Selasa, 13 April 2021

Selangor gergasi bola sepak negara

 LIPATAN SEJARAH\



Pada 10 April 1972, Selangor kekal sebagai “gergasi” bola sepak negara berikutan kejayaan menundukkan Perak 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.Dua gol kemenangan Selangor telah dijaringkan oleh pemain baharunya, Mokhtar Dahari dan Mohd. Shah Norbit manakala gol ketiga disumbangkan oleh pemain antarabangsa, Rahim Abdullah.1

_________________________________

Ahad, 4 April 2021

22 firaun diarak [METROTV]

AFP



Kaherah: Perarakan membawa mumia 22 firaun termasuk permaisuri paling berkuasa Mesir melalui bandar ini untuk dibawa ke lokasi baharu.

Mumia itu diarak sejauh tujuh kilometer dari Muzium Mesir ke Muzium Kebangsaan Tamadun Mesir dengan kawalan ketat.

MUMIA dibawa dengan kenderaan khas berwarna emas. FOTO AFP

Digelar sebagai Perarakan Emas Firaun, mumia 18 raja dan empat permaisuri itu diarak dengan giliran bermula yang paling tua, dengan setiap satunya di atas kenderaan khas dihiasi gaya silam Mesir.

Kenderaan lain dan pejalan kaki tidak dibenarkan berada di Dataran Tahrir yang menjadi lokasi muzium sedia ada, dan kawasan dilalui kenderaan membawa mumia itu.

ANTARA peserta perarakan yang menunggang kuda. FOTO AFP

Imej perarakan itu yang memaparkan upacara pembukaan dengan koerografi dan lengkap dengan alunan muzik disiarkan secara langsung di stesen televisyen.

"Dengan penuh bangga, saya berhasrat untuk menyambut raja-raja dan permasuri-permasuri selepas rombongan ini," kata Presiden Abdel Fattah al-Sisi di Twitter sebelum upacara berkenaan.

ANTARA peserta perarakan memakai kostum zaman kuno Mesir. FOTO AFP

Seqenenre Tao II, yang memerintah selatan Mesir kira-kira 1,600 sebelum Masihi, adalah pertama dalam perarakan itu.

Ia diikuti Ramses IX, yang bertakhta pada abad ke-12 sebelum Masihi, pada akhirnya.

ANTARA peserta perarakan memakai kostum zaman kuno Mesir. FOTO AFP

Ramses II, yang memerintah selama 67 tahun dan Permaisuri Hatshepsu yang juga firaun wanita paling berkuasa turut dibawa pada perarakan itu.

Kenderaan berwarna emas yang membawa mumia berkenaan dilengkapi dengan alat penyerap gegaran sepanjang perarakan selama 40 minit itu.

SUMBER-MY METRO ONLINE Disiarkan pada: April 4, 2021 @ 9:43am

Sabtu, 3 April 2021

Struktur kapal, kepingan mata wang zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui

BERNAMA

18



MUHAMMAD Jailani (lima, kanan) melihat kepingan kayu dipercayai serpihan rangka atau struktur kapal karam pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditemui di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir. FOTO Bernama

Melaka: Sebanyak 30 kepingan kayu dipercayai serpihan rangka atau struktur kapal yang karam pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, ditemui di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir di sini.


Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, serpihan struktur kapal daripada kayu merbau itu, dipercayai milik sebuah kapal perdagangan buatan tempatan yang digunakan untuk aktiviti perdagangan.


Beliau berkata, antara yang turut ditemui di tapak berkenaan ialah ratusan kepingan mata wang dipercayai digunakan pemerintahan Sultan Mahmud antara tahun 1488 hingga 1511, di samping pecahan atau taburan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Ming dan Qing, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis.


PELBAGAI mata wang pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis ditemui di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir. FOTO Bernama

"Kesemua penemuan itu ditemui menerusi kerja-kerja ekskavasi penyelamatan artifak, yang dilaksanakan Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), di Pulau Melaka bermula 25 Mac lalu.

