Rabu, 21 Mac 2018

Siti Safiyah lakar sejarah


 
ARKIB : 02/05/2009
KUALA LUMPUR - Siti Safiyah Abdul Rahman (gambar) membuat penampilan sulung paling bersejarah apabila muncul pemain wanita tunggal Malaysia layak ke suku akhir Kejohanan Boling Ranking Masters Dunia di Naples, Itali, semalam.

Malah, remaja berusia 18 tahun itu yang hanya bertanding selepas beberapa pemain menarik diri merupakan satu-satunya wakil dari Asia yang akan berentap pada suku akhir hari ini.

Siti Safiyah, juara Terbuka Malaysia 2005 bagaimanapun bakal berdepan cabaran getir apabila menentang pemain ranking No. 1 Eropah, Patricia Luoto dari Jerman di suku akhir yang bakal berlangsung dalam tiga permainan.

Dua lagi pemain berpengalaman negara, Shalin Zulkifli dan Zandra Aziela Ibrahim gagal untuk memberi impak besar di Arena Boling Oltremare apabila menduduki tangga ke-10 dan 18.

Hanya lapan pemain terbaik selepas 24 permainan layak ke suku akhir dan Siti Safiyah menamatkan cabaran dengan menduduki tangga kedua menerusi 4,929 jatuhan pin - hanya enam pin di belakang pendahulu dari Belanda, Wendy Kok.

Rakan senegara Kok, Belanda, Ghislaine van der menamatkan kelayakan di tangga ketiga dengan 4,907 jatuhan pin, diikuti Nina Flack dari Sweden dengan 4,867 pin.

Tiga lagi tiket suku akhir menjadi milik pemain Jerman, Tina Hulsch (4,795) dan pemain adik-beradik dari Venezuela, Karen Marcano (4,793) dan Alicia Marcano (4,725).

Kejayaan Siti Safiyah ini turut mencerahkan peluangnya untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Las Vegas, 24 Julai hingga 2 Ogos ini.

Malaysia juga masih berpeluang untuk menempatkan wakil lelaki di suku akhir dengan naib juara tahun lalu, Zulmazran Zulkifli berada pada kedudukan yang baik untuk melayakkan diri.

Selepas tamat dua blok (16 permainan), juara Terbuka Malaysia itu menduduki tangga keempat dengan 3,499 jatuhan pin - 147 pin ditinggalkan pendahulu, Lucas Legnani dari Argentina.

Seorang lagi wakil negara, Alex Liew bagaimanapun berada pada kedudukan sukar untuk mencari tiket apabila sekadar menghuni tangga ke-17 dengan 373 pin di belakang pendahulu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AIXyRk9f
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ummu Salamah yang pintar


ARKIB : 05/05/2009
HINDUN binti Abi Umaiyah merupakan isteri kepada Abu Salamah. Dia termasuk dalam golongan pertama memeluk Islam.

Hindun bersama Abu Salamah berhijrah ke Ethiopia bersama sekumpulan penganut agama Islam apabila berlaku penentangan terhadap nabi Muhammad di Mekah. Hindun melahirkan seorang anak bernama Salamah di Ethiopia lalu mendapat gelaran "Ummu Salamah" yang membawa maksud ibu Salamah.

Abu Salamah seorang yang aktif berperang dan mengalami luka parah pada tulang sewaktu Perang Uhud, akibatnya Abu Salamah pengsan lalu meninggal dunia di pangkuan Nabi Muhammad.

Selepas lama Ummu Salamah menjanda, beberapa orang datang melamarnya. Namun, semua lamaran itu ditolak dengan jawapan yang lembut dan manis.

Akhirnya Nabi Muhammad menghantar utusan untuk melamar Ummu Salamah untuk menjadi isteri beliau.

"Saya menolak lamaran Rasulullah kerana saya sudah tua, bersifat cemburu dan banyak tanggungan keluarga," begitulah jawapan Ummu Salamah kepada utusan Nabi Muhammad.

"Ya Ummu Salamah, jika kamu sudah tua, maka saya lebih tua dari kamu. Jika kamu bersifat cemburu, maka Allah akan menghilangkan cemburu dalam diri kamu. Jika kamu banyak tanggungan keluarga, maka Allah dan rasulnya akan menanggungnya," balas nabi Muhammad selepas mendengar kata-kata Ummu Salamah itu.

Ummu Salamah menunjukkan kebijaksanaan dan kepintaran ketika kaum Quraish menghalang umat Islam memasuki kota Mekah untuk menunaikan haji.

Kota Mekah ketika itu masih di bawah jagaan kaum Ouraish yang masih belum beragama Islam. Pasukan tentera Quraish menunggu ketibaan nabi Muhammad dan rombongannya di luar kota Mekah dengan azam menyekat mereka dari masuk ke kota Mekah.

