Khamis, 1 April 2021

Pakar sejarah sangkal insiden Terusan Suez disebabkan sumpahan Firaun

 DUNIA RAGAM GLOBAL TERKINI



Insidenyang berlaku di Mesir sejak seminggu lalu dikatakan akibat sumpahan kuno Firaun. -Getty Images

Pakar sejarah sangkal insiden Terusan Suez disebabkan sumpahan Firaun

Oleh KOSMO!

1 April 2021, 8:51 am

KAHERAH- Sebilangan pengguna media sosial percaya bahawa insiden sebuah kapal kontena tersadai selama seminggu di Terusan Suez, Mesir pada minggu lalu berpunca daripada sumpahan Firaun, lapor Daily Star kelmarin.

Andaian tersebut dibuat susulan beberapa insiden pelik yang berlaku di Mesir sejak beberapa minggu yang lalu termasuk peristiwa kapal MV Ever Given tersadai sehingga mencetuskan panik dalam kalangan komuniti perniagaan global dan kemalangan kereta api yang mengorbankan 30 nyawa.

Orang ramai tampil dengan teori siri insiden malang tersebut disebabkan sumpahan Firaun, namun dakwaan itu disangkal oleh pakar sejarah Mesir, Zahi Hawass.

Pada 3 April ini, acara dikenali sebagai Perarakan Emas Firaun akan menyaksikan 22 mumia termasuk Raja Ramses II, Raja Seknen Ra dan Raja Tuthmosis III, Permaisuri Hatshepsut dan Permaisuri Merit Amun akan dibawa dari Muzium Mesir di Tahrir menuju Muzium Nasional Tamadun Mesir.

Orang ramai percaya acara 40 minit itu telah membangunkan semula sumpahan kuno tersebut.

Seorang pengguna Facebook di Mesir menulis satu kenyataan amaran berbunyi ‘Kematian akan datang dengan cepat kepada mereka yang mengganggu ketenteraman Firaun.’

Warga Mesir juga berkongsi amaran bencana kononnya akan berlaku, ada antaranya berbentuk gurauan tetapi ada juga yang serius.

Satu amaran tersebut bermaksud ‘Final Destination 2021 : Sumpahan Firaun’ dan satu lagi menyatakan ‘Tiga kejadian besar dalam tempoh seminggu. Sumpahan Firaun atau Mumia berlaku kepada sesiapa yang mengganggu Firaun’.

Hawass bagaimanapun menolak dakwaan wujud ‘sumpahan Firaun’.

Seorang personaliti Mesir juga menafikan khabar angin tentang sumpahan kuno itu dan mendakwa bahawa Firaun telah memberitahunya secara peribadi bahawa mereka tidak marah dengan perarakan yang dijadualkan berlangsung lusa itu. -Agensi

SUMBER-KOSMO ONLINE

Saintis percaya ada planet asing dalam Bumi

 DUNIA RAGAM GLOBAL TERKINI



SERPIHAN planet asing, Theia dipercayai terkubur di pusat Bumi selepas ia berlanggar dengan planet kita 4.5 bilion tahun lalu. - GETTY IMAGE

Saintis percaya ada planet asing dalam Bumi

Oleh KOSMO!

1 April 2021, 11:00 am

LOS ANGELES, California – Saintis-saintis di Amerika Syarikat percaya serpihan planet asing dinamakan Theia terkubur di dalam perut Bumi selepas dua planet tersebut berlanggar 4.5 bilion tahun lalu, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Sebilangan saintis berpendapat impak sama di angkasa lepas telah membentuk Bulan. Bagaimanapun, mereka kini mengkaji serpihan akibat pelanggaran itu yang dipercayai tertanam di dalam kerak Bumi.

Pakar geologi Universiti Negeri Arizona, Qian Yuan berpendapat, tompok-tompok padat di dalam perut Bumi yang dianggap misteri merupakan serpihan Planet Theia yang masih terpasak kukuh di dalam bumi.

Mantel planet Theia mungkin beberapa peratus lebih padat daripada mantel Bumi.

Keadaan itu mengakibatkan ia tenggelam ke lapisan paling bawah Bumi dan terkumpul di dalam timbunan termokimia,” katanya pada Persidangan Sains Planet dan Bulan yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Mantel merujuk kepada lapisan di antara kerak dan teras luaran Bumi

Timbunan termokimia itu boleh menyebabkan seismik iaitu aktiviti batuan bawah tanah yang menyebabkan kejadian seperti gempa dan letusan gunung berapi di kawasan tompokan tersebut.