"Justeru, kerajaan negeri menerusi Perzim akan mengambil langkah segera, bagi memastikan kerja-kerja ekskavasi kepada pencarian artifak atau khazanah negara dan negeri di Pulau Melaka dijalankan, agar harta itu dapat dilindungi," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pulau Melaka di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perzim Datuk Akramuddin Abdul Aziz, Timbalan Pesuruhjaya Warisan JWN Mohamad Muda Bahadin, Pengurus Besar Perzim Drs Mohd Nasruddin Rahman, Ketua Penyelidik Datuk Dr Dionysius S K Sharma dan Pengarah Bahagian Arkeologi JWN Rozairy Arbi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri bercadang memberikan peruntukan kecemasan, bagi memastikan kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan dapat diteruskan dengan lebih lancar, kerana dipercayai lebih banyak artifak atau penemuan bakal ditemui.

Katanya, peralatan khas seperti 'ground-penetrating radar' (GPR) digunakan bagi mengesan rangka atau serpihan lain artifak dan rangka kapal, yang mungkin masih berada di bawah tambakan pasir di kawasan itu ekoran perubahan paras air dan kerja-kerja penambakan laut di Pulau Melaka sejak 2015.

Muhammad Jailani berkata, kerja-kerja menganalisa artifak yang ditemui turut dijalankan bagi membuktikan kaitannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, dan aktiviti perdagangan pada zaman berkenaan.

Beliau berkata semua penemuan berkenaan akan dipamerkan di Kompleks Pelancongan Samudera Perzim untuk tatapan rakyat.

SUMBER-MY METRO ONLINEDisiarkan pada: April 2, 2021 @ 9:52pm

Khamis, 1 April 2021

Syiling Britain paling mahal dijual pada RM9.4 juta

 DUNIA RAGAM GLOBAL TERKINI



BAHAGIAN hadapan syiling berdiamater 3.5 sentimeter menunjukkan wajah Raja Edward VIII manakala bahagian belakang menggambarkan baginda membunuh naga sambil menunggang kuda.- HA.COM/BNPS

Syiling Britain paling mahal dijual pada RM9.4 juta

Oleh KOSMO!

28 Mac 2021, 5:10 pm

DALLAS, Texas – Sekeping syiling emas memperingati Raja Edward VIII memecah rekod dunia apabila terjual pada harga £1.65 juta (RM9.4 juta) dalam acara lelongan oleh firma Heritage Auctions di Dallas, Amerika Syarikat, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.

Syiling percubaan yang direka oleh Humphrey Paget itu menjadi syiling Britain paling mahal pernah dijual mengalahkan rekod jualan peribadi £1 juta (RM5.7 juta) untuk syiling Edward VIII Corak Berdaulat dengan nilai muka £1 (RM5) yang ditaja Royal Mint pada Januari 2020.

Syiling emas dengan ukiran wajah Edward VIII pada sebelah sisi itu tidak pernah dilancarkan memandangkan baginda hanya memerintah selama 11 bulan.

Ia merupakan satu daripada tiga keping duit syiling Edward VIII £5 (RM28) yang diketahui wujud di dunia.

Dua lagi dimiliki agensi yang bertanggungjawab menghasilkan syiling Britain, Royal Mint dan seorang pengumpul persendirian di Amerika Syarikat.

Naib Presiden Eksekutif Numismatik Antarabangsa Heritage Auctions, Cristiano Bierrenbach, menyifatkan syiling itu adalah hadiah terhebat dalam angka numismatik Inggeris iaitu kajian melibatkan koleksi syiling.

Ini adalah syiling yang tidak sempat dimiliki oleh raja sendiri. Penjualannya benar-benar peluang sekali dalam seumur hidup untuk pembida.

Kecantikan dan kualitinya tidak dapat disangkal dengan dua keping lagi dipercayai berada di tangan pengumpul persendirian,” katanya. – Agensi SUMBER-KOSMO ONLINE

Bilangan masjid di Indonesia hampir cecah 1 juta

 DUNIA RAGAM GLOBAL TERKINI







Gambar fail 1 Mei tahun lalu menunjukkan enduduk tempatan meninggalkan masjid besar Baiturrahman di Banda Aceh selepas menunaikan solat Jumaat di minggu kedua bulan Ramadan. - AFP

Bilangan masjid di Indonesia hampir cecah 1 juta

Oleh KOSMO!