Nabi Muhammad tidak mahu bertembung dengan pasukan tentera Quraish kerana rombongannya datang dengan aman untuk menunaikan haji dan bukannya untuk berperang.

"Siapa antara kamu yang boleh menunjukkan jalan lain yang menuju ke belakang tentera Quraish?" tanya nabi Muhammad yang ingin melencong ke jalan lain untuk memasuki kota Mekah tanpa bertemu dengan pasukan tentera Quraisy.

"Saya!" balas salah seorang ahli rombongan itu lalu berlari ke hadapan untuk menunjuk jalan kepada nabi Muhammad.

Walaupun jalan yang diikuti Nabi Muhammad dan rombongannya sempit dan menyulitkan pergerakan mereka, namun azam dan tekad yang tinggi untuk menunaikan haji membara di setiap hati ahli rombongan membuatkan mereka berjaya mengharungi sehingga tiba di sebuah kawasan bernama Hudaibiyah, beberapa meter dari kota Mekah.

Satu peristiwa aneh berlaku apabila unta yang dinaiki oleh nabi Muhammad tidak mahu bergerak seolah-olah ada sesuatu kuasa yang menghalangnya maju ke hadapannya. Unta itu terus duduk walaupun nabi Muhammad cuba mengarahkannya bangun dan berjalan semula.

"Adakah unta ini mengalami sesuatu yang tidak baik sehingga tidak mahu bergerak ke hadapan?" tanya salah seorang ahli rombongan nabi Muhammad.

"Tidak. Allah yang menghalang tentera bergajah Abrahah masuk ke Kota Mekah menghalang unta tunggangan saya maju ke hadapan," balas nabi Muhammad lalu turun dari belakang untanya.

Nabi Muhammad memerintahkan rombongannya berhenti berkhemah di kawasan itu. Pasukan tentera Quraish yang mengetahui perkara itu terus menuju ke kawasan perkhemahan nabi Muhammad dan mendirikan perkhemahan bertentangan dengan khemah umat Islam.

Nabi Muhammad menghantar Usman bin Affan sebagai utusan untuk berbincang dengan pasukan tentera Quraish tentang niat nabi Muhammad dan rombongannya untuk menunaikan haji.

"Sebenarnya kami datang untuk menunaikan haji dan mengapa kamu semua menghalang kami untuk menunaikan haji? Lagipun selama ini orang Arab tidak pernah menghalang sesiapa pun menunaikan haji..." jelas Usman kepada Abu Suffian, ketua pasukan tentera Quraisy.

"Kami bukan nak menghalang tetapi kamu semua tidak akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini. Kamu boleh menunaikan haji lain kali tetapi kena patuhi syarat-syarat yang kami tetapkan," balas Abu Suffian sejurus mendengar penjelasan Usman itu.

Nabi Muhammad dan rombongan mengadakan pertemuan dengan pasukan tentera Quraish untuk berdamai.

Selepas mengadakan perbincangan, mereka bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak.

Apabila Perjanjian Hudaibiyah sudah termeterai, pasukan tentera Quraish menanti Nabi Muhammad dan rombongannya pulang semula ke Madinah.

"Dengar sini semua ahli rombongan, sila sembelih unta dan cukur rambut kamu. Kemudian kita pulang semula ke Madinah!" kata nabi Muhammad kepada ahli rombongannya.

Namun tiada seorang pun ahli rombongan yang menyahut arahan nabi Muhammad itu. Nabi Muhammad terkejut melihat reaksi ahli rombongannya dan tidak mengulang kata-katanya kali kedua kerana takut turun kemurkaan Allah kepada mereka yang enggan mengikut arahannya itu.

Rombongan Nabi Muhammad berasa keliru dengan apa yang telah berlaku dan teragak-agak untuk melakukan perintah baginda itu.

Mereka terfikir bagaimana untuk pulang ke Madinah sedangkan mereka masih belum menunaikan haji.

Inikan pula nabi Muhammad memerintahkan mereka untuk menyembelih korban dan bercukur rambut. Nabi Muhammad berasa sedih lalu masuk ke dalam khemahnya kerana ini merupakan kali pertama umat Islam tidak menjalankan perintahnya.

"Mengapa kamu bersedih, wahai Rasulullah?" tanya Ummu Salamah yang berada dalam khemah.

"Saya memerintahkan semua ahli rombongan menjalankan penyembelihan korban dan bercukur kepala sebagai tanda keluar dari Ihram. Namun tidak ada sesiapa pun yang bangkit untuk menjalankan perintah saya," jelas Nabi Muhammad kepada Ummu Salamah.

"Keluar sekarang dan jangan kata apa-apa pada mereka di luar itu. Sembelih unta sebagai korban dan panggil tukang gunting untuk mencukur rambut," Ummu Salamah memberi cadangan kepada Nabi Muhammad bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Nabi Muhammad melakukan sebagaimana cadangan Ummu Salamah.

