Ahad, 25 Disember 2016

Kalimuthu rindu saat bersama Tunku

 
KENANGAN Kalimuthu bergambar bersama kereta rasmi Tunku Abdul Rahman (gambar kecil).

SEPERTI biasa, R. Kalimuthu bangun lebih awal berbanding penghuni-penghuni lain di sekitar Residensi yang terletak di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur. Ketika itu jalan tersebut dikenali sebagai Jalan Brockman.

Sebagai salah seorang pemandu peribadi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ketika itu Ketua Menteri Tanah Melayu, sudah menjadi rutinnya menghantar anak-anak Tunku ke sekolah atau membeli pelbagai barangan basah di pasar berhampiran.

Bagaimanapun, pada 30 Ogos 1957, Kalimuthu mempunyai tugas yang lebih berat dan mencabar berbanding rutin sebelumnya.

Dia diarahkan bertugas untuk membawa Tunku menghadiri upacara pengistiharan kemerdekaan negara yang bakal diadakan di Padang Kelab Selangor menjelang tengah malam.

“Tidak hairanlah, hari itu saya begitu bersemangat bekerja. Pagi-pagi lagi saya sudah bangun membasuh kenderaan rasmi Tunku dan memastikan ia berada di dalam keadaan baik," kata anak kelahiran Kampung Paya Rumput, Melaka itu.

Sekitar pukul 11 malam, 30 unit ahli Perikatan bermotosikal dan pasukan polis pengiring telah tiba di Residensi. Kehadiran mereka adalah untuk mengiringi kenderaan Tunku sehingga ke Padang Kelab Selangor.

Kalimuthu yang kini menumpang di rumah salah seorang anaknya di Jinjang Selatan, Kuala Lumpur berkata, Tunku yang segak berbaju Melayu pada malam itu kelihatan begitu ceria sepanjang perjalanan.

Katanya, biarpun laluan di sekitar ibu negara ketika itu agak sesak dengan kehadiran orang ramai dan pelbagai jenis kenderaan, namun konvoi yang dinaiki tetap berjalan lancar.

Perasaan sebak

“Sebaik tiba, saya terkejut melihat ribuan rakyat jelata telah memenuhi sekitar Padang Kelab Selangor dan Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Kesemua mereka bersorak. Sebaik melihat kenderaan dan kelibat Tunku, laungan Merdeka tiba-tiba bergema di sekitarnya,” ceritanya.

Selepas menurunkan Tunku yang disambut beberapa pemimpin masyarakat, dia mula meletakkan kenderaan di kawasan yang dikhaskan untuk tetamu-tetamu kehormat yang telah tiba lebih awal.

Biarpun sekadar melihat dari jauh, Kalimuthu tetap berbangga kerana menjadi salah seorang individu penting dalam sejarah negara pada malam itu.

“Sebaik melihat bendera Union Jack diturunkan, perasaan saya tiba-tiba menjadi sebak.

“Siapa sangka, Tanah Melayu akhirnya mencapai kemerdekaan yang diidam-idamkan setiap rakyat jelatanya,” ujarnya yang kini uzur akibat sakit tua.

Keesokannya, 31 Ogos 1957, sekali lagi dia diarahkan untuk membawa Tunku ke Stadium Merdeka.

Pagi itu, Tunku kelihatan segak dengan pakaian khas yang sering dipakai oleh pembesar-pembesar Melayu dan kerabat diraja Kedah.

Katanya, stadium yang baru siap itu bergema dengan laungan kemerdekaan sebaik Tunku selesai membaca watikah kemerdekaannya di atas pentas.

“Saya juga tidak melepaskan peluang menjerit laungan Merdeka bersama-sama Tunku pada pagi itu,” jelasnya.

Kalimuthu mula mengenali Tunku ketika bertugas sebagai penghantar surat di Persatuan Bola Sepak Selangor.

Ketika itu Tunku bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaya.

“Tunku menawarkan saya bekerja sebagai pemandu sambilan. Hanya selepas tahun 1957, barulah saya bekerja secara rasmi dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan,” jelasnya.

