Ahad, 27 Disember 2015

Curi sumbu badak berusia 100 tahun

Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA
 
WAN Ahmad Najmuddin menunjukkan gambar sumbu badak yang dicuri pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah di sebuah jabatan kerajaan di sini ditahan malam tadi kerana dipercayai mencuri sumbu badak milik Muzium Diraja Johor dua bulan lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, pegawai kanan berumur 46 tahun itu baru bertukar ke negeri ini dari Terengganu pada Ogos lepas. Suspek ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada pukul 9 malam kelmarin.

Beliau berkata, suspek dipercayai membawa lari sumbu badak yang sedang dijemur di hadapan Bangunan Sultan Ibrahim itu menggunakan sebuah kereta. Suspek berbuat demikian selepas menghadiri satu mesyuarat yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan negeri di bangunan tersebut yang terletak di Bukit Timbalan di sini pada pukul 2.30 petang 19 Oktober lalu.

“Siasatan berdasarkan ka­mera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan mendapati suspek membawa lari sumbu badak itu ke dalam sebuah kereta pada hari kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini semalam.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3vF1kfXXI Hakcipta terpelihara

Sumbu badak koleksi berharga Almarhum Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU – Sumbu badak yang dicuri ketika ia dijemur di hadapan Bangunan Sultan Ibrahim yang terletak di Bukit Timbalan di sini dua bulan lepas merupakan koleksi peribadi Almarhum Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.

Pengarah Muzium Diraja Johor, Datuk Paiman Keromo berkata, pihak muzium tidak dapat menganggarkan nilai sumbu badak berusia lebih 100 tahun itu namun ia antara koleksi yang amat berharga dimiliki Almarhum Sultan Ibrahim.

Almarhum Sultan Ibrahim memerintah Johor antara tahun 1895 hingga 1959.

Beliau berkata, sumbu tersebut adalah daripada spesies badak Sumatera yang sangat jarang ditemui pada masa kini. Ia sekaligus menyukarkan pihak­nya untuk menganggarkan nilai sebenar sumbu badak tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh:-http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3vDxfqpDq Hakcipta terpelihara

Jumaat, 25 Disember 2015

Kisah Pak Malau, Pulau Setindan

25 Disember 2015 6:25 PM
PULAU Setindan yang terletak kira-kira satu kilometer dari Mersing
PULAU Setindan yang terletak kira-kira satu kilometer dari Mersing
PULAU Setindan yang terletak kira-kira satu kilometer dari Mersing boleh dilawati dengan hanya berjalan kaki ketika air laut surut.
“Kajang Pak Malau, kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu”.
Sesiapa yang pernah menonton filem atau teater Sri Mersing pasti teringat akan ungkapan yang dilafazkan oleh Damak. Kisah Damak, seorang anak muda yang singgah di sebuah perkampungan lalu bertemu dengan anak gadis Pak Malau yang bernama Sri menjadi filem yang masih diingati sehingga ke hari ini.
Menurut penduduk tempatan, Jamil Abu Bakar, cerita percintaan terhalang antara Damak dan Sri itu sebenarnya diadaptasi dari kisah yang benar-benar terjadi di Mersing. Namun sehingga kini tiada bukti fizikal iaitu kubur mereka ditemui di sekitar Mersing.
“Betul wujud orang bernama Pak Malau. Menurut cerita orang-orang tua yang saya sendiri ‘jejaki’, Pak Malau telah lari daripada buruan British lalu menukar namanya. Dari kisah inilah telah dijadikan sebuah filem yang meruntun hati, Sri Mersing itu,” katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya ketika kecil, Jamil berkata, dahulu, dia dan keluarga tinggal di sebuah kampung di Pulau Setindan yang terletak kira-kira satu kilometer dari bandar Mersing.
Katanya, sewaktu kecil, dia sering berjalan kaki berulang-alik dari Mersing ke pulau itu untuk ke sekolah. Bukan sesuatu yang menghairankan apabila menyebut orang Mersing berjalan kaki ke Pulau Setindan. Ini kerana air laut yang surut membolehkan sesiapa sahaja berjalan kaki untuk sampai ke situ.
“Itu kenangan saya ketika kecil. Sungguh seronok ketika itu kerana saya bermain bersama rakan-rakan lain sewaktu berjalan untuk pulang ke pulau itu. Tetapi kini sudah tiada rumah lagi di pulau itu kerana mereka telah berpindah ke Mersing,” katanya.
Kenangan sama turut diceritakan Mariam Arim, 60, yang pernah berjalan kaki ke pulau itu sewaktu zaman persekolahannya. Katanya, dia dan rakan-rakan sering berjalan sewaktu air laut surut dan sebelum air pasang semula, mereka akan berjalan semula pulang ke Mersing.
“Kami ke pulau itu untuk menikmati pemandangan pantai dan pulau. Di situ, ada sebuah perkampungan yang mengandungi 50 buah rumah,” katanya.
Sehingga hari ini, pulau itu masih boleh dilawati dengan hanya berjalan kaki apabila air laut surut.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/kisah-pak-malau-pulau-setindan-1.172822#sthash.QFFvoAp1.dpuf

