Jumaat, 20 Oktober 2017

SOALAN 3 Sejauh manakah kemajuan kegiatan PERindustriAN Jepun pada abad ke-19 dicetuskan oleh Maharaja Meiji?

Pengenalan

- Pada peringkat awal Jepun menjalankan dasar isolasi. Namun penamatan dasar ini pada tahun 1868 melalui Perjanjian Kanagawa telah mengubah dasar Jepun kepada dasar buka pintu dan kuasa pemerintahan dikembalikan kepada Maharaja Meiji.  

-Perkembangan pesat dalam bidang perindustrian di Jepun disebabkan oleh dasar yang diamalkan oleh kerajaan Maharaja Meiji. Pemimpin-pemimpin Meiji meletakkan asas bagi perkembangan dalam sektor perindustrian. Perkembangan dalam sektor perindustrian disebabkan oleh pembaharuan yang dilakukan oleh Meiji dalam bidang ekonomi. Pertumbuhan pesat dalam bidang perindustrian menyebabkan Jepun muncul sebagai negara industri dalam tempoh masa yang singkat.

-Namun selain dasar yang dilaksanakan oleh Maharaja Meiji terdapat juga faktor-faktor lain seperti kemajuan sistem pengangkutan, kemajuan sistem telegraf, perkembangan pertanian, dan dasar kewangan telah mempengaruhi perkembangan perindustrian di Jepun.       

Dasar Kerajaan Meiji
- Kerajaan memberi bantuan kepada pengusaha-pengusaha persendirian kerajaan turut memberikan bantuan modal kepada pengusaha-pengusaha industri. Kerajaan turut menyediakan bantuan latihan perindustrian dan khidmat nasihat kepada pengusaha industri. Bengkel-bengkel mengenai teknik perniagaan turut diadakan. Kerajaan juga mendapatkan khidmat pakar-pakar luar negara untuk memodenkan perindustrian. Menjelang tahun 1879, kerajaan mengambil 130 orang pegawai asing untuk memajukan sektor perindustrian.

Kemajuan dalam pengangkutan
- Pemimpin-pemimpin Meiji telah mengambil langkah untuk memajukan sektor pengangkutan di Jepun. Menjelang tahun 1872 landasan kereta api sepanjang 26 batu didiriakan di Jepun. Pada tahun 1872, Tokyo dan Yokohama dihubungkan oleh landasan kereta api. Dalam pada itu, landasan kereta api yang menghubungkan Kobe dan Osaka dibina pada tahun 1874.
- Pada tahun 1877, landasan kereta api diperluaskan hingga ke Kyoto. Pada tahun 1878, kerja-kerja pembinaan landasan kereta api telah dimulakan untuk menghubungkan Kyoto dengan Otsu, Tsuraga dan Nagahama. Landasan kereta api Kyoto-Otsu dibina oleh jurutera Jepun dan telah siap pada tahun 1880. Pada tahun 1880, landasan kereta api Tokyo-Yokohama telah telah mengangkut dua hingga tiga juta orang penumpang. Kemajuan dalam bidang pengangkutan meransang perkembangan sektor perindustrian di Jepun.

Kemajuan dalan telegraf
- Perkembangan pesat dalam sektor perindustrian di Jepun di dorong oleh kemajuan dalam bidang perhubungan. Kerajaan Jepun mengambil langkah untuk membangunkan sistem perhubungan seperti perkhidmatan telegraf. Talian telegraf dibina untuk memudahkan perhubungan dan komunikasi. Stesen-stesen telegraf dan talian telegraf dibina di seluruh negara Jepun.

-Menjelang tahun 1893, terdapat kawat telegraf sepanjang 4000 batu di seluruh Jepun. Jumlah kawat yang diterima dan dihantar telah bertambah daripasa 19 448 pada tahun 1871 kepada 1.2 juta pada tahun 1884. Kemajuan sistem telegraf telah membantu pembangunan sektor perindustrian dan proses modenisasi di Jepun.

