Khamis, 1 September 2016

BAHASA MELAYU DIISYTIHARKAN SEBAGAI BAHASA RASMI NEGARA

Pada hari ini 1.9.1967, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara. Pengisytiharan ini adalah ekoran dari tindakan parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Melayu dalam sidangnya yang berlangsung pada bulan Mac 1967. Melalui titah DiRajanya, Baginda menyifatkan pendaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi yang tunggal merupakan satu permulaan bagi zaman baru dalam sejarah kemerdekaan negara ini. Baginda menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya sama-sama mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi negara. YTM Tengku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pula dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa pendaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi ialah apabila penggunaannya sudah dapat diterima sepenuhnya oleh semua rakyat Malaysia. Pemilihan Bahasa Melayu tidak boleh dipertikaikan. Malah kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terkandung dalam Perlembagaan 152. Di samping itu juga, Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah atau di institusi-institusi pengajian. Usaha untuk mendaulatkan dan memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ini telah dijalankan dengan lebih giat melalui pelbagai aktiviti seperti minggu dan bulan bahasa, perjuangan politik bahasa, dan melengkapkan bahasa serta buku-buku ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Usaha-usaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu ini, menghadapi pelbagai masalah yang berkaitan dengan politik bahasa, sikap pengguna  dan penerimaan rakyat terhadap bahasa itu sendiri. Walaubagaimanapun hasil dari sikap dan pendirian tegas kerajaan dalam soal bahasa ini, maka pada hari ini dalam tahun 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong  mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Berikutan dari pengisytiharaan baginda itu, pada hari yang sama, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan surat Pekeliling Am No.12 Tahun 1967 yang mengarahkan bahawa daripada tarikh itu, Bahasa Kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu sahaja hendaklah digunakan untuk tujuan rasmi dalam sistem pentadbiran negara,  kecuali di Parlimen, Dewan-dewan Negeri dan Mahkamah di mana bahasa Inggeris boleh digunakan setakat mana yang telah diperuntukkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. 
http://www2.arkib.gov.my/hids


Tiada ulasan:

Catat Ulasan