri buat al-Quran.

- Sumber http://www.utusan.com.my/rencana/gelombang-al-quran-kini-sejarah-tercipta-1.381338#sthash.YNUCCsSr.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan