Selasa, 27 September 2016

Tugu Jepun tersembunyi



Wartawan Sinar Harian
27 September 2016
Tugu Jepun tersembunyi    
     Tugu Jepun tersembunyi
Keadaan tugu Jepun yang 'tersembunyi' di bawah pokok buluh.

ALOR SETAR - Sebuah tugu Jepun terletak berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim, diibaratkan ikon pelancongan tersembunyi apabila kurang diketahui penduduk tempatan.

Tinjauan mendapati kedudukan tugu di sebelah utara jambatan tersembunyi hingga tidak disedari umum, biarpun ia memiliki kisah sejarah tersendiri.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf berkata, tugu berkenaan merupakan tanda penghargaan kepada tiga wira Jepun.

Menurutnya, pihaknya mencadangkan tugu Jepun yang memiliki potensi tinggi itu perlu dipelihara dan pulihara semula bagi menarik perhatian pengunjung.

“Cadangan sedemikian bukanlah tanda kita menyanjung tindakan tentera Jepun menawan Bandar Alor Setar ketika itu, sebaliknya ia perlu dinilai dari sudut lain,” katanya.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE  27 September 2016

Isnin, 26 September 2016

Bincangkan tindakbalas masyarakat tempatan di Indonesia terhadap kuasa Barat pada abad ke-19.



A.Pengenalan
Kedatangan kuasa Belanda di Indonesia pada abad ke 19 telah menimbulkan perasaan tidak puas hati masyarakat tempatan yang mencetuskan banyak penentangan terhadap Belanda sepanjang abad ke-19.

1.Penentangan di Sulawesi 1811
i.Lavi Bone 1811 menyerang Belanda tetapi berjaya dikalahkan.
ii.Penentangan di Sulawesi berakhir apabila Belanda menakluki Makasar 1905.
2.Penentangan Sapurua
Tercetus kerana Belanda memaksa penduduk Maluku melaksanakan sistem serahan dan kerja wajib.
Penentangan ini diketuai Thomas Matelusia yang menyerang dan menakluki Kubu Belanda April 1817. Penentangan berakhir apabila Belanda menangkap Thomas Matelusia Ogos 1817.
3.Perang Paderi 1819
Golongan Wahabi  menguasai kerajaan Minangkabau dan menentang perluasan kuasa Belanda di Minangkabau .
1819 Belanda memerangi golongan Wahabi. 1825 Tengku Imam Bonjol terpaksa menandatangani perjanjian damai.

4.Perang Jawa 1825-1830
Dipimpin Dipo Negoro Putera Diraja Kerajaan Jogjakarta.
Perang Jawa tamat 1830 selepas Belanda menangkap Dipo Negoro. Beliau dibuang ke Menado dan seterusnya Makasar. Beliau meninggal dunia 1855.
5.Penentangan di Banjarmasin 1857
i.Campurtangan Belanda – masalah takhta kerajaan Banjarmasin.
ii.1857 Sultan Ahmad mangkat, Tamjid Ulah, cucu Sultan Adam mendapat sokongan Belanda dilantik sebagai pengganti.Saudaranya Pangeran Hidayat tidak puashati. Tamjid Ulah turun takhta.
1860 Belandamenghapuskan kesultanan Banjarmasin. Pangeran Hidayat menentang tindakan Belanda. 1862 Pangeran Hidayat menyerah kalah kepada Belanda.
6.Perang Acheh 1873
i.Meletus kerana Belanda ingin menguasai perdagangan di Acheh.
ii.1873 Belanda menyerang Acheh tetapi gagal. 1874 Belanda menguasai istana Acheh.
iii.1903 Acheh menyerah kalah.

Kesimpulan
Tindakbalas masyarakat peribumi di Indonesia gagal mengguling Belanda di Indonesia. Sebaliknya mengukuhkan kedudukan Belanda.

Chong Wei juara kali keenam



NOR AZAN FITRI wAHMAD HIDZIR  |  26 September 2016 12:09 AM
 Lee CHONG WEI bergurau dengan Jan O Jorgensen ketika majlis penyampaian
LEE CHONG WEI bergurau dengan Jan O Jorgensen ketika majlis penyampaian hadiah Terbuka Jepun di Tokyo semalam. Chong Wei menang 21-18, 15-21, 21-16 dalam masa lebih sejam. AFP

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei melebarkan rekodnya selaku juara terbanyak Siri Super Terbuka Jepun namun terpaksa bekerja keras sebelum merangkul kejuaraan keenamnya di Tokyo hari ini.

