Jumaat, 29 September 2017

Keengkaran Bani Israel berterusan



ARKIB : 06/06/2007
 Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: Rujukan kepada Bani Israel di sini merupakan satu rujukan yang tabie kerana ia mengingatkan sikap Bani Israel yang teragak-agak menyambut dakwah.

Sikap mereka yang menolak dan enggan memasuki ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka. Mereka juga degil dan menuntut mukjizat-mukjizat, kemudian sikap mereka yang terus keras kepala dan kufur. Sikap-sikap inilah yang menjadi penggelincir-penggelincir jalan yang diperingatkan Allah kepada kaum Muslimin supaya mereka menghindarinya agar mereka terselamat dari akibat kecelakaan yang telah menimpa Bani Israel.

Firman Allah, Bertanyalah kepada Bani Israel, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? Dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepada-Nya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya. (al-Baqarah: 211)

Firman Allah s.w.t: Bertanyalah kepada Bani Israel, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? Ibn Kathir menyebut: Allah berfirman menceritakan kisah Bani Israel berapa banyak yang telah mereka saksikan bersama Nabi Musa, hujah dan bukti yang benar yang telah dibawa kepada mereka seperti tangannya yang boleh mengeluarkan cahaya. Tongkatnya yang boleh bertukar menjadi ular, dapat membelah lautan dan boleh memukul batu sehingga keluarnya air.

Begitu juga dengan awan melindungi mereka dari panahan terik matahari dan diturunkan kepada mereka rezeki daripada al-Man dan al-Salwa. Begitu juga dengan perkara yang mencarikkan adat berlaku kepada Nabi Musa. Namun malangnya Bani Israel banyak berpaling dan ingkar di samping menukar nikmat Allah dengan kekufuran. Mereka menjual keimanan dengan kufur dan berpaling daripada-Nya.

Syeikh Sya’rawi membahaskan dengan panjang lebar berkenaan persoalan yang diajukan kepada Bani Israel ini. Al-Mawardi berkata: Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan persoalan terhadap Bani Israel:

* Nabi mereka.

* Ulama mereka.

* Kesemuanya.

Pertanyaan ini tidak terhenti setakat hakikatnya (yang lahir sahaja). Malah pertanyaan ini merupakan salah satu cara penerangan untuk menjelaskan betapa banyaknya bukti-bukti kebenaran yang telah ditunjukkan Allah kepada Bani Israel. Dan betapa banyaknya mukjizat yang diperlihatkan kepada mereka sama ada atas permintaan mereka atau kerana kedegilan mereka atau diperlihatkan terus secara langsung kepada mereka kerana sesuatu hikmat yang tertentu.

Walaupun sebanyak mana mukjizat yang telah diperlihatkan kepada mereka, namun mereka masih bersikap ragu-ragu, teragak-agak, degil dan menjauhkan diri dari kedamaian yang memayungi dengan naungan keimanan.

Nikmat

Firman Allah s.w.t: Dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepada-Nya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya.

Nikmat Allah yang disebutkan di sini ialah nikmat kedamaian atau nikmat keimanan, kedua-duanya seerti sahaja. Amaran dari perbuatan menukarkan nikmat itu adalah tepat dengan sikap Bani Israel dan keadaan mereka yang dinafikan dari nikmat kedamaian, ketenteraman dan kemantapan sejak mereka menukarkan nikmat Allah dan mereka enggan mematuhi perintah Allah dengan menyerah kepada arahan-Nya.

Mereka selama-lamanya bersikap ragu-ragu, teragak-agak dan meminta-minta bukti mukjizat pada setiap langkah dan harakat. Kemudian mereka tidak juga percaya kepada mukjizat dan yakin kepada nur Allah dan hidayat-Nya.

Ancaman dengan keseksaan Allah yang amat berat itu memang sesuai dengan sikap Bani Israel, juga sesuai orang-orang yang menukarkan nikmat Allah dan berlagak angkuh terhadapnya di setiap zaman.

Al-Sonhadji berkata: Allah menyuruh Nabi s.a.w bertanya kepada kaum Yahudi di Madinah – bukan bertanya untuk mengetahui, kerana Nabi s.a.w sudah diberitahu oleh Allah. Pertanyaan itu sekadar untuk mengeji tentang keengganan mereka untuk mengakui nikmat-nikmat Allah yang telah mereka terima, supaya mereka ingat kembali kepada Allah dan bersyukur kepada-Nya atau istifhamun taqriri.