Dikurniakan 14 cahaya mata, 27 cucu dan 11 cicit hasil perkahwinan daripada dua orang isteri, Suppamah (meninggal dunia) dan S. Thenam, Kalimutuhu berkata, dia berkhidmat sebagai pemandu Tunku selama lebih 40 tahun sebelum bersara pada tahun 1990.

Katanya, sepanjang tempoh itu dia begitu menghormati Tunku yang disifatkan seorang negarawan yang ulung dan tiada tolak bandingnya.

“Rutin hariannya begitu sibuk dengan pelbagai urusan dan mesyuarat di seluruh negara. Bagaimanapun, dia tetap mempunyai masa untuk bersama keluarga atau bermain golf yang menjadi sukan kegemarannya,” katanya.

Menyifatkan Tunku sebagai seorang majikan yang berdedikasi dan sentiasa menjaga kebajikan para pekerja, Kalimuthu berkata, dia sentiasa merindui kenangan bersama Tunku suatu ketika dahulu.

“Saya antara insan bertuah yang dapat berdamping dengan Tunku sepanjang usianya. Semua kenangan itu akan sentiasa terpahat dalam memori saya,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4TrjZCf2b Hakcipta terpelihara

KAMPUNG GAJAH PERAK

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Sebelum sampai ke Kompleks Sejarah Pasir Salak saya terlebih dahulu sampai di Kampung Gajah, Perak.Kapung Gajah merupakan nama kampung yang agak unik. Kapung ini diberi nama Kampung Gajah berdasarkan kepada tiga kisah lagenda. Pertama, Kampung Gajah dinamakan Kampung Gajah kerana dipercayai banyak didapati gajah-gajah yang berkeliaran di Bukit Tunggal dalam Kampung Gajah. Gajah-gajah ini hidup dengan memakan  tanaman-tanaman yang diusahakan oleh penduduk, seperti pokok pisang dan kelapa, yang gajah suka makan umbutnya. Dari sinilah dipercayai kampung itu dinamakan Kampung Gajah.[1]

      Legenda kedua ialah sewaktu tentera-tentera Siam datang hendak menyerang Kampung Gajah mereka melihat banyak kesan-kesan tapak kaki gajah dalam sawah dan di tebing sungai yang menimbulkan rasa cemas dan takut di hati mereka. Justeru mereka membatalkan hasrat mereka untuk menyerang Kampung Gajah. Sedangkan apa yang mereka lihat itu bukannya tapak kaki gajah yang sebenarnya, tapi kaki manusia yang membesar dan membengkak kerana diserang oleh penyakit untut yang berpunca dari gigitan sejenis nyamuk yang dipanggil elephhhantiatis yang banyak terdapat di paya-paya tropika.

      Legenda ketiga berhubung dengan sebuah batu besar yang menyerupai seekor gajah yang terletak di kaki Bukit Tunggal.  Batu Gajah itu mengikut legenda berasal dari seekor gajah yang telah disumpah oleh makhluk halus yang dipanggil Sang Kelembai. Makhluk ini dipercayai tinggal dalam hutan dan tidak suka mendengar bunyi bising. Bila ada sesiapa membuat bising, Sang Kelembai yang dipercayai mempunyai kuasa sakti akan menegur, dan bila ditegur manusia atau binatang yang membuat bising itu terus bertukar menjadi batu.[2]

    Fot0 1: Kapung Gajah

[1] Pondok Rahmat, “Kampung Gajah Dalam Lakaran Sejarah Perak”, http://pondokrahmat .blogspot.my/2013/11/kampung-gajah-dalam-lakaran-sejarah.html (diakses pada 23 Disember, 2016).
[2] Ibid.

AGAMA DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT ARAB JAHILIAH

OLEH-AHMAD YAAKOB
Kepercayaan kepada agama terbahagi kepada dua, iaitu agama samawi (agama langit) yang diturunkan Allah SWT melalui nabi-nabi dan mempunyai kitab dan agama ciptaan yang direka oleh menusia sendiri.[1]

Kesesatan agama dalam kalangan masyarakat jahiliah mempunyai hubungan rapat dengan ketiadaan petunjuk dan pedoman daripada kitab suci dan rasul pada waktu itu sehingga mereka tunduk kepada kuasa berhala dan menganut agama berhala (wathani).