Dibom tentera Jepun

25 Disember 2015 6:30 PM
 JAMBATAN besi sementara di Mersing dibina bagi menggantikan jambatan
JAMBATAN besi sementara di Mersing dibina bagi menggantikan jambatan yang diletupkan tentera Jepun suatu ketika dahulu. MAJLIS DAERAH MERSING
MERSING turut tercatat di dalam sejarah Perang Dunia Kedua apabila ia menjadi tempat berlakunya pertempuran antara tentera Jepun dan tentera Australia pada Januari 1942.
Ekoran pertempuran itu, bandar Mersing dibom pada skala agak besar. Semasa kemaraan ketumbukan tentera Jepun, pihak British dengan bantuan Batalion Ke-20 Tentera Australia telah bersiap sedia di sekitar Mersing untuk mempertahankan kawasan itu.
Keadaan di Mersing ketika itu dilaporkan hujan lebat, menyebabkan air di Sungai Endau naik beberapa meter sehingga menghanyutkan baraj muatan yang ada di situ.
Batalion Ke-20 dilengkapi dengan kereta perisai dan periuk api, selain meneruskan kawalan.
Menurut Diari Perang dan Arahan Rutin Batalion Ke-20 Tentera Australia, pada 22 Januari 1942 berlaku pengeboman besar-besaran di Mersing oleh pihak tentera Jepun. Kira-kira 200 tentera Jepun dilaporkan terbunuh.
Batalion Ke-18 Tentera Australia pula ketika itu bergerak ke Estet Nittsdale yang terletak di Jalan Mersing-Jemaluang. Namun pada 23 Januari 1942, dilaporkan jalan tersebut juga teruk dibom pihak Jepun.
Jambatan di bandar Mersing pula musnah akibat dibom sehingga jalan perhubungan terputus.
Pada 25 Januari, tentera Jepun meneruskan usaha untuk menawan sebahagian Mersing sementara Batalion 20 pula diarahkan untuk meninggalkan Mersing pada waktu malam dan berkubu di Jemaluang.
Pihak Jepun ketika itu turut menjadikan sebuah bangunan di bandar Mersing sebagai markas pertahanan mereka. Bangunan itu yang masih wujud hari ini dijadikan bangunan Majlis Daerah Mersing.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/rencana/dibom-tentera-jepun-1.172824#sthash.trpwFJWL.dpuf

Selasa, 22 Disember 2015

Wanita tertua Asia meninggal dunia

AHAD, 18 OKTOBER 2015 @ 11:47 AM

MACHANG: Seorang wanita warga emas dipercayai antara wanita tertua di Asia, Esah Jusoh, yang berusia 115 tahun, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Jakar, Temangan. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 11.40 malam tadi, di sisi ahli keluarganya. Cucu Allahyarham, Nik Zainab Nik Soh, 33, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. Beliau berkata, kesihatan neneknya merosot sejak seminggu lalu selain tidak mempunyai selera makan.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Chuit selepas solat Zuhur. 
ESAH yang berusia 115 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.40 malam tadi, di sisi ahli keluarganya. - Foto Norizuan Shamsuddin