Saintis-saintis juga mengenal pasti kawasan spesifik di dalam di mana serpihan Theia tersimpan.

Teori pertembungan Planet Theia dan Bumi dikenali sebagai hipotesis impak gergasi.

Menurutnya, Theia telah berlanggar dengan Bumi sekitar 4.5 bilion tahun lalu dan sebilangan saintis berpegang kepada teori tersebut kerana ia dapat menjelaskan kewujudan Bulan dan mengapa teras planet kita lebih besar berbanding saiz Bumi sendiri.

Saintis turut percaya material Theia yang padat dapat bertahan selama berbilion -bilion tahun. – Agensi SUMBERKOSMO ONLINE

Rabu, 31 Mac 2021

Prebet Adam meninggal dunia

Audrey Dermawan - Mac 31, 2021 @ 9:39am

bhnews@bh.com.my

17



ADAM Jaafar (kiri) atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang semalam.

GEORGETOWN: Adam Jaafar atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam yang pernah menggemparkan negara kerana mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987, meninggal dunia, semalam.

Adam, 60, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang semalam.

Adik Adam, Arzat Jaafar, memuat naik status disertakan gambar di tanah perkuburan, menerusi Facebook petang, semalam.

"Al-Fatihah buat abangku, Adam Jaafar @ Adam Rembo. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Semoga tenang abang di sana. Al-Fatihah," katanya.

Seorang lagi adik Adam, Anisah Jaafar, memuat naik video dan gambar Allahyarham, menerusi Facebook tengah hari, semalam.

"Telah selamat dikebumikan abangku Adam Rambo. Arwah meninggal dunia pada pagi tadi (semalam), Al-Fatihah. Semoga arwah tenang di sana, Amin," katanya.

Sementara itu, BERNAMA memetik adik Adam, Hawa, 56, sebagai berkata, abangnya meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarham telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Datuk Keramat selepas solat Zohor.

"Sebelum ini abang memang tiada sakit apa-apa, Allahyarham sihat sahaja cuma kadang-kadang demam, itu biasalah...cuma minggu lepas dia masuk hospital dan pemeriksaan doktor kata ada jangkitan kuman pada paru-paru," katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Hawa berkata Adam, anak sulung daripada lapan beradik, adalah seorang abang yang sentiasa mengambil berat tentang adik-beradik lain dan mereka sekeluarga sedih dengan pemergian abangnya itu.

Kejadian amuk membabitkan Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987, pernah menggemparkan negara dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Pada 2018, isu mengenai kejadian Adam mengamuk itu kembali mendapat perhatian ramai selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan pendapat peribadinya dan mengkritik 'individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri'.

Susulan itu, adik Adam, Hawa dilaporkan memohon maaf kepada kerabat diraja Johor yang diheret ke dalam insiden itu dan menyatakan Adam mengamuk disebabkan masalah di tempat kerja dan tiada kaitan dengan kerabat diraja Johor.

Hawa dipetik menafikan adiknya dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa berkhidmat sebagai 'caddy' golf kepada Almarhum, kononnya menjadi punca Adam mengamuk di ibu negara. SUMBER BH ONLINE

Ahad, 21 Mac 2021

SENARAI JUARA PERSEORANGAN LELAKI All ENGLAND (MALAYSIA)

 OLEH-AHMAD YAAKOB

Wong Peng Soon (1951, 1952, 1955)
Eddy Choong (1953, 1954, 1956, 1957)
Tan Aik Huang (1966)
Muhammad Hafiz Hashim (2003)
Lee Chong Wei (2010, 2011, 2014, 2017)
Lee Zii Jia (2021),[1]



_________________________________

Khamis, 25 Februari 2021

'Harta karun' zaman Kesultanan Melaka ditemui? [METROTV]

 MyMetroMutakhir

 'Harta karun' zaman Kesultanan Melaka ditemui? [METROTV]


Amir Mamat

am@hmetro.com.my

Melaka: Beberapa serpihan artifak dan syiling dipercayai berusia lebih 900 tahun yang digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Dinasti Song, Yuan dan Ming, ditemukan di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir di sini.