Pertanyaan yang tidak berhajat kepada jawapan, berapa banyak Allah telah anugerahkan kepada mereka seperti kebangkitan Nabi Musa a.s, mukjizat tongkatnya, tangannya bercahaya putih, terbelahnya Laut Merah, tenggelamnya Firaun di hadapan mata mereka, mereka dilindungi awan, dikurniakan manisan yang bernama Manna dan burung Salwa.

Perjanjian

Semuanya itu adalah ayat (keterangan-keterangan) Allah yang nyata, tetapi mereka salahi dengan membunuh para Nabi dan utusan Allah, mereka juga telah mengubah perjanjian dan wasiat Allah. Allah menyatakan; barang siapa menukar nikmat Allah (agama Islam) setelah datang kepadanya, iaitu mengubah peraturan agama Islam, tidak mahu beramal dengannya ataupun mengingkarinya, Allah akan menyediakan baginya seksa yang amat pedih.

Kesimpulan dari ayat 208 hingga 211 ditakwilkan seperti berikut: Hai orang-orang yang beriman dengan Taurat! Percayalah kamu kepada Taurat dan masuklah kesemuanya ke dalam agama Islam. Tinggalkanlah pekerti kufur dan segala seruan syaitan yang membawa kesesatan. Kamu telah pun didatangkan keterangan-keterangan yang nyata daripada-Ku (Allah) dan Muhammad yang telah menunjukkan kepada kamu beberapa bukti maka janganlah kamu ubah perjanjian-Ku kepada kamu dan segala apa yang dibawanya daripada-Ku yang tersebut di dalam kitab Taurat kamu – bahawa dialah (Muhammad) Nabi dan utusan-Ku. Maka barang siapa mengubah atau menukarkannya nescaya Ku sediakan seksa yang amat sangat pedihnya

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4u8S14QDl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Syeikh Abdullah Al-Qumairi ulama dan pencipta nama Kedah Darul Aman



ARKIB : 28/05/2007

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ADA yang berpendapat bahawa tokoh penyebar Islam di Aceh yang juga penyusun kitab Bahr Al-Lahut iaitu Syeikh Abdullah Arif adalah sahabat kepada tokoh ulama yang diperkenalkan pada kali ini.

Namun ada pula berpendapat bahawa kedua-dua Syeikh Abdullah ini adalah orang yang sama.

Syeikh Abdullah Arif di Aceh dikatakan berada di Aceh sekitar tahun 560H/1165M-1177M, sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi ini atau nama lengkapnya Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairi berasal dari Syahir Yemen dan tiba di Kedah tahun 531 H.

Kisah lengkap Syeikh Abdullah al-Qumairi yang lengkap diriwayatkan oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arsyad dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Ia ditransliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Latin/Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968.

Menurut Buyong Adil dalam Sejarah Kedah (Terbitan DBP, 1980), kedatangan Syeikh Abdullah ke Kedah tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1136M. Menurut Bahayuddin Haji Yahaya dalam Naskhah Jawi, tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1137M.

Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah seorang ulama yang berasal dari Yaman dan datang bersama-sama dengan 11 orang sahabatnya.

Dalam buku Sejarah Kedah Sepintas Lalu (Diterbitkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti Utara Malaysia, cetakan pertama 1987 hlm 10) oleh Haji Ibrahim Ismail, disebutkan dalam Hikayat Merong Maha Wangsa bahawa Syeikh Abdullah al-Yamani (berkemungkinan maksudnya Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani) adalah murid kepada Syeikh Abdullah di Baghdad.

Jika disemak dengan teliti kandungan buku tersebut, penulis menyimpulkan Islam datang ke Kedah jauh lebih awal daripada kedatangan Syeikh Abdullah al-Qumairi.

Ini kerana dinyatakan dalam buku tersebut bahawa sesudah merdeka ditemui sebuah nisan di Langgar, Kedah yang berinskripsikan nama Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah/Alam dan tarikhnya 291H bersamaan 903M. Haji Ibrahim Ismail memetik dari kertas kerja berjudul ‘Sejarah Kedah Dalam Kebangkitan Islam’ (1982) oleh Ismail bin Haji Salleh.