       Di samping agama berhala, terdapat juga agama-agama lain seperti agama Majusi, Nasrani dan Yahudi yang telah diselewengkan,tetapi bilangan penganutnya amatlah kecil.
Pengaruh asing menjadi faktor pendorong penyebaran pelbagai agama di Semenanjung Tanah Arab kerana hubungannya dengan dunia luar melalui perdagangan, hubungan diplomatik dan
kegiatan-kegiatan agama. Dua kuasa besar, iaitu Parsi dan Byzantine berlumba-lumba untuk menyebarkan agama masing-masing. Parsi menyebarkan agama Majusi sementara Byzantine menyebarkan agama Nasrani.

       Walau bagaimanapun, sebahagian besar kaum Badwi di kawasan tengah Semenanjung Tanah Arab masih menyembah berhala. Terdapat lima golongan beragama dalam kalangan masyarakat
Arab, iaitu:
(a) menyembah berhalal wathani.
(b) menyembah api/Majusi.
(c) Nasrani/Kristian.
(d) Yahudi.
(e) Hanif/Samawi.Pengikut agama Hanif, iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.[2]
Agama menyembah berhala merupakan agama yang dominan dalam kalangan masyarakat Arab.Orang yang mula-mula memperkenalkan agama menyembah berhala ialah Umar bin Luai. Berhala tersebut dibawa dari Syam lalu diletakkan di sekeliling Kaabah dan disembah. Berhala-berhala yang disembah diperbuat daripada batu, kayu dan logam sama ada berbentuk asli atau replika.Pusat agama berhala terletak di kota Makkah. Pada waktu itu di sekeliling Kaabah terdapat kira-kira 360 buah berhala.Berhala-berhala yang terkenal di Makkah ialah al-Uzza, al-Latta dan al-Manat.

       Agama Majusi berasal dari Parsi.Mereka tidak mempunyai kitab dan tidak mengakui nabi yang diutus oleh Allah SWT.Penganut agama Majusi mempercayai dua tuhan, iaitu tuhan yang baik dan tuhan Yang jahat.Mereka juga percaya kepada dua konsep api, iaitu api sebagai penerang dan api sebagai pemusnah. Agama ini terbahagi kepada tiga mazhab yang besar, iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradusshitiyah.

       Agama Yahudi ialah agama yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. yang diutus kepadanya kitab Taurat.penganut agama Yahudi, iaitu Bani Israel telah mengubah isi kandungan kitab Taurat dan Allah SWT telah melaknat mereka.

       Agama Nasrani (Kristian) dibawa oleh Nabi Isa a.s. yang diturunkan kepadanya kitab suci Injil.Kaumnya juga telah mengubah isi kandungan kitab ini.Agama Nasrani dikembangkan ke utara Semenanjung Tanah Arab menerusi penduduk Ghassan dan Hirah, di sebelah selatan pula menerusi penduduk Habsyah pada abad ke-6 M.

       Segelintir orang Arab menganut agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s.. Mereka digelar Hunafa (Muslim) dan mentauhidkan Allah SWT.

Kepercayaan animisme
Bentuk kepercayaan masyarakat jahiliah terbahagi kepada dua, iaitu kepercayaan beragama dan kepercayaan animisme.Sebahagian masyarakat jahiliah yang tidak beragama mengamalkan kepercayaan animisme.Antara amalan animisme masyarakat jahiliah ialah memuja roh, penunggu atau kuasa ghaib, menyembah objek-objek seperti batu atau pokok-pokok yang besar, api dan sebagainya.

       Masyarakat jahiliah juga memuja matahari, bulan dan bintang kerana menganggap cakerawala mempunyai kuasa dalam kehidupan mereka. Mereka percaya bahawa matahari membolehkan tumbuh-tumbuhan hidup, manakala bulan dan bintang pula menjadi petunjuk dalam perjalanan pada waktu malam.

Golongan masyarakat jahiliah yang menyembah Tuhan Padang Pasir pula dikenali sebagai ahl al-Saf.Amalan yang dilakukan oleh golongan ini ialah berjalan-jalan di padang pasir pada waktu malam sambil menyanyi, bergendang dan membawa unggun api.