Pesuruhjaya Warisan yang juga Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop berkata, serpihan kayu dipercayai rangka kapal dagang karam yang digunakan pada zaman itu turut ditemukan di lokasi yang sama.

Beliau berkata, kesemua bahan itu ditemukan di kawasan yang dikelilingi belukar dan lalang, secara berasingan dan berperingkat dalam tempoh dua tahun lepas oleh orang awam, termasuk kaki pancing sebelum dilaporkan kepada pihak JWN.

"Antara artifak penting yang ditemui iaitu mata wang Kesultanan Melaka zaman pemerintahan Sultan Mahmud iaitu antara tahun 1488 hingga 1511, pecahan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Song, Yuan dan Ming, mata wang Portugis dan Belanda jenis VOC atau Syarikat Hindia Timur Belanda.

"Penemuan bahan-bahan ini dipercayai ekoran perubahan aras air dan kerja-kerja penambakan laut di sekitar Pulau Melaka sehingga menyebabkan artifak itu terlihat di permukaan lumpur dan daratan," katanya di tapak penemuan artifak berkenaan di sini, semalam.

Nasaruddin menunjukkan mata wang kesultanan Melaka zaman pemerintahan Sultan Mahmud pada lawatan tapak penemuan artifak kesultanan Melaka dan rangka kapal karam bersejarah abad ke-10 berusia lebih 1000 tahun di kawasan paya bakau, Pulau Melaka, Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN

Nasaruddin menunjukkan mata wang kesultanan Melaka zaman pemerintahan Sultan Mahmud pada lawatan tapak penemuan artifak kesultanan Melaka dan rangka kapal karam bersejarah abad ke-10 berusia lebih 1000 tahun di kawasan paya bakau, Pulau Melaka, Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN

Turut hadir Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Abdul Aziz, Pengurus Besar Perzim Drs Mohd Nasruddin Rahman, Ketua Penyelidik Datuk Dr Dionysius S K Sharma dan Pengarah Bahagian Arkeologi JWN Rozairy Arbi.

Sementara itu Mesran berkata, kawasan berkenaan akan ditutup sementara waktu bagi kerja-kerja ekskavasi oleh Perzim dan JWN kerana pihaknya percaya lebih banyak lagi penemuan artifak seumpama itu akan ditemui di sekitar kawasan berkenaan.


"Saya menyeru kepada semua pihak supaya membuat laporan kepada JWN bagi apa jua penemuan supaya kita dapat mematuhi Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), kerana adalah menjadi satu kesalahan sekiranya sebarang penemuan tidak dilaporkan kepada Peruruhjaya Warisan atau pegawai daerah," katanya.

Sementara itu, Dionysius berkata peralatan khas seperti 'ground-penetrating radar' (GPR) digunakan bagi mengesan rangka atau serpihan lain artifak dan rangka kapal yang mungkin berada di bawah tambakan pasir itu.

"Setakat ini kebanyakan artifak, syiling dan serpihan rangka kapal ditemui di permukaan iaitu di atas tanah namun kita yakin terdapat lebih banyak lagi di bawah tanah dan mungkin ada artifak yang masih elok seperti seramik pada zaman itu," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 5:39 PM

Burung Murai berkulit hitam muncul selepas 170 tahun

Februari 25, 2021 @ 7:06pm



Burung Murai berkulit hitam muncul selepas 170 tahun

JAKARTA: Seekor burung yang kali terakhir dilihat lebih 170 tahun lalu ditemui semula di hutan hujan Borneo.

Sebelum ini, ahli konservasi burung percaya spesies burung itu sudah pupus.

Murai berkulit hitam pernah didokumentasikan sekali ketika pertama kali ditemui sekitar tahun 1848 - yang selepas itu tiada usaha untuk mencarinya.

Namun, akhir tahun lalu, dua lelaki di Borneo Indonesia melihat seekor burung yang tidak mereka kenali dan mengambil gambarnya sebelum melepaskan makhluk berukuran telapak tangan itu kembali ke hutan, menurut Global Wildlife Conservation.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Seladang kian pupus di Malaysia

3 NGO bantu lindungi Harimau Malaya

Lapor pemburuan haram elak Tapir Malaya pupus

PGA rampas haiwan dilindungi

Ahli pengkaji burung terkejut apabila mendapati bahawa Murai berkulit hitam masih hidup dan sihat, sebagaimana yang pernah dicatatkan Charles Darwin dalam bukunya 'On the Origin of Species'.