SUMBER : http://www.bharian.com.my/node/89794

Perlu dana lengkapkan penyeldikan di Gua Pelangi

RABU, 23 DISEMBER 2015 @ 12:04 AM

Oleh Ziauddin Sharuddin 

TAPAK galian di bahagian hadapan Gua Pelangi.- Foto Iqmal Haqim Rosman
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE RABU, 23 DISEMBER 2015

Isnin, 21 Disember 2015

Jegatthesan penerima pertama 
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat


 

SUFIAN HADI SOJAK  |  19 Disember 2015 12:05 AM
M. SARAVANAN (enam dari kiri) dan Tunku Imran Tuanku Jaafar (tujuh dari kiri) bersama penerima anugerah Dewan Kemasyhuran MOM dalam majlis di Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR – Pemegang rekod 100 meter kebangsaan paling lama Tan Sri Dr. M. Jegathesan dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, manakala empat skuad juara Piala Thomas melengkapkan 13 nama untuk diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2015.
Pengiktirafan ter­tinggi kepada penggiat sukan tempatan itu diberikan dalam majlis Anugerah dan Makan Malam MOM yang berlangsung di ibu negara malam semalam sebagai penghargaan di atas sumbangan besar mereka.
Jegathesan, yang diberi jolokan The Flying Doctor pernah menjadi pelari terpantas Asia dan memegang rekod kebangsaan acara 100m dengan masa 10.38 saat pada 1966 yang hanya dipecahkan oleh Watson Nyambek dalam Sukan Malaysia (Sukma) 1996 di Kuantan, Pahang dengan catatan 10.31 saat.
“Saya rasa sungguh terharu kerana pengiktirafan ini merupakan sesuatu yang baharu. Ini agak memeranjatkan saya sebab MOM mengadakan anugerah ini dan memilih saya sebagai penerima pertamanya. Saya menyertai bidang sukan sejak sekian lama.
“Ini adalah satu tanda ingatan untuk saya sepanjang memainkan peranan dalam MOM, iaitu sebagai atlet, ketua kontinjen, doktor pasukan dan wakil dalam pelbagai badan antarabangsa,” kata Jega­thesan yang juga individu pertama menerima anugerah Olahragawan Negara pada 1966.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan menyampaikan anugerah dalam majlis itu, yang turut dihadiri Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.
Sementara itu, skuad juara Piala Thomas pada 1952, 1955, 1967 dan 1992 adalah antara yang dimasuk­kan ke dalam Dewan Kemasyhuran.
Bekas pemain perseorangan dan bekas jurulatih kebangsaan Rashid Sidek, yang membantu negara meraih kembali Piala Thomas pada 1992, menyifatkan anugerah tersebut sebagai pengiktirafan tertinggi.
“Saya rasa bangga dengan penghormatan sebegini. Kami satu pasukan sudah tentu berasa amat gembira. Sebelum ini saya pernah dapat anugerah menerusi pencapaian individu. Kali ini kelainannya saya mene­rima anugerah secara berpasukan.
“Pencapaian tersebut hadir daripada semangat dan kerjasama berpasukan. Kalau tanpa (sumbangan) ahli pasukan lain tentu sukar untuk meraih kemenangan,” katanya.
Selain Rashid, skuad itu turut dibarisi tiga abangnya iaitu Ra­zif, Jalani dan Rahman. Skuad yang me­numpaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Negara itu turut dianggotai oleh Foo Kok Keong, Kwan Yoke Meng, Che­ah Soon Kit, Soo Beng Ki­ang ser­ta Wong Ewe Mun.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/jegathesan-penerima-pertama-8232-anugerah-pencapaian-sepanjang-hayat-1.170363#sthash.9Q1x3Q3e.dpuf