Semua ahli rombongan yang melihat apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad segera bangkit dari tempat duduk, lalu menyembelih korban masing-masing.

Selepas itu, ada yang mencukur rambut mereka dan ada yang menggunting rambut mereka. Kepintaran dan kebijaksanaan Ummu Salamah itu menunjukkan bahawa praktis dalam melakukan sesuatu adalah lebih efektif berbanding dengan hanya berkata-kata sahaja.

l Petikan daripada buku Srikandi Perisai Nabi terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5ANMGRbVx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rasulullah tidak berguru dengan rahib Nasrani


ARKIB : 04/05/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
(Siri 14)
SELAMA puluhan tahun, Pendita atau Rahib Nasrani, Buhaira atau Bahirah, malah beliau juga dikenali dengan panggilan Jarjis beribadat di sebuah biara atau gereja di Busra tanpa pernah keluar dari biaranya itu.

Buhaira dikatakan mempunyai pengetahuan yang amat mendalam mengenai ajaran dan agama Kristian. Ini menyebabkan beliau begitu dihormati khususnya oleh penganut Kristian yang lain. Beliau cukup terkenal sehinggakan banyak kafilah-kafilah dagangan yang menuju ke Syam akan berhenti di Busra semata-mata untuk bertemu dengan Buhaira untuk mendapatkan berkat dan doa daripadanya.

Tanpa berbuat demikian mereka dikatakan tidak akan pulang dengan membawa untung dan satu perjalanan yang selamat. Namun ketika rombongan Abu Talib singgah di Busra seperti yang diceritakan pada keluaran lalu, Buhaira sendiri keluar kepada mereka dan menyambut rombongan tersebut sebagai tetamu yang dimuliakan.

Seperti yang disebutkan tadi, pada hal selama ini, Buhaira tidak pernah keluar dari biaranya itu untuk menyambut sesiapa.

Ini semata-mata kerana dikatakan beliau dapat menghidu sesuatu dari rombongan Abu Talib itu. Atas pengetahuan yang cukup mendalam terhadap isi kandungan kitab Injil, Buhaira dapat mengenalpasti seorang budak lelaki yang dibawa oleh Abu Talib begitu menepati ciri-ciri kemunculan seorang Nabi bagi menyambung ajaran Nabi Isa. Lalu beliau bertanya kepada Abu Talib, mengenai siapakah anak lelaki yang menyertai rombongan dagangan dari Mekah itu.

"Siapa anak ini, siapakah keluarga anak ini?" Tanya Buhaira sambil memegang tangan Nabi Muhammad. Lalu Abu Talib menjawab: "Dia adalah anak saudara saya Muhammad, anak kepada abang saya, Abdullah yang telah meninggal dunia ketika anak ini masih dalam kandungan ibunya!," katanya.

Sejurus mendengar jawapan Abu Talib itu, lantas Buhaira mengangkat tangan Nabi dan berkata: "Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam. Dialah nabi yang dijanjikan; kerasulannya yang universal serta penaklukan dan pemerintahannya telah diramalkan dalam Kitab-kitab Suci!".

Kata-kata Buhaira itu amat mengejutkan yang lain dan Abu Talib bertanya: "Bagaimana kamu tahu perkara ini wahai Buhaira, sedangkan engkau baru sahaja mengenali Muhammad yang baru sahaja tiba dari Mekah ini?"

Buhaira menjawab: "Ketika kamu bertolak dari Aqabah, tidak ada sebutir batu atau sepohon pokok melainkan semuanya tunduk sujud dan tidaklah mereka sujud melainkan kepada seorang nabi!"

"Dialah Nabi yang namanya dan nama bapa serta keluarganya telah saya baca dalam kitab-kitab sebelum ini dan saya tahu dari mana dia akan muncul dan bagaimana agamanya akan tersebar di seluruh dunia," katanya.

Buhaira dapat mengenali kanak-kanak yang bersama Abu Talib itu sebagai bakal nabi kerana terdapat cap kenabian di bawah tulang belikat yang berbentuk seperti buah epal.

Abu Talib sendiri terus memeriksa dan ternyata benar seperti yang didakwa oleh Buhaira. Ini menyebabkan semua termasuk seluruh ahli rombongan dagangan itu terkejut dengan apa yang mereka dengar dan saksikan.

Tentu sekali mereka tidak menyangka bahawa kanak-kanak atau lebih tepat lagi si yatim piatu ini merupakan yang bakal menjadi pemimpin besar mereka di suatu hari kelak.

"Namun kamu Abu Talib mesti menyembunyikan perkara itu dan anak saudara ini dari mata kaum Yahudi. Bawalah dia pulang, tidak perlulah kau meneruskan perjalanan ke Syam.

"Demi keselamatan budak ini andai jika kamu terserempak dengan kaum Yahudi kerana mereka juga mengetahui mengenai tanda-tanda kemunculan seorang nabi baru," kata Buhaira.