Terbuka Jepun jelas begitu bermakna kepada Chong Wei, yang memenanginya kali pertama pada 2007. Dia mengulanginya pada 2010 sebelum menang tiga kali berturut-turut pada 2012 hingga 2014.

Bagaimanapun, kemenangan terbaru pemain No.1 dunia itu diperoleh dengan kerja keras apabila berhempas pulas selama lebih sejam sebelum menundukkan pilihan kelima dari Denmark, Jan O Jorgensen 21-18, 15-21, 21-16 dalam aksi yang cukup sengit.

Kejayaan ketiga berturut-turut tahun ini ke atas Jorgensen itu merupakan kemenangan ke-17 Chong Wei daripada 18 pertemuan dengan bintang Denmark itu dan hanya tewas pada 2009.

Bintang Denmark itu hampir menamatkan kemarau kejuaraan selama tujuh tahun ke atas bintang No.1 dunia berusia 34 tahun itu tetapi gagal melaksanakannya di set penentuan meskipun berjaya mengekori rapat 16-17.

Beberapa siri kesilapan yang dilakukan Jorgensen membolehkan Chong Wei meneruskan kecemerlangannya di Jepun sekali gus merangkul kejuaraan Siri Super yang ke-44 daripada 65 kejuaraan yang diraihnya secara keseluruhan.

Jurulatih perseorangan negara Hendrawan jelas gembira dengan kejayaan itu sambil menyifatkan semua perancangan yang diatur berjalan dengan baik.

Katanya, dia sudah menjangkakan tentangan sengit daripada Jorgensen terutama melibatkan permainan di jaring yang membuatkan Chong Wei terpaksa mengubah strategi permainan dengan menghantar bola ke belakang gelanggang.

“Persaingan sengit se­perti ini sudah saya jangka kerana kali terakhir mereka bertemu di Indonesia (Siri Super Premier) sebelum ini juga sama, mereka beraksi hingga set penentuan.

“Hari ini Jorgensen bermain sangat bagus terutama di jaring tetapi tidak menjadi masalah kepada Chong Wei untuk mengubah corak serangan bagi meraih kejuaraan,” katanya.

Kejayaan di Siri Super Jepun itu merupakan kejuaraan pertama Chong Wei selepas menamatkan saingan dalam Sukan Olimpik Rio di mana dia mengutip pingat perak ketiga berturut-turut
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/chong-wei-juara-kali-keenam-1.387158#sthash.ZdVhm9nI.dpuf

Ahad, 25 September 2016

Partai Nasional Indonesia

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Latar Belakang
Pada tahun 1922, sekumpulan pelajar Indonesia di Holland telah menubuhkan Perhimpunan Indonesia. Setahun kemudian, Perhimpunan Indonesia telah menegaskan rancangan mereka untuk berjuang ke arah kemerdekaan negara. Untuk mencapai hasrat tersebut, Perhimpunan Indonesia menggabungkan usaha semua golongan masyarakat Indonesia dan menjalankan dasar tidak bekerjasama dengan kerajaan Belanda. Perhimpunan Indonesia bersifat agresif dan radikal sejak penubuhannya di Holland.[1]

Perhimpunan Indonesia berjaya mendapat sokongan ramai kerana memperjuangkan kemerdekaan. Antara tahun 1923 dan 1927, ahli-ahli Perhimpunan Indonesia yang pulang ke Indonesia telah menubuhkan kelab-kelab pelajar di beberapa buah bandar. Kelab tersebut menjadi pusat perbincangan dan saluran idea perjuangan Perhimpunan Indonesia. Dalam kalangan kelab yang ditubuhkan, Kelab Pelajar Bandung yang paling aktif. Dari kelab tersebut, Soekarno mengambil inisiatif menubuhkan Perserikatan Nasional Indonesia pada 4 Jun 1927.