Selain itu, ia juga disebut oleh Abdullah Abbas Nasution dalam Islam 14 Abad dan manuskripnya diserahkan kepada penulis. Lihat juga Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman dalam Islam di Brunei Darussalam, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, cetakan pertama, 1992, halaman 30.

Mendahului

Melihat kepada perbandingan tahun kedatangan di antara kedua-dua tokoh ini iaitu Syeikh Abdullah Arif di Aceh (560H/1165M) dengan Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya di Kedah, ini bermakna Syeikh Abdullah al-Qumairi di Kedah mendahului kedatangan Syeikh Abdullah Arif di Aceh lebih kurang 29 tahun.

Namun apabila dibandingkan pula dengan tarikh batu nisan Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah di Langgar, Kedah pada tahun 291H/903M dengan tulisan M. Junus Djamil yang menyebut bahawa kerajaan Islam telah lahir di Perlak tahun 225H/840M, yang dilihat perbezaannya adalah lebih kurang 66 tahun.

Oleh itu, apabila dilihat tahun-tahun tersebut perbezaannya tidak jauh. Walaupun dinyatakan oleh Haji Ibrahim Ismail bahawa kerajaan itu lebih kurang 300 tahun lebih awal dari kewujudan Kedah (Lihat Sejarah Kedah Sepintas Lalu, halaman 18).

Menurut buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan dipetik oleh Buyong Adil bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi dan 11 orang sahabatnya telah berhasil mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam.

Namun, dalam Hikayat Merong Maha Wangsa, bukan raja yang kesembilan, tetapi adalah raja yang ketujuh. Nama raja juga berbeza, raja Kedah menurut hikayat tersebut bernama Phra Ong Maha Wangsa.

Nama baginda raja itu juga ditukar oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi dari Maharaja Derbar/Durbar Raja II @ Phra Ong Maha Wangsa menjadi Sultan Muzaffar Syah I(mangkat pada 13 safar 575 Hijrah / 1179 M). Negeri Kedah pula diberi nama Kedah Darul Aman.

Pada hari pengislaman raja Kedah itu turut diislamkan pembesar-pembesar istana. Ini bererti dilakukan pengislaman secara massal.

Pengislaman terhadap rakyat pula diatur strategi bersama-sama di antara Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya, bahkan disertai Sultan Muzaffar Syah I sendiri. Dalam waktu yang singkat dan cepat, hasil kerjasama yang padu dan sepakat antara ulama (Syeikh Abdullah al-Qumairi) dengan umara (Sultan Muzaffar Syah I) tersebut, maka rakyat Melayu yang asal dalam kerajaan Kedah Darul Aman serta merta memeluk Islam kesemuanya.

Ini membuktikan kejayaan dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab.

Oleh itu, secara langsung Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah sebagai guru kepada Sultan Muzaffar Syah I, malah guru bagi pihak keluarga istana Sultan Kedah Darul Aman. Oleh kerana sangat kasih dan hormat Sultan Muzaffar Syah I kepada Syeikh Abdullah al-Qumairi, baginda melantik ulama tersebut sebagai orang tua dan penasihatnya.

Untuk mengembangkan lagi dakwahnya, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai. Menara tersebut dijadikan sebagai tempat azan, untuk menyeru orang sembahyang. Maka, Sultan Muzaffar Syah I memerintahkan supaya dilaksanakan saranan ulama tersebut.

Wasiat

Setelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah al-Qumairi jatuh sakit dan ditakdirkan meninggal dunia beberapa hari selepas itu. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat agar jenazahnya dikebumikan di tanah yang rata berdekatan dengan menara yang hampir siap itu. Sekitar kubur beliau itu dinamakan orang dengan Padang Tok Syeikh.

Tuan Guru Haji Mahmud Nasri bin Utsman (tokoh yang menghidupkan Silat Abjad), pernah bercerita kepada murid-muridnya bahawa seorang wali Allah yang sangat terkenal iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi beberapa kali. Beliau juga pernah sembahyang di tempat tanah lapang di Gunung Jerai itu.

Kisah mengenai Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi itu dapat diterima akal kerana wali Allah tersebut wafat dalam tahun 561H/166M sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi wafat dalam sekitar tidak berapa lama setelah kedatangannya di Kedah itu (531H/1136M atau 1137M).

Mengenai Syeikh Abdullah Al-Qumairi

* Datang ke Kedah pada tahun 1136 atau 1137.

* Berasal dari Yemen.