Abu Talib yang juga sependapat dengan Buhaira terus mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke Syam.

Namun sesetengah riwayat menyebut beliau tetap ke Syam dengan menghantar pulang Nabi Muhammad bersama sebahagian pembantunya ke Mekah.

Peristiwa pertemuan dengan Buhaira ini telah diceritakan oleh ramai penulis sejarah termasuk oleh pihak orientalis.

Namun pihak orientalis kemudiannya didapati cuba memanipulasikan peristiwa ini dengan mengatakan bahawa Nabi Muhammad dikatakan tidak sahaja bertemu, malah dikatakan duduk belajar dengan Buhaira mengenai ajaran-ajaran dan peristiwa-peristiwa sejarah sebelum ini.

Ini termasuklah kisah-kisah para nabi, mengenai kaum yang hilang seperti Kaum Ad dan Tsamud dan pelbagai lagi ajaran-ajaran pokok mengenai agama samawi dari rahib ini.

Malah yang lebih teruk lagi, ada yang menuduh Abu Talib sengaja membawa anak saudaranya itu bertemu dengan Buhaira kerana dikatakan beliau telah mendengarkan ramalan yang dibuat oleh rahib ini kepada orang ramai.

Beliau tidak ada tujuan untuk berniaga ke Syam kecuali hanya untuk membawakan Nabi Muhammad itu untuk bertemu Buhaira.

Tidak kurang juga ada yang menulis Abu Talib tetap meneruskan perjalanan ke Syam tetapi beliau meninggalkan Nabi Muhammad untuk belajar dengan Buhaira, bukannya pulang semula ke Mekah sebagaimana yang dinasihatkan oleh Buhaira.

Menangkis

Bagi menangkis dakwaan-dakwaan ini, Jaafar Subhani dalam bukunya Ar Risalah Sejarah Kehidupan Rasulullah SAW (1984) menulis bahawa pertemuan Nabi dengan pendeta Nasrani itu merupakan perkara sederhana sahaja.

"Namun para orientalis menjadikan peristiwa ini sebagai dalil untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad belajar dari Buhaira, seorang Nasrani mengenai ajaran-ajaran luhur yang diperkenalkan 23 tahun kemudian (kedatangan Islam sehingga Rasulullah wafat).

"Bererti Islam itu bermula dari sumbangan seorang yang beragama Kristian," katanya.

Perkara ini ternyata tidak benar berdasarkan fakta bahawa:

1) Para sejarawan sepakat berkata bahawa Nabi Muhammad seorang yang buta huruf dan tidak belajar membaca dan menulis.

Semasa peristiwa ini berlaku, Nabi Muhammad dikatakan berusia 12 tahun dan tidak mungkin bagi seseorang yang semuda itu dapat mengetahui mengenai kitab Taurat dan Injil dan kemudiannya pada usia 40 tahun, berdasarkan belajar dengan Buhaira itu, Nabi Muhammad memperkenalkan agama baru.

2) Masa perjalanan untuk berdagang itu lazimnya singkat dan ini tidak memungkinkan kepada Nabi Muhammad memperoleh pelbagai pengetahuan mengenai kitab-kitab lama dalam masa yang singkat.

Menurut Jaafar, lazimnya perjalanan dagangan dari Mekah ke Syam mengambil masa selama empat bulan, termasuk masa berhenti untuk berehat di mana-mana destinasi.

"Maka mustahil dalam tempoh sesingkat itu, seseorang boleh menerima pelbagai ilmu apa tah lagi melibatkan seorang budak yang begitu tidak mengenal huruf," katanya.

3) Jika benar Nabi Muhammad dikatakan dihantar untuk belajar dengan Buhaira, tentunya perkara ini tersebar di kalangan penduduk Mekah menyebabkan semua orang akan membicarakannya.

Namun, keadaan seperti ini tidak terjadi dan tercatat di mana-mana pengkisahan. Walaupun perkara Nabi Muhammad belajar dengan Buhaira ini tidak disebut dalam al-Quran, namun kata Jaafar, jelaslah bahawa peristiwa ini dimanipulasi oleh para orientalis di zaman moden ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5ANJNsOKR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Siti Safiyah juara Masters Dunia


ARKIB : 03/05/2009
KUALA LUMPUR - Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman melakukan kejutan paling besar dalam sejarah tenpin boling negara apabila muncul juara wanita Kejohanan Boling Ranking Masters Dunia di Naples, Itali, semalam.

Selain menjadi pemain termuda negara pernah melakukannya, kejutan Siti Safiyah ini dianggap terbesar kerana ia merupakan penampilan sulungnya pada kejohanan ini.

Penyertaan secara bidan terjun selepas beberapa pemain utama wanita negara menarik diri bukan penghalang untuknya menewaskan pemain Jerman, Tina Hutsch pada perlawanan akhir.

