Rabu, 28 Jun 2017

Nabi Ibrahim dan Ismail bina Kaabah



ARKIB : 12/07/2006

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
 Al-Quran menggambarkan pemandangan bagaimana Ibrahim dan Ismail melaksanakan perintah Allah supaya menyediakan Baitullah dan membersihkannya untuk (para pengunjung) bertawaf dan untuk penduduk-penduduk yang menetap di situ untuk orang-orang yang mendirikan ibadat solat.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.“ (Al-Baqarah: 127 & 128)

Firman Allah Taala: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, ingatlah Hai Muhammad berkenaan perkara yang begitu pelik di mana dua Rasul, Ibrahim dan anaknya Ismail telah membina asas Baitullah dan mengangkat binaannya, kemudian berdoa dengan penuh rendah diri dan membesarkan Tuhannya. Sewaktu kita menunggu-nunggu cerita selanjutnya tiba-tiba ia memperlihatkan Ibrahim dan Ismail kepada kita seolah-olah kita dapat melihat mereka dengan mata kita bukannya dengan mata khayal.

Kedua-duanya berada di hadapan kita dan telinga kita hampir-hampir mendengar suara mereka sedang berdoa kepada Allah. Al-Samarqandi menaqalkan pendapat Muqatil: ayat ini susunannya ke kadapan dan ke belakang, maknanya ialah dan ingatlah ketika Ibrahim dan Ismail mengangkat asas-asas binaan daripada Kaabah. Dan dikatakan bahawa Ibrahim yang membina Kaabah sedangkan Ismail yang menolongnya. Para malaikat memberi batu-batu kepada Ismail, mereka memindahkan batu dari lima bukit iaitu Thur Sina, Thur Zita', Judi, Lubnan dan Hira'.

Al-Alusi berkata, disebut oleh ahli sejarah berkenaan dengan Baitullah dan juga perkara yang lain seperti pintunya daripada apa, berapa kali Adam mengerjakan haji, apakah binaan yang dibina oleh Ibrahim, siapa yang membantunya dan dari mana datangnya hajar al-aswad? Hal-hal seperti ini tidaklah disebut dalam al-Quran begitu juga dalam hadis yang sahih dan sebahagiannya menafikan sebahagian yang lain, ini kerana menjadi adapun ahli sejarah dalam menaqalkan memasukkan beberapa perkara. Selepas beliau menyebut sedikit naqalan daripada ahli sejarah lantas berkata, khabar seumpama ini jika benar di sini ahlillah (wali Allah) merupakan isyarat dan perlambangan bagi siapa yang diberikan pendengaran sedangkan ia menyaksikannya.

Sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami). Apakah yang terkandung di celah-celah doa itu? Itulah adab sopan seorang nabi, keimanan seorang nabi dan perasaan seorang nabi, terhadap nilai akidah di alam wujud ini. Itulah adab sopan, keimanan dan perasaan yang mahu diajar oleh al-Quran kepada pewaris-pewaris para anbiya dan mahu ditanamkannya ke dalam hati dan perasaan mereka dengan saranan ini.

Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. Matlamat yang diharap-harapkan ialah keredaan dan limpah perkenan daripada Allah. Harapan mendapat perkenan Ilahi itu adalah bergantung kepada sifat Allah yang Maha mendengar doa (para hamba-Nya) dan Maha mengetahui dengan segala niat dan perasaan di sebalik doa itu. Di mana kedua-duanya membina dan berdoa dengan doa ini. Kemudian menambah doanya.

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Itulah harapan mereka berdua untuk mendapat bantuan daripada Allah agar memberi hidayah kepada Islam dan itulah perasaan mereka yang menyedari bahawa hati mereka terletak di antara jari-jari, kudrat dan iradat Allah yang Maha Penyayang dan bahawa hidayah yang sebenar ialah Allah dan bahawa kedua mereka tidak mempunyai daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah. Mereka berdua bertawajjuh dan berdoa kepada Allah. Hanya kepada Allah yang wajar dipohon pertolongan.

Di samping itu, sifat umat muslim ialah bersatu padu yakni seluruh generasi mereka bersatu padu dalam satu akidah. Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu. Jadikanlah kami tunduk dan patuh dengan segala hukum-Mu. Itulah doa yang menggambarkan perhatian-perhatian berat hati orang yang beriman. Persoalan agama dan akidah inilah yang menjadi perhatiannya yang utama.