Perkembangan sektor pertanian
- Perkembangan pesat dalam sektor pertanian membolehkan kerajaan Meiji membangukan bidang perindustrian. Pemimpin-pemimpin Meiji mengambil langkah untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Antara langah yang diambil oleh kerajaan untuk memajukan sektor pertanian adalah; Pelajar-pelajar daripada jurusan pertanian dihantar keluar Negara; Pakar-pakar pertanian asing diimport benih-benih baharu; Baja kimia digunakan secara ekstensif; Sistem pengairan diperbaiki; Sekolah, maktab, dan stesen pertanian dibina di bandar-bandar utama; dan Kerajaan menggalakkan penanaman tanaman dagangan komersial seperti teh  dan sutera. Langkah-langkah tersebut menyebabkan hasil pengeluaran sektor pertanian meningkat antara 35 pratus hingga 40 pratus antara tahun 1894 hingga tahun 1914.

Dasar kewangan yang teratur
- Perkembangan dalam sektor perindustrian disebabkan oleh pengurusan sistem kewangan yang teratur dan sistematik di Jepun. Perkembangan pesat dalam bidang ekonomi menyebabkan  mata wang diperkenalkan dan bank ditubuhkan. Pada tahun 1872, Mitsu-Ono Bank ditubuhkan. Pada tahun 1873, Bank Negara ditubuhkan berasaskan model bank di Amerika Syarikat. Menjelang tahun 1882, bank pusat Jepun ditubugkan dan bank ini menjadi agensi kewangan utama kerajaan.

- Pada tahun 1868, unit mata wang kertas ditukar dari ryo kepada yen. Pada tahun 1880, bank Yokohama Specie muncul sebagai bank asing utama di Jepun. Pada tahun 1896, kerajaan menubuhkan bank Hypothec. Bank Hypoyhec berperanan sebagai bank pusat bagi bank-bank pertnian dan perindustrian di 47 buah wilayah di Jepun. Pada tahun 1900, muncul bank Perindustrian Jepun untuk membiayai perindustrian secara besar-besaran. Menjelang akhir abad ke-19, terdapat lebih daripada 200 buah bank di Jepun. Kemunculan bank-bank ini membantu pertubuhan perindustrian di Jepun.

Kemunculan pengusaha-pengusaha baharu
- Perkembangan sektor perindustrian di Jepun di dorong oleh kemunculan pengusaha-pengusaha baharu yang kaya-raya. Pada awal abad ke-20, empat buah keluarga telah menguasai sektor perindustrian di Jepun. Empat keluarga tersebut menjadi penaung kepada perkembangan sektor perindustrian di Jepun. Keluarga ekonomi baharu tersebut dikenali sebagai Zaibatsu.

 Peralihan bidang
- Satu lagi langkah untuk meningkatkan keupayaan dan penghasilan dalam bidang industri ialah dengan beralih daripada pertanian yang menghasilkan produktiviti rendah ke bidang pembuatan yang menghasilkan produktiviti yang tinggi, sektor perlombongan, dan pembinaan. Bidang-bidang tersebut menyumbang kepada peningkatan dan pertumbuhan produktiviti. Semua ini dapat direalisasikan melalui pelaburan.


Pertumbuhan seimbang
- Pertumbuhan seimbang pada penghujung abad ke-19 telah menyumbang kepada industrialisasi Jepun. Pertumbuhan seimbang merujuk kepada sektor yang menggunakan teknologi tradisional dan moden telah meningkat pada kadar yang lebih kurang sama dan penggunaan tenaga buruh terutama gadis-gadis muda yang direkrut daripada isi rumah untuk bekerja di kilang tekstil menggunakan kuasa wap turut meningkatkan produktiviti.