Remaja yang hanya baru berusia 18 tahun itu mengatasi pemain yang lebih berpengalaman daripadanya dengan menang 215-199, 175-166.

Selaku juara, Siti Safiyah membawa pulang hadiah wang tunai RM36,000 (AS$10,000) yang pastinya cukup untuk menggantikan wang poketnya sendiri RM7,000 yang digunakan untuk datang ke sini.

Terdahulu, selepas menjadi satu-satunya pemain dari Malaysia dan Asia yang berjaya mara ke suku akhir kelmarin, Siti Safiyah membuktikan dia layak bukan kerana nasib dengan menewaskan pemain No. 1 Eropah, Patricia Luoto dari Jerman pada peringkat itu.

Turun selaku pemain ranking kedua, Siti Safiyah hanya memerlukan dua daripada tiga permainan terbaik yang ditetapkan untuk menang ke atas Luoto 186-172, 209-186.

Ternyata Siti Safiyah tidak mempedulikan status lawannya itu dengan beraksi tenang sepanjang permainan.

Selepas melepasi halangan itu, Siti Safiyah bertemu pula dengan pemain Belanda, Ghislaine van der Tol di separuh akhir.

Berbeza dengan kemenangan mudah di suku akhir, saingan separuh akhir ternyata sengit apabila Siti Safiyah diheret dalam tiga permainan.

Selepas tewas permainan pertama 188-192, van der Tol bangkit di permainan kedua dengan hampir melakukan permainan sempurna sebelum menang 277-215.

Namun keadaan itu tidak mematahkan semangat dan keyakinan Siti Safiyah untuk memperbaiki permainan dalam permainan ketiga dan menang 213-174 untuk mara ke perlawanan akhir.

Sementara itu, Shalin Zulkifli kali ini hanya mampu menduduki tempat ke-10 sahaja manakala Zandra Aziela Ibrahim di tempat ke-18.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AND5tUDq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 20 Mac 2018

Tongkat menjadi ular


ARKIB : 01/05/2009
Tongkat menjadi ular
PADA suatu ketika, Nabi Musa diperintahkan oleh Allah supaya menyeru kaum Bani Israel untuk menyembah Allah. Pada ketika itu, negeri Mesir diperintah oleh seorang raja yang zalim dan kejam iaitu Firaun. Firaun menganggap dirinya sebagai Tuhan dan menyuruh semua rakyat menyembah dirinya. Maka Allah mengutuskan Nabi Musa untuk menyeru Firaun supaya menyembah Allah.

Firaun tidak mahu menyembah Allah. Disebabkan kedegilan Firaun itu, Allah memerintahkan Nabi Musa menunjukkan mukjizatnya kepada Firaun. Setelah mendapat perintah itu Nabi Musa pun terus menuju ke istana Firaun.

"Apakah tujuan engkau datang ke istana aku?" tanya Firaun.

"Aku datang untuk menyeru engkau supaya menyembah Allah," jawab Nabi Musa.

"Aku ingin melihat kekuasaan Allah. Tunjukkanlah kepada aku," kata Firaun kepada Nabi Musa.

Tanpa membuang masa, Nabi Musa menunjukkan kekuasaan Allah dengan melemparkan tongkat yang dipegangnya di hadapan Firaun. Dengan kekuasaan dan keagungan Allah, tongkat yang dilemparkan oleh Nabi Musa tadi bertukar menjadi seekor ular. Firaun berasa amat takut. Tetapi dia tetap tidak mahu menyembah Allah. Firaun telah menuduh Nabi Musa sebagai seorang ahli sihir. Firaun mencabar Nabi Musa dengan memanggil semua ahli sihir untuk memperlihatkan kehebatan dan kebenaran masing-masing.

Pada keesokan harinya, maka datanglah ahli-ahli sihir dari seluruh pelosok negeri Mesir. Mereka telah berkumpul di hadapan istana Firaun. Nabi Musa dipanggil oleh Firaun untuk bersama-sama ahli-ahli sihir bagi menunjukkan kehebatan masing-masing.

"Aku mahu engkau menentukan masa dan tempat untuk membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran masing-masing," arah Firaun.

"Baiklah aku tetapkan pada hari perayaan dan orang ramai dikehendaki berkumpul pada waktu pagi," jawab Nabi Musa.

Apabila tiba masanya, maka berkumpullah orang ramai di satu tanah lapang untuk melihat kehandalan Nabi Musa melawan ahli-ahli sihir Firaun.

"Aku ingin memberitahu kepada semua yang hadir bahawa pada hari ini kita akan dapat menyaksikan kekuasaan Tuhan yang disembah Nabi Musa," kata Firaun dengan megah.

Nabi Musa memberi peluang kepada ahli-ahli sihir Firaun melemparkan tongkat masing-masing. Maka ahli-ahli sihir mencampakkan tongkat masing-masing sambil menyebut nama Firaun. Tongkat yang dicampakkan tadi, tiba-tiba bertukar menjadi ular-ular kecil yang merayap-rayap di atas tanah tersebut.