       Selain itu, terdapat juga masyarakat jahiliah yang mengamalkan ajaran sihir dengan menyembah jin dan dewa-dewa.Manakala ada pula segolongan masyarakat jahiliah yang
menyembah malaikat lelaki dan perempuan kerana dianggap sebagai perantara.Masyarakat jahiliah juga mempunyai kepercayaan tradisi yang berunsur tahayul seperti menilik nasib,sangka baik dan sangka buruk dengan isyarat-isyarat tertentu, mempercayai kuasa azimat tangkal dan ahli nujum.Kedatangan Islam telah mengubah corak kehidupan masyarakat jahiliah bukan sahaja dari segi agama tetapi juga dari segi ketamadunan fizikal dan mental.




[1] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2015), 8.
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini(Shah Alam:Oxford Fajar,2014),5.

Pembedahan bersejarah -- Hospital Selayang pertama di dunia pindah tangan bayi daripada kembarnya

ARKIB : 11/06/2000
CHONG Lih Ying, bayi yang berjaya menjalani pembedahan pemindahan tangan (seluruh lengan) yang pertama di dunia, dikelilingi jururawat di Hospital Selayang, dekat Kuala Lumpur semalam.

Chong Lih Ying, 1 bulan 21 hari, yang dilahirkan di Hospital Kuantan 20 April lalu tanpa pergelangan tangan menerima organ itu daripada adik kembarnya yang meninggal dunia akibat komplikasi otak.

Pemindahan tangan dari paras lengan itu berjaya dilakukan oleh sekumpulan pakar bedah diketuai oleh Ketua Pusat Pembedahan Hospital Selayang, Dr. V. Pathmanathan.

Petanda yang memberangsangkan pada lengan kiri bayi berkenaan selepas 22 hari dibedah ialah warna kulitnya sudah kelihatan kemerah-merahan dan kukunya mulai tumbuh.

Tanda-tanda itu menunjukkan penyaluran darah telah berjalan seperti biasa di organ berkenaan.

Dalam pembedahan itu Dr. Pathmanathan dibantu oleh kumpulan pakar bius dan pakar pediatrik yang masing-masing diketuai oleh Dr. Arbayah Rais dan Datuk Dr. Lim Nyok Ling, selain 56 kakitangan sokongan terdiri daripada pembantu perubatan dan jururawat.

Keadaan bayi itu yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin sihat tanpa sebarang tiub yang dimasukkan ke badannya.

Dia juga boleh menyusu seperti bayi biasa tanpa menggunakan sebarang alat bantuan.

Lih Ying dijangka berada di hospital itu sebulan lagi.

Dr. Pathmanathan ketika diminta mengulas mengenai kejayaan tersebut berkata, pemindahan itu dilakukan selepas mendapati penerima dan penderma mempunyai persamaan dari segi genetik dan sel.

''Beberapa ujian terpaksa dilakukan untuk melihat persamaan genetik dan sel. Hasil ujian yang dibuat mendapati ia sesuai,'' ujarnya kepada para pemberita yang diberi peluang melihat keadaan bayi itu hari ini. Turut serta melawat bayi itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng.

Kata Dr. Pathmanathan, persamaan ini amat penting agar tidak wujud tindak balas daripada penerima yang tidak dapat menerima lengan kembarnya.

''Jika ini terjadi, bayi ini mungkin terpaksa menggunakan anti rejection drug seumur hidup,'' ujarnya.

Menurut beliau, para doktor dan jururawat akan memantau perkembangan dan pemulihan bayi berkenaan sehingga pulih dan lengannya akan dapat berfungsi seperti biasa.

Sementara itu Chua yang diberi taklimat oleh pakar pembedahan itu memberitahu, hasil penuh pembedahan itu hanya dapat diketahui selepas enam bulan.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk menilai keupayaan sepenuhnya tangan Lih Ying tetapi para pakar yakin ia akan pulih secepat mungkin dan tangan kirinya boleh digunakan.

Jelasnya, jari dan siku bayi berkenaan tidak menunjukkan sebarang tindakan kerana urat saraf memerlukan pertumbuhan selama enam bulan.