  Mencontohi kuasa Barat
- Jepun juga membuka pintu negaranya dengan kesediaan untuk mencontohi kuasa Barat. Hal ini disebabkan perubahan dan kemajuan domestic yang dicapai. Beberapa langkah dilaksanakan seperti meningkatkan infrastruktur, membaiki pendidikan, dan melahirkan tahapcelik huruf yang tinggi. Dalam bidang industri-proto, Jepun meniru dari Barat cara pengagihan kuasa, bentuk organisasi dan teknik dalam pengeluaran tenaga, serta pengurusan sumber tenaga seperti arang batu dan bahan api yang lain untuk menjana kuasa wap. Setelah membangunkan ekonomi organik yang bergantung kepada aliran tenaga semula jadi seperti angina, air, dan api secara intensif, Jepun sudah cukup bersedia untuk menguasai pengeluaran bukan organik.

 Perkembangan infrastruktur dan pertahanan negara
- Jepun dapat membina pasukan tentera laut moden yang mampu mengehadkan kuasa Barat dan menubuhkan zon penampan perlindungan di Asia Timur yang akhirnya membentuk asas bagi empayar Jepun untuk berkembang di Asia dan Pasifik. Infrastruktur dipertingkatkan melalui peluang pekerjaan,keupayaan untuk mengimport dan mengeksport melalui ekonomi antarabangsa, dan akses kepada teknologi Amerika yang disokong melalui pakatan keselamatan dengan Amerika Syarikat. Melalui langkah-langkah ini, Jepun mengalami pertumbuhan dramatik dan menakjubkan turut mempengaruhi peningkatan dalam kadar pengumpulan modal tetap domestik dan kenaikan dalam nisbah pelaburan terutamanya dalam tabungan isi rumah persendirian

Kesimpulan     
  Dasar kerajaan telah menjadi faktor utama perkembangan perindustrian di Jepun dan disokong oleh faktor-faktor lain. Perkembangan perindustrian telah membawa kepada kepesatan ekonomi di  Jepun. Jepun di bawah pemulihan Meiji telah mengubah Jepun menjadi negara industri moden dan sekaligus memperkuatkan angkatan  tenteranya sehingga menjadi salah sebuah kuasa imperialis di Asia terutama semasa Perang Dunia Kedua
SUMBER-
JPN PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P1 940/1

Orang yang berselimut



ARKIB : 28/12/2007

WAHAI orang yang berselimut. Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka sebutlah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan pakaianmu, maka hendaklah kamu bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah kamu jauhkan. (al-Muddatstir: 1-5)

PADA suatu malam, ketika Nabi Muhammad sedang khusyuk beribadat di Gua Hira’, tiba-tiba Baginda didatangi oleh malaikat Jibril membawakan wahyu kepada Baginda.

“Bacalah!” kata malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad.

“Saya tidak tahu membaca,” jawab Baginda dengan gementar.

“Bacalah!” kata malaikat Jibril sambil memeluk Nabi Muhammad.

“Saya tidak tahu membaca,” jawab Baginda lagi.

Kemudian malaikat Jibril memeluk Nabi Muhammad sekali lagi dengan pelukan yang sangat kuat.

“Bacalah!” kata malaikat Jibril lagi.

“Saya tidak tahu membaca,” jawab Nabi Muhammad.

Malaikat Jibril memeluk Nabi Muhammad buat kali yang ketiga. Selepas itu, malaikat Jibril melepaskan Nabi Muhammad daripada pelukannya dan mengajarkan Baginda membacakan ayat daripada surah al-Alaq.

Maka Nabi Muhammad peluang ke rumah mendapatkan isterinya Khadijah dengan hati yang berdebar-debar dan gementar. Khadijah sangat terkejut melihat Nabi Muhammad menggigil ketakutan.

“Selubungilah aku! Selubungilah aku!” kata Baginda.

“Ceritakanlah kepada aku apa yang telah terjadi,” tanya Khadijah dengan lembut.

Maka Nabi Muhammad pula menceritakan peristiwa yang dialaminya ketika berada di Gua Hira’. Khadijah mendengar sahaja apa yang diceritakan oleh Nabi Muhammad. Kemudian Khadijah memujuk Baginda supaya bertenang.

“Nanti saya akan tanyakan kepada Waraqah bin Naufal akan peristiwa yang telah berlaku ke atas mu ini,” kata Khadijah.