Nabi Musa berasa takut. Akan tetapi, Allah telah berfirman menyuruh Nabi Musa mencampakkan semula tongkatnya. Dengan kekuasaan Allah, maka muncullah seekor ular yang sangat besar di hadapan semua orang. Ini telah membuktikan bahawa Allah Maha Berkuasa. Maka ular besar itu terus memakan semua ular kecil yang ada di hadapannya.

Semua orang yang hadir berasa kagum melihat kehebatan Nabi Musa. Ahli-ahli sihir sedar dan insaf lalu mengakui bahawa apa yang dilakukan oleh Nabi Musa itu bukanlah sihir tetapi merupakan bukti kekuasaan Allah dan keagungan Allah.

"Kami datang untuk memberitahu bahawa kami semua telah beriman kepada Allah Tuhan kamu," kata ahli-ahli sihir kepada Nabi Musa tidak lama selepas itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5AIEYtqKR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Mac 2018

Anuar cipta sejarah

ARKIB : 23/04/2009
Oleh IRMAN HASHIM
sukan@utusan.com.my
ANUAR Manan (kiri) meninggalkan peserta lain melintasi garisan penamat untuk menjuarai peringkat keempat Jelajah Malaysia di Kuala
Terengganu, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

KUALA TERENGGANU - Pelumba negara, Anuar Manan mencipta kemenangan di negeri kelahirannya apabila menjuarai peringkat keempat perlumbaan basikal Jelajah Basikal dari Pasir Mas, Kelantan - Kuala Terengganu, semalam.

Kejayaan Anuar yang mewakili Azad University Continental Team, melalui detik dramatik selepas menewaskan Rafai Chtioui dari Doha dan Sergey Kudentsov (Poliygon Sweetnice Team).

Ketiga-tiga pelumba masing-masing mencatat 4 jam 9 minit 21 saat.

Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak mengubah kedudukan pemegang jersi keseluruhan (jersi kuning) yang kekal menjadi milik Mehdi Sohrabi dari Iran.

Mehdi yang mewakili Tabriz Petrochemical Cycling Team berjaya mencatat masa keseluruhan 16'51:04s dalam perlumbaan sejauh 177.5 kilometer itu.

Pelumba Iran tersebut juga berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) dengan menewaskan Anuar dan rakan sepasukannya, Abbas Saeditanha.

Abbas bagaimanapun berjaya merangkul jersi merah polka dot (raja bukit) selepas menewaskan Mehdi dan Hossein Nateghi dari Azad University Continental Team.

Dalam pada itu, pelumba Malaysia, Suhardi Hassan mempertahankan jersi putih dengan catatan keseluruhan 17:03:26.

Tempat kedua kategori itu disandang oleh rakan sepasukan, Mohd. Najmee Wan Mohd. yang berkongsi catatan masa 17:07:37 dengan Mohd. Shahrul Mat Amin dari Terengganu Toshiba Bike Lamz.

Anuar ketika ditemui berkata, kemenangan di Terengganu merupakan salah satu sasaran yang ingin dicapainya dalam perlumbaan tersebut.

''Pasukan saya membantu dalam memastikan saya mencapai kemenangan di Kuala Terengganu kerana ia merupakan tempat kelahiran saya," katanya.

Beliau kini menyasarkan untuk merampas jersi hijau raja pecut dalam peringkat perlumbaan akan datang.

Peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang dijadual bermula 11 pagi ini.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5AGF3ZUhQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rasulullah 'nyawa' Abu Talib


ARKIB : 20/04/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
KISAH seterusnya bukan sekadar; "Nabi Muhammad kemudiannya dijaga oleh bapa saudara, Abu Talib Bin Abdul Mutalib selepas kematian datuk kesayangan baginda!" Ini kerana baginda lebih banyak menghabiskan usia mudanya bersama Abu Talib, iaitu sejak berusia lapan tahun sehinggalah baginda menginjak dewasa dan mendirikan rumah tangga pada usia 40 tahun dengan wanita terkemuka Arab pada masa itu, Saidatina Siti Khadijah binti Khuwailid.

Tentunya sepanjang di bawah penjagaan Abu Talib ini, merupakan kesinambungan satu sirah nabi yang menjanjikan pelbagai lagi inti pati pengajaran kepada umat Islam.

Abu Talib, adalah abang kepada bapa Nabi, Abdullah bin Abdul Mutalib. Nama sebenar beliau ialah Imran dan digelar Abu Talib kerana anak sulungnya bernama Talib iaitu hasil perkahwinannya dengan Fatimah binti Asad. Mereka dikurniakan anak-anak yang lain iaitu, Jaafar, Ali dan Aqil serta dua anak perempuan, Fakhitah dan Jumanah (Ummu Hani) binti Abu Talib.