Menurut Chua, pembedahan ke atas bayi itu bukan sahaja merupakan pembedahan pemindahan tangan pertama di Malaysia malah juga yang pertama di dunia melibatkan seorang bayi.

Setakat ini, lima kes pemindahan tangan di dunia melibatkan orang dewasa yang telah dilakukan di Perancis (September 1998 dan Januari 2000), Amerika Syarikat (Januari 1999), China (September 1999) dan Austria (Mac 2000).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4TqRiMw1f © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 24 Disember 2016

PENERBITAN AKHBAR MELAYU TAHAP KETIGA 1926 -1941

PENERBITAN AKHBAR MELAYU TAHAP KETIGA 1926 -1941
OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Pada tahap ketiga, iaitu antara tahun 1926 hingga Perang Dunia Kedua, “…33 buah akhbar telah diterbitkan.”[1] Noriah Dermawan menyifatkan, “…tahun 1930-an adalah zaman keemasan di dalam perkembangan akhbar Melayu.”[2] Bagi Roff zaman ini adalah zaman akhbar-akhbar besar iaitu “…Warta Malaya, Lembaga, Majlis dan Utusan Melayu.[3] Akhbar-akhbar ini merupakan akhbar, “… “metropolitant” akhbar yang dianggap berpengaruh dan mempunyai edaran ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan singapura.”[4]

      Sementara itu,menurut W.R. Roff, pada tahun 1930-an peranan Singapura sebagai nadi kewartawanan  mula  merosot  dan  kegiatan kewartawanan mula berpusat di Tanah Melayu. Akhbar mula diterbitkan untuk  mendapat  keuntungan  dan mula terdapat wartawan yang bekerja sepenuh masa seperti Ishak Hj. Muhammad. Manakala bidang “…kewartawanan menjadi satu mata pencarian dan orang-orang surat khabar seperti Onn Jaafar, Othman Kalam dan Abdul Rahim Kajai telah menjadi nama-nama yang terkenal.”[5] Datok Onn pula telah muncul sebagai tokoh nasionalis yang memimpin akhbar Warta Malaya[6]  dan Lembaga  Malaya.[7] 

      Melalui  akhbar-akhbar tersebut Datok  Onn  mengkritik  dasar  British  secara  lembut  serta  meminta  kerajaan memberi peluang kepada orang Melayu  memengang  jawatan  penting dalam kerajaan. Beliau juga membahaskan isu Melayu, isu  mengembalikan  kuasa  Majlis  Undangan  Negeri Melayu Bersekutu, bahaya  tuntutan  imigran, soal  pendidikan  tinggi  untuk orang-orang Melayu dan kemajuan ekonomi Melayu.[8]

            Akhbar-akhbar terkemuka  seterusnya   ialah  Majlis[9]  dan Utusan   Melayu.[10] Menurut A. Samad Ismail, penubuhan Syarikat Utusan Melayu pada tahun 1939 adalah satu detik penting dalam sejarah orang Melayu Singapura. Ini kerana Utusan Melayu menjadi bukti kejayaan jati diri mereka mendirikan sebuah syarikat yang dimodali dan dikendalikan sendiri oleh orang Melayu.[11] Dari segi kandungan pula Utusan dan Majlis memuatkan  perbincangan  ekonomi,  kedudukan  siasah  di Malaya dan soal hangat  seperti  soal  kerajaan  pusat,  kedudukan  orang   Melayu   dalam perkhidmatan kerajaan, siapa orang Melayu jati dan soal pelajaran.[12] Seterusnya, Kesatuan Melayu Muda pimpinan  Ibrahim Yaakob  telah  menggunakan  akhbar  Warta Malaya dan Majlis untuk menyalurkan perjuangan KMM.[13] Pihak Jepun memberi bantuan kewangan kepada Ibrahim Yaakob  untuk  membeli  akhbar  Warta Malaya yang menjadi alat untuk membangkitkan Semangat anti-British di Malaya.