29 Mac 2021, 12:00 pm

JAKARTA – Republik Indonesia yang mempunyai penduduk beragama Islam paling ramai di dunia atau bersamaan 80 peratus rakyatnya menyaksikan hampir sejuta masjid telah dibina di negara itu, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Sejak tujuh tahun lalu, seorang pegawai Kementerian Agama Indonesia (MRA), Fakhry Affan diberi tanggungjawab mengendalikan Sistem Maklumat Masjid (SIMAS) iaitu pangkalan data digital untuk mengira jumlah masjid telah dibina di negara berkenaan.

Ia satu pekerjaan yang tiada penghujung kerana masjid dan musala baharu dibina hampir setiap masa di Indonesia,” kata Fakhry kepada Arab News.

Meskipun begitu, sistem SIMAS diwujudkan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya anggaran terbaik berkenaan bilangan kewujudan masjid di Indonesia yang mempunyai 270 juta orang Islam.

Menurut Affan, tugasannya jauh lebih rumit sebelum penubuhan SIMAS pada 2013 apabila agensi keagamaan di kesemua wilayah atau daerah Indonesia mengeluarkan anggaran berbeza tanpa memberikan rujukan rasmi.

Data manual kementerian itu sendiri menyenaraikan lebih 741,000 masjid berdasarkan maklumat yang diterima daripada wakil-wakil yang dipertanggungjawabkan.

Cabaran terbesar pekerjaan petugas-petugas MRA adalah perbezaan ketara bilangan masjid dan musala yang ada jadi pada 2013, kami mula mendigitalkan maklumat yang ada bagi mengesahkan data manual sedia ada,” jelas Fakhry.

Seramai 5,000 pegawai MRA telah ditugaskan membantu Fakhry dalam projek ini bermula dari peringkat bandar hingga ke peringkat kecamatan di seluruh Indonesia.

Tugas utama mereka adalah mendaftar dan mendigitalkan data masjid atau musala yang ada tanpa mengira saiz ukurannya selagi ia dijadikan tempat menunaikan solat.

Setiap tempat yang didaftarkan dari Masjid Istiqlal iaitu masjid negara di ibu kota Jakarta hingga ke ruang solat di dalam restoran, mendapat nombor pengenalannya sendiri dengan penerangan ringkas mengenai tempat dan cara menuju ke sana.

Ketika Arab News menemu ramah Affan minggu lalu, pasukannya berjaya mengumpulkan maklumat mengenai 599,486 masjid dan musala.

Dalam masa 10 minit, jumlahnya boleh berubah. Ia sentiasa dikemas kini oleh rakan sekerja saya di seluruh negara, “katanya.

Sehingga kelmarin, jumlah itu telah meningkat menjadi 600,581 iaitu hampir 80 peratus dari jumlah manual yang diberikan kepada MRA dan menghampiri sasaran 90 peratus yang mahu dicapai oleh MRA menjelang akhir tahun ini.

Selain menempatkan pegawai MRA di setiap wilayah, daerah dan kecamtan, pasukan ini turut menggunakan dorn bagi mendapatkan gambar masjid dan sekitarnya dari pelbagai sudut. – Agensi SUMBER-KOSMO ONLINE

Pakar sejarah sangkal insiden Terusan Suez disebabkan sumpahan Firaun

 DUNIA RAGAM GLOBAL TERKINI



Insidenyang berlaku di Mesir sejak seminggu lalu dikatakan akibat sumpahan kuno Firaun. -Getty Images

Pakar sejarah sangkal insiden Terusan Suez disebabkan sumpahan Firaun

Oleh KOSMO!

1 April 2021, 8:51 am

KAHERAH- Sebilangan pengguna media sosial percaya bahawa insiden sebuah kapal kontena tersadai selama seminggu di Terusan Suez, Mesir pada minggu lalu berpunca daripada sumpahan Firaun, lapor Daily Star kelmarin.

Andaian tersebut dibuat susulan beberapa insiden pelik yang berlaku di Mesir sejak beberapa minggu yang lalu termasuk peristiwa kapal MV Ever Given tersadai sehingga mencetuskan panik dalam kalangan komuniti perniagaan global dan kemalangan kereta api yang mengorbankan 30 nyawa.