Abdullah Al Khazini dalam bukunya, "Abu Thalib (Talib) Mukmin Quraisy - Paman, sekali gus Pengasuh, Pelindung dan Pembela Rasulullah SAW (Darul Fikir, 1978) menulis, Abu Talib yang juga mendapat julukan Abdul Manaf dikatakan menerima wasiat daripada bapanya, Abdul Mutalib akan tanggungjawabnya untuk memelihara Nabi Muhammad dalam satu bentuk syair, yang berbunyi;

Ku wasiatkan pada mu wahai Abdul Manaf sepeninggalanku,

Akan anak yatim, yang ditinggal ayahnya sendirian.

Ku wasiatkan pada orang yang ku juluki Abdul Manaf

Dialah orangnya yang memiliki banyak pengalaman

Akan anak kekasih, kerabat paling mulia

Anak yang ditinggalkan ayahnya hidup sendiri

Wasiat ini dipikulkan kepada diri Abu Talib

Tempat tinggalnya yang kukuh dan ia menyukainya

Jangan kau wasiat aku dengan keharusan dan kewajiban

Kerana ku dengar keajaiban yang sangat mengkagumkan

Dari semua orang yang berilmu dan cerdik cendekiawan

Hingga jelaslah dengan puji Allah dan ucapan Rahib itu

Wasiat tersebut dilafazkan ketika detik-detik kematian kian menghampiri Abdul Mutalib yang dikatakan meninggal dunia pada usia 120 tahun. Lalu dijawab oleh Abu Talib; "Aku menerimanya. Demi Allah, Dialah yang menjadi saksinya".

Walaupun tidak memiliki kekayaan harta benda yang lumayan dan melimpah, namun kecerdasan dan daya kepimpinan yang tinggi adalah kekayaan yang dimiliki oleh bapa saudara Nabi ini.

Kepimpinan yang jitu ditunjukkan oleh Abu Talib dalam mengambil alih tugas bapanya iaitu sebagai pemberi makan dan minum kepada jemaah yang datang ke Kaabah untuk mengerjakan haji. Sebagai penjaga Telaga Zamzam, Abu Talib akan melemparkan buah kurma dan kismis ke dalam telaga itu supaya air Zamzam terasa manis lagi menyegarkan untuk para jemaah yang menempuh perjalanan jauh dan panas. Apatah lagi melalui padang-padang Sahara yang kering lagi tandus itu.

Jatuh miskin

Namun pada suatu ketika, Abu Talib benar-benar jatuh miskin yang boleh menggugat kemampuannya untuk terus membantu para jemaah itu. Namun bapa saudara Nabi ini tidak sanggup meninggalkan kemuliaan tugas itu hanya kerana kemiskinan.

Demi meneruskan usaha bapanya, Abu Talib kemudiannya menemui saudaranya yang yang lebih kaya dan berharta, iaitu al Abbas. Tanpa segan Abu Talib meminjam wang 10,000 dirham daripada saudaranya itu bagi membolehkan beliau terus menunaikan kewajipannya kepada para jemaah.

Jelas sekali Abu Talib menggambarkan satu daya kepimpinan yang tinggi namun jasa beliau yang sangat dikenang oleh penduduk Mekah dapat kita ikuti melalui satu peristiwa.

Pada satu ketika Mekah benar-benar ditimpa musibah yang amat perit untuk ditanggung oleh para penduduknya apabila berhari-hari tidak hujan menyebabkan berlakunya musim kemarau yang paling buruk.

Ibnu Assakir dalam satu riwayat daripada Julhamah bin Arthafah yang menceritakan Julhamah yang datang ke Mekah yang mendapati penduduk di situ begitu sengsara. Seorang daripada penduduk berkata; "Marilah kita bersandar (memohon pertolongan) kepada Lata dan Uzza (berhala)!" Sementara seorang lagi pula berkata: "Marilah kita bersandar kepada Manat (berhala)," Namun seorang lagi pula berkata: "Mengapa kalian menjadi lemah akal, sementara di tengah-tengah kalian masih ada yang mewarisi keturunan Ibrahim (Nabi) dan Ismail (Nabi?)!"

Lalu mereka berkata; "Nampaknya, orang yang kamu maksudkan adalah Abu Talib!".

"Benar!" jawab si polan yang ketiga tadi.

Lalu mereka terus menuju ke rumah Abu Talib dan berkata; "Wahai Abu Talib, wadi-wadi yang ada telah mengering, tanah serta ladang semakin gersang. Oleh kerana itu, mintakanlah supaya hujan turun supaya kami dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala!"

Sambil tersenyum tanda sedia membantu, Abu Talib pun keluar dari rumahnya dengan membawa seorang kanak-kanak, iaitu anak saudaranya, Nabi Muhammad.

Awan gelap

Sejurus mereka melangkah keluar awan yang tebal dan gelap terus berkumpul di langit yang sebelum ini begitu cerah tanpa segumpal awan pun.