* Mengislamkan maharaja Derbar/Durbar II di Istana Bukit Meriam.

* Menukar nama Raja kepada Sultan Muzaffar Shah I.

* Guru Sultan Muzaffar Syah I.

* Memberi nama Kedah Darul Aman.

* Mengarahkan dibina menara kebesaran Islam untuk azan di Gunung Jerai.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4u7h5OF00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pembedahan ghaib

ARKIB : 25/05/2007
Pembedahan ghaib

Kisah AL-QURAN
BUKANKAH Kami telah melapangkan bagimu, dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)?. Dan Kami telah meringankan daripadamu bebanmu (menyiarkan Islam). (al-Insyirah: 1-2)

KETIKA berusia tiga tahun, Muhammad dan saudara susuannya telah ditugaskan untuk menggembala kambing. Mereka akan bermain-main sambil memerhatikan binatang ternakan mereka meragut rumput.

Pada suatu hari, saudara susuan Muhammad berlari pulang ke rumah. Wajahnya pucat dan dia menangis.

“Muhammad telah dibunuh,” teriak anak itu sambil mendapatkan ibunya, Halimah.

“Apa yang kau katakan ini?” soal Halimah. Hatinya mula bimbang.

“Ada dua orang lelaki yang memakai baju putih telah datang. Dia menelentangkan Muhammad dan membedah dadanya,” cerita anak itu lagi.

Halimah terperanjat mendengar cerita anaknya itu. Tanpa berlengah lagi, Halimah berlari ke padang rumput untuk mencari Muhammad. Suami dan anak Halimah mengekorinya. Akhirnya mereka menemui Muhammad terduduk di atas rumput. Mukanya pucat dan matanya terbuka luas.

Halimah menerpa ke arah Muhammad. Dia memeluk dan mencium wajah Muhammad berkali-kali. Tubuh anak susuannya itu diperhati dengan teliti. Halimah bersyukur kelegaan apabila melihat Muhammad tidak apa-apa.

“Apa yang telah terjadi, wahai anakku?” soal suami Halimah apabila dilihatnya Muhammad telah beransur pulih.

“Sewaktu saya sedang memerhatikan binatang ternakan kita ini meragut rumput, tiba-tiba datang dua orang lelaki yang berpakaian putih.

“Saya sangkakan mereka itu dua ekor burung yang besar. Tapi ternyata tekaan saya salah,” cerita Muhammad yang masih berada dalam pelukan Halimah.

“Kau kenalkah mereka?” soal Halimah.

“Tidak, saya tidak kenal. Mereka merapati saya. Salah seorang bertanya kepada yang seorang lelaki, “Adakah ini anaknya?” Kawannya menjawab, “Benar”. Kemudian mereka merebahkan tubuh saya dan mereka membelah dada saya. Saya langsung tidak berasa sakit,” cerita Muhammad.

“Berdarahkah? Di mana dibelah? Sakitkah?” soal Halimah bertalu-talu.

“Di sini,” kata Muhammad, sambil menunjuk ke dada kirinya. “Mereka mengambil sesuatu sambil berkata: “Inilah bahagian yang syaitan suka.” Mereka lalu mencuci dada saya dengan air yang sejuk. Kemudian, mereka terus ghaib,” cerita Muhammad.

Halimah takjub mendengar kata-kata Muhammad. Dia tahu anak itu tidak pernah berbohong. Halimah tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik keajaiban itu. Mungkin Muhammad akan menjadi kebanggaan dan sanjungan umat manusia kelak.

Halimah menyuarakan kerisauan hatinya kepada suaminya. Mereka berbincang tentang perkara itu.

Walaupun berat rasa Halimah untuk berpisah dengan Muhammad, namun mereka terpaksa menghantar Muhammad kembali ke rumah Aminah. Mereka takut kalau Muhammad dicederakan nanti.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4u7YF2jR1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kemarau 22 tahun berakhir



ARKIB : 12/05/2007
Kemarau 22 tahun berakhir 
Oleh: KAMARUDDIN ISMAIL
PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan layak ke perlawanan akhir dengan menewaskan India 2-1 pada separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, malam tadi. - Gambar HANAFI KHAMIS.