“Baiklah,” jawab Nabi Muhammad.

Khadijah pun pergi ke rumah Waraqah untuk menemuinya. Beliau menceritakan tentang peristiwa yang dialami oleh Nabi Muhammad. Waraqah meminta Khadijah membawa Nabi Muhammad datang menemuinya sendiri. Waraqah mahu mendengar cerita itu daripada mulut Nabi Muhammad sendiri.

Maka, pulanglah Khadijah memberitahu Nabi Muhammad. Kemudian beliau membawa Nabi Muhammad ke rumah Waraqah. Waraqah meminta Nabi Muhammad menceritakan sekali lagi peristiwa yang dialami olehnya. Nabi Muhammad menceritakan peristiwa tersebut.

“Sesungguhnya engkau sangat bertuah,” kata Waraqah.

“Kenapa engkau berkata sedemikian?” tanya Baginda.

“Sebenarnya orang yang memeluk dan mengajarkanmu membaca itu ialah Malaikat Jibril. Ia datang untuk menyampaikan wahyu. Kedatangan Malaikat Jibril kepada engkau itu bererti engkau telah dipilih menjadi Rasul oleh Allah s.w.t.

Waraqah telah menerangkan segala-galanya kepada Nabi Muhammad akan tujuan Allah s.w.t. memilihnya sebagai rasul. Kemudian Baginda bersama Khadijah pun pulang semula ke rumah. Nabi Muhammad mengucap syukur kepada Allah s.w.t. kerana telah memilihnya sebagai rasul.

Selepas peristiwa penurunan wahyu yang pertama, Rasulullah s.a.w. tidak menerima sebarang wahyu buat seketika. Pada suatu hari ketika Rasulullah berjalan-jalan, Baginda terdengar suara dari langit. Apabila Baginda mendongak ke atas Rasulullah terkejut dan pulang ke rumahnya. Baginda meminta isterinya supaya menyelimutinya seperti ketika turun wahyu pertama dahulu. Lalu turunlah ayat 1 hingga 5 surah al-Muddatstir di atas. Selepas itu barulah Baginda menerima wahyu berturut-turut.

PENGAJARAN

* Nabi Muhammad adalah seorang yang baik dan berbudi pekerti mulia. Maka contohilah sifat-sifat yang ada pada baginda.

PERBENDAHARAAN KATA

- gementar: menggigil

- peristiwa: kejadian

- bertuah: beruntung

- menyampai: membara

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4w3qLdjY5
© Utusan Melayu (M) Bhd

KISAH AL-QURAN - SIRI 67

ARKIB : 14/12/2007
Nabi Musa menuju ke MadyanDAN tatkala ia mengadap ke jurusan negeri Ma dyan ia berdoa: “Mudah-mudahan Tuhan memimpinku ke jalan yang benar. (Qashash: 22)
 
NABI Musa terpaksa keluar dari Mesir kerana baginda telah diburu atas kesalahan membunuh seorang lelaki Mesir. Mereka meletakkan kesalahan itu ke atas Nabi Musa. Sebenarnya ketika itu baginda cuba meleraikan perkelahian, bukannya mahu membunuh lelaki Mesir tersebut. Baginda tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut.

Berhari-hari Nabi Musa berjalan dan melalui jalan yang tidak pernah dilalui oleh orang lain. Baginda memasuki gurun menuju ke suatu tempat. Ketika itu beliau hanya seorang diri dan hanya mengharapkan perlindungan daripada Allah s.w.t.. Baginda berjalan tanpa sepatu sehingga pecah-pecah kakinya. Baginda terasa sangat lapar. Walaupun begitu, baginda tetap meneruskan perjalanannya.

Akhirnya, baginda tiba di Madyan dan melihat ramai manusia berkumpul dan berkerumun. Nabi Musa hanya memerhatikan tingkah laku mereka. Mereka adalah penggembala yang sedang mengambil air untuk kambing-kambing mereka. Baginda melihat pula ke arah dua orang gadis yang sedang menjaga kambing-kambingnya yang sangat kurus, berbeza dengan kambing-kambing yang ada di situ. Kambing-kambing yang lain itu semuanya gemuk-gemuk belaka.