Keturunan

Dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan jadikanlah daripada zuriat kami yang berserah diri kepadamu dan tunduk dengan kebesaran-Mu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami. Ajarkanlah kami segala syariat ibadat kami serta ibadat haji kami. Inilah pendapat Qatadah dan Al-Suddi. Sedangkan Mujahid dan Atha' pula berpendapat sebagai tempat sembelihan kami. Al-Mawardi berkata: maksud perkataan al-manasik dua wajah:

1. Kerana ia menjadi adat dan sentiasa manusia mengunjunginya dalam ibadat haji dan umrah.

2. Bahawa nusuk ibadat kepada Allah justeru dinamakan orang yang zuhud sebagai orang yang bernusuk kerana ibadat kepada tuhannya.

Dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. Terimalah taubat kami dan rahmatlah kami kerana sesungguhnya Kamu Maha Besar keampunan dan luas kerahmatan. Di sini suka dinaqalkan pendapat Ibn Qayyim berkenaan dengan wajib segera bertaubat, beliau pernah berkata: bersegera bertaubat dari dosa adalah kefarduan yang mesti disegerakan. Tidak harus melambatkannya.

Jika ia dilambatkan maka ia dikira berdosa kerana menangguhkannya. Jika ia bertaubat dari dosa tersebut dia masih mempunyai satu taubat lagi iaitu taubat kerana melambatkan taubatnya. Jarang sekali perkara ini difikirkan oleh orang yang bertaubat. Sebaliknya jika seseorang itu bertaubat dari dosa dia menyangka dia sudah tidak perlu lagi bertaubat sedangkan dia masih berhutang satu lagi taubat iaitu bertaubat kerana melambatkan taubat. Dr. Yusof Al-Qaradhawi berkata: perkara yang paling merbahaya bagi orang yang melakukan maksiat ialah menangguh taubatnya dengan berkata “nanti aku akan kembali”, “nanti aku akan bertaubat”, akhirnya dia tidak juga bertaubat. Oleh sebab itu dikatakan ungkapan ‘nanti’ adalah salah satu tentera syaitan.

Apabila Ibrahim dan Ismail selesai melaksanakan perintah Allah membina Baitullah dan membersihkannya, kedua-duanya berdoa agar Allah jadikan mereka dan zuriat keturunan mereka umat Islam (yang menyerah diri kepada Allah), dan agar Allah bangkitkan dari kalangan keluarga mereka seorang rasul. Lalu Allah memperkenankan doa mereka dan mengutuskan dari kalangan keluarga mereka seorang rasul, Muhammad bin Abdullah s.a.w. dan bangga dengan jasa usahanya beliau telah merealisasikan kemunculan umat muslimin yang menjunjung perintah Allah dan mewarisi agama Allah.

Iktibar dan pengajaran ayat. Antaranya;

i. Perasaan Ibrahim dan Ismail terhadap nikmat keimanan yang dikurniakan Allah kepada mereka telah mendorong mereka mengharapkan pengurniaan yang sama kepada zuriat keturunan mereka dan berdoa supaya Allah tidak menafikan pengurniaan yang tiada tolok bandingnya itu kepada anak-anak cucu mereka.

ii. Allah Maha Pemurah. Justeru janji-Nya bahawa Ia akan memakbulkan doa, thabit dalam al-Quran dan hadis tetapi perlu mengikut dan mematuhi adab-adab doa sama ada adab zahir mahupun batin.

iii. Memohon supaya sentiasa dikekalkan dalam hidayah dan taufik serta istiqamah dengan Islam merupakan permintaan para Nabi yang terdahulu. Justeru sewajarnya kita memohon dan meminta kepada Allah supaya ditetapkan hati-hati kita dalam ketaatan dan agama-Nya yang sebenar sehingga ke hujung usia.

iv. Al-Samarqandi berkata: Ayat di atas menjadi dalil bahawa manusia apabila melakukan kebaikan sayugia berdoa terhadap Allah supaya diterima. Dan dikatakan, hendaklah manusia merasa takut atas penerimaan amal selepas selesainya lebih daripada amalan itu sendiri, ini kerana Allah mensyaratkan penerimaan doa semata-mata dari orang-orang yang bertakwa sahaja seperti dalam nas al-Quran.