      Semasa pendudukan Jepun (1941-1945), cuma10 buah akhbar sahaja diterbitkan.[14] Ini kerana Jepun menguasai penerbitan akhbar-akhbar Melayu dan menerbitkan akhbar-akhbar Jepun sendiri untuk menyiarkan propaganda menyokong Jepun. Akhbar yang selaras dengan kehendak Jepun sahaja boleh diterbitkan. Contohnya Majlis menerbitkan akhbar Perubahan Baru,manakala dipercetakan Utusan Melayu pula dikeluarkan Warta Malai. [15] Menurut Noriah,di Perak diterbitkan dua buah akhbar iaitu, Chahaya Timur dan Berita Perak. Di Pulau Pinang diterbitkan akhbar Penang Shimbun Sha dan Pancaran Matahari. Manakala di Kuala Lumpur diterbitkan akhbar Perubahan Baru dan  Berita Malai.[16]

Selepas perang, akhbar Majlis, Utusan Melayu dan Warta Negara memainkan peranan utama untuk membangkit semangat penduduk Malaya bagi menentang Malayan Union. Penentangan ini berpunca dari “penghapusan kedaulatan dan kuasa      -kuasa sultan dan pemberian kerakyatan kepada imigran menerusi prinsip jus soli”.[17]  Antara tahun 1946 hingga 1955 akhbar-akhbar utama di Malaya seperti Utusan Melayu, Majlis, Warta Negara dan Pengasuh banyak menumpukan kepada soal perkembangan UMNO dan soal kemerdekaan.[18]

      Selain daripada membahaskan  kepincangan ekonomi dan sosial serta kegiatan politik orang Melayu, akhbar juga turut  memuatkan penulisan pensejarahan Melayu. Contohnya pada akhir  abad  ke-19 terdapat  dua buah akhbar yang menyiarkan makalah sejarah iaitu Tanjong  Penegeri  dan  Pemimpin  Warta.[19] Seterusnya  antara  tahun 1900 hingga 1920. Jumlah akhbar yang memuatkan penulisan pensejarahan meningkat dari dua kepada enam buah. Contohnya Chahaya Pulau Pinang, Taman Pengetahuan, Neraca, Lembaga Melayu, Lidah Teruna dan Pengasuh.[20]

            Pada tahun 1920 hingga 1955 kesedaran sejarah di kalangan golongan intelegentsia semakin meningkat sehingga kebanyakkan daripada akhbar-akhbar Melayu menyediakan  ruangan  khusus  untuk  sejarah. Berdasarkan  kajian  didapati sebanyak  enam belas buah akhbar  telah  menyiarkan  makalah  pensejarahan  Melayu. Akhbar   bercorak  keislaman seperti  Suara Benar, Lidah Benar dan Pengasuh memberi tumpuan kepada pensejarahan Islam. Manakala akhbar sekular seperti Majlis, Warta Malaya, Warta Ahad dan Lembaga Malaya pula menyiarkan pensejarahan tempatan, Eropah, pensejarahan  biografi,  politik,  sosial dan ekonomi.

      Dari segi penerbitan persuratkahabaran Melayu pula, Singapura menduduki tempat pertama dengan menerbitkan 15 buah akhbar, sementara Pulau Pinang 10 buah akhbar serta Perak 5 buah akhbar. Manakala Kelantan menduduki tempat kelima dengan menerbitkan 3 buah akhbar.[21] Kelantan juga muncul sebagai penerbit majalah kelima banyaknya dalam tempoh tahun 1876 sehingga 1941 di Tanah Melayu, iaitu “…menerbitkan 16 judul…”.[22]




              [1]ibid., hlm.22.
              [2]ibid., hlm.22.
              [3]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu,hlm.38.
              [4]Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an ,hlm.22.
              [5] William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, hlm.38
[6]Diterbitkan Januari 1930 di Singapura.

[7]Diterbitkan di Singapura pada Disember 1934.

[8]W. R. Roff, Nasionalisma Melayu, hlm. 214.

[9]Majlis diterbitkan di Kuala Lumpur pada tahun 1931-1941 dan pengarang pertama ialah Abdul Rahim Kajai.

[10]Utusan Melayu  diterbitkan  pada 29 Mei 1939 oleh Yusof Ishak, Embok Suloh dan Daud Md.  Syah dan Rahim  Kajai menjadi penyunting pertama.