IPOH – Malaysia mengakhiri kemarau 22 tahun untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah dengan mengejutkan India 2-1 pada separuh akhir edisi ke-16 di Stadium Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Kejayaan itu semakin manis kerana skuad bimbingan Sarjit Singh ini menebus kekalahan kepada lawan yang menghampakan Malaysia 2-1 ketika muncul naib juara 1985, juga di Ipoh. Sarjit turut menganggotai pasukan yang diketuai Foo Keat Seong itu.

Dua gol Malaysia dijaringkan oleh Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-11 dan Kelvinder Singh, minit ke-40 sementara India merapatkan jurang menerusi Shivendra Singh pada minit ke-13.

Kejayaan ini begitu bermakna bagi Sarjit apatah lagi baru lima bulan menyandang tugas ketua jurulatih skuad negara selain memperbaiki pencapaian tempat tercorot kejohanan ini tahun lalu.

Malaysia mempamerkan permainan menarik sejak awal dengan percubaan Ismail Abu yang hampir menolak umpanan ketua pasukan, Chua Boon Huat.

Stadium yang penuh sesak dengan 5,000 penyokong Malaysia dengan kemasukan percuma, tiba-tiba gegak gempita apabila Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menolak masuk hantaran silang Jiwa Mohan pada minit ke-11.

Namun begitu, lebih 8,000 penyokong Malaysia tergamam apabila Shivendra berjaya merembat kencang hantaran Sardar Singh pada minit ke-13 untuk membawa India menyamakan kedudukan.

Malaysia menyerang balas, namun penjaga gol India, Bajlit Singh bertindak pantas menepis pukulan sudut penalti daripada Jiwa Mohan pada minit ke-20.

Penyerang berbahaya India, Shivendra berpeluang besar untuk menambah jaringan pada minit ke-21 tetapi mensia-siakannya ketika pintu gol Malaysia sudah ternganga.

Selepas itu, penyerang Malaysia, Ismail Abu pula gagal menolak masuk hantaran jauh walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol India.

India, juara Piala Sultan Azlan 1985, 1991 dan 1995 turut memperolehi dua pukulan sudut penalti pada minit ke-24 dan 32 tetapi masih gagal menyempurnakannya.

Permainan Malaysia semakin garang apabila menambah gol kedua pada minit ke-40 melalui tolakan cantik Kelvinder Singh setelah menerima hantaran daripada Boon Huat.

Barisan pertahanan Malaysia yang diketuai oleh Megat Azrafiq berjaya menyerap serangan bertalu-talu oleh penyerang India yang cuba mencari gol penyamaan dan memaksa permainan ke masa tambahan.

Selain itu, penjaga gol Malaysia, S. Kumar turut mempamerkan permainan yang tangkas dan meyakinkan dengan menepis beberapa cubaan berbahaya India.

‘‘Pemain negara bermain dengan baik dan mengikut setiap arahan saya. Kami banyak bertahan pada babak pertama dan hanya bangkit dalam babak kedua.

“Taktik pukulan jauh dan kuis kami banyak mengancam India namun sokongan 5,000 peminat tempatan turut menaikkan semangat juang pemain dan membantu kejayaan ini,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, naib juara tahun lalu, Australia membelasah juara Asia, Korea Selatan 6-2.

Australia yang pernah menjuarai kejohanan ini pada 1983, 1998, 2004 dan 2005, mendapat gol menerusi Desmont Abbot pada minit kesembilan, Andrew Smith (22), Liam Deyoung (37 dan 60), Eli Matheson (51) dan Abbott (69).

Juara Asia itu berjaya menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh pemain muda, Jeong Yun Sang pada minit ke-11 dan Lee Sung Min pada minit ke-57.

Jadual hari ini

Penentuan tempat ketujuh-kelapan: 7.35 pagi - Kanada lwn. China; kelima-keenam: 9.35 pagi - Pakistan lwn. Argentina

Esok

Penentuan tempat ketiga-keempat: 3.05 petang - Korea Selatan lwn. India; perlawanan akhir: 5.05 petang - MALAYSIA lwn. Australia

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u3NrwKCQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 26 September 2017

ABRAHAH INGIN MERUNTUHKAN KAABAH



OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Abrahah membina gereja paling besar di Yaman yang dinamakan al-Qulais. Abrahah menghantar laporan kepada Najasyi memberi tahu beliau sudah membina gereja paling besar di Yaman. Dia memerintahkan suku kaum Arab mengerjakan ibadah Haji di Yaman. Abrahah mula menghantar utusannya kepada suku-suku kaum Arab supaya mereka datang mengerjakan haji di al-Qulais,