"Rasanya seperti 'Eureka!' seketika," kata pengarang utama rencana berita itu, Panji Gusti Akbar, dalam jurnal BirdingASIA.

"Burung ini sering kali disebut 'teka-teki terbesar dalam ornitologi Indonesia.'

"Sukar untuk percaya ia tidak pupus dan masih tinggal di hutan dataran rendah ini," katanya.

Menurut artikel itu, burung berkenaan memiliki bulu coklat dan kelabu, 'hilang' lebih lama daripada kebanyakan burung Asia lain, menurut artikel itu.

Penyelidik berharap dapat kembali ke kawasan di mana burung itu kali terakhir dilihat, tetapi sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19 menyebabkan usaha itu terbantut.

Pengarang akhbar yang juga ahli konservasi burung, BirdLife International yang berpangkalan di Singapura, Ding Li Yong berkata; "Sekarang adalah kesempatan yang sesuai untuk melindungi hutan itu dan memastikan burung Murai itu terus dilindungi begitu juga spesies lain."

Menurut pakar pemuliharaan, lebih 150 spesies burung di seluruh dunia dianggap 'hilang' tanpa jejak dalam dekad yang lalu.

Pengarah kanan pemuliharaan spesies Global Wildlife Conservation, Barney Long berkata; "Penemuan seperti ini sangat luar biasa dan memberi kita harapan yang besar untuk mencari spesies lain yang telah hilang selama beberapa dekad atau lebih lama." - AFP

SUMBER-BH ONLINE

Rangka remaja 8,000 tahun [METROTV]

 MyMetroUtama



Syalikha Sazili

cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Rangka manusia prasejarah yang hampir lengkap berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun ditemui di Gua Chawan, Lembah Nenggiri di Kelantan pada 2 November lalu.

Rangka prasejarah dipercayai seorang remaja perempuan itu ditemui penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama sekumpulan penyelidik sejarah.

Ia membabitkan pegawai dan kakitangan bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara (JWN), penyelidik Jabatan Sejarah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, selain rangka manusia, turut ditemui artifak lain semasa proses ekskavasi arkeologi di kawasan itu.

Berdasarkan kajian, artifak ditemui antaranya alat litik, sisa makanan berbentuk tulang haiwan, cengkerang siput, brutia costula serta serpihan tembikar tanah.

Penemuan rangka manusia prasejarah Gua Chawan, Lembah Nenggiri ini jumpaan penting bagi arkeologi negara kerana dapat memberi fakta baru terhadap amalan pengebumian dan budaya kehidupan zaman prasejarah di Malaysia.

Rangka manusia ini ditanam dalam keadaan sedikit terlipat dengan bahagian muka menghala ke utara manakala bahagian lutut ke arah selatan.

Menurut Jabatan Warisan Negara, rangka ini dipercayai remaja perempuan berdasarkan tulang pelvis yang dijumpai,” katanya pada sidang media jumpaan rangka manusia prasejarah dan artifak arkelogi di Gua Chawan, Ulu Kelantan di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah JWN, Datuk Dr Zainah Ibrahim.

Mohamaddin juga berkata, rangka terbabit dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 November lalu dan kini ditempatkan di makmal konservasi JWN bagi kerja merekod dan pemuliharaan.

Kerja terbabit dijangka akan mengambil masa 60 hari sehingga selesai merangkumi pengambilan sampel, merekod, pembersihan, rekod tarikh, pencantuman, pengawalan kelembapan dan suhu serta repositori.

Segala jumpaan di tapak ini cukup bermakna bagi merungkai budaya masyarakat primitif dan kehadiran manusia prasejarah di sepanjang gugusan gua kompleks batu kapur Lembah Nenggiri, Ulu Kelantan.

JWN dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan akan memastikan penemuan ini dijadikan bahan rujukan penting warisan negara serta dapat dipamerkan untuk tontonan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Zainah berkata, satu bangunan warisan dibangunkan di Gua Musang untuk pameran artifak ini.

Bangunan warisan itu mungkin dibina pada 2020 dan mengambil masa dua hingga empat tahun sebelum ia dibuka kepada umum,” katanya.

RANGKA remaja perempuan yang ditemui di Gua Chawan, Lembah Nenggiri pada 2 November lalu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 8:13 AM