Setibanya mereka di Kaabah, Abu Talib pun merapatkan badan anak saudaranya itu ke dinding Rumah Allah itu dan mereka bersama-sama memohon kepada Allah supaya bumi yang gersang itu akhirnya dibasahi hujan.

Ditakdirkan Allah, tidak lama kemudian hujan pun turun dengan mencurah-curah sebagaimana yang diminta oleh penduduk Mekah itu.

Lembah Mekah pun kembali subur dan tiada lagi keperitan untuk ditanggung.

Peristiwa ini seperti yang disebut oleh Abi Talib dalam syairnya;

Si Putih yang diminta hujan dengan berkat wajahnya

Ketua anak-anak yatim dan pelindung balu-balu!

Kejadian ini juga menyuntik lagi kekuatan kepada Abu Talib untuk menjaga anak saudaranya itu kerana kini semakin nampak mengenai kedudukan Nabi Muhammad sebagaimana yang sering diucapkan oleh bapanya sebelum ini. Keperibadian Nabi Muhammad benar-benar tidak sebagaimana anak-anak yang lazimnya.

Apa yang dilihat oleh Abu Talib, anak saudaranya itu tidak sahaja memiliki segala kesempurnaan dan kelebihan tetapi beliau yakin Nabi Muhammad akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tentangan. Ini menyebabkan Abu Talib akan mempertahankan anak saudaranya itu walau terpaksa bergalang dengan nyawanya sendiri.

Namun dalam satu peristiwa lain, Abu Talib pernah cuba hendak meninggalkan Nabi Muhammad dalam jagaan orang lain. Ini semata-mata beliau tidak mahu anak saudaranya itu terdedah kepada sebarang ancaman keselamatan ketika beliau bersama beberapa pedagang Quraisy yang ingin memulakan perjalanan untuk berniaga di Syam (Syria).

Namun ketika kafilah-kafilah yang membawa pelbagai dagangan itu hendak mulakan perjalanan yang jauh itu, Abu Talib memalingkan muka dan alangkah terkejutnya beliau apabila melihat dengan jelas anak saudaranya itu sedang menyapu air mata yang jatuh membasahi pipi. Rupa-rupanya Nabi Muhammad sangat sedih untuk berpisah dengan dengan bapa saudaranya itu.

"Pakcik, kepada siapakah kau hendak tinggalkan aku sementara ketiadaanmu di sini? Sedangkan aku tidak mempunyai baik ayah mahupun ibu," kata si anak saudara dalam sedu dan sedan.

Wajah sedih dan kata-kata Nabi Muhammad itu membangkitkan rasa hiba Abu Talib dan tidak semena-mena beliau sendiri merasakan tidak sanggup meninggalkan anak saudaranya itu.

Lalu dipeluknya anak saudaranya yang ketika itu dikatakan dalam usia 12 tahun sambil berkata; "Demi Allah, aku akan membawa kau pergi bersamaku. Kau tidak akan berpisah dengan aku dan aku tidak akan meninggalkan engkau lagi wahai anak saudaraku!"

Berdagang

Nabi Muhammad yang dalam rangkulan bapa saudaranya itu kemudiannya turut dibawa untuk berdagang ke Syam itu. Satu perjalanan getir lebih-lebih lagi terpaksa menempuh padang pasir yang kering dan kontang yang tentunya tidak sesuai untuk anak yang semuda Nabi itu.

Namun Abu Talib mendapati bahawa perjalanan kali ini berbeza, tidak ada kepayahan kecuali yang menyenangkan tanpa sebarang ancaman yang boleh mengganggu perjalanan mereka.

Mereka berjaya melewati Madian, Lembah Qura, negeri Tsamud sehinggalah daripada jauh mereka dapat menyaksikan keindahan matahari yang sedang terbit dari arah Syria. Sungguh indah sehinggakan mereka semakin bersemangat untuk sampai ke negeri itu walaupun telah berhari dan berbulan dalam perjalanan ini.

Namun telah menjadi kebiasaan kepada mana-mana kafilah yang hendak mengunjungi Syam, mereka mesti terlebih dahulu singgah di Busra. Ini kerana di tempat itu, semua kafilah-kafilah dagang yang berhenti mesti mengunjungi sebuah biara yang padanya terdapat seorang pendeta Nasrani bernama Buhaira.

Mereka mesti bertemu Buhaira untuk mendapatkan barakah! Namun sesetengah riwayat menyebut bahawa Busra sekadar destinasi kepada kafilah untuk mereka berhenti untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Syria.

Justeru apakah yang berlaku apabila Pendeta Buhaira ini berjaya 'menangkap' sesuatu pada Nabi Muhammad, yang menyebabkan Abu Talib semakin tersentak! Ikuti pada keluaran seterusnya!
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5ACpm0PvG
© Utusan Melayu (M) Bhd