      Apabila berita ini sampai kepada salah satu suku Arab yang paling mengagungkan Kaabah, salah seorang daripada mereka datang ke al-Qulais. Lalu dia mebuang air besar di situ dan disapunya ke dinding al-Qulais. Apabila Abrahah mendapat tahu orang yang membuat angkara angkara itu  daripada suku Arab yang sangat mencintai Kaabah, Abrahah marah dan mempersiapkan tenteranya hendak meruntuhkan Kaabah. Dia bersama gajahnya yang besar bernama Mahmud.[1]

      Dalam perjalanan Abrahah menuju Kaabah , ada beberapa suku Arab datang menyerang tentera Abrahah bagi menyekatnya daripada meruntuhkan Kaabah. Tetapi mereka semua dapat dikalahkan dengan mudah oleh tenteranya yang gagah dan legkap dengan senjata itu.

      Apabila Abrahah tiba di Taif, orang Taif  tidak berani menyekat Abrahah. Sebaliknya mereka berlepas tangan daripada mempertahankan Kaabah. Bahkan mereka menghantar wakil mereka bagi menunjukkan jalan ke Kaabah kepada AbrahahWakil orang-orang Taif ini adalah Zu Rughal.Apabila tentera Abrahah sanpai berhampiran dengan Mekah, mereka merampas binatang-binatang ternakan orang-orang Mekah. Antara yang dirampas ialah 200 ekor unta milik Abdul Muttalib.

      Abdul Muttalib meminta Abrahah mengembalikan binatang ternakannya dan binatang ternakan orang-orang Mekah yang dirampas oleh tentera Abrahah. Abrahah terkejut mendengar permintaan itu. Abrahah menyangka Abdul Muttalib ingin meminta belas kasihannya supaya jangan menggangu Kaabah.Abdul Muttalib berkata, aku tuan punya unta-unta ini. Kaabah itu ada tuan yang menjaganya. Kalau Kaabah itu rumah Tuhan, pasti Tuhan menjaganya.

      Dengan itu Abrahah mengembalikan ternakan yang dirampasdan berjanji tidak akan menggangu orang Mekah. Dia ingi merobohkan Kaabah.Abdul Muttalib pulang kepada kaumnya dengan membawa semula binatang  ternakan mereka yang dirampas dan mengajak mereka keluar dari Mekah menuju ke Bukit berhampiran. Dari bukit itulah orang-orang Mekah dengan hati yang hiba dan cemas memerhatikan apa yang hendak dilakukan oleh Abrahah kepada Kaabah

      Pada hari yang ditentukan. Abrahah mengarahkan tentera bergajahnya menuju ke arah Kaabah bagi merobohkannya. Tetapi gajahnya tidak mahu bergerak.walau pun dipikul. Apabila dihalakan ke arah Kaabah, gajah itu tidak mahu bergerak. Pada masa itu juga kelihatan  li langit awan hitam. Apabila kehitam-hitaman itu semakin dekat, rupa-rupanya itu adalah sekumpulan burung Ababil yang setiap ekor daripadanya membawa tiga biji batu.

      Sebaik sahaja tiba, burung-burung ity melepaskan batu-batu kecil ke atas tentera Abrahah. Apabila batu-batu kecil itu mengena tentera Abrahah, mulalah gaging-daging haiwan itu berguguran dan menjadi hancur. Ramai tentera Abrahah yang mati.[2] Ketika itu wabak cacar datang berkecamuk menimpa pasukan Abrahah dan membinasakan mereka. Abrahah merasa ketakutan sekali. Pasukannya diperintah pulang kembali ke Yaman.Abrahah sampai ke Sanaa tetapi badannya sudah dihinggapi penyakit. Tak lama kemudian Abrahah mati seperti anggota pasukannya yang lain.Orang Mekah mencatat peristiwa ini sebagai Tahun  Gajah.[3]
       


[1] Zulkifli Mohd. Yusoff  dan Noor Naemah Abd. Rahman, Biogrfai Muhammad bin Abdullah ( Batu Caves : PTS Islamika Sdn Bhd,2015), 13.
[2] Ibid,14.
[3] Muhammad Husain Haekal, Sejarah Hidup Nabi Muhammad (Kuala Lmpur: Dewan Bahasa Pustaka 1981), 47.