Nabi Musa kasihan melihat kedua-dua gadis itu. Baginda mendekati mereka.

“Apa yang kamu berdua buat di sini?” tanya Nabi Musa.

“Kami menyisihkan diri untuk menjaga kehormatan diri dan tidak mahu berebut-rebut mengambil air. Kami perlu sabar menunggu sehinggalah semua orang telah selesai mengambil air. Barulah kami mengambil air untuk kambing-kambing kami pula. Bapa kami sudah tua, tidak mungkin untuk datang ke sini,” terang salah seorang daripada mereka.

Nabi Musa pun menolong kedua-dua gadis itu mengambil air untuk kambing-kambing mereka. Pada hari itu, kedua-dua gadis perempuan itu dapat pulang ke rumah awal kerana Nabi Musa telah menolong mereka. Tiba di rumah, bapa mereka kehairanan melihat kedua-duanya.

“Kenapa cepat kamu berdua pulang hari ini?” tanya bapa mereka.

“Ada seorang lelaki telah menolong kami mengambil air untuk kambing-kambing kita,” kata salah seorang anak perempuannya.

“Pergilah engkau padanya dan beritahu ayah memanggilnya untuk memberi upah dan jasanya kerana mengambil air untuk kamu berdua,” kata bapa mereka lagi.

Salah seorang daripada mereka pergi menemui Musa.

“Saya diutus oleh bapa untuk memanggilmu agar engkau sudi datang ke rumah kami. Bapa terhutang budi atas kebaikanmu yang telah menolong kami,” kata gadis itu.

Nabi Musa pun pergi ke rumah mereka.

Setiba di rumah tersebut, Nabi Musa disambut oleh bapa kedua-dua gadis itu.

“Terima kasih kerana kamu telah menolong anak-anak saya,” kata si bapa.

“Sama-sama. Saya menolong mereka dengan ikhlas. Bukan mengharapkan upah atau balasan,” kata Musa.

Bapa kedua-dua gadis itu mahu Musa menceritakan tentang dirinya. Maka Nabi Musa menceritakan kenapa beliau keluar dari Mesir. Sehinggalah bapa kedua-dua gadis itu tahu rahsia perjalanan Nabi Musa.

“Jangan risau, kamu akan selamat di sini. Engkau akan bebas daripada mereka yang zalim itu,” kata si bapa.

“Terima kasih,” jawab Musa.

Tinggallah Nabi Musa di situ dengan perasaan tenang dan lega untuk beberapa ketika.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

* Kita hendaklah berbuat sesuatu yang baik itu dengan ikhlas tanpa meminta balasan.

PERBENDAHARAAN KATA

* Perlindungan: tempat berlindung

* Kehairanan: kepelikan

* Jasa: bakti

* Menemui: berjumpa dengan

INFORMASI

* Madyan terletak di daerah Ma’an, satu daerah di bahagian Selatan Palestin, iaitu tempat tinggal Nabi Syuib

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4w3KDNH2x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nabi Yusuf dianiaya saudaranya

ARKIB : 07/12/2007
Kisah Al-Quran - Siri 66
Nabi Yusuf dianiaya saudaranya
DAN (bagi mengesahkan dakwaan mereka itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan-Nya, mengenai apa yang kamu katakan itu. (Yusuf: 18)

PADA suatu hari adik-beradik Nabi Yusuf yang dengki kepadanya merancang untuk membuang baginda ke dalam sebuah telaga yang dalam. Mereka dengki kerana ayah mereka lebih sayangkan Nabi Yusuf dan adiknya, Bunyamin. Mereka membawa Nabi Yusuf ke suatu tempat yang agak jauh dan meninggalkannya dalam sebuah telaga. Setelah rancangan mereka berjaya, mereka kembali semula ke rumah dengan membawa bersama pakaian Nabi Yusuf.