              [11] A.Samad Ismail, Siapa Sebenarnya Pak Sako?, Utusan Malaysia, 16 September,1996, hlm.7.
[12]W. R.  Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, hlm.  38

[13]KMM ditubuhkan oleh Ibrahim Yaakob pada Ogos 1938  dan berjuang untuk menyatukan Tanah Melayu dengan Indonesia.

              [14] Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an,hlm.31.
              [15] ibid., hlm.31
              [16]ibid., hlm.33.
[17]Abdul Hamid Ahmad, Penentangan Orang-Orang Melayu Terhadap Malayan Union, Mini Tesis Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Kuala  Lumpur, 1979/1980, hlm.  11.

[18]Hari Yang Bersejarah, Pengasuh, Bil.  264, 31 Julai, 1954, hlm.  18.

[19]Antara makalah sejarah yang di siarkan ialah sejarah tempatan dan Peperangan Turki dan Greece.

[20]Pengasuh  melalui  ruangan  “Tarikh”,  “Ruangan  Hikayat”,  ”Rencana”,  ”Adakah   Engkau  Tahu”,  Rampaian Pengetahuan”  dan “Sudut Riwayat”  telah  menyiarkan banyak penulisan pensejarahan Islam, tempatan,  poltik, sosial dan  ekonomi.

               [21]Muhammad bin Dato’ Muda, “Tarikh Akhbar-Akhbar dan Majalah Keluaran Semenanjung Tanah Melayu, Majalah Guru, XVI, 1938, hlm.400.
              [22]A.Aziz Deraman, “Kelantan: di Antara Serambi Dunia Persuratan Melayu” ,Seminar Sehari Majalah Pengasuh, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Kota Bharu, 15 Julai 2000, hlm.4.

Tahap kedua Penerbitan Akhbar di Tanah Melayu 1901-1925

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

      Menurut Noriah Dermawan, pada tahap kedua perkembangan akhbar Melayu (1901-1925) diterbitkan lagi “…11 buah akhbar”[1] Akhbar pertama yang diterbitkan  dalam jangkamasa ini ialah Jambangan Warta.[2] Antara akhbar terpenting pada tahap ini ialah “Utusan Melayu yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1907. [3] Manakala pengarangnya “Mohd. Eunos Abdullah muncul sebagai Bapa Persuratkhabaran Melayu.”[4] Beliau terkenal sebagai Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu dari tahun 1907 hingga 1909 dan  Lembaga Melayu dari tahun 1914 hingga 1931.

      Utusan  Melayu  tidak  bersifat  radikal  tetapi  cuma  menyiar  berita tempatan dan Tanah Melayu  serta  berita  Perang  Dunia  Pertama. Lembaga  Melayu  pula merupakan akhbar harian termaju sebelum pecah Perang Dunia Kedua. Melalui kedua-dua akhbar ini Eunos berjuang untuk kebajikan dan peluang lebih luas diberikan kepada pelajar-pelajar Melayu.[5] Pada 9 Februari 1932, dia menerbitkan akhbar harian Perkhabaran Dunia tetapi  ia terbit selama enam minggu sahaja.[6]

            Seterusnya pada awal abad ke 20, gerakan Kaum Muda pimpinan Syed Sheikh Al-Hadi telah  menerbitkan   akhbar    Neraca,[7]   Idaran  Zaman[8]  dan Saudara[9] untuk menyebarkan pendapat Kaum Muda. Neraca   beredar  di  kalangan  golongan  terpelajar  dari kaum terpelajar di Negeri-Negeri Selat, guru agama dan orang-orang alim di Semenanjung Tanah Melayu.[10] Sebaliknya Kaum Tua menerbitkan akhbar   Lidah Benar [11] dan   Suara  Benar[12].Suara Benar banyak menyentuh soal-soal sosial, ekonomi, agama dan politik.[13] Kedua-kedua buah akhbar ini telah menentang gerakan pembaruan  Kaum  Muda  dan  menuduh  mereka tidak beramal ibadat. Akibatnya akhbar Kaum Muda diharamkan oleh kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. Persaingan fahaman Kaum Muda dan Kaum Tua juga berlaku di  Kelantan sebuah negeri yang bercorak keagamaan.