Perserikatan Nasional Indonesia kemudian menukar namanya kepada Partai Nasional Indonesia (PNI). Soekarno ialah pemimpin utama, dibantu oleh pemimpin lain seperti Iskaq Tjokrohadisoerjo, Dr. Tjipto Mangunkusumo, Ir. Anwari, Ali Sastroamidjojo, dan Sunarjo.
Sebab dan Matlamat Penubuhan
Mulai tahun 1927, peranan PNI dalam pergerakan nasional Indonesia amat besar. Antara sebab dan matlamat penubuhan PNI:
(a) Menuntut kemerdekaan mutlak.
(b) Menyatukan rakyat Indonesia melalui gabungan Parti-Parti politik kebangsaan Indonesia.
(c) Membentuk kerajaan demokrasi berparlimen yang bertanggungjawab kepada semua rakyat.
(d) Memartabatkan penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi.
PNI berjuang secara aktif dan radikal demi mencapai matlamat untuk membebaskan Indonesia daripada penjajahan Belanda. Antara usaha PNI ialah:
(a) Mengamalkan dasar penentangan pasif.
(b) Mengamalkan dasar tidak bekerjasama dengan Belanda.
(c) Menyeru pegawai Indonesia memulaukan Volksraad dan perkhidmatan awam kerajaan.
(d) Menubuhkan kesatuan buruh.
(e) Memajukan syarikat kerjasama.
(f) Menyokongpendidikankebangsaan.
(g) Menganjurkan kursus dan mendirikan sekolah.
(h) Mengadakan rapat-rapat umum.
(i) Menyebarkan idea nasionalis melalui penerbitan surat khabar Banteng Priangan di Bandung dan Persatuan Indonesia di Jakarta.
Perjuangan PNI dijelaskan semasa Kongres Pemuda yang telah mengeluarkan "sumpah Pemuda" yang menekankan tiga perkara, iaitu:
(a) Semua rakyat Indonesia adalah sebangsa, sebahasa, dan senegara. '
Berdasarkan prinsip tersebut, PNI menegaskan tidak akan menggunakan agama Islam sebagai dasar perjuangannya kerana soal kemerdekaan turut melibatkan rakyat Indonesia beragama Kristian yang berbeza bahasa dan budaya.
(b) Pertubuhan belia seperti Pemuda Jawa, Pemuda Sulawesi, Pemuda Sumatera dan Pemuda Ambon digabungkan menjadi Persatuan Pemuda Indonesia.
(c) Lagu kebangsaan akan dicipta dan digunakan secara rasmi. Idea nasionalisme dapat disalurkan melalui ciptaan lagu kebangsaan.
Kebijaksanaan Soekarno mengutamakan soal perpaduan dan persefahaman membolehkan PNI mendapat sokongan ramai dan menjadi parti politik yang paling popular. Dalam masa dua tahun sahaja, PNI berjaya meraih sokongan seramai 10 000 orang.
Selaras dengan hasrat menyatukan rakyat Indonesia tanpa mengira perbezaan keturunan,bangsa, dan agama, PNI berusaha menggabungkan parti-parti politik yang sedia ada seperti Budi Utomo, Pasundan, Ikatan Sumatera, Kaum Betawi, Kelab Pelajar Surabaya, dan Sarekat Islam dalam satu gabungan yang besar, iaitu Permuafakatan Perhimpunan Politik Kebangsaan Indonesia (PPPKI). Melalui PPPKI, PNI telah berusaha membentuk perpaduan kebangsaan.[2]


[1] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),352.
[2] Ibid,353

Bukan 
di Kelantan, tetapi 
di Perak



MOHAMAD ATHIR ISMAIL  |  24 September 2016 12:18 AM
 
DERETAN kedai lama di Jalan Panggung, Kota Bharu.

APABILA menyebut sahaja Kota Bharu, pasti kita akan membayangkan bandar berstatus ibu negeri terletak di Kelantan. Tidak ramai yang tahu, negeri Perak juga mempunyai tempat bernama Kota Bharu. Terletak dalam daerah Kampar, pekan kecil Kota Bharu mempunyai sebuah stesen kereta api kecil, balai polis, klinik komuniti serta beberapa deretan rumah kedai.

Jaraknya dengan pekan yang lebih dikenali ramai, Gopeng adalah kira-kira tujuh kilometer, manakala perjalanan memandu dari bandar raya Ipoh memakan masa sekitar 40 minit. Tiada yang menarik di Kota Bharu, tetapi pekan kecil itu kaya dengan khazanah sejarah. Selain kisah penjajahan British, Kota Bharu turut memiliki sejarah berkaitan kerabat diraja Perak.

Antara kisah penting di Kota Bharu ialah landasan kereta api yang dibina menghubungkan Kuala Teja dengan pekan kecil Kota Bharu, serangan komunis, perlombongan bijih timah dan kisah Almarhum Teja serta Tengku Syed Jaafar.

Secara ringkasnya, pembukaan kawasan di Kota Bharu ada kena mengena dengan aktiviti perlombongan bijih timah. Jika anda ke sana, pasti akan ternampak banyak bekas lombong yang kini menjadi tasik dan kolam air, sekali gus membentuk pemandangan yang cantik.

Bercerita tentang sejarah Kota Bharu, seorang bekas ketua kampung, Abdullah Mohd. Sham, 70, memberitahu, kawasan itu menjadi sebuah pekan kecil sekitar kurun ke-19 atau mungkin lebih awal sedikit.

Menurutnya, Kota Bharu merupakan antara kawasan yang menjadi persinggahan Sultan Perak dalam program menziarahi makam-makam diraja dalam istiadat pertabalan.