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah pensyarah di Kolej Uniti, Seremban, Negeri Sembilan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4lHtGmVrl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 27 Jun 2017

Doa Nabi Ibrahim makbul

ARKIB : 05/07/2006
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI Setelah Allah s.w.t. menceritakan perihal Nabi Allah Ibrahim yang diuji dengan beberapa kalimah dan juga arahan-Nya supaya menjadikan Makam Ibrahim tempat sembahyang di samping membersihkan Kaabah daripada segala bentuk syirik. Allah s.w.t. melangsungkan lagi kisah munajat dan doa Nabi Ibrahim a.s. dalam ayat berikut.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.” Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali. (Al-Baqarah: 126)

Firman Allah s.w.t.: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa. Dikehendaki dengan keamanan, di sini tiga pendapat iaitu:

1. Nabi Ibrahim memohon keamanan dan keselamatan daripada pembunuhan atau peperangan.

2. Daripada bala, gempa bumi dan dihancurkan.

3. Daripada kemarau dan kebuluran.

Syeikh Al-Maghari berkata: Doa ini daripada Ibrahim supaya negeri Mekah aman dan selamat dari golongan mereka yang angkuh dan takbur yang menguasainya dan dari azab dan hukuman Allah yang ditimpa keatasnya sebagaimana yang berlaku di kebanyakan negeri seperti gempa bumi, bencana alam, banjir dan lain-lain lagi daripada kemusnahan.

Allah menerima doanya justeru tiada seorangpun yang inginkan kejahatan di Mekah kecuali dipatahkan keinginannya. Sebagai contoh tentera Abrahah dalam peristiwa serangan ke kota Mekah yang disebut dalam surah al-Fil.

Dan berikanlah rezeki daripada berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Di sini beliau menerima jawapan daripada Allah, yang menyempurnakan dan menjelaskan golongan yang satu lagi yang didiamkan begitu sahaja iaitu golongan yang tidak beriman yang akan menerima untung nasib yang amat pedih.

Al-Samarqandi berkata Nabi Ibrahim mensyaratkan dengan syarat ini kerana ia berdoa kepada tuhannya kepimpinan untuk zuriatnya. Kemudian Allah tidak menerima baginya bagi golongan orang zalim, justeru Ibrahim merasa bimbang hal rezeki begitu juga lantas ia memohon rezeki untuk orang beriman sahaja.

Allah mengkhabarkannya bahawa Ia memberi rezeki kepada orang kafir dan orang beriman kerana urusan rezeki adalah ain daripada urusan kepimpinan. Mereka berkata kerana kepimpinan adalah kurniaan dan kelebihan sedangkan rezeki merupakan keadilan, justeru Allah memberi dengan kelebihannya siapa yang dikehendaki daripada hambanya yang layak. Demikian itu kepada manusia kerana mereka hamba-hambanya sekalipun mereka kufur.

Dan rezekikanlah hai Tuhanku di kalangan orang yang beriman dengan pelbagai buah-buahan dan makanan supaya mereka dapat mentaatimu dan beribadat. Al-Nasafi berkata: Diminta buah-buahan kerana kota Mekah negeri yang kering kontang tanpa sebarang tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan.

Al-Baghawi berkata: dalam kisah bahawa negeri Taif asalnya dari negeri Syam di Jordan apabila Ibrahim berdoa dengan doa ini lantas Allah memerintahkan Jibril a.s. mencabutnya daripada asal dan mengelilinginya di Baitullah sebanyak tujuh kali kemudian meletakkannya di tempat yang ada sekarang daripadanya banyaklah buah-buahan yang sampai ke kota Mekah.

Al-Alusi dalam mengemukakan komentar berkenaan dengan pendapat ini berkata: atas andaian sahihnya pendapat ini ia tidaklah pelik berbanding dengan kekuasaan Allah yang maha berkuasa dan jika enggan mengekalkan atas zahirnya, maka bab takwil amatlah luas.

Rezeki

Dikhususkan dengan orang yang beriman sahaja sedangkan Allah menjawab: Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia). Aku rezekikan di kalangan orang kafir juga sebagaimana aku rezekikan juga di kalangan orang beriman. Adakah patut aku ciptakan makhluk kemudian tidak merezekikannya? Adapun orang kafir aku kurniakan sedikit nikmat di dunia sepanjang hidupnya sahaja. Kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, kemudian aku masukkannya di hari akhirat dan mengheretnya ke neraka, tiada peluang dan ruang baginya untuk melarikan diri.