Mereka menunjukkan baju tersebut kepada bapa mereka iaitu Nabi Yaakub sambil menangis-nangis. Mereka berbohong dan menyatakan bahawa Nabi Yusuf dibaham oleh serigala. Apabila mendengar cerita daripada anak-anaknya itu, Nabi Yaakub sangat sedih kerana Nabi Yusuf adalah anak yang paling disayangi.

Sementara itu, Nabi Yusuf yang berada di dalam telaga yang gelap itu berasa sangat takut dan sunyi. Baginda hanya mampu memandang langit dan bintang-bintang yang berkerdipan. Nabi Yusuf juga berasa sangat sedih kerana kini baginda sudah berjauhan dengan ayahnya, Nabi Yaakub. Perutnya pun mula terasa lapar.

Dalam keadaan sedih dan lapar itu, tiba-tiba Nabi Yusuf mendengar satu suara. Nabi Yusuf diam seketika. Tidak lama kemudian, Nabi Yusuf terdengar telapak kaki manusia yang sedang berjalan. Semakin lama bunyi tersebut semakin jelas. Rupa-rupanya itu adalah rombongan kafilah yang berhenti untuk mengambil air minuman.

Mereka menurunkan gayung ke dalam perigi tersebut. Nabi Yusuf mengambil kesempatan itu untuk naik. Baginda berpaut pada tali gayung tersebut sehinggalah ia ditarik semula ke atas. Rombongan kafilah itu terkejut apabila melihat seorang budak lelaki berpaut pada gayung tersebut.

“Siapa engkau wahai budak?” soal salah seorang daripada ahli rombongan tersebut.

“Namaku Yusuf. Aku telah ditinggalkan oleh saudara-saudaraku dalam perigi ini seorang diri. Aku tidak boleh keluar dari perigi ini sehinggalah ternampak tali gayung yang tuan hulurkan tadi,” jawab Nabi Yusuf kembali.

Nabi Yusuf mula dikelilingi oleh semua ahli rombongan tersebut. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menjual sahaja Nabi Yusuf apabila mereka sampai di kota Mesir nanti.

Nabi Yusuf bernasib baik apabila dibeli oleh seorang pembesar negara. Isteri pembesar itu sangat gembira apabila suaminya itu membawa pulang Nabi Yusuf ke rumah mereka. Mereka menjaga Nabi Yusuf seperti anak sendiri kerana mereka tidak mempunyai zuriat. Maka hiduplah Nabi Yusuf di rumah pembesar itu dengan gembiranya.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

* Janganlah melakukan penganiayaan terhadap orang lain lebih-lebih lagi kepada adik-beradik sendiri.

* Orang yang tidak berdosa akan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t.

* Berbohong merupakan satu perbuatan yang keji dan dimurkai oleh Allah s.w.t.

PERBENDAHARAAN KATA

* Dibaham: dimakan

* Gayung: alat untuk mengambil dan mencebok air

* Zuriat: anak

INFORMASI

* Nabi Yaakub mempunyai 12 orang anak lelaki. Menurut para ulama hanya Nabi Yusuf sahaja yang dilantik menjadi Nabi. Sebab itulah Nabi Yaakub menyayangi Nabi Yusuf dan saudaranya Bunyamin.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4w36BThCX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 18 Oktober 2017

Mew Choo lakar sejarah

ARKIB : 26/11/2007
 
WONG Mew Choo bergambar bersama trofi Terbuka China di Guangzhou, semalam selepas menjadi pemain wanita Malaysia pertama muncul juara dalam sejarah 18 tahun kejohanan.

KUALA LUMPUR – Wong Mew Choo melakar sejarah muncul pemain badminton wanita pertama Malaysia menjuarai Terbuka China sejak kejohanan diperkenalkan 18 tahun lalu.

Gelaran Terbuka pertama dalam kariernya itu juga telah merubah sasaran Mew Choo daripada hanya cuba memburu tiket ke Sukan Olimpik kepada memburu pingat Olimpik pada Temasya Beijing 2008.