            Menurut W.R. Roff, pada tahun 1920-an bidang  kewartawanan  Melayu mula masuk ke zaman baru apabila akhbar-akbar Melayu di Tanah Melayu mula  membahaskan hal yang berkaitan dengan orang-orang Melayu. Contohnya membahaskan  kedudukan  sosio-ekonomi Melayu yang mundur berbanding bangsa asing, kedudukan bahasa Melayu dan melaporkan kegiatan kelab dan persatuan. Antara akhbar yang membahaskan isu ini ialah Lidah Teruna,[14] Perjumpaan Melayu,[15] dan Pengasuh.

      Lidah Teruna dan Perjumpaan Melayu menjadi  alat  untuk  membincangkan  masalah  kemajuan Melayu dan menyebarkan ilmu pengetahuan  kepada  pembaca.  Pengasuh  pula  membincangkan soal agama,  mendaulatkan bahasa Melayu, menyiarkan perkembangan persatuan dan kelab di Tanah Melayu, isu-isu pelajaran  tinggi  dan politik  semasa di Tanah Melayu. 

            Seterusnya Idaran zaman[16] dan Saudara[17] turut memperjuangkan corak baru perjuangan Kaum Muda. Saudara  sebuah  akhbar  yang  berpengaruh  di Malaya kini lebih mementingkan kemajuan  politik, dan  sosial  orang-orang  Melayu  daripada  ketelitian  pertelingkahan agama antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Sebagai akhbar yang berpengaruh di Tanah Melayu Saudara telah mengasaskan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya  (PASPAM).[18] PASPAM ialah sebuah pertubuhan pertama yang bersifat kebangsaan kerana mempunyai ahli dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu termasuk juga dari Brunei. Manakala akhbar-akhbar yang kurang penting kerana jangka hayat yang pendek ialah, “…Taman Pengetahuan, Bintang Sembilan, Perjumpaan Melayu dan Nun.[19]





              [1]Noriah Dermawan, Sejarah Akgbar-Akhbar Melayu Di Perak 1893-1940-an ,hlm.14.
             [2]Akhbar ini diterbitkan setiap minggu  pada hari Khamis, di bawah pimpinan Abdul Ghani Muhammad Kassim. Akhbar ini pendek umurnya dan lenyap pada tahun 1901 juga.
              [3] ibid., hlm.322.
[4]ibid. , hlm.  19.


[5]ibid. , hlm.  27.

              [6] Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998, hlm.1555.
[7]Neraca diterbitkan di Singapura oleh Hj.  Abbas Tahan 1911-1915.

[8]Idaran Zaman diterbitkan di Pulau Pinang 1925-1930.

[9]Saudara diterbitkan di Pulau Pinang 1925-1930.

[10]W. R.  Roff,  Nasionalisma Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1975, hlm.  20.

[11]Lidah  Benar diterbitkan di Kelang Selangor September 1929-1935.

[12]Suara Benar diterbitkan di Melaka pada September 1932, Febuari 1933.

              [13]Khoo Kay Kim, “Melaka Dalam Zaman Moden,” dlm. JEBAT, Bil. 9 1979/80, hlm.32.
[14]Lidah Teruna diterbitkan oleh Persekutuan Orang Islam Muar, Johor pada  tahun 1920.

[15]Perjumpaan Melayu, diterbitkan di Bandar Maharani Muar 1925.

[16]Idaran Zaman  diterbitkan  di  Pulau  Pinang  antara tahun 1925-1930 dan Mohd.  Yunus Abdul Hamid menjadi Pengarang pertama.

[17]Saudara diterbitkan oleh Syed Sheikh Al-Hadi di Pulau Pinang antara tahun1928-1941.

[18]Tujuan penubuhan PASPAM ialah bagi memperbaiki kebajikan orang-orang Melayu.  PASPAM dipimpin oleh Syed  Alwi, S. M  Zainalabidin, Sheikh  Abdullah  Al-Maghribi  dan  Hamidon  Mohd.   Hasyim.  Selepas persidangan pertama pada 11 November 1934 di Taiping bilangan ahli PASPAM meningkat kepada 12000 orang.
              [19]Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an, hlm.19.