Al-Mawardi menaqalkan dua pendapat ulama berkenaan persoalan adakah Mekah sentiasa menjadi tempat yang aman dengan doa Nabi Ibrahim atau semata-mata terbatas pada zamannya sahaja?

1. Bahawa ia sentiasa aman dan dipelihara daripada golongan penguasa yang zalim dan takbur begitu juga daripada gempa bumi dan bencana alam. Ini berdasarkan riwayat Said Al-Maqburi mengikut hadis yang disebut oleh Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, dan dinaqalkan juga oleh Ibn Jarir Al-Tabari dan Ibn Ishaq.

2. Bahawa Mekah adalah tanah halal sebelum doa Nabi Ibrahim sama seperti negeri-negeri lain dan dengan sebab doanya jadilah ia haram dan aman sebagaimana Madinah dijadikan tanah haram oleh Rasulullah selepas ia halal.

Berdasarkan riwayat Asy'ath, daripada Nafi' daripada Ibn Umar. Tetapi riwayat ini daif kerana salah seorang perawinya Asy'ath bin Siwar Al-Kindi dianggap lemah oleh Al-Hafiz Ibn Hajar, begitu juga Al-Hafiz Ibn Kathir menganggap sanad ini asing. Syeikh Muqbil Al-Wada'i dalam mentakhrijkan tafsir Ibn Kathir menyebut: yang demikian itu kerana Asy'ath berseorangan dalam riwayat sedangkan dia lemah dan dia dianggap termasuk dalam hadis mungkar.

Dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali. Itulah seburuk-buruk tempat kembali bagi orang kafir iaitu tempatnya neraka jahanam. Ayat ini Ibrahim al-Khalil telah mengkiaskan rezeki dengan imamah (pemerintahan) lantas Allah memberi peringatan kepadanya bahawa rezeki hanya rahmat duniawi yang umum bagi orang baik dan jahat.

Berlainan dengan imamah yang terkhusus dengan orang-orang yang baik di kalangan orang yang beriman.

Iktibar dan pengajaran ayat.

Antaranya:

i. Sifat yang menjadi sekutu dan kesamaan antara nabi-nabi ialah banyak berdoa dan memohon kepada Tuhan. Justeru amat wajar kita mengikut mereka dengan memperbanyakkan berdoa.

ii. Kurniaan Allah s.w.t. seperti rezeki, kesihatan, kekayaan dan lain-lain tidak hanya terbatas kepada orang yang beriman sahaja tetapi diumumkan kepada semua makhluk-Nya kerana dunia hanya pentas ujian, sebaliknya akhirat adalah tempat pembalasan yang hakiki yang membezakan antara golongan baik dan jahat.

iii. Doa Nabi dimakbulkan Tuhan. Ini bermakna doa orang yang mengikut Nabi juga dimakbulkan Tuhan. Thabit dalam hadis-hadis yang sahih, doa orang-orang soleh dan orang yang mengerjakan sesuatu ibadat akan diperkenankan doa selepas selesai ibadat tersebut.

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah pensyarah di Kolej Uniti, Seremban, Negeri Sembilan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4lCpx6M9I
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 Jun 2017

IBU SUSUAN RASULULLAH SAW



OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Ibu susuan Nabi Muhammad SAW ialah Halimah binti Dzu’aib Al-Sa’diah dan Thuwaibah hamba Abu Lahab. Rasulullah SAW menyusu dengan beliau hanya untuk beberapa hari.[1]


[1] Rusydi Ramli Al-Jauhari, Biografi Agung Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam, (Batu Caves: Must Read, 2012),45

PENGASUH-PENGASUH NABI MUHAMMAD SAW



OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Antara pengasuh-pengasuh Nabi Muhammad SAW ialah Ibunya Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Pengasuh kedua ialah Thuwaibah hamba Abu Lahab yang dimerdekakan sewaktu membawa berita gembira kepada tuannya akan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Pengasuh Nabi Muhamma SAW yang ketiga ialah Halimah binti Abu Dzu’aib Al-Sa’diah. Pengasuh Nabi Muhammad SAW seterusnya ialah Syaima anak kepada Halimah yang merupakan saudara susuan Nabi SAW. Pengasuh Nabi Muhammad SAW yang terakhir ialah Ummu Aiman hamba yang diwariskan oleh bapanya.