Semalam, Mew Choo, memukau ribuan peminat badminton China apabila menumbangkan pemain nombor satu dunia dan juara dunia dua kali, Xie Xingfang 21-16, 8-21, 21-17 di depan peminatnya sendiri.

Ketika memasuki gelanggang, dia hanya berbekalkan pencapaian terbaik muncul naib juara Terbuka Malaysia, sedang kan Xingfang adalah juara Seluruh England, Terbuka Perancis, Terbuka Macau, China Masters, Terbuka Jerman dan Terbuka Korea tahun ini.

Pemain nombor lapan dunia itu yang turut mengejutkan dua bintang China - juara dunia, Zhu Lin dan juara Olimpik, Zhang Ning dalam laluan ke akhir.

“Memenangi Terbuka China dengan menumpaskan pemain China ibarat mimpi menjadi nyata dan ia adalah kejayaan yang diidamkan oleh semua pemain wanita di dunia.

“Ketika menewaskan Xingfang di Kejohanan Dunia (Ogos lalu) ramai yang kata ia cuma nasib kerana dia tidak berada di prestasi terbaiknya, tetapi kemenangan kedua ini membuktikan saya memang setanding dengannya,’’ kata Mew Choo ketika dihubungi di Guangzhou semalam.

Ini merupakan sejarah kedua yang dilakar oleh Mew Choo dalam kariernya selepas turut menjadi pemain pertama negara memenangi pingat emas perseorangan wanita pada Sukan SEA Vietnam 2003 selepas 26 tahun.

Kemenangan semalam membolehkan Mew Choo membawa pulang AS$17,250 (RM58,650), selain menjadi penyuntik semangat untuk mencatat satu lagi keputusan yang baik pada kejohanan Terbuka Hong Kong, Rabu ini.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini tetapi ia tidak akan membuat saya besar kepala. Sasaran saya di Terbuka Hong Kong nanti tidak berubah, cuba untuk mara ke suku akhir,’’ katanya lagi.

Sementara itu, hajat Malaysia untuk merangkul kejuaraan berganda dalam perseorangan lelaki tidak kesampaian selepas Lee Chong Wei tunduk kepada pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai.

Chong Wei, pemain nombor dua dunia dan juara tiga kejohanan Siri Super - Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Terbuka Perancis, tewas 12-21, 13-21 hanya dalam masa 39 minit.

China dan Indonesia masing-masing membawa pulang dua kejuaraan daripada kejohanan Siri Super yang menawarkan AS$250,000 (RM850,000) ini.

Selain muncul juara perseorangan lelaki, China turut memenangi kejuaraan beregu wanita menerusi pasangan nombor tiga dunia, Gao Ling-Zhao Tingting yang menewaskan pasangan senegara, Du Jing-Yu Yang 17-21, 21-15, 21-8.

Indonesia pula mengungguli gelaran beregu lelaki menerusi juara dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan, yang menundukkan pasangan tuan rumah, Guo Zhendong-Xie Zhongbo 21-12, 21-19.

Bekas juara dunia, Nova Widianto-Liliyana Natsir Ina menumpaskan pasangan Thailand, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam 15-21, 21-18, 21-11 untuk muncul juara beregu campuran.

* KEPUTUSAN (AKHIR)

Perseorangan LELAKI : Bao Chunlai (Chn) kln LEE CHONG WEI (MAS) 21-12 21-13

BEREGU: Markis Kido-Hendra Setiawan (Ina) kln Guo Zhendong-Xie Zhongbo (Chn) 21-12, 21-19

Perseorangan WANITA : WONG MEW CHOO (MAS) kln Xie Xingfang (Chn) 21-16, 8-21, 21-17

BEREGU: Gao Ling-Zhao Tingting (Chn) kln Du Jing-Yu Yang (Chn) 17-21, 21-15, 21-8

BEREGU CAMPURAN: Nova Widianto-Liliyana Natsir Ina (Ina) kln Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam

15-21, 21-18, 21-11

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vqy27w4W
© Utusan Melayu (M) Bhd