Orang ramai tampil dengan teori siri insiden malang tersebut disebabkan sumpahan Firaun, namun dakwaan itu disangkal oleh pakar sejarah Mesir, Zahi Hawass.

Pada 3 April ini, acara dikenali sebagai Perarakan Emas Firaun akan menyaksikan 22 mumia termasuk Raja Ramses II, Raja Seknen Ra dan Raja Tuthmosis III, Permaisuri Hatshepsut dan Permaisuri Merit Amun akan dibawa dari Muzium Mesir di Tahrir menuju Muzium Nasional Tamadun Mesir.

Orang ramai percaya acara 40 minit itu telah membangunkan semula sumpahan kuno tersebut.

Seorang pengguna Facebook di Mesir menulis satu kenyataan amaran berbunyi ‘Kematian akan datang dengan cepat kepada mereka yang mengganggu ketenteraman Firaun.’

Warga Mesir juga berkongsi amaran bencana kononnya akan berlaku, ada antaranya berbentuk gurauan tetapi ada juga yang serius.

Satu amaran tersebut bermaksud ‘Final Destination 2021 : Sumpahan Firaun’ dan satu lagi menyatakan ‘Tiga kejadian besar dalam tempoh seminggu. Sumpahan Firaun atau Mumia berlaku kepada sesiapa yang mengganggu Firaun’.

Hawass bagaimanapun menolak dakwaan wujud ‘sumpahan Firaun’.

Seorang personaliti Mesir juga menafikan khabar angin tentang sumpahan kuno itu dan mendakwa bahawa Firaun telah memberitahunya secara peribadi bahawa mereka tidak marah dengan perarakan yang dijadualkan berlangsung lusa itu. -Agensi

SUMBER-KOSMO ONLINE

Saintis percaya ada planet asing dalam Bumi

 DUNIA RAGAM GLOBAL TERKINI



SERPIHAN planet asing, Theia dipercayai terkubur di pusat Bumi selepas ia berlanggar dengan planet kita 4.5 bilion tahun lalu. - GETTY IMAGE

Saintis percaya ada planet asing dalam Bumi

Oleh KOSMO!

1 April 2021, 11:00 am

LOS ANGELES, California – Saintis-saintis di Amerika Syarikat percaya serpihan planet asing dinamakan Theia terkubur di dalam perut Bumi selepas dua planet tersebut berlanggar 4.5 bilion tahun lalu, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Sebilangan saintis berpendapat impak sama di angkasa lepas telah membentuk Bulan. Bagaimanapun, mereka kini mengkaji serpihan akibat pelanggaran itu yang dipercayai tertanam di dalam kerak Bumi.

Pakar geologi Universiti Negeri Arizona, Qian Yuan berpendapat, tompok-tompok padat di dalam perut Bumi yang dianggap misteri merupakan serpihan Planet Theia yang masih terpasak kukuh di dalam bumi.

Mantel planet Theia mungkin beberapa peratus lebih padat daripada mantel Bumi.

Keadaan itu mengakibatkan ia tenggelam ke lapisan paling bawah Bumi dan terkumpul di dalam timbunan termokimia,” katanya pada Persidangan Sains Planet dan Bulan yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Mantel merujuk kepada lapisan di antara kerak dan teras luaran Bumi

Timbunan termokimia itu boleh menyebabkan seismik iaitu aktiviti batuan bawah tanah yang menyebabkan kejadian seperti gempa dan letusan gunung berapi di kawasan tompokan tersebut.

Saintis-saintis juga mengenal pasti kawasan spesifik di dalam di mana serpihan Theia tersimpan.

Teori pertembungan Planet Theia dan Bumi dikenali sebagai hipotesis impak gergasi.

Menurutnya, Theia telah berlanggar dengan Bumi sekitar 4.5 bilion tahun lalu dan sebilangan saintis berpegang kepada teori tersebut kerana ia dapat menjelaskan kewujudan Bulan dan mengapa teras planet kita lebih besar berbanding saiz Bumi sendiri.

Saintis turut percaya material Theia yang padat dapat bertahan selama berbilion -bilion tahun. – Agensi SUMBERKOSMO ONLINE