“Di Kota Bharu, terdapat makam diraja yang dipanggil Almarhum Teja. Baginda merupakan Bendahara Raja Alang Sikandar yang bersemayam di Kuala Keboi, Kampar.

“Baginda bertugas mengutip hasil seperti cukai atas segala barang yang keluar masuk di Kota Bharu, umumnya Kuala Sungai Kinta. Di Kota Bharu ketika itu, terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah.

“Tidak lama selepas dilantik menjadi Bendahara oleh Sultan Perak ke-22, Sultan Abdullah Muhammad Shah I, baginda telah mangkat dan dimakamkan di Kuala Teja, Kota Bharu dan digelar sebagai ‘Almarhum Teja’,” katanya ketika ditemui S2 di Kota Bharu baru-baru ini.

Tambah beliau, ketika Raja Alang Iskandar dilantik sebagai Bendahara, nama baginda sudahpun berada dalam sistem giliran untuk dinobatkan sebagai Sultan Perak. Namun baginda mangkat sebelum menaiki takhta. Baginda merupakan ayahanda kepada Sultan Idris Murshidul Adzam Shah iaitu Sultan Perak ke-28.

Makam baginda terletak tidak jauh dari makam Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja iaitu Tengku Syed Jaafar, tidak jauh dari pekan Kota Bharu.

Menurut Abdullah, Tengku Syed Jaafar merupakan pembesar Perak yang menjaga hal ehwal agama Islam. Terdapat sebuah kisah menarik berkaitan dengan makam beliau suatu ketika dahulu.

“Makam Tengku Syed Jaafar terletak berhampiran dengan sebatang sungai yang bersambung dengan Sungai Kinta. Dahulu, terdapat sebuah masjid yang digunakan segenap masyarakat, termasuk mereka yang datang jauh dari Kampar,” ujarnya.

Katanya, setiap kali menjelang hari Jumaat, jemaah dari kampung yang terletak jauh dari masjid itu akan tiba sehari lebih awal. Mereka menaiki rakit melalui Sungai Kinta dan tiba lebih awal iaitu pada Khamis untuk menunaikan solat Jumaat, keesokan harinya.

“Di masjid berkenaan, terdapat sebuah tempayan yang digunakan jemaah untuk membasuh kaki. Hairannya, orang dahulu cerita, air di dalam tempayan itu tidak pernah habis sehinggakan ada orang mengambilnya untuk dijadikan penawar,” ujarnya.

Beliau menambah, disebabkan kisah air perigi tidak pernah surut itu, orang kampung menaruh bermacam-macam kepercayaan. Kini, masjid tersebut sudah tiada lagi dan hanya tinggal tapak sahaja.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/bukan-8232-di-kelantan-tetapi-8232-di-perak-1.386465#sthash.wL2G6lSk.dpuf

KERJA-KERJA PEMBINAAN STADIUM MERDEKA DIMULAKAN 25.9.1956



Pada hari ini dalam tahun 1956, kerja-kerja pembinaan Stadium Merdeka telah dimulakan. Pembinaan stadium ini dilakukan atas desakan Persatuan Bola Sepak Selangor dan Persatuan Bola Sepak Malaya selepas Perang Dunia Kedua kerana stadium yang terdapat di Jalan Ampang tidak dapat digunakan lagi. Pada 15 September 1955, Jawatankuasa Perancangan Pembinaan Stadium diwujudkan bagi mengkaji pelan dan kos pembinaannya. Sebanyak 160 pelan cadangan dikemukakan kepada kerajaan dengan kos pembinaan dianggarkan berjumlah $ 2.3 juta. Tetuan K.C Boon Co. Ltd dan Tetuan Lim Quee and Sons telah dilantik sebagai kontraktor utama serta pengendaliannya dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya Tanah Melayu. Pada 15 Februari 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan batu asas stadium ini. Pembinaan stadium ini dipercepatkan bagi membolehkan acara sambutan kemerdekaan Tanah Melayu dapat dilakukan pada 31 Ogos 1957. Pada 21 Ogos 1957, pembinaan Stadium Merdeka selesai dilakukan dan pengendaliannya diserahkan kepada Lembaga Penguasa (Board of Control). Stadium Merdeka telah dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada 24 hingga 29 Ogos 1957. Upacara perasmian stadium ini telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 30 Ogos 1957. Pembinaan Stadium Merdeka pada hari ini dalam tahun 1957 menjadi lambang kemegahan negara kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi bagi acara-acara sukan tetapi juga menjadi lokasi bagi acara-acara penting negara.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/