Ahad, 25 Jun 2017

Al-Khawarizmi sarjana matematik dan astronomi



ARKIB : 05/05/2006

AL-KHAWARIZMI dilahirkan di Bukhara. Nama sebenarnya ialah Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi. Selain itu, beliau dikenali juga sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff Gelaran Al-Khawarizmi yang dikenali di Barat ialah al-Khawarizmi, al-Cowarizmi, al-karismi, al-Goritmi atau al-Gorism. Nama al-Gorism terkenal pada abad pertengahan. Di negara Perancis pula al-Gorism muncul sebagai Augryam atau Angrism. Di negara Inggeris pula dia dikenali sebagai Aurym atau Augrim.

Tahun 780-850M adalah zaman kegemilangan al-Khawarizmi. Dicatatkan, beliau meninggal dunia antara 220M dan 230M. Ada yang mengatakan al-Khawarizmi hidup sekitar awal pertengahan abad kesembilan.

Dalam bidang pendidikan terbukti bahawa beliau ialah seorang tokoh Islam yang berpengetahuan luas meliputi bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia.

Beliau amat terkenal sebagai guru algebra di Eropah dan menciptakan pemakaian Secans dan Tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi. Dalam usia muda beliau bekerja di bawah pemerintahan Khalifah al-Ma’mun di Bayt al-Hikmah, Baghdad.

Beliau gemar bekerja dalam balai cerap untuk mendalami ilmu matematik dan astronomi serta pernah memperkenalkan angka-angka India dan cara-cara perhitungan India pada dunia Islam.

Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh yang mula-mula memperkenalkan algebra dan hisab. Banyak lagi ilmu pengetahuan yang beliau pelajari dalam bidang matematik dan menghasilkan konsep-konsep matematik yang begitu popular sehingga digunakan pada zaman sekarang.

Antara hasil karya yang telah beliau hasilkan ialah:

1. Sistem Nombor: Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin iaitu De Numero Indorum. ‘Mufatih al-Ulum’ yang bermaksud beliau adalah pencinta ilmu dalam pelbagai bidang.

2. Al-Jami wa al-Tafsir bi Hisab al-Hind: Karya ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Prince Boniopagri.

3. Al-Mukhtasar Fi Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah: Diterbitkan pada 820M dan ia mengenai algebra.

4. Al-Jabr wa’l Muqabalah: Penggunaan secans dan tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi.

5. Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah: Contoh-contoh persoalan matematik dan mengemukakan 800 soalan yang sebahagian daripadanya merupakan persoalan yang dikemukakan oleh Neo. Babylian dalam bentuk dugaan yang telah dibuktikan kebenarannya oleh al-Khawarizmi.

Dalam bidang matematik, al-Khawarizmi telah memperkenalkan algebra dan hisab. Beliau banyak menghasilkan karya-karya yang masyhur ketika zaman tamadun Islam. Antara karya-karya yang beliau hasilkan ialah Mafatih al-Ulum. Sistem nombor adalah salah satu sumbangannya dan telah digunakan pada zaman awal tamadun Islam.

Banyak kaedah yang diperkenalkan dalam setiap karya yang dihasilkan. Antaranya ialah kos, sin dan tan dalam trigonometri penyelesaian persamaan, teorem segi tiga sama, mengira luas segi tiga, segi empat selari dan bulatan dalam geometri. Masalah pecahan dan sifat nombor perdana dan teori nombor juga diperkenalkan.

Bidang astronomi juga membuatkan al-Khawarizmi dikenali pada zaman tamadun Islam. Astronomi dapat ditakrifkan sebagai ilmu falak iaitu pengetahuan tentang bintang-bintang yang melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan, dan pemikiran serta tafsiran yang berkaitan dengan bintang.

Penggunaan matematik dalam astronomi sebelum tamadun Islam amat sedikit dan terhad. Ini disebabkan oleh kemunduran pengetahuan matematik yang terhad kepada pengguna aritmetik dan geometri sahaja.

Al-Khawarizmi dianggap sebagai sarjana matematik yang masyhur oleh orang Islam dan ia diperakui oleh sarjana Barat. G. Sarton pernah menyatakan bahawa pencapaian-pencapaian tertinggi telah diperoleh oleh orang-orang Timur terutama al-Khawarizmi.

Wiedmann pula menyifatkan al-Khawarizmi mempunyai personaliti yang teguh dan seorang yang bijaksana. Ini membuktikan al-Khawarizmi telah memberi sumbangan yang besar dalam bidang matematik dan astronomi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4l5Qoo6Qc
© Utusan Melayu (M) Bhd